adik yang penyayang: Muhammad Thalhah Bin Hazni
Cuti sekolah di Malaysia hampir tamat. Dan adik akan pulang ke sekolah meneruskan pelajarannya. Saya hampir terlupa atau sebenarnya sudah terlupa.
Teringat telefon di awal cuti, bonda kata, "taha minta hasna' tulis satu post tentang dia..dia seronok jadi famous..". Saya ketawa. Adik..adik..^^#.
Post ini bukan untuk famouskan awak tetapi titipan rindu dari seorang kakak.
Tadi saya lihat gambar di wall adik yang telah ditag. Satu persatu. Tiba-tiba saya jadi rindu.
Teman bergocoh saya semenjak kecil telah semakin dewasa. 15 tahun. Dan tahun ini bakal menduduki PMR.
Adik: keterujaan saya.
Teringat ketika menunggu bonda pulang dari Ipoh Specialist bersama ahli baru rumah kami. Saya yang paling teruja kerana pengalaman pertama menerima adik setelah 5 tahun menjadi bongsu sementara.
Teringat, hari bonda pulang, saya merajuk dengan bibik (tak ingat panggil apa, sebab rasanya bibik tu muda lagi) dan saya ugut, "jangan pegang adik bila adik sampai nanti".. lucu. ^^.
Dan sayalah paling semangat menjaga adik. Membancuh susu, membuang lampin pakai buang adik dan membantu bonda memandikan adik.
Sehingga saya ponteng tadika selama hampir 5-6 bulan. Masuk semula ke tadika, teringat soalan cikgu, "siapa ya yang beranak ni..kamu ke mak kamu?".
Dan dengan kehadiran adik panggilan saya berubah. Dari dik nu'un atau dik nurul kepada nurul.
Adik: dialah adik perempuan, dan pastilah hanya dia adik lelaki saya.
Teringat ketika adik kecil, membesar bersama 2 orang kakak membuatkan adik terpaksa mengikuti kami bermain masak-masak, bermain ibu anak, bermain hospital-hospital yang mana teddy-teddy adalah pesakitnya, bermain sekolah-sekolah yang mana saya cikgu manakala adik dan teddy -teddy adalah pelajarnya dan segala permainan yang lain.
Paling penting, adik ketika kecil adalah mangsa buli saya.^^.
Dan ketika adik meningkat memasuki alam buas, (sekolah rendah), saya pula menjadi teman adik bermain bola, memanjat pokok, bermain pedang-pedang, dan segala.
adik bersama ayah ketika di Iran
Adik: teman bermain dan teman bergaduh.
Sangat diakui bahawa saya bukanlah seorang kakak yang baik sepanjang proses pembesaran adik. Ketika itu, saya yang masih belum matang dan adik yang selalu mengalah. Taha, minta maaf untuk semuanya ya..^^.
Seingat saya, kami mula berbaik semula ketika saya menginjak umur 15 tahun. (usia adik sekarang ini). Ketika saya banyak bersama adik berdua. Ketika saya belajar menjadi seorang kakak. Sendiri.
Adik: mengajar saya erti kasih sayang, tawakal, tanggungjawab dan kematangan.
Banyak peristiwa bersama adik yang mendidik saya menjadi seorang kakak.
Teringat ketika peristiwa PJK di Kemaman. Dalam keadaan kucar kacir di rumah, abang dan kakak di sekolah, dan adik menangis. Lekas saya berlari ke buaian adik dan mendodoi bersama linangan air mata, "adik..jangan menangis..". Dan teringat sebelum bonda keluar, titip bonda ,"jaga taha ya nurul..".
Teringat ketika saya bergaduh dengan kakak dan kami dihukum. Adik yang baru belajar bertatih, menerpa memeluk saya sambil menangis. Sangat terharu.
Teringat ketika bonda ke Vietnam, bonda mengamanahkan saya mengambil adik dari rumah kawan bonda setaman. Saya mengayuh basikal dari sekolah ke rumah makcik tersebut dan membonceng adik pulang setiap hari. Mengambil makanan dari jiran dan memastikan adik teratur sebelum ayah pulang petang.
