Thursday, July 29, 2010

Perantau 2010..


Bagi ahli-ahli HaluanSiswa di seluruh 'dunia' (ayat..), antum dipersilakan untuk menghadirkan diri ke program khas bagi anak-anak perantau sama ada sudah ke luar negara atau masih dalam persediaan.

InsyaAllah, program ilmiah yang baik untuk persediaan hati, rohani dan fikri sebelum kaki menjejak ke bumi asing.

Benar. Tercampak seorang diri, kita perlu bina Tarbiyah Dzatiyah (kendiri)..namun, apakah Tarbiyah Dzatiyah itu?

Cukupkah sekadar menjaga diri kita daripada melakukan dosa-dosa besar? Ingat, Tarbiyah Dzatiyah itu mesti sehingga mampu menghalang kita dari futur iaitu lesu, tidak bergerak.

Bermakna, TDz tersebut perlu benar-benar dihadam sehingga bisa menolak kita untuk bekerja meski kita tunggal dalam suasana asing. Kerana Islam itu tidak pantas untuk bisu.

Namun, apakah hal tersebut boleh berlaku secara langsung tanpa ada persediaan dan pendedahan? Mari bersama kita bina kefahaman itu..

Semoga Allah redha dengan setiap usaha untuk kita tegar mendekatiNya..ameen.

*pipah...sori2..cerita rehlah tarbawi tak dapat ditulis lagi. ^_^!

Monday, July 26, 2010

Terima kasih Allah..kerana masih menghidupkannya..


ibu yang selalu tampak lebih muda dari usianya..
sampai kadang-kadang orang ingat kakak saya..^_^

Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan diri ini dan yang bakal mencabut kembali denyut nadi ini dalam bentuk berdasarkan ihsanNya. Jika diri ini dirinduiNya, maka roh akan ditarik baik. Namun jika diri ini dibenci (na'uzubillah min zalik ya Rabb) maka kesakitan yang maha dahsyat ketika sakratul maut bakal ditempuh.. Semoga diri yang tiada kekuatan hanya dariNya diterima kamatiannya sebagai pengakhiran yang baik, insyaAllah..

Saya hampir terlupa bahawa 27 Julai sudah datang. Sedang ralit menyusun makalah Ramadhan untuk diedarkan kepada anak-anak MATRI atas cadangan ibu setelah kami melaksanakan misi ini pada tahun 2005. Misi sambutan Ramadhan.

Baru tadi menerima panggilan adik dari bumi Terengganu untuk mengucapkan "Selamat Hari Lahir mak". Langsung saya teringat, usia ibu sudah meningkat ke angka 49. Tinggal satu untuk menjadi bundar 50.

Jawab ibu pada ucapan adik," Kalau Allah kata usia mak hanya 50, Taha..hanya tinggal 1 ja lagi.."

Terus terbit di bibir mata air basah. Cuba ditahan agar tidak nampak oleh ibu.

Ya Allah..Tiada kata yang mampu kulafazkan atas ihsan dan rahmatMu kerana masih meminjamkan ibu buat kami. Sungguh. Tiada kekuatan untuk kami terus menahannya melainkan atas izinMu sahaja Ya Allah. Engkau berkuasa mengambil pinjamanMu ini pada bila-bila masa sekalipun ketika kami belum bersedia kerana Engkau Pemiliknya..seperti mana telah Engkau mengambil hakMu dari kami iaitu ayah.

Lalu untuk itu, aku cuma mahu memohon kekuatan dariMu agar aku terus bisa menjadi anak yang melapangkan dan mendamaikan hatinya. Anak yang selalu bisa memenuhi hajatnya. Anak yang bisa selalu menyahut panggilan jika dia perlukan pertolongan dan bantuan. Anak yang bisa selalu dirasakan damai jika bersama dan dirindui jika berjauhan..

