Thursday, April 9, 2015

Warkah Bonda 3

Segala puji selayaknya dipuja semata kepada Allah, Pemilik, Pencipta, Sang Pengatur dan Penguasa Alam buana jua diri kita yang Maha kerdil ini.

Tiada kata terucap yang layak untuk menggambarkan berapa bersyukurnya bonda saat tangan ini menjentik huruf membentuk kalimat. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Maha suci Allah dengan segala kepujianNya, Maha suci Allah dengan segala keagunganNya.

Mujahid kecil belahan hati baba bonda,

Tepat jam 4.45 pagi 9 Mac yang lalu, anak selamat dilahirkan dengan izin dan kekuatan semata dari Allah. Tidak tergambar kegembiraan hati kami berdua dalam menyambut kelahiranmu anak, umpama menadah rezeki yang turun mencurah-curah dari langit.

Hari itu adalah hari yang akan sentiasa melekat dekat dalam ingatkn kami. Hari yang ditunggu-tunggu untuk kami melihat wajah anak pertama bukti cinta baba dan bonda yang selama ini hanya didengar detik jantung dan dirasai tendangan gerak gerinya di dalam perut sahaja.



Fayyadh dan teita
2nd days



                                                 2nd days

Anak bonda yang penuh cinta,

Tengah hari 8 Mac itu, bonda masih sempat menghadiri kenduri anak sepupu teita sebagai wakil. Memandu seorang diri tanpa merasakan bahawa hari itulah harinya. =D





lucu. whatsapp dalam grooup family sebelum saya hubungi kakak.

Pulang dari kenduri, ketika ingin bersiap solat zohor, bonda perasan discharge berwarna koko. Terus menunaikan solat tanpa terfikirkan apa-apa selepas menyalin apa yang perlu. Kemudian, dalam jam 3 lebih, sekali lagi bonda perasan discharge berwarna koko. Memandangkan baba sibuk dan jarang melihat handphone di dalam ward, bonda cuba menghubungi mak ngah yam melalui whatsapp.

"Cepat pergi hospital! Itu tandalah tu! haish kamu ni..". Mak ngah Yam berleter panjang tambah kekalutan apabila baba pada awalnya tidak dapat dihubungi. Mujur akhirnya baba dapat pulang mengambil bonda, kalau tidak memang bonda teringat untuk drive terus ke hospital sendiri. hehe.

Setiba di bahagian Wad Bersalin, agak terkejut apabila menjalani Vaginal Examination kerana bukaan telah 4 cm. Terus diminta doktor untuk menyalin pakaian dan bersedia ditolak ke Labour Room. Tetapi nampaknya LR penuh dan bonda diminta untuk menunggu di ruang menunggu. Baba sempat ke wad semula untuk meneruskan kerja yang tertangguh.

Hampir 5 jam menunggu, akhirnya bonda ditolak baba ke LR yang disediakan. Sempat sebelum itu berjumpa teita, tok mak dan tok abah yang telah sampai dari Perlis dan Perak. Bonda masih boleh gelak-gelak dan ceria seperti biasa sebab seriously kesakitan belum dirasai. =D

Doktor pelatih yang datang membuat Vaginal Examination di LR turut memuji apabila melihat bonda ceria dan 'cool'. (Padahal nanti macam hape je. haha)

Menghampiri jam 12 malam, air ketumban dipecahkan. Mula berdenyut. Selepas itu bermulalah episod yang mengerikan.

Mujahid kecil bakal tuaian bonda baba,

Allah.. Tidak tergambar betapa sakitnya setiap kali contraction menyerang. Bagai ada yang menikam-nikam, menghiris-hiris, menyalar-nyalar dan menujah-tujah perut bonda. Dalam hati terluah, "alangkah baiknya jika saat ini aku mati..". Air mata merambu-rambu tidak tertahan.

Allah...Allah.. Allah..

Hanya itu yang dilafaz penuh harap kerna bonda yakin, hanya Allah yang Maha Tahu kepedihan yang sedang dilalui ini. Baba yang menemani di sisi turut melafaz sama sambil melehkan air mata. Ada ketika baba mengalunkan bacaan alQuran dekat untuk menenangkan.

Sungguh. Cinta baba yang menemanilah menjadi kekuatan. Melihat baba yang tetap tersenyum meski menjadi mangsa bonda untuk melampiaskan kesakitan dengan menarik rambut dan baju baba, mencubit lengan baba dan pelbagai lagi, membuahkan rasa bahagia yang tidak terucap.

