Sunday, February 3, 2013

Wanita dan Islam III

"untunglah Pak Mat..dapat kawin dua..", borak-borak Pak Man dengan Pakcik Tun di waktu petang, sambil isteri Pak Man sedang menghidangkan air teh panas di meja santai mereka.

"enta ada hajat ke nak pakai baju pengantin kali kedua ke ;)?", usik seorang ikhwah kepada temannya yang telah berkahwin beberapa tahun yang lalu dalam laman komen facebook yang boleh dilihat satu dunia.

"bagi bapak-bapak yang ada hajat untuk pasang lagi satu, jangan takut pada bini. Jangan jadi lelaki dayuz!", seorang ustaz menyebut dalam ceramah mingguannya dan kelihatan lelaki-lelaki separuh abad yang duduk di hadapan sengih-sengih dan ketawa dengan 'jenaka' sang ustaz.

"apa cakap-cakap tentang poligami?. Nak jadi kafir? Orang perempuan macam inilah, cemburu buta.", gertak seorang ustaz. 

Fenomena-fenomena benar yang membuatkan hati tersenyum. Aneh melihat manusia.

Pembunuhan Atas Alasan Maruah.



Buku kisah perjalanan seorang journalist dalam membongkar kekejaman
pembunuhan atas nama maruah. Buku ini penuh fakta dan catatan yang sangat teliti dan terperinci.

Buku yang menjadi igauan saya selama ini akhirnya telah berjaya dimiliki Alhamdulillah. Dan jujur, setiap helaian muka saya selak, tatapi dan telaah dengan penuh debar, pedih, sedih dan geram apabila melihat realiti manusia yang mencipta 2 darjat dalam ciptaan Allah yang Maha Adil.

Pembunuhan Bermaruah. Alasan ini membuatkan pembunuh hanya dipenjara selama 6 bulan, malah ada yang dibebaskan tanpa bicara.

Wanita dibunuh hanya semata memiliki nombor telefon asing yang tidak dikenali keluarga, pernah berjalan dengan seorang lelaki, bercakap dengan orang lelaki asing, tidak memakai tudung, menuntut cerai dari suami tua yang dipaksa kahwin ketika baru berusia 15 tahun ataupun dari suami yang bengis kaki pukul, tidak mahu berkahwin dengan pilihan keluarga, kehilangan dara akibat dirogol sama ada saudara lelaki sendiri atau jiran meski ketika itu anak gadis tersebut baru berusia belasan tahun dan pemangsa berusia puluhan tahun serta pelbagai lagi kisah yang membuatkan air mata mengalir deras.

Saya tidak pedih membaca cara pembunuhan kejam mereka seperti ditembak, ditikam, dikelar, digantung, dibakar hidup-hidup dan sebagainya walaupun hakikatnya hati ini sebak mengenangkan mereka menderita dalam nafas terakhir. 

Tetapi saya lebih pedih dengan pemikiran dan pandangan manusia-manusia yang berada di sekeliling mereka.

Seorang bapa Iraqi, Abdel Qader Ali yang telah menikam anak perempuannya Rand, 19 tahun sambil dibantu abang-abang Rand, Hassan,23 dan Haydar, 21 tahun pada 16 March 2008 ketika ditemu bual oleh majalah Observer memberitahu,

"Dia layak untuk mati. Saya tidak pernah menyesal. Saya mendapat sokongan seluruh kawan-kawan yang bergelar ayah seperti saya yang sedar bahawa tindakannya tidak boleh diterima oleh mana-mana muslim yang memuliakan agamanya.

Saya tidak memiliki anak perempuan sekarang dan saya lebih selesa menyebut bahawa saya tidak pernah memilikinya langsung. Budak perempuan itu telah memalukan saya dan berbual dengan tentera asing (seorang tentera English) telah membuatkan dia kehilangan sesuatu yang berharga bagi seorang wanita".

I was feeling like, @@?