Ya Allah, aku memohon kekuatan hanya semua itu. Kekuatan agar aku terus bisa menjadi anak yang diredhainya. Anak yang selalu menenangkan resahnya. Anak yang bisa menyapu hiba jiwanya selalu. Anak yang bisa mencabut berat tanggungan di bahunya. Anak yang bisa mengubat luka jiwanya..

Ya Allah aku memohon kekuatan untuk menjadi hamba yang solehah agar setiap kehidupanku dihitung sebagai ibadah. Dan doaku diijabahkan sebagai doa anak yang solehah..

Sungguh. Aku hanya mahu agar jika Engkau menjemputnya dulu dariku, hati ini bisa lapang dari kekesalan kerana telah berjaya membuatnya selalu bahagia dengan kelahiranku atas segala kepayahan dan kesengsaraan yang telah dia tanggung hanya untukku, anaknya..

Air mata tidak dapat ditahan dari jatuh. Sungguh. Selalu kusoal pada diri. Apakah aku bisa menjadi ibu yang hebat sepertinya untuk anak-anakku nanti?

Sunday, July 25, 2010

Safar Tarbawi, Rehlah Mahabbah..

Semasa konsert ShouHa. Yang berbaju belang itu, penulis lagu-lagu ShouHa.

Alhamdulillah, pagi tadi sekitar jam 5.30, saya tiba semula di bumi Perlis setelah menyelesaikan safar terakhir saya dari bumi Terengganu. Allah izin, saya telah berjaya menyelesaikan sebahagian misi besar cuti ini iaitu safar ke Johor, Melaka, Kelantan dan Terengganu. Dan insyaAllah, safar ini adalah safar tarbawi yang tidak sia-sia.

Safar ke Johor dan Melaka telah berlalu kira-kira 2 minggu yang lalu. Masih mencari waktu untuk men'post' sesuatu berkenaan perjalanan ini. Tapi rasanya, bukan masa yang menjadi alasan..kemalasan itu.., mungkin.

Dan 5 hari yang lalu, masih seorang diri dengan keselamatan di bawah pemantauan Allah, saya menziarahi sahibah-sahibah di KTD sekaligus bertujuan menyaksikan persembahan Shoutul Harakah yang telah lama saya idamkan.^_^

Kemudian bertolak ke Kuala Terengganu untuk menemui Thalhah di SMKL dengan membawa amanah besar dari ibu sebagai seorang kakak..^_^

Sungguh. Saya belajar banyak dari kedua-dua safar ini. Paling besar ialah, keyakinan bahawa hanya sebagai Allah pelindung dan penjamin keselamatan.

Ramai yang terkejut dan aneh mengenai perjalanan saya seorang diri ke merata-rata tempat. Ya, selatan dan pantai timur tanah air bukan dekat. Dan mendapat keizinan ibu juga bukan mudah.

Namun, daripada itu saya belajar untuk tawakkal hanya pada Allah dan belajar untuk 'survive' menjaga keselamatan sendiri. Sampai bila kita perlu mengharap pada manusia? Kita tidak akan selama-lamanya hidup di bawah jagaan manusia. Belajarlah untuk berdikari dan pastinya sebelum itu, buktikan bahawa kita bisa berdikari.

Titipan saya sebagai seorang anak buat ibu-ibu dan bapa-bapa atau bakal-bakal (^_^), yakinlah bukan kalian yang menjaga keselamatan anak-anak selama ini tetapi hanya Allah. Lalu, jika perlu anak-anak anda keluar dengan jaminan bahawa keluarnya dia bisa membantu untuk lebih memahami Islam sekaligus membantu Islam itu sendiri, maka benarkanlah dia untuk keluar. Usah biarkan anak-anak kalian kaku dan lesu terperuk di ceruk rumah. Sedangkan tenaga dan jiwa mudanya penting untuk masa depan Islam..

Perjalanan safar ini akan saya kongsi detailnya kemudian..