Kebahagiaan yang teramat lantaran belahan hati ada bersama ketika suka dan perit. Sungguh, itulah suatu kebahagiaan dan kepuasan seorang isteri. =')



Fayyadh dan baba.
26th days

Ketika meneren untuk mengeluarkan anak ke dunia, kesakitan usah dikata, malah bonda menjadi sangat letih. Terlalu. Hinggakan terdetik di dalam hati bahawa itulah saat akhir bonda. Bagai hanya menantikan malaikat maut datang mencabut nyawa.

Sekali lagi cinta baba menjadi kekuatan dengan izin Allah. Melihat baba menangis sungguh-sungguh di tepi sambil memberikan kata-kata semangat yang tidak putus-putus membuatkan kekuatan itu teresap meski sebenarnya sudah kontang gersang.

"anak kita sayang..! abang dah nampak kepala anak kita sayang..! sayang boleh..! hasna' boleh sayang..! sikit lagi sayang..! sikit lagi..!".

Esak tangis baba saat itu bagai masih tergiang-giang. Dan Allah menjadi saksi wahai anak, di Labour Room itu bonda jatuh cinta buat kesekian kalinya. Dalam lemah, bonda melihat wajah merah baba yang berlinangan dengan hati yang berbunga penuh cinta.

Dan tepat jam 4.46 pagi, anak selamat dilahirkan. Lembik. Bonda bagai lumpuh tidak terdaya. Saat doktor meletakkan anak di dada bonda, seakan-akan dunia terhenti sejenak dan umpamanya bonda di dalam mimpi.

Allah..

Anak yang masih berlumuran darah inilah anak yang selama ini bonda usap dan berbual di balik perut boyot. Maha Suci Allah yang Maha Agung. Maha Suci Allah yang Maha Baik.



Fayyadh waktu kena tahan kuning
5th days.




Fayyadh dah sihat Alhamdulillah!
6th days.




Fayyadh selepas dicukur dan baba waktu baby.

Mujahid kecil buah hati kami,

Kami sepakat menamakan anak, Fayyadh Tilmisaniy Bin Afiq Fawwaz, dengan harapan agar anak menghargai dan mencontohi ulama' haraki Umar Tilmisaniy, Mursyidul 3am IM ke-2 yang kita kasihi.



27th days



13th days

Dan hari ini, Fayyadh telah mencapai usia sebulan. 30 hari sudah Fayyadh menjadi hamba Allah yang menghirup udara Allah dan berada di atas bumi Allah. Semoga Fayyadh membesar dewasa menjadi hamba Allah yang musleh, yang mencintai kebaikan dan ketaqwaan serta membenci kejahatan dan kemaksiatan.

Membesarlah anak dengan keimanan kerna ummah menantikanmu.


Bonda Fayyadh,
9 April 2015
12.13pm.
Rumah kita, Sg Petani.


Nota kaki:

-Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Fayyadh Tilmisaniy selamat dilahirkan pada 3 Mac 2015 dengan berat 3.38 kg ketika usianya tepat 39 minggu di dalam kandungan. =') Doakan semoga anak kecil ini tumbuh membesar dalam keimanan dan syaksiah Islamiyah Kamilah, insyaAllah..



Fayyadh 30th days!
Alhamdulillah!

Thursday, February 26, 2015

Warkah Bonda 2


Salam sejahtera bersamanya rahmah dan barakah dari Allah untuk anak bonda yang kini sudah berusia 37 minggu 3 hari di dalam kandungan.

Semoga Allah terus memeliharamu anak sehingga saatnya anak keluar melihat dunia dan terus menerus di bawah jagaanNya hingga anak dewasa insyaAllah.

Anak bonda yang dicinta,

Menghitung hari untuk bergelar baba dan bonda buat kami berdua adalah debaran yang sedang kami lalui. Melihat pengalaman-pengalaman mereka yang telah dan sedang melalui parentinghood, membuatkan kami selalu menyoal diri, adakah kami telah bersedia?

Bersedia untuk melalui keletihan berjaga malam, menjaga sakit demam, menghadapi karenah, tersenyum dalam lelah dan paling penting, bersediakah kami mendidik dan menjadi qudwah hasanah untukmu anak?

Kerna kelak, anak-anak tidak mengikut apa yang dibicara oleh ibu ayah, tetapi apa yang dilihat mata perlakuan dan tindak tanduk ibu ayah mereka. Semoga Allah melindungi keaiban dan kelemahan kami dan menjadikanmu muslim yang lebih-lebih baik dan berakhlak dari kami insyaAllah.

