Thursday, January 23, 2014

Asam Garam Gula

Meski pernikahan ini baru menapak hampir bulan ke-2, diizinkan Allah untuk diberi amanah menguruskan 2 pasang sahabat dan junior kami dalam langkahan awal taaruf mereka.

Ada senyum di situ. =)

Ya, kami masih baru bertatih dan baru perlahan-lahan menghadam masam manis pernikahan, sudah mula menjadi rujukan. Rasa segan dan berat.


Pernikahan : Bukan Sekadar Cantiknya Album Majlis Persepsi.


Photo: “Coming together is a beginning; keeping together is progress; working together is success.”
[http://www.PureMatrimony.com/]

saya pernah berkongsi quoted ini dan saya senang untuk berkongsikannya lagi. =)

Sering, apabila disebut tentang pernikahan, langsung terbayang dalam fikiran anak-anak muda akan gemerlapan gaun pengantin yang diserikan dengan hiasan pelamin bagi meraikan hari pertama bergelar pasangan yang halal itu.

Juga akan terkenang indahnya suasana romantika, saling bersuapan, berpegang tangan berjalan seiring dengan senyuman manja.

Bahkan banyak teman-teman di laman sosial, yang berkongsi kesepian dan mengadu inginkan teman hidup yang dengan 'cinta'nya akan membunga mekar bahagia.

Tolonglah.

Tolong berhenti dari segala bayangan yang indah-indah itu.

Ketika disoal adik-adik yang teruja untuk mengetahui perkongsian perkahwinan saya, awal-awal saya tekankan seperti mana yang SELALU bonda tekankan selama ini iaitu:

"Pernikahan ini, kita perlu bayangkan yang paling dahsyat, yang paling menakutkan, yang paling berbeza dengan kehendak kita dan kemungkinan-kemungkinan yang paling menggerunkan.


Kerana pernikahan ini, jika emosi kita tidak bersedia, kita pasti akan terkejut dengan perkara baru yang sedang kita lalui."

Ya, pernikahan seumur hidup itu bermula dengan berhenti cuma berfikir dan bersedia untuk perkara yang indah-indah dan bahagia sahaja. Lantaran alam rumahtangga ini tidak hadir dengan kemanisan melainkan kita yang membiasakan lidah untuk menukar rasa masam, pahit, kelat kepada rasa manis sentiasa. 


Pernikahan: Pesan dan Nasihat Mereka.



Juga saya pernah kongsikan dan ingin berkongsi lagi. =)

Teringat saat mula bertunang 2 tahun yang lalu, bermulalah sesi pesan-pesanan ringkas dari murobbiyah-murobbiyah, makcik-makcik dan kakak-kakak yang telah berwalimah.

*mungkin ada perubahan dari sudut perkataan dan ayat, lantaran mafhumnya yang saya pegang.

1.
"Bersedialah untuk berlapang dada sepenuhnya dalam memberi ketaatan kepada suami. Belajarlah untuk redha dalam mentaati. Sebab jujurnya, sangat susah dan pedih untuk tunduk kepada kehendak dan keputusan suami sepanjang alam perkahwinan ini. Banyakkan bersabar dan redha. Nak terima perubahan hidup dari seorang diri dan bebas sebelum ini kepada kehidupan yang terikat selepas perkahwinan, bukan satu perkara yang mudah..". -Cikgu Hamizah-


2.
"Pesan ustazah satu sahaja, banyakkan sabar, sabar, sabar, sabar dan sabar." -ustazah Aminah-

3.
"selepas 16 hari ini, kehidupan hasna' akan berbeza 100 peratus. Selepas 16 hari ini, nak keluar dari rumah pun memerlukan seorang isteri meminta kebenaran dari suami. Bermula sahaja celik mata sehingga pejam semula, kita mesti mendahulukan urusan, kehendak dan keperluan hidup suami lebih dari urusan dan keperluan hidup kita." -cikgu Rosmawar. 16 hari sebelum aqad-

4.
"mak nak hasna' faham apa yang mak selalu pesankan..Apa yang mak selalu pesan, menjadi seorang isteri ini perlu kesabaran yang banyak, kesabaran yang tinggi. Di samping kerendahan hati nak menjaga, nak melayani suami. Juga kena ada besarnya rasa cinta dan kasih kepada suami, kerana jika tiada besarnya rasa cinta dan kasih pada suami, sangat payah untuk kita melayaninya, memenuhi keperluannya.." -bonda. Beberapa jam sebelum aqad nikah-

5.
"Memasuki alam pernikahan, mesti bersamanya kerendahan hati dan sentiasa bersedia untuk belajar dari kesilapan. Kerendahan hati itu lebih besar nilainya daripada kecantikan tubuh badan yang semakin berlalu waktu, semakin membosankan dan menjemukan jika sikap yang baik tidak ada." -bonda-

6.
"Kita yang memilih untuk bahagia atau menderita dalam sedih yang berpanjangan. Jika kita memilih untuk bahagia, kita akan sentiasa positif berusaha untuk mencari setiap jalan yang membahagiakan diri dan kehidupan. Tetapi jika hati kita negatif, memilih untuk meminta bahagia dari manusia lain, sehingga ke mati kita tidak akan bahagia dan mustahil untuk membahagiakan orang lain." -bonda-