*Ramadhan semakin hampir..bisakah buah taqwa dapat hidup subur jika ditanam di tanah yang serabut? Ayuh, bersihkan hati untuk menyambut Ramadhan datang...

*Rindu dengan safar ini..

Thursday, July 15, 2010

Permintaan..dari seorang kakak.


Di manakah bisa dicari pemuda kahfi?

Saya ada permintaan. Permintaan dari seorang kakak yang kasih pada adiknya dan tidak mahu adiknya berlari lebih jauh dari syara'.

Masalahnya, adik yang saya cinta ini adalah seorang lelaki yang berlawanan perasaan dan hatinya dengan saya, seorang perempuan. Lalu, saya tidak dapat membantunya dengan baik kerana saya tidak benar-benar memahami gelojak jiwa dan naluri lelaki.

Lalu, saya berhajat untuk mendalami pengalaman mana-mana lelaki muslim yang sentiasa berusaha menjaga hati dan perasaannya dari kecundang kepada manusia bergelar wanita. Saya mahu tahu, bagaimana dia menjaga kemas agar tidak tewas kepada cinta manusia.

Kerana seperti yang saya difahamkan, masalah ini merupakan masalah yang paling berat bagi seorang lelaki. Lalu, tidak pantas untuk saya membiarkan satu-satunya adik lelaki saya menjadi lemah dan kecundang kerana saya tidak mahu jiwa pemudanya disia-siakan dan dipalingkan dari memikirkan masalah ummah yang tenggelam kepada nafsu syahwat yang melalaikan.

Sungguh. Hati ini pedih dan bertambah benci kepada sistem jahiliyyah kerana telah meragut ketenangan jiwa-jiwa mukmin untuk sentiasa patuh kepada Allah. Diwarnainya indah percintaan lelaki dan perempuan dan membiarkan setiap dari kita asyik memikirkan tentang itu sehingga terlupa bahawa kerosakan hati kita yang diberi kesedaran bisa menjadi penyebab kepada kemusnahan masyarakat.

Kerana apa?

"Jika da'ie (orang yang diberi kesedaran) sibuk tentang perkara yang wajib, maka masyarakat akan disibukkan dengan perkara yang sunnat. Jika da'ie sibuk dengan perkara yang sunnat, maka masyarakat akan disibukkan dengan perkara yang harus. Jika da'ie sibuk dnegan perkara yang harus, maka masyarakat akan disibukkan dengan perkara yang MAKRUH. Jika da'ie sibuk dengan perkara yang MAKRUH, masyarakat akan disibukkan dengan perkara yang HARAM. JIKA DA'IE SIBUK DENGAN PERKARA YANG HARAM, MASYARAKAT....?"

Na'uzubillah min zalik..

Semoga Allah menjauhkan kita dari menjadi penyebab kepada jauhnya masyarakat pada Allah.

Sungguh. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan hanya datang dari Allah. Semoga Allah selalu membersihkan hati-hati kita agar bisa mengfokuskan dan menyerahkan sepenuh jiwa dan raga kepada ketaatan kepada Allah serta bergerak dalam rangkak mengembalikan masyarakat kepada rasa kehambaan kepada Allah. ameen..

Agak-agak, kalian boleh bantu saya tak untuk menyelamatkan adik saya?

Wednesday, July 14, 2010

Hamba kepada Allah

Zuberto juga 'seekor' hamba..betul tak?

Tadi maghrib, semasa sedang berbuka puasa, radio IKIM meng'udara'kan slot ulangan pengisian pagi bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Abu Saif). Tajuk perkongsian adalah tentang 'menjadi hamba Allah'. Tampak ringkas malah memang penyampaiannya pendek. Namun saya kira isinya cukup dalam.

Sedarkan diri bahawa kita cuma hamba Allah

Ada 3 kisah ajaib yang membuatkan saya sebak dan menitiskan air mata. Kisah agung dari peribadi manusia-manusia terdahulu yang tidak hidup di zaman Rasulullah s.a.w. namun menzahirkan akhlak ikutan sesungguh-sungguhnya.