Anak bonda yang dikasih,


gambar bonda dan makngah yam sewaktu kenduri paklong bai.
3 january. Bayangkanlah sekarang bonda bulat mana. hehe.

Hari-hari bonda kini selalu ditemani sakit-sakit contraction sebagai tanda-tanda awal dalam menyambut kelahiranmu. Saat bonda menaip ini juga, beberapa kali terpaksa ditahan pedihnya bahagian perut dan ke bawah. Tidak terbayang nanti sakitnya contraction sebenar ketika di labour room. 

Kata orang, sakit melahirkan adalah kesakitan kedua selepas sakratul maut. Allahu a3lam. Gusar bercampur takut menghantui.. Doa bonda, semoga Allah permudahkan dan menjadikan kesakitan yang teramat sangat itu nanti sebagai asbab pengampunan dosa-dosa bonda yang terlalu banyak. Biarlah bonda bersih sebelum memulakan hari dalam menggalas amanah menjadi bonda sekaligus madrasah pertama buatmu anak.

=')

Anak bonda penyejuk hati,


baba dan abang dhiya'.
(anak paklong adi)

Malam semalam, baba diberi kesempatan untuk meluangkan waktu duduk-duduk dan sembang-sembang dengan bonda kerana malam kelmarin baba oncall (jadi pulang tengah hari). Bukan selalu dan payah-payah sebenarnya untuk menghabiskan waktu sebegitu dengan baba lantaran baba sibuk berkhidmat di hospital. Jika pun pulang ke rumah, selalunya dalam keletihan yang amat dan terus berehat. (sebab itu, bonda teruja menanti teman bonda si comel ini. ^^)

Kami berbual pelbagai cerita. Antaranya ialah perancangan kewangan keluarga yang memasukkan topik insurans kesihatan dan perkiraan simpanan untuk masa depan.

Sungguh. Bonda benar-benar berasa sebak saat melihat mata baba yang bersemangat. Membayangkan wajah itu yang akan bersama bonda melihat anak-anak membesar dewasa, menempuh jatuh bangun rumahtangga, melalui detik-detik usia dan menemani hingga melangkah ke syurga nanti insyaAllah.

Tidak terbayang jika nanti bonda ditinggal sendiri jika kematian yang menceraikan kami. ='( Menangis.

"Ya Allah, panjangkanlah usia kami dalam keimanan dan berkahilah pernikahan ini hingga ke syurga". Doa bonda sungguh-sungguh dalam diam.

Benarlah pernikahan itu adalah kemuliaan dan kebahagiaan insan di dunia. Ikatan yang kuat, janji dengan Allah yang dipegang utuh. Pernikahan adalah sesuatu yang berat. Kerana itu, selayaknya rejam bagi mereka yang mengkhianati pernikahan yang mulia ini.
Matlamat sesebuah pernikahan ialah menenangkan jiwa manusia. Kerana itu Prof Dr. Yusuf Qardawi dalam fatwanya mengenai poligami menyentuh perihal tersebut.

"Para gerakan Kristian dan orientalis menjadikan topik poligami seakan-akan ia adalah syiar daripada syiar-syiar Islam, ataupun wajib daripada kewajipan-kewajipan Islam, atau sekurang-kurangnya galakan daripada galakan-galakan Islam. Ini adalah sesat lagi menyesatkan. Asal yang mendominasi dalam perkahwinan Muslim ialah BERKAHWIN SATU, yang mana isterinya yang itu menjadi penenang dirinya, pelembut hati, pengurus rumah tangga, tempat menyimpan rahsia. Dengan itu, terbinalah atas keduanya ketenangan, kasih sayang dan kerahmatan yang menjadi teras kehidupan perkahwinan dalam pandangan al-Quran. (Markazul Mar'ah fil hayati Islamiyah, h.118).

Ingatlah itu wahai anak. Kerana itu, kelak nanti anak dewasa, muliakanlah pasanganmu, cintailah dia sepenuh hatimu dan terimalah dia kesemuanya. Jangan pernah mengganggap pernikahan ini sesuatu yang remeh dan tempat untuk menerima layanan sempurna.