Salah seorang ahli Parlimen Jordan sekitar tahun 2000, Trad Fayez ketika merespon berkenaan aktivis-aktivis wanita yang bangkit menuntut hak dalam isu pembunuhan bermaruah ini menyebut kepada Associated Press, 

"Tiada kesalahan dalam membunuh mereka yang terbukti berkelakuan buruk. Wanita ini seperti pokok zaitun. Jika batangnya telah dihinggap kulat, pokok itu perlu ditebang untuk membiarkan masyarakat kekal bersih dan suci. Kita tidak mahu menjadi seperti Eropah dan negara barat yang lain. Kita ada identiti dan penganut muslim. Kita mesti kekal dengan adat kita."

Malah sebahagian para ibu juga memberi respon yang sama apabila ditemu bual akibat takut dengan ancaman kuasa kaum lelaki.

Seorang ibu mangsa berusia 60 tahun ketika ditemui oleh majalah alHayat memberitahu,

"Perempuan yang berdosa memang patut dibunuh dan pembunuhan itu patut diumumkan di radio. Mereka patut digantung di kawasan awam supaya semua wanita dapat melihat dan berasa takut perkara yang sama akan dilakukan ke atas mereka jika mereka tersasar."

Seorang wanita Manal, 25 ketika ditemu bual oleh Rana Husseini memberi respon yang sama,

"Perempuan adalah perangsang nafsu lelaki. Jika semua perempuan berdisplin maka lelaki pasti akan menjadi baik dengan sendiri. Kami adalah masyarakat timur dan saya memihak kepada hukuman wanita lebih perlu kerana lelaki tidak dapat menahan nafsu mereka kepada perempuan yang tidak berpakaian elok.."

Sarhan, 20an seorang abang yang membunuh adiknya Yasmin, 16 selepas adiknya dirogol oleh abang iparnya ketika disoal oleh CNN channel atas kesalahan apa adiknya dibunuh,

"Saya membunuhnya kerana dia telah tiada dara. Itu kesalahannya."

Sungguh. Hanya manusia yang tidak beraqal menghukum mangsa. Dan ini hanya sebahagian kecil dari ribuan catatan yang berlaku dalam dunia manusia yang tidak pernah adil.

Realiti Dunia, Mendarjatkan Manusia.

Saya tidak melihat isu pembunuhan dengan alasan maruah ini hanya sekadar isu di negara timur seperti Syria, Jordan, Mesir, Iraq, Iran, dan sebagainya.



Jika hati sudah dipenuhi nafsu, hadirkan wanita bertutup kotak besi sekalipun, 
tetap mereka melihat dengan pandangan nafsu.

Tetapi saya lihat isu ini lebih besar iaitu ancaman mendarjatkan wanita sebagai alat untuk dicampak segala kesalahan.

Saya melihat isu ini adalah isu yang lahir dari pemikiran bahawa wanita adalah makhluk lain yang dicipta Allah untuk kepentingan makhluk 'agung' bernama lelaki. Kefahaman yang merendahkan kedudukan wanita sebagai makhluk yang tidak layak untuk diperdulikan fitrah kemanusiaannya.

Sedangkan seerah membicarakan yang sebaliknya.
..........

Hadis dari Ibnu Abbas r.a.: Ketika Rasulullah s.a.w didatangi oleh Ma3iz yang membuat akuan bahawa beliau telah berzina, dan akuan itu telah diulang sebanyak 3 kali kerana Rasulullah s.a.w berusaha untuk mengelak dari menerimanya, dan akhirnya setelah disoal sama ada Ma3iz benar-benar berzina atau sekadar pegang-pegang atau sekadar bercium mulut dan sebagainya, maka Rasulullah s.a.w menjatuhkan hukuman tersebut kepada Ma3iz (Riwayat Muslim) TANPA menyoal, siapakah wanita yang telah menggoda sahabat muda tersebut

Juga dari Jabir r.a. ketika pernah suatu hari, ketika Rasullah s.a.w bersama para sahabat dan kemudian pulang ke rumah. Para sahabat datang menemui baginda semula dan kelihatan rambut baginda basah. Jelas baginda, "Wanita itu kalau menghadap, ia menghadap dalam rupa syaitan (syaitan akan mengaburinya dengan syahwah)...Apabila seseorang antara kamu melihat wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya kerana pada isterinya ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita itu". (Riwayat Tirmizi) Tidaklah tercatat dalam seerah, Rasulullah s.a.w selepas itu mengarahkan semua wanita di Madinah untuk memakai purdah, berbaju hitam, dipenjara di dalam rumah dan sebagainya.
.........