Kisah 1

Ketika Sultan Muhammad alFateh berjaya menawan Konstatinople, beliau segera ketemu murabbi cintanya (tak ingat nama sheikh tu) untuk mengkhabarkan berita kemenangan tersebut. Semasa menapak ke dalam balai di mana murabbinya duduk, sheikh tersebut langsung tidak bangun mera'I kedatangan Sultan Muhammad alFateh malah membiarkan sahaja Sultan berjalan menghampirinya.

Sheikh tersebut berkata kepada Sultan Muhammad alFateh,"Hari ini, ketika semua manusia memandangkan engkau sebagai panglima yang berjaya dengan hebatnya, aku sengaja memilih untuk menjadi manusia satu-satunya memperingatkanmu bahawa engkau masih seorang hamba kepada Allah".

Sungguh. Itu natijah bersahabat kerana Allah. Tidak akan sesekali dia melupakan kita pada Allah.

Kisah 2

Sultan selepas sultan Muhammad alFateh adalah Sultan Salim yang dilihat dalam lukisan gambarnya memakai anting-anting. Apakah anting-anting tersebut bukti kemewahan khalifah kerajaan Islam?

Bukan. Tidak sama sekali. Malah anting-anting itu bukti dia seorang hamba. Hamba kepada Allah, pemilik kerajaan langit dan bumi.

Hal ini kerana, ketika kerajaan Uthmaniyyah memerintah, banduan-banduan perang yang menjadi hamba akan dipakaikan dengan anting-anting (tanda) sebagai pembeza kepada manusia-manusia merdeka yang lain.

Lalu seorang khalifah kepada tanah jajahan yang luas meliputi 2/3 dunia memilih untuk berada bersama-sama mereka. Bersama menjadi hamba, memakai anting-anting (tanda) hamba agar dia selalu sedar bahawa dia cuma hamba kepada Sang Penguasa.

MasyaAllah. Pilihan yang benar-benar membezakan antara kita dan mereka.

Kisah 3

Sultan Ahmed yang membina Masjid Biru di Istanbul meminta agar pekerja binaan menambah tiang kayu tambahan di jalan masuk menghadap masjid.

Tiang tersebut dibina sedikit rendah. Apakah tujuannya? Sultan Ahmed mahu agar setiap kali dia mahu memasuki gerbang Masjid Biru itu dengan kuda gagahnya, dia perlu menundukkan kepalanya untuk melepasi tiang tersebut sekaligus membuatkan dia masuk menghadap Allah dengan kerendahan hati dan kesedaran bahawa dia cuma hamba kepada Allah.

Sungguh. Kita benar-benar cuma hamba. Namun setakat mana kesedaran kita bahawa kita hanya seorang hamba?

Serahkan hidup untuk Allah, itu kekuatan kita.

Kenapa kita perlu menyerahkan seluruh ketaatan dalam menempuh kehidupan hanya kepada Allah? Kenapa kita tidak boleh meletakkan pengharapan kepada diri sendiri tanpa hubungan dengan Allah?

Kerana meletakkan Allah sebagai kekuatan pengharapan, matlamat ganjaran dan tujuan dalam bekerja memberi kita satu kekuatan untuk tidak lemah.

Contoh.

Seorang maharaja bagi sebuah kerajaan hebat telah menghantar utusan ke suatu tempat atas beberapa urusan. Namun di tengah jalan, utusan tersebut dirompak. Dia berkata kepada perompak tersebut, "aku hebat dalam bertarung. Aku ada tali pinggang hitam". Apa jawapan perompak tersebut? "ada aku peduli?". Lantas utusan tersebut diperangi dan tewas terbunuh.