Namun begitu perjalanan rumahtangga baba dan bonda masih terlalu muda. Belum teruji dan sungguh, bonda meyakini bahawa ujian Allah mengikut kemampuan hamba-hambaNya. Allah Maha Tahu kelemahan dan kekurangan kami. Justeru bonda berdoa sungguh-sungguh moga Allah terus melimpahi keluarga kita ini dengan mawaddah dan rahmahnya sentiasa insyaAllah.

Anak bonda pengubat duka,

Cukup buat kali ini. Mungkin post yang bakal ditulis kemudian adalah selepas kewujudanmu di alam dunia yang luas ini insyaAllah. =)

Doa bonda, semoga Allah ketemukan kita dalam kesejahteraan dan kesihatan.

Bonda yang menantikanmu hari-hari,

Nurul Hasna' Binti Hazni.
9.20am.
26 Februari 2015.
Rumah kita, Sungai Petani, Kedah.

Monday, January 19, 2015

Wanita dan Islam IV

Islam dan pembelaan wanita tidak pernah terpisah. Islam turun saat wanita tertindas, dibunuh, tidak diiktiraf kemanusiaanya dan dianggap aib keluarga. Islam membebaskan wanita dari belenggu kepercayaan karut bahawa wanita adalah punca dosa nabi Adam a.s. juga adalah jelmaan syaitan seperti apa yang termaktub dalam bible mereka.

Tohmahan penindasan terhadap wanita berlaku apabila muslim yang tidak melaksanakan Islam dengan perlaksanaan yang benar.

Teringat kata-kata Anis Matta, presiden PKS dalam salah satu ucapannya, 
"Haq dan perlaksanaan ke atas haq adalah 2 perkara yang berbeza."

Pembahagian Harta Pusaka.


“Allah mensyari’atkan bagimu tentang (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anakmu, iaitu: bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. Jika anak itu semuanya perempuan dan lebih daripada dua orang, maka bagi mereka dua per tiga daripada harta yang ditinggalkan; dan jika anak perempuan itu hanya seorang, maka ia memperolehi setengah harta. Untuk kedua ibu bapa, bagi masing-masing satu per enam dari harta yang ditinggalkan jika yang meninggal itu mempunyai anak; dan jika yang meninggal tidak mempunyai anak yang mewarisinya hanya kedua ibu bapa, maka ibunya mendapat satu per tiga. Jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat satu per enam. Pembahagian tersebut sesudah ditunaikan wasiat yang dibuatnya atau sesudah dibayarkan hutangnya. Tentang orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfa’atnya bagi mu. Ini adalah ketetapan daripada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (Al Nisa: 11)


Dalam ayat ini, lelaki disebut sebagai 'zakar' dan wanita sebagai 'unsa'. Persoalan yang sering ditimbulkan oleh pihak yang mempertikaikan keadilan Islam dalam pembahagian harta pusaka ialah,

Mengapa lelaki memperolehi 2 bahagian wanita?
Adakah zakar yang dimaksudkan adalah 'peranan lelaki'? Bermakna jika wanita itu memegang peranan sebagai seorang lelaki dalam keluarganya, maka dia memperolehi sama seperti lelaki?

Situasi yang Diberikan.

Sepasang suami isteri telah meninggal dunia dan meninggalkan 4 orang anak. Anak lelaki yang sulung, A adalah abang yang tidak bertanggungjawab. Tidak pernah pulang ke rumah dan langsung tidak memperdullikan adik-adiknya. Kaki mabuk dan penganggur. Manakala anak perempuan sulung (anak ke-2), B adalah seorang kakak yang sangat baik dan dialah yang memikul segala amanah membesarkan 2 orang adik di bawahnya. Mencari nafkah, menyediakan tempat tinggal dan menjadi tempat teduhan mereka dalam kasih sayang.


Persoalannya: Logik akal, adakah adil A mendapat 2 bahagian sedangkan B yang menanggung segala keperluan keluarga hanya mendapat 1 bahagian?

Jawapan: Tanggungjawab Selamanya Dipertanggungjawabkan.


Lelaki memang mendapat 2 bahagian dari wanita kerana maksud dari kelebihan itu adalah tanggungjawabnya dalam menanggung keperluan saudara perempuannya.