Dua hadis ini jelas membuktikan bahawa dalam Islam, apabila lelaki jatuh ke lembah nafsu syahwah, maka bukanlah wanita menjadi objek pertama untuk dicampakkan kesalahan tersebut. 

Selari dengan ayar 30-31 dalam alQur'an surah anNur, Allah memerintahkan lelaki TERLEBIH DAHULU untuk menundukkan pandangan dan mengekang gelojak nafsu sendiri.
.........

"Katakanlah kepada lelaki-lelaki beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuatkan.

Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali apa yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka... [sila baca terjemahannya sehingga habis]..."
..........

Saya TIDAK MENAFIKAN tentang KEWAJIPAN wanita menuntup aurat, malah itu adalah kewajipan yang mengangkat wanita kepada satu taraf kemuliaan yang tertinggi.


Mukhlisah yang manis bertudung menutup dada. =')

Saya cuma menekankan berkenaan sejauh mana kita melihat 2 kewajipan yang ditekankan Allah yang Maha Teliti dan Halus dalam keseimbangan 2 makhluk ciptaanNya.

Allah mewajibkan untuk lelaki menjaga pandangan dan membendung diri mereka dari jatuh ke lembah nafsu, serta Allah juga mewajibkan untuk wanita melindungi aurat dan maruah mereka.

Kewajipan seorang wanita untuk menutup aurat dan menjaga kemuliaan dirinya sehingga ke akhir hayat memberi makna bahawa, WAJIB juga ke atas seorang suami untuk terus menjaga pandangan dan melindungi dirinya dari dikuasai nafsu syahwah kecuali kepada isterinya yang halal sehingga ke nafas yang terakhir.

Bukankah itu adalah keadilan yang tercantik? 

Dongengan Wanita Punca Kerosakan.

Rata-rata kita didendangkan tentang kisah ibu kita yang mulia, Hawa dipengaruhi oleh syaitan untuk memujuk Nabi Adam a.s agar memakan buah larangan. 

Kita diceritakan bahawa Nabi Adam a.s jatuh ke dalam pujuk rayu isterinya sehingga membuatkan mereka dikeluarkan dari syurga.

Betul?

Kita berbalik semula kepada kalam Allah yang lebih mulia dari rekaan dongengan manusia itu.
..........

"Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepada MEREKA agar menampakkan aurat mereka  (yang selama ini tertutup). Dan (syaitan) berkata, 'Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini, agar kamu tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (di dalam syurga)". (al-A'raf:20)

"Kemudian syaitan membisikkan (fikiran jahat) kepadanya, dengan berkata, 'WAHAI ADAM! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (khuldi) dan kerajaan yang tidak akan binasa?" (Taha: 120)
..........

Bukankah kata-kata Allah ini menunjukkan bahawa bukan wanita punca Nabi Adam a.s dikeluarkan dari syurga atas pelanggaran arahan Allah dari menjauhi sepohon pokok seperti yang diguna pakai dalil merendahkan darjat wanita oleh segolongan besar ustaz dan lelaki biasa hari ini?

Kata-kata Allah ini menyangkal sangkaan mereka bahawa wanita punca manusia tidak kekal di dalam syurga (kebaikan), dan golongan lelaki adalah mangsa keadaan atas tipu daya wanita.

Fenomena Kefahaman yang Jahil Ini.



Catatan kisah pengalaman seorang anak yang akhirnya murtad
kerana ayahnya yang merupakan seorang imam (tidak layak digelar imam)
menjadikannya hamba, mengurungnya, memukul dan sebagainya atas dalil
alQur'an dan Hadis yang disalah erti dalam keadaan Hannah dilarang dari keluar rumah untuk menuntut ilmu agama, lantaran takut jenayah si bapa terbongkar.

Mungkin jika kita membicarakan tentang kejadian-kejadian kezaliman atas faktor gender di negara-negara seperti yang saya sebut di atas, kita merasakan bahawa itu terlalu jauh. 

