Thursday, December 30, 2010

Kuat itu dari proses yang panjang.

Kehambaan itu perlu serius

Angin di luar sejuk. Bermakna saya di dalam rumah hampir beku. Menggigil selalu. Syita' yang awalnya pening-pening kini menjadi syita' yang sebenar. Suhu menunjukkan 6 celcius. Masih belum cukup maksimum bagi turunnya salji di hadapan rumah.

Sudah lama saya tidak menulis secara konsisten. Ikut hati, sentiasa berhajat. Namun selalunya setelah beberapa huruf ditekan, tangan langsung memadam.

Kerana bagi saya, menulis ini memerlukan jiwa dan perasaan bersama. Kerana kita bukan mahu menulis biasa-biasa. Kita mahu biar penulisan ini menjadi penyentuh jiwa. Jiwa sendiri sepenuhnya dan jiwa-jiwa lain yang turut sama mencari.

Ada sahabat bertanya," Bagaimana kamu kuat untuk bergerak?".

Sungguh. Itu soalan yang sangat mendalam untuk dijawab. Apatah lagi bagi saya yang masih perlu digandakan lagi peningkatannya. Jujur. Saya masih belum cukup kuat dan masih banyak yang perlu ditampung sana-sini.

Namun biar saya jawab dengan kekuatan yang Allah hadiahkan dan semoga kekuatan itu menjadi darah daging kehidupan saya insyaAllah.

Kebencian itu melahirkan Cinta.

Perkara yang paling penting sebagai penolak kita adalah kebencian kepada jahiliyyah. Benci dengan penuh maksima.

Dan saya membenci jahiliyyah. Kerana sejujurnya saya pernah berada dalam longkang-longkang jahiliyyah dan merasai betapa pahitnya berada jauh dengan Allah.Perlu diingat, jahiliyyah itu bukan sahaja sistem yang besar tetapi juga keperibadian dan tingkah laku yang tidak mengambil iman sebagai tunjang.

Membesar dalam rahim Tarbiyah tidak bermakna kita terus diberi hidayah. Saya teringat semenjak kecil, saya merupakan anak yang nakal berbeza dengan kakak. Ibu selalu menangis dengan tingkah saya yang suka menjawab dan kuat memberontak.

Pernah ketika saya berusia 6 tahun, ibu sambil berlinangan air mata meminta saya untuk memilih mana-mana makcik yang saya kenal dan sayang untuk menggantikan ibu. Dan saya mula berfikir," Teruk sangatkah aku sehingga ibu bertindak begitu?". Malah sehingga kini, permintaan itu masih tergiang-giang.

Teringat ketika darjah 4 selepas dimarahi ibu, saya menangis sungguh-sungguh dengan Allah. Takut seandainya Allah menolak saya lantaran kemarahan ibu Sungguh. Ketika itu saya tahu akan kelemahan yang ada tetapi tidak cukup kuat untuk melawannya.

Saya cuba dan terus mencuba. Bukan sesuatu yang mudah. Ketika berusia 12 tahun, jiwa saya semakin hebat bertarung. Antara Allah dengan keseronokan remaja. Dan selalunya saya jatuh. Tetapi doa itu sentiasa ada. Doa semoga saya tidak dikembalikan sebelum saya benar-benar menjadi hamba.

Noktah paling penting yang merubah langsung kehidupan saya ialah selepas kematian ayah. Tetapi bukan berlaku secara serta merta. Masa yang panjang. Air mata yang banyak. Kepedihan yang menggigit.

Apa kekuatan saya untuk terus setia? Hanya semangat yang bersungguh untuk menjadi hamba yang luar biasa. Bersamanya ibu yang tidak pernah lelah membentuk serta kakak yang tidak pernah putus menjadi inspirasi.