7.
"Perkahwinan ini ibarat kita menaiki sebuah kapal yang sedang berlayar di lautan. Ada waktunya tenang, dan ada waktunya hujan, ribut, petir, taufan datang menguji walaupun iAllah kita sentiasa berdoa semoga dijauhkan. Tetapi jika ribut taufan itu datang juga, yang mana Allah menghantarnya untuk menguji sejauh mana kesabaran dan keyakinan kita, iAllah berbekalkan keimanan, kesabaran dan proses tarbiyah yang dilalui, kita akan selalu berusaha untuk menjaga kapal itu iAllah". -bonda. Beberapa jam sebelum aqad-

8.
"selamat menempuh alam rumahtangga yang penuh warna-warni. Banyakkan bersabar dalam melalui perjalannya yang panjang. Apa-apapun, ingat tujuan asal kita dalam rumahtangga ini, iaitu untuk mencapai redha Allah. Apa-apapun untuk kembali kepada Allah. Banyak manis dan banyak pahitnya, tapi mudah-mudahan setiap itu, membawa kepada cinta Allah iAllah". -kak yam. Beberapa jam sebelum aqad nikah-


9.
"Persiapan barang-barang dan baju tidak penting, paling penting persiapan hati, minda dan fizikal untuk masuk dalam alam perkahwinan..

Masalah akan berlaku jika kita tidak bersedia kerana alam ini masuk dan tidak keluar-keluar melainkan dengan penceraian. Berdoa banyak-banyak dan belajar untuk hidup berdua. Belajar untuk saling menerima kelemahan dan kekurangan. Kita berkahwin ini bukan nak yang baik-baik sahaja, kita perlu menerima satu pakej lengkap, kelebihan dan kekurangan. 

Dan juga belajar untuk bersedia menambah tugasan dan tanggungjawab. Kawin bukan nak senang. Kawin ini membuatkan kehidupan kita semakin sibuk. Suami, anak-anak, keluarga baru. Sebab tu dapat pahala dengan berkahwin. Tapi kalau tidak bersedia, nak senang je..nak seronok je.. memang tak lama la..

Berapa ramai anak-anak muda yang kita kenal, Allah uji dengan perkahwinan. Berapa pasang yang kita pernah pergi kenduri mereka sekarang ini telah bercerai dan sedang dalam proses penceraian..". -bonda-

Banyak lagi nasihat-nasihat yang dititip, tambahan dari bonda tercinta namun atas keterbatasan diri untuk mengingat sepenuhnya juga ruang yang terhad, cukup saya simpulkan kepada 4 point penting yang MESTI selalu dipegang dalam melayari alam rumahtangga ini:

1) belajar untuk sabar semaksima.
2) belajar untuk merendah hati semaksima.

3) belajar menguruskan perbezaan yang TERLAMPAU banyak.
4) sentiasa menjaga hubungan dengan Allah. Allah adalah sebaik-baik tempat mengadu dan bergantung harap.

Sungguh.

Penutup: Bahagiakan diri, iAllah pasti Bahagia.


ameen <3 p="">

"Belajar untuk membahagiakan diri sendiri dengan mempositifkan seluruh kehidupan. Berhenti dari meminta bahagia hati diisi oleh orang lain. Berhenti dari meminta tetapi belajar untuk memberi sepenuhnya.".

Itu pesan bonda yang selalu dititipkan, bahkan diterjemahkan dalam kehidupan beliau.



Ya, belajarlah untuk selalu membahagiakan diri sendiri agar kita tidak cepat mengeluh dan putus asa.



Oh ya, dan satu lagi. Perkara yang paling saya bersyukur selepas melalui alam ini ialah, persediaan sebelum saya bernikah dahulu adalah dengan menjauhkan diri dari menonton cerita cinta bersiri mahupun filem cinta sama ada dari Korea, Jepun, Melayu dan sebagainya juga tidak terjebak dalam fenomena novel-novel cinta hatta cinta Islamik.



Lantaran semua itu tidak membantu dalam memberi gambaran sebenar alam rumahtangga yang penuh gelora. Berhentilah dari membiarkan diri anda terus hidup dalam dunia kebohongan fantasi. 



Doakan saya teman! =)





Nota kaki:



- Segala puji bagi Allah atas anugerah seorang suami yang sentiasa berusaha untuk menjadi suami yang terbaik. =) Semoga Allah mengganjari beliau dengan kebaikan yang berlipat kali ganda atas setiap kesabaran dalam melayani karenah isteri yang juga masih belajar untuk menjadi isteri yang terbaik insyaAllah.



Thursday, January 2, 2014

A New Step



When the love begins.
(insyaAllah ini adalah pertama dan terakhir saya kongsikan gambar perkahwinan kami. Semoga Allah lindungi dari rasa ingin menunjuk dan bermegah iAllah)


Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (arRum: 21)

Saya dahulukan post pertama selepas pertukaran status ini dengan hebahan bahawa pada 30 November 2013 yang lalu, Alhamdulillah saya telah selamat dinikahkan dengan bekas tunang, Afiq Fawwaz Bin Ahmad Saleh, pelajar akhir jurusan perubatan di Jordan University of Science and Technology.

Segala puji bagi Allah yang Maha Menyusun atur kehidupan, Yang Maha Menciptakan makhluk berpasang-pasangan, Yang Maha Mempermudahkan, Yang Maha Meniliki cinta dan kasih sayang.

Terlalu banyak yang ingin dikongsikan tetapi jelas, saya masih merangkak untuk memulakan kembali penulisan setelah lama bercuti panjang.

Semoga kertas di alam maya ini tidak berhenti menulis. Semoga Allah terus menguatkan insyaAllah.

Pohon doa dari teman-teman. =)