Tuesday, December 23, 2014

Warkah Bonda I

Salam kesejahteraan ke atasmu anak kecil yang dinanti bonda dan baba, moga kamu sihat-sihat sahaja saat ini. 

Usiamu sudah memasuki fatrah minggu ke 29.  Alhamdulillah. Syukur, kamu sudah ditiup ruhnya, dan kamu sudah banyak bergerak. Menendang-nendang, menolak dan berpusing sehingga kadang-kadang perut bonda, kelihatannya senget. 

Senyum. Tidak sabar bonda menunggu untuk mendengar tangisan pertamamu nanti insyaAllah.

Anak bonda yang dikasihi,

Teringat ketika awal-awal fatrah muntah-muntah yang teruk di bulan Ramadhan yang lalu. Baba dan bonda sangka, muntah-muntah akibat silap makan atau angin akibat berpuasa. Lucu apabila teringat bonda disuruh baba mengambil 'eno' dan minuman bercampur halia yang ditumbuk. Juga baba berikan bonda minyak urut dan losyen panas bagi membuang angin di perut.

Senyum. Semua itu kenangan, nak. Apabila diusik paklong adi tentang anak saudara, baru kami mula terfikir kemungkinan tersebut. Baba singgah ke farmasi membeli alat urine pregnancy test senyap-senyap dan penuh debar bonda mengambil ujian tersebut.

MasyaAllah. Line merah kedua jelas kelihatan. "betul ke ni.. macam tak jelas..", komen baba penyedap hati. Lucu. Sedangkan warna sudah jelas, masing-masing masih gemuruh mencari alasan.





Lekas-lekas bonda kongsikan gambar keputusan tersebut bersama makngah yam, dan ucapan "alhamdulillah..! tahniah!", memberi bukti benarlah bacaan tersebut.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah pemilik segala kenikmatan.

Anak bonda yang soleh,


Tidak sangka Alah hadiahkan anak terus selepas bonda tamat sahaja mengambil pil perancang keluarga bagi mengelakkan kandungan dalam fatrah final sem kami berdua.

Kami melakukan perancangan, bukan bermakna kami menolak takdir. Tetapi bonda sangat percaya pada kebijaksaan muslim. Dan yang pasti, hukum mengamalkan perancangan keluarga TIDAK HARAM seperti yang masyarakat risaukan.

Mengamalkan perancangan keluarga tidak sama dengan menggugurkan kandungan. Menggugurkan kandungan adalah selepas proses jadian berlaku tidak kira sebelum atau selepas bayi ditiup roh. Dan perlakuan itu adalah haram KECUALI dalam situasi yang mendapat kepastian doktor yang pakar dengan masalah berikut bahawa jika diteruskan kandungan, maka akan memberi kemudharatan buat si ibu.

Manakala perancangan keluarga adalah ikhtiar awal yang dilakukan bagi mengelakkan sebarang masalah seperti untuk keluarga yang miskin, ibu yang bersalin melalui pembedahan bagi anak sebelumnya, situasi pasangan yang tidak mengizinkan dan sebagainya.


Bonda sedar, bonda tidak mampu untuk berhadapan alahan yang teruk sewaktu belajar. Sedangkan demam pun bonda sudah lembik, inikan pula untuk melalui fatrah muntah-muntah dan tidak lalu makan semasa semester akhir pengajian.

Justeru, selepas merujuk pakar ObGyn dan ahli farmasi, bonda berbincang dengan baba untuk mengamal perancangan keluarga meski cakap-cakap orang, kehamilan pertama jangan dirancang, takut tidak lekat di kemudian hari.

Sebenarnya tidak. Pakar ObGyn juga sahibah yang kita kasihi, Dr Mariam Ahmad memberitahu bahawa hormon dalam pil perancang tidak mengganggu hormon asal seseorang wanita. Jika aturan haid wanita terbabit teratur dan sememangnya subur, maka insyaAllah tidak akan terjejas kesuburan tersebut. Tetapi jika sememangnya tidak teratur dan tidak subur, maka wanita terbabit memang tidak digalakkan mengambil hormon dari pil perancang.