Namun hakikatnya realiti masyarakat kita hari ini sendiri tenggelam dalam kejahilan tersebut.

"isteri aku tu teruk, tak pandai masak. Aku nak cari perempuan lain la untuk kawin dekat Siam."

"Kau wajib taat kepada aku, suami kau!", bentak seorang suami sambil melihat isterinya yang terhenjut-henjut menangis sakit selepas dibelasah dengan periuk dapur.

"lelaki ni mudah..senang-senang, boleh kawin lain". seorang tokoh membuat jenaka dalam ucapannya.

"seronoklah si Mat tu..isteri dia solehah, bagi kawin dua. Seronoklah..". Sembang-sembang Lat dengan Man. 'Seronoklah' dan 'isteri dia solehah' ditekan dengan nada yang berulang bagi memastikan isteri-isteri mereka di sebelah mendapat maksud.

Saya yakin dan teramat yakin bahawa fenomena seperti ini sentiasa berlaku dan akan terus berlaku selagi mana kejahilan itu menebal.

Meremehkan perasaan seorang wanita yang digelar isteri adalah sebahagian daripada kesan kejahilan si suami bahawa isteri yang mereka gauli itu adalah seorang manusia. Apatah lagi dalam keadaan jika isteri tidak diberi nafkah, diabaikan, dikasari, dijadikan tempat melempias segala amarah dan sebagainya.

Tidak ada satu dalil pun yang menceritakan Rasulullah s.a.w menjadikan poligami sebagai bahan jenaka dan mainan perbualan mulut sama ada dalam kalangan isteri-isteri baginda dan sahabat-sahabat baginda.

Malah terlalu banyak dalil sunnah sama ada dari sudut qauli dan fe3li yang mempamerkan betapa Rasulullah s.a.w adalah qudwah suami mithali yang memuliakan para isteri baginda dengan tidak pernah menyakiti mereka dari sudut perbuatan mahupun lisan, dengan sentiasa ringan tangan membantu urusan rumahtangga dan sebagainya.

Jika perlu diceraikan, maka ceraikanlah dengan kemuliaan sepertimana mereka dinikahi dengan kemuliaan. Jika berlaku suatu keadaan yang memerlukan suami berpoligami, maka lakukanlah dengan penuh hikmah dan meraikan perasaan isteri yang terdahulu.

Teringat kata-kata Ustaz Anis Matta ketika dalam ucapan selepas dilantik menjadi Presiden PKS,

"ulama'-ulama' fiqhi mengatakan 'alhaq wa mustafidah alHaq syai2an mukhtalifan. Hak dan cara menggunakan hak adalah 2 hal yang berbeda. Cara menggunakan hak berlangsung terus dengan hati, kerana itu Rasul mengatakan ' mintalah fatwa dari hatimu'. Kerana itulah yang menentukan cara kita menggunakan hak. Dan motif tirani inilah yang akan kita lawan insyaAllah, motif tirani dalam cara menggunakan hak inilah yang akan kita lawan."

Ya. Dan itulah yang sekarang ini sedang kita bincangkan. Kita tidak pernah mempertikaikan apa yang tertulis dalam deen Islam dan kita yakini keadilannya.

Namun kita sedang mempertikaikan tentang manusia-manusia perlaksananya yang tanpa sedar boleh mengikut hawa nafsu dan menzalimi sebahagian yang lain.

Yang sedang kita bicarakan ialah membasmi pemikiran mendarjatkan manusia sehingga meletakkan kedudukan sebahagian yang lain dalam lingkungan tidak selayaknya dihargai fitrah manusiawinya.


Wanita mempunyai Hak untuk Bersuara.


Perkara paling lucu ialah apabila ustazah Fatimah Syarha yang saya 
kasihi dan hormati dituduh sebagai ustazah berfikiran liberal.
Semoga Allah merahmati beliau atas ujian tersebut.

Realiti, setiap kali wanita bangun untuk mengembalikan hak mereka yang telah tersedia dalam Islam, maka tohmahan yang paling terkenal ialah "wanita ini membawa arus liberal!".

