Saturday, June 25, 2011

alFateh.

something about him made me inspired: he was born in 29 March 1432.

"Tidak layak digelar pemuda, orang yang asyik berbangga dengan sejarah ayahnya. Namun pemuda sebenarnya adalah yang berkata: Ini adalah aku". -pujangga Arab-.

alFateh.

Ketika tenggelam dalam sejarah hidup pemuda istimewa Sultan Muhammad Bin Murad yang digelar dengan kurnia agung 'alFateh', jiwa selalu sebak. Rasa terlalu jauh antara keperibadian saya dengan keperibadian alFateh yang berjaya meraih janji baginda s.a.w. ketika sedang menggali parit besar Khandaq;

"Konstatinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya sewaktu itu sebaik-baik raja yang ada. Tenteranya juga sebaik-baik tentera". (HR Ahmad)

Jangan pernah berhenti. Bercita-cita besarlah wahai diri..!

Saya punya satu impian ketika ini. Saya mahu agar lahir seorang alFateh dari generasi saya.

Lantaran itu, saya mesti membentuk keperibadian generasi yang bakal lahir bermula sekarang dengan membentuk keperibadian diri saya sendiri hari ini. insyaAllah. Tidak ada apa yang mustahil jika bersamanya kesungguhan, iltizam dan tawakkal.

Doakan saya sahabat.

Semoga terus kuat. Semoga terus istiqamah. Semoga terus ikhlas. Semoga terus sentiasa bermanfaat. Semoga terus memiliki syakhsiyah mukmin yang menyenangkan. Semoga terus mampu berfikiran jauh dan kehadapan dalam merencana kerja-kerja Islam. Semoga terus fokus dan bersungguh dalam pelajaran. Semoga terus dan terus dalam kecintaan dan ihsan Allah.

Sangat memerlukan doa kalian.

nota kaki:

-dikurniakan kesempatan oleh Allah untuk merasai betapa berharganya waktu itu. Mesyuarat setiap hari. Beberapa hari mesyuarat sehingga 3 kali sehari.

-fikiran, jiwa dan hidup sedang fokus terhadap perancangan gerak kerja PINTAR PERMAI dan segala kerja teknikalnya: pemilihan nuqaba', pemilihan mentor dll. Di samping permasalahan yang memenuhi PERMAI. Amanah semakin berat saat mendengar jumlah akhawat sesi depan mungkin menjangkau 700-800 orang..

-dalam masa yang sama fikiran, jiwa dan hidup perlu fokus kepada perancangan gerak kerja dan perjalanan program Akademi alFateh di bawah PINTAR PERMAI. First trial. Pengalaman merangka modul dan gerak kerja setelah berjalannya perasmian program. Dada jadi sesak.

-Tidak dikira amanah masyarakat yang menuntut untuk diluangkan masa mendengar dan membantu menyelesaikan. Sehingga ada teman berkata:
"Tak tahu kenapa ramai yang suka kongsi masalah dengan hasna'.. Ujian juga tu..".

Benar. Sangat-sangat menjadi ujian kerana perlu keras untuk melawan bisikan syaitan yang mengganggu. Sedangkan semua kelebihan dan kebaikan yang ada pada diri kita HANYALAH milik Allah. Allah yang mencampakkan rasa tenang di jiwa mereka ketika bersama kita yang hanya wasilah. Allah yang meletakkan rasa yakin mereka terhadap peribadi kita yang juga adalah milik Allah. Allah yang melembutkan hati mereka untuk mengalirkan air mata dan menciptakan tangan kita untuk mampu mengelap air mata itu dan menghapuskannya dengan kata-kata yang diilhamkan oleh Allah. Allah Yang Maha Kuat menjadikan kita kuat untuk menguatkan mereka.

Allah mampu tarik bila-bila masa semua kebaikan yang ada pada kita. Na'uzubillah min zalik.

(mode: peringatan keras buat diri)

-Saat amanah melebihi masa ini, Allah telah mengizinkan mata dan fikiran untuk melihat jelas betapa ugensinya kejernihan HDA. Tarbiyah Dzatiyah yang mengoptimumkan kemampuan diri dalam masa yang sama peningkatan pengaduan kepada Allah berjalan seiring.