Saya bina perlahan-lahan fitrah keimanan dalam diri.Yakin sepenuhnya kepada Allah. Berhajatkan secara maksima syurga Allah. Takut kepada pengakhiran yang akan mencampakkan diri ke neraka. Tingkatkan bacaan ilmiah. Dampingi dengan manusia-manusia yang soleh. Banyakkan berfikir sesuatu yang besar. Dan semua itu tidak dapat dibentuk melainkan dengan Tarbiyah Islamiyah Kamilah.

Bak kata-kata Mustafa Masyhur:
"Tarbiyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyah".

Dan kini, kebencian kepada jahiliyyah itu semakin kuat setiap kali teringat betapa payahnya saya untuk lari dari kepompong itu. Benarlah, kita tidak mampu melihat kejernihan Islam selagi belum mengikis habis jahiliyyah yang ada dalam diri kita.

Umpama ulat sampah yang setia di tong-tong sampah. Jika ditanya ketika itu, busukkah sampah itu? Pasti dijawab tidak. Tetapi apabila kita keluarkan dia dan mencuci bersih serta meletakkan wangian di tubuh ulat sampah itu kemudian menyoal kembali. "Adakah sampah itu busuk?". Pasti ulat akan menjawab ya.

Seperti itu juga fitrah manusia. Mustahil dia akan membenci sesuatu yang dia sedang bergelumang di dalamnya. Melainkan dia tekad untuk keluar dan membersihkan dirinya dari daki-daki kekotoran itu. Selepas itu, pasti dia akan benci untuk kembali ke sana.

Saya akan menangis setiap kali mengingat semula betapa susunan Allah yang mengizinkan saya untuk melalui kepayahan dalam usaha mencintaiNya. Tidak seperti manusia-manusia yang baik semenjak di usia kecil.

Saya akan menangis setiap kali lintasan "jika Allah menarik kembali hidayah ini", kerana saya pernah melalui suatu tempoh yang sangat gelap dan penuh kekacauan.

Saya akan menangis setiap kali saya menerima kata-kata syukur ibu "atas anugerah Allah Hasna' sebagai anak mak dan ayah penyejuk mata dan jiwa" kerana saya tahu betapa mahalnya harga untuk saya mendapat kata-kata redha itu.

Sungguh. Kebencian kepada jahiliyyah yang menghitam membuatkan saya mencintai Tarbiyah atau proses keimanan kepada Allah ini.

Tidak ada jaminan dalam keimanan.

Kenikmatan Iman dan Islam yang kita miliki hari ini sama sekali tidak punya jaminan untuk kekal. Allah pemiliknya bila-bila masa mampu menarik kembali dan membiarkan kita dalam kesesatan (na'uzubillah min zalik).

Namun kita ada harapan. Iaitu dengan berada dalam suatu proses pendidikan yang panjang dan berterusan. Proses pendidikan yang sistematik dan lengkap. Dan semua itu hanya bisa diperolehi dengan Tarbiyah Islamiyah yang diaplikasikan seumpama dengan madrasah Tarbiyah Rasulullah s.a.w.

Kita bergerak bukan untuk manusia lain. Tetapi kita perlu bergerak kerana melihat urgensinya Tarbiyah dalam pembinaan keperibadian muslim. Kita melihat urgensinya Tarbiyah dalam menjaga kebersihan hubungan kita dengan Allah dalam kondisi jahiliyyah yang maha dahsyat sedang berombak di luar sana.

Kita soleh hari ini belum tentu kita soleh hari esok. Namun insyaAllah, selagi mana kita tekad untuk duduk dalam proses ini sehingga ke akhir hayat, Allah akan selalu bersama.

Syurga itu mahal.

Saya tidak mengaku bahawa saya telah cukup beriman kerana manusia itu tidak pernah kuat untuk istiqamah. Tetapi dengan proses keimanan ini, akan selalu membuatkan kita bangun semula.

Syurga Allah itu mahal. Lalu maharnya juga pasti mahal. Mustahil kita mampu memilikinya dengan usaha yang kecil, bukan?

Doakan semoga kita dikurniakan kekuatan untuk terus hidup dalam pemerhatian luar biasa dari Allah, insyaAllah.