Menurut Sheikh Muhammad Ali asSyabouni (Pembahagian Waris Menurut Islam), antara hikmah lebihan lelaki terhadap wanita ialah:

  1. Kaum wanita selalu harus terpenuhi kebutuhan dan keperluannya, dan dalam hal nafkahnya kaum wanita wajib diberi oleh ayahnya, saudara laki-lakinya, anaknya, atau siapa saja yang mampu di antara kaum laki-laki kerabatnya.
  2. Kaum wanita tidak diwajibkan memberi nafkah kepada siapa pun di dunia ini. Sebaliknya, kaum lelakilah yang mempunyai kewajiban untuk memberi nafkah kepada keluarga dan kerabatnya, serta siapa saja yang diwajibkan atasnya untuk memberi nafkah dari kerabatnya.
  3. Nafkah (pengeluaran) kaum laki-laki jauh lebih besar dibandingkan kaum wanita. Dengan demikian, kebutuhan kaum laki-laki untuk mendapatkan dan memiliki harta jauh lebih besar dan banyak dibandingkan kaum wanita.
  4. Kaum laki-laki diwajibkan untuk membayar mahar kepada istrinya, menyediakan tempat tinggal baginya, memberinya makan, minum, dan sandang. Dan ketika telah dikaruniai anak, ia berkewajiban untuk memberinya sandang, pangan, dan papan.
  5. Kebutuhan pendidikan anak, pengobatan jika anak sakit (termasuk istri) dan lainnya, seluruhnya dibebankan hanya pada pundak kaum laki-laki. Sementara kaum wanita tidaklah demikian.
                                           ..................................

Bagaimana jika lelaki itu tidak bertanggungjawab?

Maka, harta warisan yang diperolehi oleh lelaki terbabit wajib dipegang oleh wali hakim anak-anak yang ditinggalkan. Dalam situasi sekarang, wali mereka ialah wali hakim mahkamah syariah yang mungkin boleh mengamanahkan kepada badan berkanun seperti Amanah Raya Berhad.

Bermakna, wanita atau kakak B , tetap memperolehi hanya 1 bahagian. Tetapi segala keperluan mereka (3 orang adik beradik perempuan B, C dan D) diambil dari bahagian abang A yang dipegang oleh wali hakim.

Dan jika abang A telah insaf, maka bahagiannya dipulangkan dan dia wajib meneruskan peranannya dalam menanggung keperluan keluarga.

Islam tidak menukar 1 bahagian kakak B kepada 2 bahagian kerana Islam tidak sama sekali membebankan wanita dengan tanggungjawab sebagai penyara keluarga. Tanggungjawab adalah kewajipan. Wanita tetap selamanya dimuliakan sebagai pihak yang perlu ditanggung nafkahnya. Wang dan simpanannya adalah milik peribadinya semata. Pihak yang wajib menyediakan nafkah bagi wanita tetap selamanya adalah lelaki sama ada ayah, suami, saudara lelaki, bapa saudara dan sebagainya.

Sungguh. Mulianya dan mudahnya menjadi wanita dalam Islam.

(Rujukan: Prof Dr Zakaria Khudoh, pensyarah Yarmouk Universiti, Jordan. Kepakaran dalam maqasid syariah)

Islam Bukan Tampalan Bangunan Jahiliyah Yang Rosak.




Islam adalam sistem hidup yang sempurna. Namun yang pasti, Islam bukanlah sekadar penampal kepada kerosakan akar umbi jahiliyyah.

Perundangan Islam akan kelihatan mustahil dan tidak adil jika diaplikasikan sebagai perundangan dalam sistem kehidupan jahiliyyah.

Sebagai contoh hudud. Dalam realiti hari ini, pemimpin zalim yang menindas, ekonomi yang jatuh akibat keborosan orang atasan yang rasuah, penggangguran yang berleluasa, hiburan yang melampau, kebebasan pergaulan, media yang dipenuhi dengan unsur seks, jalan ke arah zina terbuka mudah, anak-anak terbiar dek kesibukan ibubapa yang terhimpit dengan desakan mencari wang, agamawan bertelagah sehingga menjauhkan masyarakat dari melihat keindahan Islam dan 1001 lagi kecacatan jahiliyyah yang menakutkan telah merosakkan masyarakat dengan sangat dahsyat.

Benarlah sangkaan dan kata-kata bahawa jika dilaksanakan hudud di Malaysia hari ini, maka ribuan akan mati direjam dan ribuan jugalah yang akan dikudung tangan mereka. Benar. Sekiranya hukuman Islam yang keras dilaksanakan dalam kedahsyatan ini.


Hakikatnya Allah menurunkan perundangan hudud bukan untuk membenci dengan sewenang-wenangnya direjam, dipancung dan dipotong tangan hamba-hambaNya.