Rasa lemah jika terlepas tahajjud dan tidak mampu menangis dalam solat. Lantaran meneydari, hanya dari itu kekuatan yang menolak untuk bekerja itu lahir. Tanpa sokongan Allah, kita masih mampu berjalan tetapi bersama kekosongan yang amat dan tidak mampu bertahan lama.

Allahua'lam.

Wednesday, June 15, 2011

Point yang tertinggal.

Mungkin Palestine belum terbebas lantaran kita masih belum benar-benar matang.

Tadi petang, saya menziarahi rumah seorang kakak (kak Ninah) dan duduk-duduk bersama makcik Khamsiah (mak kak ninah yang datang menziarahi), dan kami membincangkan banyak perkara bersama.

Sungguh. Tak terkata perasaan saya ketika itu. Jujur, saat-saat yang paling saya hargai semenjak tinggal jauh di bumi Jordan ini ialah bersama makcik pakcik dan mengikuti kisah kehidupan tarbawi mereka yang punya jutaan ibrah.

Point yang ingin dikongsi.

Dalam banyak perbincangan kami tadi, ada satu point yang hajat untuk saya kongsikan bersama kalian. Point penting yang tidak pernah saya nampak selama ini. Point yang telah saya tertinggalkan. Point terpenting untuk kita nilai semula setakat mana natijah proses Tarbiyah itu seharusnya berlaku.

Serta, point muhasabah setakat mana kematangan kita untuk berada dalam masyarakat.

Seerah Mu'adz Bin Jabbar

Semasa pembukaan Yaman, Nabi Muhammad SAW telah mengutuskan Muadz bin Jabal r.a sebagai gabenor, iaitu sekitar tahun lapan ke 10 hijrah. Sebelum Muadz berangkat ke sana, Nabi SAW menghantar sehingga ke luar kota sambil memegang tali kudanya.


Rasulullah bertanya: ”Wahai Muadz, dengan apa kamu akan menetapkan hukum di Yaman nanti?”
Muadz menjawab: ”Saya akan menetapkannya dengan Kitabullah (al-Quran).”
Rasulullah bertanya lagi: ”Kalau kamu tidak menemukannya dalam al-Quran?”
Muadz berkata: ”Saya akan menetapkannya dengan Sunnah Rasulullah.”
Rasulullah bertanya lagi: ”Kalau kamu juga tidak menemukannya (dalam sunnah).”
Muadz menjawab: ”Saya akan menetapkannya dengan berijtihad (menetapkan hukum sesuai dengan pendapat dan pandangan) sendiri.”

(Hadis daripada Ibn ‘Abbas)

Hadis ini cukup masyhur saya kira bagi mereka yang tahu dalil-dalil apakah yang ada dalam menentukan sesuatu hukum syara' dalam Islam.

Seerah ini membuktikan bahawa Ijtihad termasuk dalam penentuan penetapan sesuatu hukum.

Persoalannya: Sudut pandangan manakah yang telah kita tertinggal?

Ijtihad dalam menentukan sesuatu hukum bukan boleh dimiliki oleh orang-orang biasa. Ilmu ijtihad punya cabang-cabang dan syarat-syaratnya.

Paling penting, mujtahid mesti memiliki kematangan dalam menentukan sesuatu perkara dalam keadaan apa sekalipun. Bukan seorang yang emosional dan terburu-buru. Memahami situasi dan waqi'. Menjadi sandaran masyarakat yang membawa erti syaksiyah, kematangan, ilmu, gaya pemikiran dan fikrah diyakini dan dipercayai oleh masyarakat.

Menjadi rujukan masyarakat bila-bila masa dan dalam apa kondisi sekalipun, bermakna seluruh hidup mujtahid sudah benar-benar diinfaqkan untuk masyarakat.

Justeru, apakah yang telah kita tertinggal sebenarnya?

Kita tertinggal bahawa, Mu'adz Bin Jabbar merupakan ahli yang keluar dari madrasah Tarbiyah Rasulullah s.a.w.