Dan masih saya ingat, antara peristiwa yang tak mungkin saya lupakan, saat kami tinggal berdua kerana bonda perlu mengikuti kursus luar beberapa hari , adik demam panas. Dan malam itu saya ada persembahan sebagai watak utama dalam lakonan anjuran kakak-kakak lepasan MATRI. Kisah kesyahidan Sumaiyah. Kisah yang berat bagi saya. Memerlukan penghayatan yang penuh.
Adik tidak kebah-kebah. Langit pula basah. Hujan lebat dan angin sangat sejuk. Mana mungkin saya tinggalkan adik. Seusai solat Maghrib, saya menangis sungguh-sungguh dengan Allah. Terasa pipi terlalu basah. Satu-satu saya sebut jelas. Pinta diberikan kekuatan. Mengadu seakan-akan si yatim piatu yang tiada tempat pergantungan selain Allah.
Nak tak nak saya terpaksa membungkus adik dan membawanya bersama ke MATRI kerana adik takut untuk tinggal sendirian di rumah walaupun sekejap. Saya membekalkannya selimut dan memakaikannya dengan baju hujan agar dia tidak basah. Hati benar-benar carik mengenangkan kepayahan yang perlu dialaminya dalam usia yang masih kecil.
Sepanjang perjalanan, air mata saya tahan keras agar tidak tumpah. Meredah malam gelap, tanpa bumbung, terus dibasahi hujan yang deras bersama-sama perasaan yang tidak tertahan, saya kira itu adalah malam yang paling sayu yang pernah saya lalui. Baru ketika itu, saya sedar bahawa saya adalah seorang kakak yang kuat.
Adik pula tidak mahu naik ke dewan makan, tempat semua pelajar puteri MATRI akan berkumpul malam itu. Jadi dengan berat hati, saya terpaksa tinggalkannya di musolla. Banyak perkara yang saya tinggalkan sebagai pesanan. Takut demamnya semakin teruk.
Kemudian, langsung ke asrama untuk latihan akhir. Dengan hati yang masih kacau, saya tetap meneruskan tugasan. Dan Allah izin, lakonan saya pada malam itu walaupun tanpa latihan yang cukup tetapi lahir dari hati yang sedang berduka berjaya membuatkan penonton dan hakim menangis. Saya sendiri terharu. Mungkin kerana saat Sumaiyah merasai pergantungan Allah ketika dia diseksa dapat saya rasai dalam hati. Maha suci Allah. Sungguh. Allah sebaik-baik tempat bergantung harap.
Dan pada setiap kali kami ditinggal berdua, kerana tuntutan bonda di luar, pada setiap kali itulah saya belajar dan belajar.
Adik: bukan lagi seorang kanak-kanak.
Melihat wajah adik dalam gambar hari ini, saya sedar bahawa adik telah semakin dewasa. Lantas, segala kenangan semasa adik masih kecil menjelma dan rasa sebak itu muncul. Kemudian terfikir, bagaimana ya perasaan seorang ibu melihat anak yang dikandung, dilahirkan dan membesar di hadapan mata? Pasti lebih sebak dan terharu. kan?
adik bersama kelab kesayangannya: Chealsea.
Penutup: adik, membesarlah kamu memenuhi ciri-ciri pemuda rabbani itu..!
Buat adik yang disayangi dan dirindui,
Entah, kakak tidak tahu mengapa. Setiap kali melihat taha semakin dewasa setiap kali itu jugalah kerisauan itu semakin kuat. Setiap kali itu jugalah ketakutan itu semakin menebal. Dan setiap kali itu jugalah persoalan-persoalan akan muncul silih berganti.
Melihat realiti hari ini yang mana sistem jahiliyyah itu telah berjaya mengalir dalam setiap urat darah pemuda-pemuda Islam, setiap kali itu jugalah rasa ingin kakak memeluk Taha kuat-kuat dan membungkus Taha membuak-buak agar jahiliyyah itu tidak mampu menembus merosakkan keimanan dan hati Taha.