Kemudian maharaja tersebut menghantar utusan kedua. Seperti tadi, dia juga ditahan di pertengahan jalannya. Namun kali ini utusan tersebut berkata dalam nada yang berbeza dengan utusan pertama."aku adalah utusan dari maharaja sekian-sekian". Mendengar nama maharaja yang agung, siapa tidak takut? Kali ini, utusan tersebut dilepas pergi.

Begitu juga dengan realiti kita. Jika hanya meletakkan kekuatan atas diri sendiri yang cuma hamba ciptaan, akan lahir keputus asaan lantaran letih menempuh dunia yang dahsyat. Namun, bilamana kita sedar bahawa kita hamba yang punya Pemilik sebagai sumber kekuatan, sebagai tempat bergantung harap dan sebagai matlamat tujuan pekerjaan, lantas kita akan sedar bahawa hidup ini tidak sia-sia dan ada nilaian akhirnya.

Sungguh. Allah tidak langsung memerlukan kita. Namun kitalah yang pantas memerlukan Allah, Pencipta dan Penguasa kehidupan.

Lalu teman, ayuh menjadi hamba. Bergerak menjadi hamba. Bekerja menjadi hamba.

Ramadhan bulan menguatkan kehambaan.

Ramadhan semakin hampir. Tinggal lagi sebulan Ramadhan akan menjengah lagi. Seorang mukmin yang sebenar harus menyambut dan ternanti-nantikan Ramadhan melebihi masyarakat biasa menyambut dan ternanti-nantikan Syawal.

Sungguh. Semoga kita sempat berada dalam Ramadhan kali ini dan meraih nilai taqwa natijah madrasahnya, amen.

Semoga Allah redha..

*minta maaf kerana lama berhenti menulis. Masalah teknikal yang mengganggu.

Sunday, July 4, 2010

Redhakah Allah dengan penat ini?

Sungguh. Saya benar-benar letih, penat, tak larat, lembik dan segala jenis perkataan yang punya erti sama.

MATRI baru selesai hari kecemerlangan yang telah berlangsung selama 3 hari bermula Jumaat sehingga hari ini. Dan dalam pada itu, program Reunion senior HQ (angkatan 1-4) berjalan serentak di Semarak Resort Batu Pahat, Perlis.

Hari pertama. Jumaat. 2 Julai 2010. (Hari Koperasi Sekolah).

Majlis bermula jam 9 pagi. Memandangkan ibu telah bertolak ke SMKL (Sekolah Menengah Kampung Laut) bagi menghadiri hari kecermelangan sekolah tersebut yang diadakan serentak, saya terpaksa memilih untuk menumpang di bilik warden malam itu. Persiapan adik-adik yang agak meriah untuk gerai masing-masing dan sembang panjang bersama teman-teman yang datang dari jauh sedikit sebanyak memendekkan waktu tidur.

Hari itu, selaku yang ditugaskan sebagai bahagian disiplin pelajar untuk 3 hari ini, kerja saya memantau disiplin adik-adik lebih-lebih lagi sepanjang majlis rasmi berlangsung di khemah utama.

Sambil itu terlibat dalam membantu cikgu-cikgu bagi persiapan hari kecemerlangan untuk keesokannya.

Petang itu, selesai tugasan dan bersiap, saya, azimah, Fairuz dan Athirah (khassah matri) bergerak ke Batu Pahat sekitar jam 7 petang. Bersama kami, Seha yang baru sampai dari UIA.

Sempat mencium pipi abang yang akan bertolak jam 6.30 pagi hari Sabtu ke UTM Johor bagi menyambung pengajian ijazahnya. Kasihan abang, terpaksa menaiki flight seorang diri tanpa ada keluarga yang menghantar.

Ketika sampai, sahibah-sahibah lain (kak Izzah Za'ba, kak Mal, kak Lal, kak Aisyah Hadi, kak Una. kak Hanisah, kak Aisyah, Ainin, Timah Hani, Bidah, Iman dan Syuhada) sedang bersiap untuk berkumpul di dewan utama. Sebenarnya, program telah bermula semenjak selesai solat Jumaat tadi. Bermakna kami telah terlepas banyak.