Baik, mari kita teliti sama-sama ya..^^.

Mu'adz Bin Jabbar -> Mujtahid.
Mu'adz Bin Jabbar -> lalui proses Tarbiyah Islamiyah.
Proses Tarbiyah melahirkan -> Mujtahid.
Sifat Mujtahid -> matang, berilmu,memiliki syakhsiyah yang diyakini masyarakat, bermanfaat untuk masyarakat dll.

Bermakna?
Sifat orang yang ditarbiyah -> matang, berilmu, memiliki syakhsiyah yang diyakini masyarakat, bermanfaat untuk masyarakat dll.

Kesimpulan: Mereka yang keluar kepada masyarakat adalah mereka yang mampu berijtihad.

Meneliti seerah tersebut, menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. melepaskan mereka kepada masyarakat adalah mereka yang memiliki sifat mujtahid. Bukan sebarang orang.

Yang memiliki kematangan. Yang berilmu. Yang memiliki syaksiyah Islamiyah yang diyakini masyarakat. Yang bermanfaat untuk masyarakat. Yang mampu membina proses Tarbiyah kendiri.

Bukan mereka yang berjiwa kecil. Yang emosional. Yang tidak matang. Yang masih terus menerus minta dikasihi dan dimanjai. Yang masih terus menerus minta disuap dan ditarbiyah.
Dan segala.

Bukan ancaman yang melemahkan, tetapi muhasabah yang menguatkan.

Pada saya, saat meneliti sifat-sifat mujtahid yang masih jauh untuk dikejar tetapi tidak mustahil, dan melihat, jika saatnya saya berada di zaman Rasulullah s.a.w. ketika ini, betapa sungguh saya bukanlah orang yang layak untuk turun kepada masyarakat..

Namun, ketahuilah bahawa ini adalah motivasi bagi kita untuk terus memperbaiki, perbaiki dan terus perbaiki.

Jika anda rasa lemah dan berputus asa untuk memenuhi ciri-ciri seorang da'ie bermakna anda turut berasa lemah dan berputus asa untuk memenuhi ciri-ciri seorang muslim yang Allah redha.

Kerana keperibadian yang perlu dipenuhi oleh seorang da'ie itu adalah sebenarnya keperibadian yang seharusnya menjadi darah daging seorang muslim.

Benar bukan?

Penutup: Mari berusaha memenuhi ciri-ciri itu..!

Tidak ada jalan mudah untuk tergolong dalam penghuni syurga yang selamanya. Lalu sahabat, mari bersama berusaha sehabis daya bagi memenuhi ciri-ciri tersebut, agar kita tergolong dalam mereka yang layak untuk memikul amanah amal Islami ini.

Dan ketahuilah hanya dengan memikul amanah amal Islami ini dengan ikhlas dan serius, pandangan Allah kepada kita akan berbeza.

" و من أحسن قولا ممن دعى الى الله و عملا صالحا و قال انّني من المسلمين"

Semoga Allah redha. Semoga Allah terus menguatkan kita untuk berusaha menjadi mereka yang diihsani dengan ganjaran syurga insyaAllah..

Doakan saya sahabat..

Friday, June 10, 2011

pemuda dan kehilangan jiwa pemuda.

rasa sebak melihat gambar ini.
syi'ar Islam yang lahir dari jiwa-jiwa pemuda seperti ini yang kita hajatkan.
(sujud syukur selepas MATRI johan bola Tampar 2011)

Melihat realiti hari ini, betapa sistem jahiliyyah telah berjaya menguasai. Jiwa-jiwa pemuda menjadi lemah dan lesu. Kecil dan semakin sakit.

Jiwa-jiwa pemuda yang fitrahnya kuat, gagah dan jauh matlamatnya kian pudar lantaran dirobek oleh dunia dan tipu dayanya.

"Seni yang merampas kecantikan
lenggok bunga sarwa,
Ia menukar helang rajawali menjadi
burung denak,
Mereka memperdayakan angkatan berkuda
dengan nyayian yang merdu,
lalu membenamkan bahtera ke dasar laut,
Mereka tidurkan kita dengan irama dan lagu,
Dan memadamkan obor kita dengan tiupan nafasnya.