Senang untuk saya membawa satu seerah berkenaan Asma' Yazid alAnsaoriyah yang diberi gelaran mulia sebagai Khathibatun-Nisa'.

..........

Pada suatu ketika Asma` mendatangi Rasulullah s.a.w. dan bertanya : “Wahai Rasulullah , sesungguhnya saya adalah utusan bagi seluruh wanita muslimah di belakangku, seluruhnya mengatakan sebagaimana yang aku katakan dan seluruhnya berpendapat sesuai dengan pendapatku. Sesungguhnya Allah Ta`ala mengutusmu bagi seluruh laki-laki dan wanita, kemudian kami beriman kepadamu dan membai`ahmu. Adapun kami para wanita terkurung dan terbatas gerak langkah kami. Kami menjadi penyangga rumah tangga kaum lelaki, dan kami adalah tempat melampiaskan syahwat mereka, kamilah yang mengandung anak-anak mereka, akan tetapi kaum lelaki mendapat keutamaan melebihi kami dengan shalat jum`at, mengantar jenazah dan berjihad. Apabila mereka keluar untuk berjihad kamilah yang menjaga harta mereka, yang mendidik anak-anak mereka, maka apakah kami juga mendapat pahala sebagaimana yang mereka dapat dengan amalan mereka?"
Mendengar pertanyaan tersebut, Rasulullah s.a.w menoleh kepada para sahabat dan bersabda : “Pernahkah kalian mendengar pertanyaan seorang wanita tentang dien yang lebih baik dari apa yang dia tanyakan?”. Para sahabat menjawab, “Benar, kami belum pernah mendengarnya ya Rasulullah!”. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: “Kembalilah wahai Asma` dan beritahukanlah kepada para wanita yang berada di belakangmu bahawa perlakuan baik salah seorang antara mereka kepada suaminya, dan meminta keredhaan suaminya, mengikuti (patuh terhadap) apa yang ia disetujuinya, itu semua setimpal dengan seluruh amal yang kamu sebutkan yang dikerjakan oleh kaum lelaki”.
Maka kembalilah Asma` sambil bertahlil dan bertakbir merasa gembira dengan apa disabdakan Rasuslullah s.a.w.
..........
Malah Asma' dengan begitu semangat meminta keizinan Rasulullah s.a.w untuk menubuhkan sebuah badan kebajikan yang dikenali sebagai Suffah Wanita iaitu merupakan satu bumbung yang dikhususkan untuk wanita di dalam Masjid Nabawi, sebagai tempat untuk mereka berkumpul, bertemu, berbincang dan melakukan amal kebajikan masyarakat.
Persoalannya, ketika Asma' mengadu berkenaan kekusutan yang dialami oleh para wanita yang ketika itu melihat bahawa berlakunya darjat dalam pahala di sisi Allah antara lelaki dan wanita, apakah ketika itu Rasulullah s.a.w mengherdik mereka dan menggelar mereka sebagai wanita-wanita yang belum benar-benar mengimani syariat Islam?
Apatah lagi hari ini, kita disaksikan betapa banyak kerosakan yang dilakukan oleh sebahagian kaum lelaki dengan menggunakan alasan hak, bisakah kita cuma diam dan membiarkan diri terus dizalimi?

Penutup: Allah Maha Adil. Fahami dan Yakini Itu.

Dunia sekadar singgahan.
Jangan lupa, semuanya akan dihisab.

Dalam Islam, satu fomula mudah dalam kita melakukan kerosakan ke atas manusia lain, tanyakan pada diri, "apakah kita mahu jika manusia lain melakukan hal yang sama kepada kita?".
...........
Dalam seerah, dari Abu Umamah r.a ketika Rasulullah s.a.w didatangi oleh seorang pemuda yang meminta izin untuk berzina, Rasulullah s.a.w tidak memarahinya. Sebaliknya baginda bertanya, "apakah kamu suka jika penzinaan itu dilakukan ke atas ibumu?". Jawab lelaki itu, "pastilah aku tidak suka..! Manusia mana yang mahu ibunya diperlakukan sedemikian".
"Bagaimana pula jika dilakukan kepada anak perempuanmu, saudara perempuanmu atau makcikmu?". 
Baru pemuda itu tersedar dan faham kesan kerosakan zina. Lantas beliau bertaubat. Dan Rasulullah s.a.w mendoakan beliau dengan satu doa,
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ، وَطَهِّرْ قَلْبَهُ، وَحَصِّنْ فَرْجَهُ
 Maksudnya:“Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkan hatinya dan peliharalah kemaluannya” 