Perlaksanaan hudud mestilah dilakukan dalam keadaan masyarakat ketika itu mengamalkan keharmonian Islam. Kerajaan adil yang amanah terhadap urusan rakyat, ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam, media yang terpelihara dari kemaksiatan, kebajikan manusia terpelihara sehingga tiada lagi alasan untuk berlakunya jenayah mencuri, berzina, membunuh orang tanpa sebab dan sebagainya.

Ketika itu, saksikanlah betapa sedikitnya angka perlaksanaan hukuman hudud dan orang yang dijatuhkan hukuman tersebut juga benar-benar layak untuk dihukum.


Itu tidak termasuk syarat perlaksanaan hudud iaitu tiada kasta yang memberi keistimewaan pengecualian kepada mana-mana pihak seperti kezaliman yang berlaku di Arab Saudi di mana raja dan kerabatnya haram disentuh. Malah bangsa arab lebih dimuliakan dari bangsa luar apatah lagi jika dia seorang amah. Maka rasuah dan kezaliman yang gila terus menerus subur menghalakan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Berbalik kepada sistem pembahagian harta warisan menurut Islam. Banyak feminist yang mempertikaikan kelebihan lelaki dalam agihan ini apabila lelaki diberi 2 bahagian dan wanita cuma satu.

Juga dalam sesetengah keadaan yang mana apabila si mati tiada waris lelaki, maka saudara lelaki si mati iaitu bapa saudara waris perempuan akan memperolehi bahagiannya dalam agihan ini.

Logik akal, dalam situasi masyarakat yang pincang dan ahli keluarga yang tidak bertanggungjawab, apabila masing-masing mendapat bahagian masing-masing, maka hidup terus menjadi sendiri-sendiri.

Ada kejadian, waris perempuan ditinggal terkontang kanting meneruskan kehidupan dan terpaksa bekerja keras mencari nafkah bagi menampung keperluan harian akibat waris lelaki meninggalkan mereka terus.

Dalam situasi beginilah, jelas ketidakadilan yang berlaku dan hasilnya orang melihat bahawa ketidakadilan itu datang dari Islam.

Sedangkan Islam sudah cukup adil. Dan dalam situasi berikutlah, peranan wali hakim sangat penting bagi membela sebarang penindasan yang berlaku.

Hari ini masyarakat sudah nampak peranan wali hakim dalam urusan pernikahan, mempermudahkan pengantin wanita yang ketiadaan wali. Maka dalam urusan pembelaan nafkah waris wanita dari sikap tidak bertanggungjawab waris lelaki, lebih-lebih lagilah wajib digencarkan peranan mereka.

Penutup: Islam Itu Adalah Hikmah.


Manusia mudah melihat Islam di sudut literally. Jika disebut bunuhlah kuffar, maka yang dilihat adalah membunuh orang-orang yang tidak beriman seperti tindakan ISIS tanpa berfikir jauh. Jika disebut keharusan berpoligami, maka yang dilihat adalah 'mesti' mencukupkan korum 4 itu tanpa melihat maqasid pensyariatannya sehingga banyaklah cerita-cerita penindasan isteri oleh suami-suami yang bernafsu haiwan.

Sungguh. Islam memang dilihat pada dalil-dalil alQur'an dan Hadisnya. Namun jangan pernah lupa bahawa dalam pensyariatannya, sangat dititik beratkan pemahaman maqasid syariah dan qawaid fiqhiyyah.

Islam adalah agama hikmah. Sedangkan dalam ibadah ada rukhsahnya, apatah lagi dalam muamalah kehidupan yang berhadapan dengan perubahan waktu, suasana, masyarakat dan keadaan. Kerana itu ijtihad boleh berubah mengikut zaman dan situasi.

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan juga bumi, pada pertukaran waktu malam dan juga siang adalah tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir. Mereka ialah manusia yang sentiasa mengingati Allah swt ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Mereka memikirkan pada penciptaan lagit dan bumi (lalu berkata) : Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kamu tidak menciptakan semua ini secara sia-sia, maha suci Engkau maka jauhilah kami daripada azab api neraka.” (Ali Imran: 190-191). 


"untuk menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berfikir." 
(Ghafir: 54)

Benarlah bahawa Iman dan aqal tidak akan pernah terpisah kerana mukmin itu adalah manusia yang berfikir dengan saksama dan bijaksana.

Semoga Allah sentiasa meletakkan kita dalam golongan manusia yang mengimani kehebatanNya dan sentiasa berfikir mengkaji akan kehebatan kebesarananNya itu insyaAllah.

Allahua'lam.