Mereka ajar anak singa
agar menjadi kijang yang pengecut,
Dan mereka hapuskan kisah-kisah singa
pada bicara masa silam,
Cita-cita mereka
menggembirakan hamba dengan penghambaan,
Seluruh pengajaran mereka
hanyalah penipuan cendekiawan"

-Muhammad Iqbal-
penyair Islam terunggul.

Sungguh. Memang mustahil untuk hidup hari ini bersama cita-cita untuk menjadi pemuda yang bersih MELAINKAN kembali kepada kekuatan Tarbiyah Islamiyah Harakiyah.

Kekuatan yang lahir dari fikrah Islamiyah yang jelas, bersamanya kekuatan hubungan dengan Allah hasil ibadah-ibadah yang benar dan tertingkat.

"The youth are the spark of the fire". (Tirmidzi)

Pemuda adalah percikan-percikan api yang menjadi pemula kepada nyalaan api yang besar. Sama ada unggun yang menyala itu adalah unggun Islam atau unggun Jahiliyyah, semuanya bergantung kepada kefahaman dan jiwa pemuda-pemuda tersebut.

"Your Lord is pleased with that teenager who is free from youthful passion"
-narrated by Ahmad-


Sungguh. Allah mencintai pemuda-pemuda yang bebas dari fantasi keremajaan yang hakikatnya telah meracuni minda kita. Mari bersama menjadi pemuda yang bersih jiwanya dari kerosakan dunia agar Allah mencintai kita.

Cukuplah Allah sebagai tempat untuk kami berlindung dan bergantung harap. Cukuplah Allah bagi kami. Cukuplah Allah bagi kami. Cukuplah Allah bagi kami.

nota kaki.
*rasa takut, gusar, bimbang, risau, sedih dan segala bercampur baur saat melihat dunia dan pemuda yang semakin dahsyat.
Bagaimanakah pula gambaran kedahsyatan keadaan ketika generasi zuriat kami nanti?
*Benci kepada sistem. Kasihan kepada mangsa.

Sunday, June 5, 2011

Adik: istimewa untukmu.

adik yang penyayang: Muhammad Thalhah Bin Hazni

Cuti sekolah di Malaysia hampir tamat. Dan adik akan pulang ke sekolah meneruskan pelajarannya. Saya hampir terlupa atau sebenarnya sudah terlupa.

Teringat telefon di awal cuti, bonda kata, "taha minta hasna' tulis satu post tentang dia..dia seronok jadi famous..". Saya ketawa. Adik..adik..^^#.


Post ini bukan untuk famouskan awak tetapi titipan rindu dari seorang kakak.


Tadi saya lihat gambar di wall adik yang telah ditag. Satu persatu. Tiba-tiba saya jadi rindu.
Teman bergocoh saya semenjak kecil telah semakin dewasa. 15 tahun. Dan tahun ini bakal menduduki PMR.


Adik: keterujaan saya.


Teringat ketika menunggu bonda pulang dari Ipoh Specialist bersama ahli baru rumah kami. Saya yang paling teruja kerana pengalaman pertama menerima adik setelah 5 tahun menjadi bongsu sementara.
Teringat, hari bonda pulang, saya merajuk dengan bibik (tak ingat panggil apa, sebab rasanya bibik tu muda lagi) dan saya ugut, "jangan pegang adik bila adik sampai nanti".. lucu. ^^.


Dan sayalah paling semangat menjaga adik. Membancuh susu, membuang lampin pakai buang adik dan membantu bonda memandikan adik.
Sehingga saya ponteng tadika selama hampir 5-6 bulan. Masuk semula ke tadika, teringat soalan cikgu, "siapa ya yang beranak ni..kamu ke mak kamu?".


Dan dengan kehadiran adik panggilan saya berubah. Dari dik nu'un atau dik nurul kepada nurul.

Adik: dialah adik perempuan, dan pastilah hanya dia adik lelaki saya.