Wallahua'lam.

*Imtihan nihaie semakin menghitung. 3-13 January.
*Berkongsi dalam rangka untuk memberitahu;"semua manusia mampu berubah daripada tidak baik menjadi baik malah dari baik menjadi lebih baik. Hanya perlu anjakan daripada dalam dirinya sendiri dan proses Tarbiyah yang berterusan".

Wednesday, December 22, 2010

Nama itu kekuatan.



cintai murabbi kami ya Allah sepertimana beliau mengajar kami untuk mencintaiMu..

Ketika bergerak merencana, jauh dari bumi sana, bumi barakah awal permulaan. Ustaz selalu terbayang dalam fikiran. Selalu air mata menitik. Merasai beratnya kerja DnT yang pernah terpikul di bahu ustaz.

Saat ketikanya saya memahami apa itu Dakwah dan menangis takut terpinggir dari bibir Tabiyah, saat itu saya memahami gerak kerja dan pandangan masa depan ustaz yang jauh. Saya mula memahami himmah dan hikmah yang terpamer dalam perancangan yang dilihat orang sebagai lambat dan mustahil itu.

Saya jadi rindu.

Penyerlah kebaikan.

Ketika saya dilahirkan, Ummi Halimaton (isteri ustaz) menelefon dari jauh. Bertanyakan khabar ibu dan perihal saya. Ummi bertanya kemudian: "ada nama tak lagi?"
"belum", jawab ibu langsung.
"Nanti 3 hari lagi kak Mah telefon semula, insyaAllah..". Jawapan ummi membungakan hati ibu.

3 hari kemudian,
"pah, ustaz pilih nama Nurul Hasna'.."
Nama yang baru. Tidak pernah didengar sebelum itu. Ibu bertanya, "maksudnya apa ya?"
"cahaya penyerlah kebaikan".
"ejaannya ha, sin, nun alif dan hamzah".
"Bukan hasanah atau husna" Tambah ummi.
"kata ustaz, dia lebih daripada husna atau hasanah"

(ayat yang disusun sendiri berdasarkan cerita ibu)

nama itu kekuatan.

Saya membesar dengan nama itu. Semenjak dulu, jenuh menjawab pertanyaan, "apa ya maksud nama tu?". Dan setiap kali itu saya akan menjawab penyerlah kebaikan secara bersahaja tanpa nampak apa-apa.

Namun tanpa saya sedar, sesungguhnya susunan Allah itu Maha cantik. Membesar dengan nama itu seolah-olah doa kekuatan untuk saya menjadi muslim mukmin terbaik. Bergerak ke arah piawaian mukmin mosleh rabbani.

Dan kini, saya tahu, ustaz menghadiahkan nama yang baik ini bersamanya amanah untuk saya menyerlahkan kebaikan Islam itu sendiri. Agar saya terus tergolong dalam mereka yang bekerja, insyaAllah..

Penyambung rantai-rantai itu

Semoga Allah menguatkan saya untuk terus mencintaiNya dan menyerahkan sepenuh jiwa dan tenaga kepada jalan yang panjang ini. Tidak ada jaminan keistiqamahan kita melainkan hanya jaminan cinta Allah. Justeru, hanya kepada Allah, sepenuhnya pengaduan dan kebergantungan kita agar terus kekal dalam keimanan, insyaAllah..


MATRI bukan ma'sum. Apabila sudah hilang pelajar-pelajar dan guru-guru yang ikhlas serta terhapusnya proses Tarbiyah syumuliyyah itu, maka tidak mustahil MATRI akan menjadi sekolah biasa yang melahirkan manusia-manusia biasa -cikgu AB-. (na'uzubillah min zalik)

*maksud nama saya ada dua. Lagi satu, boleh tengok kamus.
*menjawab pertanyaan bagi yang bertanya maksud nama saya.
*Imtihan niha'ie 3 Jan: France dan Ulum Quran. 5 Jan: Fiqh Mu'amalat. 11 Jan: Aqidah. 12 Jan: Fiqh Ibadah. 13 Jan: Asasiyah fi Tarbiyah.

