Tuesday, September 28, 2010

sayang Allah itu luas..


Hidup dalam iman membumikan rasa jelas betapa kasih dan cinta Allah selalu menghujan dalam kehidupan.

Sungguh. Pedih. Sakit. Nyilu. Perit. Kecewa. Terluka. Duka. Sedih. Itu kita rasa kerana kita hamba. Tetapi Allah sang Maha Tahu lebih tahu daripada apa yang kita ketahui dan Maha Tahu apa-apa yang tidak kita ketahui memandang hati saat itu dengan penuh asyik dan ihsan. Penuh rindu dan kasih.

Jika diambil contoh di dunia ini, umpama doktor dan pesakit. Pesakit nampak ubat yang diberi kelat dan busuk. Tetapi doktor tahu, hanya dengan ubat itu sakit si pesakit akan sembuh.

Begitulah Allah pencipta, pengatur dan penyusun seluruh kehidupan makhlukNya. TANPA ADA KEPENTINGAN WALAUPUN SEDIKIT.

Dia tahu bahawa dnegan hambaNya melalui sebegitulah, jiwa itu akan sentiasa kembali kepada fitrah. Akan selalu mendampingi dan menangis dalam sujud lamanya. Akan selalu mengongoi dan mengadu penuh lemah kerana hamba itu sedar bahawa dia tidak punya walaupun sedikit kekuatan melainkan datang dari Allah.

Dan saat itulah, Allah datang seakan berlari menyambut jiwa hamba yang bertatih lemah.

Sungguh. "Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?".

Hiduplah dalam iman, nescaya dirimu akan bahagia. Lihatlah dengan iman, nescaya dirimu akan sujud dengan serendah-rendahnya mengakui kebesaran dan kehebatan Allah s.w.t. sang pengatur kehidupan.

Ingatlah, Allah itu pemilik. Dan sayangNya itu luas..

* Susah itu mengajar kematangan. Mendidik kesabaran. Menanam kehambaan. Menyubur kasih sayang. Menguatkan keyakinan.

Saturday, September 25, 2010

masih belum cukup kuat..

Malam ini adalah malam ke berapa untuk saya mimpikan keluarga di Malaysia.. Dalam mimpi, semuanya tampak jelas dan real. Bersembang dan berjalan. Berjenaka. Dan tepat jam 4 pagi saya akan terjaga lantas tersedar bahawa semua itu hanya mimpi.

Hati jadi pedih. Mata jadi basah. Saya akan menangis. Terasa bagai jiwa ditusuk-tusuk. Sangat sakit.

Sungguh. Keluarga adalah kecintaan saya. Ibu adalah belahan jiwa saya. Tanpa ibu, saya lalui hari-hari bagai cuma sebelah nyawa sahaja yang ada.

Bagaimanakah kondisi ibu? Bagaimanakah perasaannya ketika duduk di meja makan dan menelan makanan keseorangan? Siapakah yang akan membuka pintu ketika ibu membawa buku-buku banyak dari sekolah? Siapakah yang akan berlari menyambut ibu? Siapakah yang akan menemani ketika ibu lelah bekerja?

Sungguh. Saya tidak berhenti menangis. Rasa bersalah terlalu menebal. Mengapa saya tegar untuk belajar jauh-jauh?

Semalam ibu pujuk dalam skype. Ibu tidak ada apa-apa. Allah ada bersama ibu. Allah ada untuk menemani ibu.

Kemudian message dari ibu tiba selepas beberapa jam.

"Wahai anak, tiada yang lebih membahagiakan bonda selain dirimu berjaya dengan segolongan ijazah di tangan. Juga menjadi pemimpin umat dalam praktik kehidupan. Sayang mak dengan dengan berita kejayaan yang gemilang. Tangisan kemuliaan dengan pencapaian anak-anak. Sendirian itu ubat untukkku, jangan gundah wahai ankku sayang.. Mak redho denganmu dan ampunkan segala salahsilapmu.. Allah menjadi saksi..Berbahagialah wahai anakku..."
2:53pm 240910 jam Malaysia.

Ya Allah, Engkau Maha Tahu betapa cintanya aku pada ibu. Betapa dia adalah belahan jiwaku. Maka saksikanlah kutinggalkan dia di bawah jagaanMu kerana Engkau adalah sebaik-baik penjaga..ameen.

*Mula fokus untuk belajar.. Ingat pesan mak. Mak akan sedih jika saya sedih. Kuatkan aku Ya Allah!

Thursday, September 23, 2010

Warkah cinta untuk bonda..


dedikasi buat ibu, Shariffah Binti Ismail..

Ku tulis warkah cinta ini dengan air mata. Warkah cinta buat bonda yang terpaksa kutinggal jauh. Jauh keseorangan. Keseorangan dalam pandangan manusia. Tetapi tidak pada pandangan Allah. Kerana Allah selalu ada.