Teringat ketika adik kecil, membesar bersama 2 orang kakak membuatkan adik terpaksa mengikuti kami bermain masak-masak, bermain ibu anak, bermain hospital-hospital yang mana teddy-teddy adalah pesakitnya, bermain sekolah-sekolah yang mana saya cikgu manakala adik dan teddy -teddy adalah pelajarnya dan segala permainan yang lain.


Paling penting, adik ketika kecil adalah mangsa buli saya.^^.
Dan ketika adik meningkat memasuki alam buas, (sekolah rendah), saya pula menjadi teman adik bermain bola, memanjat pokok, bermain pedang-pedang, dan segala.





adik bersama ayah ketika di Iran


Adik: teman bermain dan teman bergaduh.


Sangat diakui bahawa saya bukanlah seorang kakak yang baik sepanjang proses pembesaran adik. Ketika itu, saya yang masih belum matang dan adik yang selalu mengalah. Taha, minta maaf untuk semuanya ya..^^.


Seingat saya, kami mula berbaik semula ketika saya menginjak umur 15 tahun. (usia adik sekarang ini). Ketika saya banyak bersama adik berdua. Ketika saya belajar menjadi seorang kakak. Sendiri.


Adik: mengajar saya erti kasih sayang, tawakal, tanggungjawab dan kematangan.


Banyak peristiwa bersama adik yang mendidik saya menjadi seorang kakak.


Teringat ketika peristiwa PJK di Kemaman. Dalam keadaan kucar kacir di rumah, abang dan kakak di sekolah, dan adik menangis. Lekas saya berlari ke buaian adik dan mendodoi bersama linangan air mata, "adik..jangan menangis..". Dan teringat sebelum bonda keluar, titip bonda ,"jaga taha ya nurul..".


Teringat ketika saya bergaduh dengan kakak dan kami dihukum. Adik yang baru belajar bertatih, menerpa memeluk saya sambil menangis. Sangat terharu.


Teringat ketika bonda ke Vietnam, bonda mengamanahkan saya mengambil adik dari rumah kawan bonda setaman. Saya mengayuh basikal dari sekolah ke rumah makcik tersebut dan membonceng adik pulang setiap hari. Mengambil makanan dari jiran dan memastikan adik teratur sebelum ayah pulang petang.


Dan masih saya ingat, antara peristiwa yang tak mungkin saya lupakan, saat kami tinggal berdua kerana bonda perlu mengikuti kursus luar beberapa hari , adik demam panas. Dan malam itu saya ada persembahan sebagai watak utama dalam lakonan anjuran kakak-kakak lepasan MATRI. Kisah kesyahidan Sumaiyah. Kisah yang berat bagi saya. Memerlukan penghayatan yang penuh.

Adik tidak kebah-kebah. Langit pula basah. Hujan lebat dan angin sangat sejuk. Mana mungkin saya tinggalkan adik. Seusai solat Maghrib, saya menangis sungguh-sungguh dengan Allah. Terasa pipi terlalu basah. Satu-satu saya sebut jelas. Pinta diberikan kekuatan. Mengadu seakan-akan si yatim piatu yang tiada tempat pergantungan selain Allah.

Nak tak nak saya terpaksa membungkus adik dan membawanya bersama ke MATRI kerana adik takut untuk tinggal sendirian di rumah walaupun sekejap. Saya membekalkannya selimut dan memakaikannya dengan baju hujan agar dia tidak basah. Hati benar-benar carik mengenangkan kepayahan yang perlu dialaminya dalam usia yang masih kecil.

Sepanjang perjalanan, air mata saya tahan keras agar tidak tumpah. Meredah malam gelap, tanpa bumbung, terus dibasahi hujan yang deras bersama-sama perasaan yang tidak tertahan, saya kira itu adalah malam yang paling sayu yang pernah saya lalui. Baru ketika itu, saya sedar bahawa saya adalah seorang kakak yang kuat.

Adik pula tidak mahu naik ke dewan makan, tempat semua pelajar puteri MATRI akan berkumpul malam itu. Jadi dengan berat hati, saya terpaksa tinggalkannya di musolla. Banyak perkara yang saya tinggalkan sebagai pesanan. Takut demamnya semakin teruk.