Saturday, December 11, 2010

proses kendiri.

Iman itu wajib membezakan kita dengan manusia yang tidak beriman.


Di balik segala 1001 perkara yang saya dapat di bumi Jordan ini atau khususnya belajar jauh di luar ini, yang paling mahal saya kira ialah kefahaman dan penghadaman secara realiti Tarbiyah Dzatiyah atau maksudnya proses pendidikan secara kendiri.

Tidak dapat diyakini kecuali bagi mereka yang faham.

TDZ ini sejujurnya bukan sesuatu yang boleh diceritakan dan dicanang-canang tetapi merupakan aplikasi yang menuntut natijah. Dan aplikasinya sudah tentu bukan kecil dan ringan tetapi memerah sepenuh kefahaman dan kesedaran sejauh mana kita meletakkan kepentingan proses Tarbiyah Islamiyah Harakiyah dalam kehidupan.

TDZ tidak dapat digerakkan bagi mereka yang berjiwa kecil. Dan pasti juga tidak terdorong oleh mereka yang masih melihat makhluk lain sebagai kekuatan. Selagi kita mengambil manusia lain sebagai pautan untuk mencari jalan pulang, selagi itu kita akan selalu menyalahkan.

Tarbiyah itu melahirkan murabbi.

Kerana apa Tarbiyah Islamiyah itu bukan untuk mereka yang cepat kalah? Kerana Tarbiyah itu wajib melahirkan jiwa murabbi. Jiwa yang bergerak. Yang melihat urgensi IMAN dalam dirinya dan melihat urgensi IMAN kepada manusia-manusia lain.

Yang mampu membina kekuatan diri, rohaninya, aqlinya dan jasmaninya secara kendiri malah dalam masanya sama mampu membentuk kekuatan manusia-manusia yang bersama dalam kehidupannya.

Muslim yang bergerak dan melihat jelas akan kepentingan dia bergerak. Yang faham dan sedar bahawa dia bergerak bukan kerana keadaan meminta dia bergerak. Yang bisa bergerak dalam kondisi keseorangan mahupun dalam kelompok yang ramai.

Muslim yang tidak akan sesekali berdiam diri kerana sedar akan Jahiliyyah yang laju merancang. Lantas dia tidak pantas untuk berehat dan turut menyusun strategi.

Itu adalah natijah Tarbiyah.

Dan dalam melalui proses itu, kita memerlukan 3 perkara:
1)manhaj Rabbani (sistem syara' susunan Allah; alQur'an dan sunnah)
2)Murabbi Mithali (pendidik dan pembentuk yang dapat memberi contoh)
3)biah solehah (suasana yang membina iman)

Perkara 1 adalah perkara wajib secara langsung dalam proses Tarbiyah. Tanpa perkara 1 maka proses itu akan berlaku secara songsang, maka wujudlah kepincangan.

Perkara 2 dan 3 yang sama pentingnya namun boleh berubah mengikut keadaan dan itulah yang dinamakan Tarbiyah Dzatiyah.

Asasnya perlu ada tetapi aplikasinya berbeza

Asas bagi 2 perkara ini mesti ada. Tetapi perlaksanaan dalam sehari-hari itu yang berbeza.

Perkara 2 iaitu murabbi mithali mesti ada untuk kita memahami Islam secara benar. Dan kerana itu Rasulullah s.a.w diutuskan kepada para sahabat sebagai pendidik dan rujukan.

Namun tidak akan selama-lamanya ada MM itu. Kerana itu TDZ mendidik bahawa Murabbi terbaik adalah Allah yang akan sentiasa bersama tanpa pernah tiada.

Begitu juga perkara 3 iaitu biah solehah. Dalam membina keyakinan dan kefahaman Islam, kita memang memerlukan tapak semaian yang dapat menjadi tempat perlindungan daripada pancaran terik Jahiliyyah, ibarat anak pokok yang baru ditanam. Menjadi satu kemestian bagi si penanam untuk menjaga elok anak pokok tersebut agar tumbuh segar membesar.