(Riwayat Ahmad)
..........
Jika kita seorang suami, sebelum kita mahu melukakan hati isteri atau mengasarinya dengan pukulan, atau membebankannya dengan tidak memberi nafkah dan sebagainya, tanya dahulu dalam hati kalian,
"jika aku seorang isteri, mahukah aku diperlakukan sedemikian oleh seorang suami? Bukankah aku juga punya perasaan pedih, sedih dan tertekan untuk diubati?".
Jika kita seorang isteri, sebelum kita sewenang-wenangnya mengambil mudah tugas dan amanah seorang isteri atau tidak memenuhi syariat Islam itu sendiri atau tidak memuliakan suami dengan kerendahan hati atau tidak mentaatinya dan sebagainya, tanya dahulu dalam hati kita,
"jika aku seorang suami, bukankah aku juga menghajati seorang isteri yang menjadi penyejuk hati? Dan bukankah aku juga gusar jika perilaku isteriku nanti akan menjadi asbab aku dibakar dalam api neraka?".
Jika kita seorang anak, sebelum kita mahu mengengkari ibu ayah dan menyakiti mereka, atau bersikap enggan untuk membantu meringankan tugas harian mereka di rumah atau bersikap kasar dan sebagainya, tanya dahulu dalam hati kita,
"jika aku nanti menjadi seorang ibu atau ayah, bukankah aku juga tidak mahu melahirkan anak-anak bersama sikap sebegini?".
Jika kita seorang ibu bapa, sebelum kita memandang remeh urusan pendidikan anak-anak atau terlalu sibuk sehingga mengabaikan waktu bersama anak-anak atau merendahkan kebolehan dan potensi anak-anak atau bersikap kasar dengan mereka dan sebagainya, tanya dahulu dalam hati kita,
"jika aku seorang anak, bukankah aku juga akan membenci perilaku ayah ibu seperti ini? Bukankah aku juga akan membesar dengan satu perasaan dendam dan hilang kehormatan aku kepada mereka?".
Dan seterusnya.
Islam itu adil dan keadilannya itulah yang perlu setiap muslim praktikkan dalam kehidupan. Bukan sekadar melaung-laung seperti tin kosong.

Allahua'lam.


nota kaki:
-senanglah untuk saya tekankan bahawa setiap kali membincangkan berkenaan isu feminisme ini, prinsip saya cuma satu,
"the true feminisme is make men the real men."
Justeru, kita bukan membincangkan dari segi hukum dalam Islam TETAPI berkenaan PERLAKSANAAN HUKUM dalam Islam.
Juga, perbincangan ini tidaklah menyentuh semua lelaki tetapi menyentuh sebahagian lelaki yang jahil dalam melihat kemuliaan Islam meletakkan kesama rataan darjat wanita dan lelaki. 
Makanya bagi lelaki yang telah faham dan mempunyai kesedaran, yang saya yakin jumlahnya ramai, Alhamdulillah diucapkan. =) Semoga Allah rahmati kalian selalu.
-Juga senanglah untuk saya mengulangi bahawa apabila saya membicarakan isu ini bukanlah kerana lelaki-lelaki di sekeliling saya teruk, malah ayah, saudara lelaki dan bakal suami saya adalah lelaki-lelaki yang sangat baik yang pernah saya temui. Namun yang saya risaukan dan takutkan ialah sebahagian lelaki-lelaki di luar sana yang masih buta dan masih terus mencalarkan fitrah Islam dengan kejahilan dan kebodohan mereka. Semoga suatu hari nanti Allah tegakkan yang hak atas kezaliman perilaku mereka selama ini


1 comment:

mohon pandangan.