Kemudian, langsung ke asrama untuk latihan akhir. Dengan hati yang masih kacau, saya tetap meneruskan tugasan. Dan Allah izin, lakonan saya pada malam itu walaupun tanpa latihan yang cukup tetapi lahir dari hati yang sedang berduka berjaya membuatkan penonton dan hakim menangis. Saya sendiri terharu. Mungkin kerana saat Sumaiyah merasai pergantungan Allah ketika dia diseksa dapat saya rasai dalam hati. Maha suci Allah. Sungguh. Allah sebaik-baik tempat bergantung harap.

Dan pada setiap kali kami ditinggal berdua, kerana tuntutan bonda di luar, pada setiap kali itulah saya belajar dan belajar.



Adik: bukan lagi seorang kanak-kanak.


Melihat wajah adik dalam gambar hari ini, saya sedar bahawa adik telah semakin dewasa. Lantas, segala kenangan semasa adik masih kecil menjelma dan rasa sebak itu muncul. Kemudian terfikir, bagaimana ya perasaan seorang ibu melihat anak yang dikandung, dilahirkan dan membesar di hadapan mata? Pasti lebih sebak dan terharu. kan?





adik bersama kelab kesayangannya: Chealsea.



Penutup: adik, membesarlah kamu memenuhi ciri-ciri pemuda rabbani itu..!


Buat adik yang disayangi dan dirindui,


Entah, kakak tidak tahu mengapa. Setiap kali melihat taha semakin dewasa setiap kali itu jugalah kerisauan itu semakin kuat. Setiap kali itu jugalah ketakutan itu semakin menebal. Dan setiap kali itu jugalah persoalan-persoalan akan muncul silih berganti.


Melihat realiti hari ini yang mana sistem jahiliyyah itu telah berjaya mengalir dalam setiap urat darah pemuda-pemuda Islam, setiap kali itu jugalah rasa ingin kakak memeluk Taha kuat-kuat dan membungkus Taha membuak-buak agar jahiliyyah itu tidak mampu menembus merosakkan keimanan dan hati Taha.


Setiap kali kakak bersama adik-adik di sini, menghayati luah rasa mereka, mendengar permasalahan mereka yang wujud hasil jahiliyyah yang menguasai, setiap kali itu jugalah diri ini tidak putus-putus mendoakan semoga dirimu terlindung dari semua itu..


Sungguh. Betapa hajat penuh di hati ini, agar Taha dewasa terlindung dari segala fitnah dunia. Agar Taha membesar menjadi pemuda muslim mukmin yang lebih baik dari diri ini.


Kerana sesungguhnya, hidup menjadi remaja yang memiliki cita-cita untuk mati dalam kemuliaan hari ini, terlalu susah , payah, pedih dan perit.


Wahai adik yang semoga darah panglima itu menjadi darah dagingmu,


Rasa bersalah itu hadir kerana tidak betul-betul menyayangi dan memberi contoh yang baik dari semenjak Taha kecil bersih dan comel. Minta maaf banyak-banyak.


Semoga doa dari kakak buat dirimu agar kuat dan terus kuat melawan kejahatan jahiliyyah mampu menutupi kekurangan yang pernah dilakukan semalam.


Wahai adik,


Jagalah hatimu. Jagalah hatimu. Jagalah hatimu. Tugas kita masih banyak dan berat. Tidak mampu terpikul oleh mereka yang asyik dengan keremajaan dunia.


Kuatkan hatimu dik..jika kamu merasa lemah, kembali kepada seerah. Bagaimana Thalhah Ubaidillah dan Zubair alAwwam telah melakukan keputusan terbesar ketika berusia hanya sekitar 8 tahun. Bagaimana Mus'ab bin Umair yang kacak, bangsawan, membesar dengan kemewahan, dipuja oleh gadis-gadis Mekah, tetapi tegar dengan keislaman dan keimanannya, malah mampu kuat ketika sendirian di Madinah. Bagaimana Usamah Bin Zaid yang memimpin angkatan tentera menentang batalion-batalion gagah kerajaan Rom ketika di usia 18 tahun malah ada riwayat yang mengatakan ketika beliau berusia 15 tahun..


