Ku tulis warkah cinta ini dengan air mata. Warkah cinta buat bonda yang terpaksa kutinggal jauh. Jauh keseorangan. Keseorangan dalam pandangan manusia. Tetapi tidak pada pandangan Allah. Kerana Allah selalu ada.
Sungguh. Allah selalu ada..
Ya Allah, Engkau Maha Tahu bahawa hati ini tidak pernah tenang. Hati ini tidak pernah henti menangis dan berdoa.
Hanya dia yang aku ada Ya Allah. Hanya dia yang aku miliki untuk ku berbakti sebagai anak. Hanya dia yang tinggal untukku hargai atas lahirnya aku di dunia ini. Hanya dia belahan jiwaku setelah cintaku padaMu dan pada RasulMu, Muhammad s.a.w..
Dan Engkau Maha Tahu, aku tinggalkan dia dengan kepedihan yang menyucuk ini dalam rangka untuk mencintaiMu, mencintai jalanMu dan mencintai apa-apa yang membawa kepada kecintaan kepadaMu.
Justeru, telapakilah ubun-ubunnya dengan ihsan dan cintaMu. Bahagiakanlah hari-hari yang dilaluinya dalam kasih sayangMu. Jagalah kesejahteraannya dalam hikmah rahmatMu. Panjangkanlah usia dan berkatilah kehidupannya…
Lapangkanlah kesempitan yang dilaluinya. Tenangkanlah lena malamnya. Hiburkanlah kesunyiannya. Selimutilah dia dengan kelabung iman agar dia selalu tenteram meski taufan resah meribut di luar sana.
Ya Allah, cintailah ibu sepertimana dia telah mengajarku untuk mencintaiMu sepenuh hatiku. Ya Allah, rahmati ibu sepertimana dia telah mengajarku untuk berebut dalam meraih rahmatMu.
Ya Allah, sempatkan aku untuk menjaganya agar aku bisa memperolehi ganjaran syurgaMu.
Sungguh. Kutinggalkan dia di bawah jagaanMu kerana sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik penjaga..ameen.
7:40pm. Dalam bilik. Bersama air mata.
yang sebenaqnya nak tengok gmbaq Niqah kt belakng tu..hehe..
ReplyDelete