Selepas solat, cikgu AB dijemput untuk mengisi slot kuliah Maghrib dan dipengerusikan oleh adik Mukhlis dari angkatan 4. Pengisian yang tanpa jemu mejemput hati-hati kami untuk melutut sebagai hamba kepada Allah.

Antara pengisian cikgu AB:

  • tiada yang terbesar kecuali mencari keredhaan Allah.
  • MESTI istiqamah dalam suasana yang Allah redha.
  • kenapa kita begitu yakin, kita pasti akan hidup lama sehingga dosa-dosa kita rasa terlalu kecil, hanya seperti hinggapan lalat di hidung.
    -menjadi nilaian setakat mana keimanan dan keyakinan kita dengan Allah. -menjadi pembeza antara kita dengan sahabat-sahabat awal. (atTaubah:92)
  • persoalan penting: -setakat mana seriusnya kita terhadap penghayatan dan proses mepertahankan IMAN? -setakat manakita rasa urgensinya Tarbiyah?
  • meletakkan Tarbiyah sebagai tempat pertama dalam hidup adalah JIHAD.
  • "Tarbiyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan Tarbiyah"
  • Kita merasakan kita BETUL tetapi sebenarnya kita ditipu. Tabiyah BUKAN melahirkan ahli falsafah mahupun penyokong yang ramai. TETAPI Tarbiyah MESTI bersamanya tawadhuk, ikhlas dan kerendahan hati.
  • bukan dengan banyak kerja kita dimasukkan ke syurga TETAPI dengan RAHMAT ALLAH.
  • kelemahan bukan alasan untuk kita dimasukkan ke neraka TETAPI KESOMBONGAN kita untuk kembali kepada Allah yang mengheret.
  • manusia tidak akan beriman dengan akidah yang kosong. Kerana itu, perlunya kita pada contoh dan contoh teragung kita adalah seerah kehidupan Rasullah s.a.w. dan para sahabat generasi alQur'an.
Usai menunaikan solat 'isyak, sesi yang berikutnya adalah sharing moment yang dipengerusikan oleh senior Fazril Akmal dari angkatan 1.

Banyak mendengar dan menganalisis pengalaman senior-senior dari pelbagai latar IPT di Malaysia.

Sungguh. Daripada apa yang telah saya perhatikan, rata-rata perkongsian lebih berbentuk keluhan dan luahan keputus asaan. Sepenuhnya saya tidak bersetuju. Kerana tampak jiwa-jiwa yang masih mengharap dan menunggu. Sedangkan kita percaya bahawa "Tarbiyah fi aidikum, fi aidikum faqad". Bak kata kakak, "jangan mengharap. Jangan menunggu."

Lalu, jika kita tercampak di tempat lesu, pantas kita yang harus bangkit menyegarkan. Kerana kita perlu yakin bahawa Tarbiyah itu melahirkan pemimpin dan murabbi. Lalu apakah sikap menunggu itu sikap seorang murabbi?

Dan dalam masa yang sama, dalam menggerakkan DnT, MESTI bersamanya kerendahan hati dan bersangka baik. Jika di atas kita, ada pihak yang sepi, kita perlu menegur secara hormat. Jika kita sedar bahawa dia tidak mampu menggerakkan dan memang telah terbukti, minta izin dengan baik untuk kita hulurkan bantuan bagi menggerakkan amanahnya. Bukan menghentam atau berburuk sangka.

Kerana sikap menunggu dan sikap yang jauh dari kerendahan hati bukan sikap seseorang yang telah melalui proses Tarbiyah Islamiyah Harakiyah.

Teringat kata-kata abu Amir,"potensi antum terlalu besar untuk cuma bermimpi kecil".