Mari sama-sama kita menguatkan hati-hati kita ya Taha.


Kakak juga lemah, selalu terjatuh tetapi yakin satu wahai adik..selagi kita berhajat kepada proses Tarbiyah, selagi itu kita akan dikuatkan oleh Allah yang tidak pernah mensia-siakan kita.


Wahai adik,


Mahu kakak kongsikan motivasi apa untuk kakak terus yakin bahawa bukan kita sahaja yang bersusah payah dalam dunia yang kian rosak hari ini?


Taha kenal bukan dengan Furkan Dogan? Pemuda yang syahid ketika baru berusia 19 tahun. Dan kita tahu bahawa syahid itu hanya untuk mereka yang terpilih. Bukan senang untuk kita diambil bertemu dengan Allah bersama bukti darah yang wangi itu. Hanya untuk mereka yang benar-benar berhajat dan cinta kepada hari pertemuan dengannya.


Taha tahu, ketika mereka menemui diari catatannya selepas Mavi Marmara diserang, ada catatan terakhir yang membuatkan kakak terlalu mengaguminya.

"Ini adalah jam terakhir untuk mati syahid, insya Allah aku bertanya-tanya jika ada perkara yang lebih indah .. Perkara yang lebih indah hanya ibuku, tapi aku tidak yakin. Perbandingannya adalah sangat sukar. Kesyahidan atau ibuku. Sekarang dewan kami telah dikepung. "



Dari catatan itu kita tahu bahawa selama kehidupannya dipenuhi hanya kecintaan kepada ibunya dan syahid. Tidak tercemar dengan kerosakan dunia lain.


Maha suci Allah yang mencipta manusia-manusia hebat seperti itu.


Lalu wahai adikku, mari bersama-sama kita terus kuat mentaati Allah. Saling menguatkan. Saling membentuk. Saling mengingatkan.


insya-Allah, kakak sayang dan sentiasa merinduimu..^^


dari kakak yang masih belajar menjadi kakak,
Nurul Hasna' Binti Hazni,
Bayt Muhannad atThohir,
12.30 am 5 June 2011.

Thursday, June 2, 2011

Syafahallah..

Sebentar tadi, saya baru selesai menelefon adik yang sedang cuti di rumah.

Mengikuti perkembangan bonda yang diuji Allah dengan kesihatan akhir-akhir ini.

Bermula dengan migrain yang teruk berminggu-minggu, sehingga tidak mampu ke sekolah. Menangis bonda menahan sakit.Terpaksa ke PMC (Putra Medical Center), Alor Setar, Kedah untuk rujukan pakar.

Sepanjang itu, Alhamdulillah sahibah-sahibah silih berganti membantu menyediakan makanan bonda yang tinggal sendiri. Jazakumullahu khairan katsira buat kalian.
Dan Alhamdulillah beransur pulih.

Kemudian baru-baru ini diserang sakit denyutan pedih di bahagian belakang seperti yang pernah dialami sebelum-sebelum ini. Sehingga me'rengkot' bonda.

Dan kali ini kata adik, ada cecair darah dalam air kumbahan bonda. Kata doktor, takut itu adalah jangkitan kuman.

Kata adik lagi, "mak tidur. Bila terjaga, mak akan terpaksa makan ubat tahan sakit tu lagi."

Ya Allah, sembuhkanlah bonda dengan sembuhan yang tidak mendatangkan mudarat lagi. Wahai yang Maha Penyembuh, Tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan Engkau.

Aku yang jauh, meski anak-anak yang berada di sisinya sekarang tetap tidak mampu melakukan apa-apa. Hanya Engkau yang memilki jiwa-jiwa kami dan kehidupan kami, dan hanya Engkau tempat untuk kami bergantung harap sepenuhnya.

Sembuhkanlah bonda Ya Allah. kecintaan yang mengenalkan aku kecintaan kepadaMu.

Cukuplah Engkau bagiku. Cukuplah Engkau bagiku. Cukuplah Engkau bagiku. Hanya kepadaMu kami bertawakkal..T_T.

Doakan saya dan bonda ya sahabat..