Wednesday, April 22, 2009

Kasih Allah


Saya selalu mengeluh mengenai kerja-kerja yang harus saya lakukan. Saya rasa penat. Dan saya teringin untuk merasai cuti yang teman-teman saya peroleh sepanjang kami digelar pelajar lepasan SPM.
Dan Allah izin, hujung minggu yang lalu, saya telah melalui sepanjang 3 hari yang melalaikan dan penuh sia-sia. Masa saya dihabiskan untuk sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat langsung untuk akhirat saya malah boleh menjerumus saya ke kancah angan-angan yang membahayakan iman.
Saya telah melalui hari-hari yang saya rasakan sungguh bodoh. Iman saya tiada penawar. Semakin hari semakin lemah. Saya payah untuk khusyu' dalam ibadah. Hati saya semakin sakit. Nafsu pula yang bersuka ria.
Maha suci Allah yang di tanganNya segala kekuasaan. Sejujurnya, saya telah mengharungi hari-hari yang sangat memalukan. Saya malu dengan Allah. Baru sahaja diuji dengan waktu yang sedikit cuma saya sudah kecundang. Apakah yang akan saya jawap di hadapanNya nanti? Saya rasa terlalu kecewa.

Cuma satu yang menguatkan saya bahawa saya adalah remaja dan ini ujiannya. Ujian cinta kepada dunia yang suka-suka, ujian untuk berlawan dengan angan-angan dan ujian melawan nafsu yang suka kepada sesuatu yang tidak pasti. Saya harus kuat. Muslim yang hebat bukan muslim yang tidak pernah silap tetapi muslim yang bangkit daripada kesilapannya. Saya pegang itu.
Ibu pernah menyampaikan dalam halaqah keluarga, bahawa Allah benci orang yang melakukan maksiat tetapi Allah paling benci orang tua yang melakukan maksiat manakala Allah cinta kepada orang yang selalu bertaubat tetapi Allah cinta dan paling kasih kepada pemuda yang selalu bertaubat.
Kerana Allah ciptakan usia remaja penuh dengan cabaran dan dugaan. Justeru, Allah selalu menanti dan sabar menunggu tangisan dan bicara rindu pemuda-pemuda yang cintakan Allah dan takutkan api nerakaNya. Bukankah Allah itu Maha mendengar?

Ayuh sahabat. Kita pulang kepada fitrah iaitu mencintai Allah dan dicintai Allah!