Setiap kali kakak bersama adik-adik di sini, menghayati luah rasa mereka, mendengar permasalahan mereka yang wujud hasil jahiliyyah yang menguasai, setiap kali itu jugalah diri ini tidak putus-putus mendoakan semoga dirimu terlindung dari semua itu..
Sungguh. Betapa hajat penuh di hati ini, agar Taha dewasa terlindung dari segala fitnah dunia. Agar Taha membesar menjadi pemuda muslim mukmin yang lebih baik dari diri ini.
Kerana sesungguhnya, hidup menjadi remaja yang memiliki cita-cita untuk mati dalam kemuliaan hari ini, terlalu susah , payah, pedih dan perit.
Wahai adik yang semoga darah panglima itu menjadi darah dagingmu,
Rasa bersalah itu hadir kerana tidak betul-betul menyayangi dan memberi contoh yang baik dari semenjak Taha kecil bersih dan comel. Minta maaf banyak-banyak.
Semoga doa dari kakak buat dirimu agar kuat dan terus kuat melawan kejahatan jahiliyyah mampu menutupi kekurangan yang pernah dilakukan semalam.
Wahai adik,
Jagalah hatimu. Jagalah hatimu. Jagalah hatimu. Tugas kita masih banyak dan berat. Tidak mampu terpikul oleh mereka yang asyik dengan keremajaan dunia.
Kuatkan hatimu dik..jika kamu merasa lemah, kembali kepada seerah. Bagaimana Thalhah Ubaidillah dan Zubair alAwwam telah melakukan keputusan terbesar ketika berusia hanya sekitar 8 tahun. Bagaimana Mus'ab bin Umair yang kacak, bangsawan, membesar dengan kemewahan, dipuja oleh gadis-gadis Mekah, tetapi tegar dengan keislaman dan keimanannya, malah mampu kuat ketika sendirian di Madinah. Bagaimana Usamah Bin Zaid yang memimpin angkatan tentera menentang batalion-batalion gagah kerajaan Rom ketika di usia 18 tahun malah ada riwayat yang mengatakan ketika beliau berusia 15 tahun..
Mari sama-sama kita menguatkan hati-hati kita ya Taha.
Kakak juga lemah, selalu terjatuh tetapi yakin satu wahai adik..selagi kita berhajat kepada proses Tarbiyah, selagi itu kita akan dikuatkan oleh Allah yang tidak pernah mensia-siakan kita.
Wahai adik,
Mahu kakak kongsikan motivasi apa untuk kakak terus yakin bahawa bukan kita sahaja yang bersusah payah dalam dunia yang kian rosak hari ini?
Taha kenal bukan dengan Furkan Dogan? Pemuda yang syahid ketika baru berusia 19 tahun. Dan kita tahu bahawa syahid itu hanya untuk mereka yang terpilih. Bukan senang untuk kita diambil bertemu dengan Allah bersama bukti darah yang wangi itu. Hanya untuk mereka yang benar-benar berhajat dan cinta kepada hari pertemuan dengannya.
Taha tahu, ketika mereka menemui diari catatannya selepas Mavi Marmara diserang, ada catatan terakhir yang membuatkan kakak terlalu mengaguminya.
"Ini adalah jam terakhir untuk mati syahid, insya Allah aku bertanya-tanya jika ada perkara yang lebih indah .. Perkara yang lebih indah hanya ibuku, tapi aku tidak yakin. Perbandingannya adalah sangat sukar. Kesyahidan atau ibuku. Sekarang dewan kami telah dikepung. "
Dari catatan itu kita tahu bahawa selama kehidupannya dipenuhi hanya kecintaan kepada ibunya dan syahid. Tidak tercemar dengan kerosakan dunia lain.
Maha suci Allah yang mencipta manusia-manusia hebat seperti itu.
Lalu wahai adikku, mari bersama-sama kita terus kuat mentaati Allah. Saling menguatkan. Saling membentuk. Saling mengingatkan.
insya-Allah, kakak sayang dan sentiasa merinduimu..^^
dari kakak yang masih belajar menjadi kakak,
Nurul Hasna' Binti Hazni,
Bayt Muhannad atThohir,
12.30 am 5 June 2011.
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.