Sungguh. Allah selalu ada..

Ya Allah, Engkau Maha Tahu bahawa hati ini tidak pernah tenang. Hati ini tidak pernah henti menangis dan berdoa.

Hanya dia yang aku ada Ya Allah. Hanya dia yang aku miliki untuk ku berbakti sebagai anak. Hanya dia yang tinggal untukku hargai atas lahirnya aku di dunia ini. Hanya dia belahan jiwaku setelah cintaku padaMu dan pada RasulMu, Muhammad s.a.w..

Dan Engkau Maha Tahu, aku tinggalkan dia dengan kepedihan yang menyucuk ini dalam rangka untuk mencintaiMu, mencintai jalanMu dan mencintai apa-apa yang membawa kepada kecintaan kepadaMu.

Justeru, telapakilah ubun-ubunnya dengan ihsan dan cintaMu. Bahagiakanlah hari-hari yang dilaluinya dalam kasih sayangMu. Jagalah kesejahteraannya dalam hikmah rahmatMu. Panjangkanlah usia dan berkatilah kehidupannya…

Lapangkanlah kesempitan yang dilaluinya. Tenangkanlah lena malamnya. Hiburkanlah kesunyiannya. Selimutilah dia dengan kelabung iman agar dia selalu tenteram meski taufan resah meribut di luar sana.

Ya Allah, cintailah ibu sepertimana dia telah mengajarku untuk mencintaiMu sepenuh hatiku. Ya Allah, rahmati ibu sepertimana dia telah mengajarku untuk berebut dalam meraih rahmatMu.

Ya Allah, sempatkan aku untuk menjaganya agar aku bisa memperolehi ganjaran syurgaMu.

Sungguh. Kutinggalkan dia di bawah jagaanMu kerana sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik penjaga..ameen.

7:40pm. Dalam bilik. Bersama air mata.

Monday, September 20, 2010

sekadar coretan..


semoga baitul Dakwah ini menjadikan kita usrah yang sama di syurga nanti, ameen..
rindu semua..hu...T_T

Selesai sahur, sempat menunaikan 2 rakaat solat sunat sebelum tiba waktu Subuh tadi. Tidak dapat menahan air mata ketika merasakan betapa kerdilnya diri dalam pandangan Allah.

Sungguh. Kita hamba dan Dia Pencipta.

Apatah lagi sempat semalam melihat video 'tribute cinta untuk Ustaz Dahlan' susunan saudara Syah dan video arwahyarhamha Jannah Sani hadiah khas daripada sahabat-sahabat Kolej Mara Banting beliau. Terasa sungguh nyawa di pangkal kerongkong. Bila-bila masa sahaja akan diambil pulang.

Namun persoalannya, seni kematian yang bagaimana mahu kita ambil?

Yang biasa-biasa atau yang luar biasa?

Semoga Allah mentsabatkan hati-hati kita dalam kehidupan yang memilih dunia sebagai penjara. Bukan mudah. Benar. Bukan mudah.

Tapi tidak mahukah kita nikmat syurga yang kekal?

Saya pilih susah.

Alhamdulillah, saya selamat tiba semula di bumi Urdun ini pada 16 sept yang lalu setelah melalui pelbagai masalah yang hampir sahaja membuatkan saya tewas .

Walaupun berat untuk memilih, namun yang menguatkan saya adalah keyakinan bahawa jalan yang susah ini sahajalah yang membuatkan saya terlalu mudah bangun malam dan menangis dengan Allah.

Kepayahan, kesusahan, ujian yang bersamanya rindu, takut, risau dan sedih mendekatkan saya lebih kepada yang Maha Mendengar.

Meninggalkan ibu keseorangan bersama doa kesejahteraan dan tawakkal. Perbelanjaan yang mahal bersamanya ibrah penjimataan. Bahasa 'ammi yang lebih menguasai sehingga memeningkan. Dan segala kesukaran yang lain yang mematangkan.

Sungguh. Semoga Allah menguatkan.

Doakan saya teman..


*menghargai setiap detik kenangan di Malaysia..

*mak, doakan hasna'.. banyak-banyak..T_T

Saturday, September 18, 2010

Maaf..

Maaf lantaran lama menyepi. Kesibukan Ramadhan, Syawal yang dipenuhi ziarah dan kini, kesuntukan waktu dengan persiapan tahun baru yang hanya akan bermula tidak lama lagi iaitu esok pagi. Semoga Allah redha..

Buat masa ini, saya mungkin tidak berpeluang untuk berkongsi cerita apa-apa. insyaAllah jika berkelapangan, saya akan berusaha untuk menulis semula..

Doakan saya teman..