Cita-cita kita besar. Cita-cita untuk mengembalikan masyarakat kepada kepatuhan dan ketaatan terhadap Pencipta mereka. Cita-cita untuk melihat Islam menjadi Ustazatul alam. Lalu, tidak pantas kita disekat dengan cuma halangan-halangan kecil, kerana DnT itu ibarat air-air sungai yang mengalir deras yang tidak pantas untuk disekat dnegan batu-batu kecil mahupun besar. Jika tidak dapat mengalir dicelah, air akan memercik tinggi semata unuk lepasi halangan kerana tidak ada yang bisa menahan.

Sungguh. Semoga kita tergolong dalam manusia-manusia yang berjiwa besar dan yang cuma mencintai Allah serta merindui syurgaNya.

Hari kedua. Sabtu. 3 Julai 2010. (Hari Kecemerlangan MATRI)
Jam 7 pagi, kami sudah bergerak pulang. Komitmen di bumi wakafan lebih menuntut tinggi kehadiran kami. (Saya, Azimah, Fairuz dan Athirah). Sempat mengikuti sebahagian kuliah subuh oleh Ustaz Syarihan yang merupakan penasihat HASIZU (HaluanSiswa Utara) yang bertajuk Islam vs Realiti". Dipengerusikan oleh saudara Nu'man Afifi.

Antara bicara Ustaz yang sempat diikuti:

  • Islam=tanggungjawab yang bukan untuk membebankan tetapi untuk memuliakan.
  • hadis: Rasulullah bersabda mafhumnya,"kamu pasti akan mengikuti perjalanan orang sebelum kamu. Selangkah demi selangkah. Tanya sahabat, Apakah mereka itu nasrani dan yahudi?. Jawab Rasulullah, siapa lagi.."
  • sistem hari telah mengikuti Yahudi dan nasrani dalam kehidupan dan politik yang berbentuk sekular dll.
  • penyakit ummat ISLAM: WAHN iaitu CINTA DUNIA dan TAKUT MATI. -takut mati kerana takut berpisah dengan dunia. -takut untuk menghadapi dosa yang banyak dilakukan. -penyakit yang tidak menakutkan kuffar bahkan menjadi mainan oleh yahudi dan nasrani.
  • sikap yang cenderung kepada mengikuti yahudi dan nasrani: 1-sikap terhadap deen. -sekular. Menjadikan agama cuma di tempat-tempat ibadah. Bermula dari penjajahan.
Hanya itu yang sempat kami ikuti.

Hari itu, adalah hari yang paling memenatkan. Dicampur dengan tidur yang kurang akibat gangguan nyamuk di Semarak Resort, saya benar-benar keletihan di kemudian malamnya.

Seperti semalam, saya perlu memantau didsplin pelajar ketika paginya lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya majlis rasmi. Dalam masa yang sama, menjadi penyambut tetamu bagi makcik-makcik selaku ibu-ibu anak didik MATRI.

Di sebelah petang, bermula jam 2.30 sehingga 5 , saya diminta oleh ibu menggantikan beliau dalam majlis perjumpaan ibubapa dengan guru-guru memandangkan ibu mengajar subjek Kemahiran Hidup bagi tingkatan 3. Silih berganti ibu bapa mengambil tempat bertanyakan hal anak-anak mereka.

Menjawab sekadar yang saya tahu, berkongsi cerita pengalaman, sedikit nasihat untuk anak murid yang duduk bersama, bermesra dengan ibubapa, dan melayan soalan ibubapa berkenaan diri dan pelajaran membuatkan saya perlu sentiasa senyum dan bersemangat. Alhamdulillah, Allah telah melapangkan dan memudahkan setiap urusan.

Tidak termasuk melayan karenah anak-anak murid yang suka menyekat di tengah jalan. Terpaksa melayan karenah mereka yang comel dan kanak-kanak itu. Sehingga bilang Izzah dan Wahida, "hasna' ni banyak benar sekatan jalan rayanya".