Alhamdulillah keyakinan bonda terbukti. Dan kini, bonda sedang tersenyum melalui hari-hari merasai tendanganmu di dalam perut ini. Syukur.


Anak bonda yang musleh,

Memasuki trimeseter ke-3 ini, perut bonda sudah semakin besar dan beban yang dibawa semakin berat. Tulang belakang selalu rasa sakit dan perut juga sudah selalu dirasai kepedihannya. Duduk bangun sudah payah. Malah untuk sujud juga sudah sukar. Bonda mengambil rukhsah dengan sujud secara menunduk kepala dalam keadaan duduk.

Untuk tidur di waktu malam juga sudah sukar dicari posisi yang selesa. Ditambah kekejangan kaki ketika sedang lena, membuatkan rehat malam tidak seperti dahulu.

Mujur Allah hadiahkan baba yang sangat pengasih dan semoga Allah terus menerus mengasihinya insyaAllah.


Meski baba sibuk menjalani hari-hari letih sebagai doktor pelatih, pulang lewat dan keluar awal, cuma dapat tidur hanya beberapa jam di malam hari, sekaligus itulah waktu rehat baba, namun setiap kali bonda terjaga menangis kekejangan kaki, baba pasti terbangun dan lekas-lekas membantu melakukan urutan sehingga kekejangan hilang.

Maha suci Allah yang menghadiahkan kebaikan buat bonda dengan kehadiran baba yang sangat membuatkan bonda selalu terharu. Sangat terharu.

Sungguh. Bonda senang untuk menceritakan kebaikan baba buatmu anak, agar nanti kamu terus menerus mencintai dan memuliakan baba seperti mana besarnya cinta bonda buat baba.

Anak bonda yang cerdas,




baby google =)

Bonda selalu mendoakan semoga Allah melindungimu dari segala kelemahan, kekurangan dan kemaksiatan bonda juga baba, agar kamu dapat membesar dewasa menjadi muslim yang lebih baik dari kami.

"Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMu" (2:128)

Semoga kelahiranmu dan keberadaanmu nanti menjadikan kami lebih beriman, bertawakkal dan bertaqwa kepada Allah, insyaAllah.

Bonda yang menunggumu penuh cinta,
Nurul Hasna' Hazni
23 Disember 2014
Rumah Kita, Sungai Petani.

Sunday, December 14, 2014

Cerita Kami.

"berkahwin bukan untuk senang. Berkahwin untuk menambah kerja. Dari fikir diri sendiri, kena fikir untuk orang lain. Dari basuh baju untuk seorang, perlu basuh baju untuk 2 orang dan akan bertambah. Dari fikir perut seorang yang ikut suka hati tidak diisi, selepas kawin, perlu teliti menjaga makan minum keluarga. Dari boleh buat hal sendiri selalu, perlu fikir untuk kehidupan orang lain 24 jam 7 hari, sepanjang waktu non-stop..Jangan pernah fikir untuk relax dan rehat bermula menjejakkan kaki ke dalam alam rumahtangga".

Benar.

Itu pesan bonda berulang-ulang kali setiap kali menyentuh perihal pernikahan. Ya, bonda tidak pernah tidak menceritakan realiti berat pahit masam alam itu. Agar kami anak-anaknya tidak membesar berimaginasi kehidupan berkahwin itu umpama penamat cerita fairytales yang sweethappy ending. Meski itu, bonda tidak pernah memberatkan untuk menyegerakan pernikahan anak-anak perempuannya.

Dan saya telah bernikah di usia 22 tahun. Dengan izinNya dan redha bonda, alhamdulillah.

Bertatih-tatih untuk mencorak rumahtangga itu dengan kekuatan dan kasih sayang yang datang dari Pemilik alam.


..........

Semakin waktu berlari, melalui tempoh pernikahan ini, semakin satu satu perkara diselak Allah untuk saya syukuri dan redhai. Jujur, banyak perkara yang saya tertanya-tanya tentang kepribadian lelaki yang ditaqdirkan menjadi pasangan hidup ini, Allah tunjukkan satu-satu.

