Wednesday, July 14, 2010

Hamba kepada Allah

Zuberto juga 'seekor' hamba..betul tak?

Tadi maghrib, semasa sedang berbuka puasa, radio IKIM meng'udara'kan slot ulangan pengisian pagi bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Abu Saif). Tajuk perkongsian adalah tentang 'menjadi hamba Allah'. Tampak ringkas malah memang penyampaiannya pendek. Namun saya kira isinya cukup dalam.

Sedarkan diri bahawa kita cuma hamba Allah

Ada 3 kisah ajaib yang membuatkan saya sebak dan menitiskan air mata. Kisah agung dari peribadi manusia-manusia terdahulu yang tidak hidup di zaman Rasulullah s.a.w. namun menzahirkan akhlak ikutan sesungguh-sungguhnya.

Kisah 1

Ketika Sultan Muhammad alFateh berjaya menawan Konstatinople, beliau segera ketemu murabbi cintanya (tak ingat nama sheikh tu) untuk mengkhabarkan berita kemenangan tersebut. Semasa menapak ke dalam balai di mana murabbinya duduk, sheikh tersebut langsung tidak bangun mera'I kedatangan Sultan Muhammad alFateh malah membiarkan sahaja Sultan berjalan menghampirinya.

Sheikh tersebut berkata kepada Sultan Muhammad alFateh,"Hari ini, ketika semua manusia memandangkan engkau sebagai panglima yang berjaya dengan hebatnya, aku sengaja memilih untuk menjadi manusia satu-satunya memperingatkanmu bahawa engkau masih seorang hamba kepada Allah".

Sungguh. Itu natijah bersahabat kerana Allah. Tidak akan sesekali dia melupakan kita pada Allah.

Kisah 2

Sultan selepas sultan Muhammad alFateh adalah Sultan Salim yang dilihat dalam lukisan gambarnya memakai anting-anting. Apakah anting-anting tersebut bukti kemewahan khalifah kerajaan Islam?

Bukan. Tidak sama sekali. Malah anting-anting itu bukti dia seorang hamba. Hamba kepada Allah, pemilik kerajaan langit dan bumi.

Hal ini kerana, ketika kerajaan Uthmaniyyah memerintah, banduan-banduan perang yang menjadi hamba akan dipakaikan dengan anting-anting (tanda) sebagai pembeza kepada manusia-manusia merdeka yang lain.

Lalu seorang khalifah kepada tanah jajahan yang luas meliputi 2/3 dunia memilih untuk berada bersama-sama mereka. Bersama menjadi hamba, memakai anting-anting (tanda) hamba agar dia selalu sedar bahawa dia cuma hamba kepada Sang Penguasa.

MasyaAllah. Pilihan yang benar-benar membezakan antara kita dan mereka.

Kisah 3

Sultan Ahmed yang membina Masjid Biru di Istanbul meminta agar pekerja binaan menambah tiang kayu tambahan di jalan masuk menghadap masjid.

Tiang tersebut dibina sedikit rendah. Apakah tujuannya? Sultan Ahmed mahu agar setiap kali dia mahu memasuki gerbang Masjid Biru itu dengan kuda gagahnya, dia perlu menundukkan kepalanya untuk melepasi tiang tersebut sekaligus membuatkan dia masuk menghadap Allah dengan kerendahan hati dan kesedaran bahawa dia cuma hamba kepada Allah.

Sungguh. Kita benar-benar cuma hamba. Namun setakat mana kesedaran kita bahawa kita hanya seorang hamba?

Serahkan hidup untuk Allah, itu kekuatan kita.

Kenapa kita perlu menyerahkan seluruh ketaatan dalam menempuh kehidupan hanya kepada Allah? Kenapa kita tidak boleh meletakkan pengharapan kepada diri sendiri tanpa hubungan dengan Allah?

Kerana meletakkan Allah sebagai kekuatan pengharapan, matlamat ganjaran dan tujuan dalam bekerja memberi kita satu kekuatan untuk tidak lemah.

Contoh.

Seorang maharaja bagi sebuah kerajaan hebat telah menghantar utusan ke suatu tempat atas beberapa urusan. Namun di tengah jalan, utusan tersebut dirompak. Dia berkata kepada perompak tersebut, "aku hebat dalam bertarung. Aku ada tali pinggang hitam". Apa jawapan perompak tersebut? "ada aku peduli?". Lantas utusan tersebut diperangi dan tewas terbunuh.

Kemudian maharaja tersebut menghantar utusan kedua. Seperti tadi, dia juga ditahan di pertengahan jalannya. Namun kali ini utusan tersebut berkata dalam nada yang berbeza dengan utusan pertama."aku adalah utusan dari maharaja sekian-sekian". Mendengar nama maharaja yang agung, siapa tidak takut? Kali ini, utusan tersebut dilepas pergi.

Begitu juga dengan realiti kita. Jika hanya meletakkan kekuatan atas diri sendiri yang cuma hamba ciptaan, akan lahir keputus asaan lantaran letih menempuh dunia yang dahsyat. Namun, bilamana kita sedar bahawa kita hamba yang punya Pemilik sebagai sumber kekuatan, sebagai tempat bergantung harap dan sebagai matlamat tujuan pekerjaan, lantas kita akan sedar bahawa hidup ini tidak sia-sia dan ada nilaian akhirnya.

Sungguh. Allah tidak langsung memerlukan kita. Namun kitalah yang pantas memerlukan Allah, Pencipta dan Penguasa kehidupan.

Lalu teman, ayuh menjadi hamba. Bergerak menjadi hamba. Bekerja menjadi hamba.

Ramadhan bulan menguatkan kehambaan.

Ramadhan semakin hampir. Tinggal lagi sebulan Ramadhan akan menjengah lagi. Seorang mukmin yang sebenar harus menyambut dan ternanti-nantikan Ramadhan melebihi masyarakat biasa menyambut dan ternanti-nantikan Syawal.

Sungguh. Semoga kita sempat berada dalam Ramadhan kali ini dan meraih nilai taqwa natijah madrasahnya, amen.

Semoga Allah redha..

*minta maaf kerana lama berhenti menulis. Masalah teknikal yang mengganggu.

No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.