Namun tidak selama-lamanya ada BS itu, kerana kita akan meneroka dunia jauh. Dan pastinya bukan semua masyarakat yang kita tinggal punya kesedaran akan urgensi iman malah masih banyak yang tidak mengerti apa itu Islam. Kerana itu TDZ mendidik bahawa biah itu perlu dibentuk oleh pagar-pagar iman. Kerana pagar-pagar itu akan sentiasa bersama tanpa pernah tiada.

Kekuatan dari Seerah.

1. Kisah pemuda kahfi.
(
Kami ceritakan kisah mereka kepadamu dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka (Sang Pencipta), dan Kami berikan kepada mereka tambahan pimpinan (iman, taqwa, ketetapan hati dan sebagainya). Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri, lalu mereka berkata; Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyerutuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran.)[13-14 ;18]

Mereka itu pemuda bangsawan Rom. Hidup dalam lingkungan manusia-manusia yang buta bertuhan. Tanpa suasana yang membentuk keimanan. Yang ada hanya mereka bertujuh.

Nmaun mereka memiliki keimanan tertinggi, iaitu keimanan yang melonjak sehingga mereka dirasuk kekuatan untuk bangun mengisytiharkan keimanan di hadapan qaisar Rom yang mengaku tuhan!

Tidak ada lain melainkan mereka telah melalui suatu proses Tarbiyah Dzatiyah secara maksimum.

2. Kisah Mus'ab Bin Umair.

Mus'ab yang dikenali sebagai anak kaya Makkah. Punya haruman unik dan teristimewa, tidak dimilik oleh sesiapa di bumi Haram itu. Jubah-jubah sutera yang labuh lambang kemegahan kabilah.

Tetapi selepas menerima Allah sebagai Illah, langsung dibuang semua dari dalam hidupnya. Malah dia dihantar ke Yathrib (Madinah ketika itu) sebagai duta untuk dibacakan kepada penduduk di sana ayat-ayat Allah. Sebagai pengajar deen Allah.

Perlu diingat ketika itu, beliau baru beberapa tahun menganut akidah tauhid ini dan Yathrib semestinya tidak dihuni oleh Muslimiin.

Namun TDZ menguatkan Mus'ab untuk membina kekuatan untuk membentuk kekuatan manusia-manusia lain sehingga tidak ada satu rumah pun yang tidak diketuk. Malah dia pernah dihentak ke dinding dan dihunus pendang semata untuk menyekat, namun apabila dia mengambil Allah sebagai kekuatan, smeua itu dipandang enteng.

TDZ telah membentuk Mus'ab menjadi muslim mukmin yang bukan sahaja soleh untuk dirinya tetapi mampu bergerak untuk mensolehkan seluruh masyarakat Madinah alMunawwarah. SubhanAllah..

Konklusinya.

TDZ ganjarannya syurga. Oleh itu maharnya mahal. Tidak banyak yang ditagih sebenarnya. Hanya MUJAHADAH.

MUJAHADAH.

Dan MUJAHADAH.

Kita akan nampak urgensinya TDZ hanya apabila kita nampak urgensinya untuk kita menjaga iman kita dan urgensinya kkita bergerak menjaga iman manusia-manusia di sekeliling kita.


p/s:
*menulis sepenuhnya untuk diri sendiri yang semakin hari semakin lemah TDZnya. Buktinya ialah kemalasan dalam pelajaran..Ya Allah jauhkan aku dari menjadi fitnah kepada Islam.
*maaf kerana mensawangkan blog ini. Sibuk mungkin dijadikan alasan? Doakan semoga saya bisa pandai menyusun hidup.
*banyak sahabat-sahabat pujuk untuk ikut berjaulah. insyaAllah tekad tak ke mana cuti winter ni. Akibat result yang banyak merudum sem ni..-_-"