Dan saya tertunduk menangis, mensyukuri apa yang tidak saya sedar hikmahnya hadiah Allah yang cantik.

Dia hadirkan saya seorang lelaki yang tidak sempurna, yang ada kurang dan lemahnya, tetapi rendah hati dalam ketidaksempurnaan itu menjadikannya sempurna, tidak malu dan ego untuk belajar memperbaiki kekurangan itu menjadikannya sangat menambat hati untuk dikagumi, tidak segan mengakui kelemahan diri membuatkan cinta kepadanya semakin bersemi.

Benar, wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia. Dan bagi saya, suami yang memahami dan pengasih adalah sebaik-baik hadiah untuk terus hidup. =)



paklang waih dan baby Muna.
2013


Pakaian untuk Saya, dan Pakaian untuk Dia.


"Mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka.." (alBaqarah: 187)


Pakaian itu adalah selimut untuk ketakutan, kesejukan, kebekuan juga sentuhan nyaman dalam kabut luar, menyelesakan dalam galau serta melindungi dari calar balar ranting yang mencarik.

Dan suami adalah pakaian isteri juga isteri adalah pakaian isteri.

Saling memegang janji setia, saling berusaha menyamankan saat luar sesak dan lelah, saling berusaha memahami dalam kabut, saling berusaha membahagiakan tanpa pinta balas, saling memberi penuh cinta dan saling berpegang paut bahu dan tangan untuk gagah melangkah bersama.

Itulah hikmah pernikahan.

Saya pernah bertanya bonda dahulu, "bagaimana ya nanti untuk hasna' mencintai suami yang merupakan lelaki asing dalam hidup hasna' selama ini?"

Jawab bonda, "insyaAllah sampai waktunya dengan bantuan dan izin Allah, cinta itu akan datang sendiri pada orang yang layak..."

Suatu perkara yang tidak terjangkau saat itu. Namun subhanaAllah, cinta itu hadir perlahan-lahan dan semakin mendalam biiznillah sepanjang melalui 365 hari jatuh bangun tenang hujan damai angin ribut sepoi-sepoi bahasa sebuah pernikahan.



gambar sekitar seminggu selepas 30 November 2013.


Dulu Berdua, Kini Sedang Menanti Untuk Bertiga.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Hari ini telah masuk minggu ke 28 usia makhluk kecil yang sedang membesar di dalam rahim. Perut yang semakin memberat tidak dirasa terus, tetapi beratnya memberi kesan pada tulang belakang, kaki, perut dan badan. Sakit-sakit, pedih, lenguh-lenguh dan ketidak selesaan semakin dirasai mengikut pertambahan usia kandungan.


"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)."
(al-Ahqaf:15)

Antara hikmah mengandung yang saya kira Allah sediakan untuk para wanita adalah persediaan mental, fizikal dan rohani dalam proses menjadi seorang bonda. 9 bulan didikan Allah dan peringatan setiap kali kesakitan tiba, "ya, aku akan menjadi seorang ibu suatu hari nanti iAllah..".

Maka daripada itu, perlahan-lahan banyak perkara termuhasabah sendiri. Kelemahan, kekurangan, kemaksiatan, dosa-dosa dan kealpaan yang sebati berusaha keras untuk ditinggalkan agar anak terpelihara dari kejahatan semua itu.

Sungguh. Itulah didikan Allah sepanjang 7 bulan mengendung anak ini ke hulur ke hilir. Semoga Allah mengampuni dan terus memberi kekuatan untuk memilih kehidupan yang bebas dari kemaksiatan.

Penutup: Memulakan Kembali.

Rasanya sudah terlalu lama berhenti menulis. 5 bulan yang sepi. Tangan mula mengeras. 

Semoga ini adalah titik mula selepas kerehatan yang panjang. =)


happy family di Teluk Senangi =)
seminggu sebelum 30 Nov 2014.


Nota kaki:
-suami telah memulakan posting HO di Sungai Petani, Kedah. Alhamdulillah.