Pada jam yang sama, 7 petang, kami bergerak ke tempat program. Agak menyedihkan kerana malam itu tiada pengisian. Cuma aktiviti BBQ dan tayangan sempena 5 tahun senior HQ.

Sementara menyiapkan persiapan BBQ, saya sempat berkongsi berkenaan pengalaman menggerakkan proses Tarbiyah di Jordan atas permintaan sahibah-sahibah. Sejujurnya, saya tidak layak untuk berkongsi kerana saya masih belajar untuk bertatih perlahan.

Sekadar berkongsi kefahaman dan kesedaran yang mendorong keras untuk saya bergerak. Kerana pada saya, saya bergerak bukan untuk melihat Tarbiyah itu berjalan, tetapi kerana saya sedar betapa pentingnya Tarbiyah untuk iman saya. Lalu, tidak pantas rasanya jika saya hanya menunggu dan meminta kerana saya tahu bahawa syurga itu harus direbut bukan untuk diharap tanpa usaha. Dan saya nampak Tarbiyah itu adalah jalan pintas untuk meraih syurga Allah.

Selesai makan-makan, tayangan yang disediakan oleh saudara Nu'man Afifi dipertontonkan. Dimulai oleh titipan cikgu Z yang penuh himmah dan peringatan. Kemudian diikuti oleh perkongsian-perkongsian oleh ahli-ahli HQ dan senior HQ sendiri.

Sebelum merehatkan badan yang sememangnya sudah tidak tertahan lagi, sempat berkongsi cerita dengan junior-junior yang dirindui, Syahirah, Basyirah R dan Fatinah yang kini masing-masing sudah menapak di IPT.

Hari Ketiga. Ahad. 4 Julai 2010. (Pelancaran Karya Tulisan Hilal Asyraf)

Memandangkan pagi itu tiada pengisian selepas subuh kerana diganti oleh riadhah terancang, kami bertolak pulang lebih awal.

Majlis bermula pada jam 10 pagi. Masih dengan amanah yang sama.

Pada majlis itu, sejujurnya saya mengalirkan air mata mendengar bicara senior Hilal yang benar-benar membuatkan jiwa ini sebak meskipun saya bukan murabbi di situ. Setiap titipannya pasti bisa membuatkan murabbi-murabbi mithali MATRI terharu dan tersentuh, kerana setiap kejayaannya dipulangkan kepada murabbi sebagai hadiah qudwah hasanah selama ini.

Selesai sesi ucapan senior Hilal, Sir Abdoh selaku ketua bahagian pentadbiran MATRI dijemput berucap. Sungguh. Semoga Allah menguatkan Sir untuk terus bekerja. Kata-kata semangat Sir tidak pernah berubah. Harapan Sir untuk melahirkan generasi yang soleh dan mosleh tidak pernah malap. Malah lebih menyala-nyala di hujung usia beliau.

"Kita mahu melahirkan pemimpin-pemimpin Islam, bukan sahaja pemimpin negara ini bahkan pemimpin dunia!".

"jadikan hidup kita ini mihrab. Seluruh kehidupan kita adalah 'ubudiah kepada Allah"

Selesai majlis rasmi tersebut, saya bergerak membantu bahagian hidangan mengemas peralatan dan tempat tetamu-tetamu VIP menjamu selera.

Usai mengemas pada jam 1.30 petang, bergegas bersiap untuk menghantar Izzah ke bus station di Kangar. Kemudian pulang ke rumah, mula menjalankan semula tanggungjawab mengemas dan bersiap untuk memulakan hari persekolahan pada esok hari, insyaAllah..

-semoga Allah redha dengan kepenatan ini, ameen.
-hu~amanah masih tidak dapat terlaksana kerana beberapa hal yang menyekat. Semoga Allah memudahkan..ameen.