Friday, January 18, 2013

Kepada Siapa Kita Beriman?

Pulang bercuti raya 'eid fitri yang lepas, saya diberi kesempatan waktu untuk mengikuti kalimah akhirah, iaitu perkongsian akhir guru-guru MATRI sebelum melepaskan pelajar-pelajar pulang.  

Walaupun sempat cuma di separuh akhir perjalanan program, namun 'sempat'nya kami (saya dan bonda) itu adalah pada perkongsian mudir, Ustaz Omar Haji Salleh yang menggantikan almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain. Kata-kata ustaz ringkas, tetapi sangat dalam.

"Iman, Taqwa dan Tauhid.."

3 patah kata ini yang diulang-ulang.

Mungkin nampak mudah dan remeh. Malah bonda dan guru-guru lain jenuh memberi isyarat kepada beberapa orang pelajar perempuan untuk diam dari perbualan di belakang dan mengejutkan sebahagian mereka yang tertidur tunduk penuh khusyuk. =) Sekadar senyum kepada mereka. Kerana tahu, ketika usia saya sebaya mereka juga, tidak terjangkau di fikiran akan kegentingan 3 kalimah pendek ini.




Gambar pelajar lelaki semasa sambutan eidfitri.
Saya rindu kenangan di atas musolla ini. =')

pict kredit to Cikgu Saiful.

Titik Permulaan yang Jelas.

Halaqah kami hari ini membicarakan tentang Faham dan Ikhlas. Dua perkara tergenting dalam hidup yang memberi makna sebenar.



Benarkah titik mula kehidupan kita?

"Kayu ukur kebersihan dan kejernihan Tauhid kita adalah dengan IKHLAS dalam beramal.."


Itu adalah kata-kata murobbi yang saya pegang sungguh. Dan kata-kata itu jugalah yang saya kongsikan bersama bulatan taman terindah kami.

Dalam kita beramal, tidak kira amal Islami atau kehidupan seharian, ada 2 rukun yang perlu kita pelihara, iaitu:
1) Ikhlas dan membetulkan niat.
2) Sejajar dengan sunnah dan syara'.

Ikhlas adalah bicara batin, tersembunyi. Antara kita dan Allah yang tahu peperangan tersebut. Manakala rukun kedua adalah neraca yang zahir, ternampak.



"Dan sesiapa yang berserah diri (bulat-bulat) kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan ihsan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali Allah) yang kukuh.." [Luqman: 22]

Penyerahan diri kepada Allah secara total adalah dengan mengikhlaskan niat dan amal, hanya kerana Allah. Dan melakukan ihsan adalah mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. dan sunnah baginda.

Bermakna, jika kurang salah satu dari keduanya, maka amal kita menjadi cacat dan tidak bersih. Sekalipun kita menyangka bahawa kita beramal terlalu banyak dan terlalu bersungguh dan terlalu lama.

Ikhlas Hasil Kejelasan Tauhid.


"kenapa ikhlas menjadi ukuran sama ada tauhid (pengesaan) kita kepada Allah bersih atau tidak?".


"..oleh itu, sesiapa yang (percaya) dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan tidak menyukutukan Rabbnya dalam ibadahnya sesiapapun.." [alKahfi: 110]


Sungguh. Ikhlas tidak akan mampu hadir tanpa kita benar-benar mengimani apa itu Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah.

Tauhid Rububiyyah adalah apabila kita mengimani dengan sepenuh yakin bahawa segala yang ada pada diri kita, kelebihan yang kita ada, kebijaksanaan yang kita ada, kepetahan yang kita ada, kebaikan yang kita ada, dan segala alam raya yang hebat dan sebesar langit dan bumi ini adalah penciptaan Allah yang Maha Agung, Maha Hebat, Maha Pencipta, Maha Pembentuk Rupa, Maha Menguasai, Maha Merajai dan sebagainya.

Tiada sekutu dalam kekuasaan kerajaan dan Maha Suci Allah dari segala kelemahan.



di manakah kita di dalam pandangan angkasa ini? T.T

Tauhid Uluhiyyah pula adalah kesan keimanan kita kepada kehebatan dan keagungan Allah. Apabila kita meyakini bahawa kita, bumi, langit dan alam milik Allah, maka kita akan merasai betapa gentingnya Allah dalam kehidupan. Lantas, kita menyerahkan secara total rasa kehambaan, kecintaan, pengharapan, ketakutan, tunduk patuh, sembahan, rasa hina dan kerdil semata kepada Allah. 

Apabila kita mengimani tauhid Rububiyyah, akan membawa kepada tauhid Uluhiyyah yang maksima, kesannya, keterikatan kita dengan dunia akan hilang. Dan itulah "خلص" (selesai).

Bilamana kita yakin bahawa kebaikan dan peluang yang kita ada adalah milik Allah secara total, apakah layak untuk kita merasakan bahawa kita ada saham dalamnya? Justeru, apakah layak untuk kita mengharapkan imbuhan dunia dan kepujian?

Namun, pastilah semua itu bukan bermula secara tiba-tiba, proses dan latihan berterusan sangat penting.

Semuanya Bermula dengan Tafahhum.



Kita mahu memiliki akar yang tunjang, kukuh mencengkam. 
Bukan sekadar batang yang tinggi melayut tetapi rapuh dengan tiupan angin.

Faham.

Dengan faham, kita mampu diizinkan Allah untuk mengenal syara' dan sedar untuk apa kita menjaga ikhlas.

Jika amal cuma dinilai oleh ikhlas, maka Ibnu Taimiyah sendiri telah memberi pengiktirafan kepada golongan khawarij sebagai mereka yang banyak beribadah, wara' dan zuhud, namun mereka tidak memilik ilmu kefahaman atas apa yang mereka amalkan. Malah mereka dalam kesesatan yang nyata.


"Seorang faqih itu lebih ditakuti oleh syaitan berbanding seribu orang 'abid". (hadis riwayat atTarmizi)

Kefahaman yang benar ke atas deen yang diturunkan oleh Allah melalui risalah baginda s.a.w. membuatkan kita kenal apa itu Iman, Tauhid dan Taqwa.

Kita mampu meyakini kewujudan Allah, malaikat, kitab, Rasul, hari qiyamah dan susunan hidup qada' qadar kita dengan kefahaman. Maka lahirlah kesedaran matlamat penciptaan kita di atas muka bumi dan bercita-cita besarlah kita.

Kita mampu mengesakan Allah dalam keagunganNya dan dalam 'ubudiah kita sebagai hamba kepadaNya dengan kefahaman. Maka lahirlah jiwa yang merdeka dari kesempitan dunia kepada luasnya kehambaan kepada hanya satu tempat pergantungan.

Kita mampu takut, berhati-hati dan merasai muraqabatullah (pengawasan Allah) dengan kefahaman. Maka lahirlah amal serta kehidupan yang tidak berpura-pura meraih kemuliaan manusia.

Bukankah semua itu membawa kepada ikhlas yang mana sifatnya melapangkan kita dari ikatan pengharapan dunia dan manusia?

Penutup: Perbaiki dan terus memperbaiki Noktah Bidayah Kita.

Saya menulis ini untuk diri sendiri. Berkata-kata untuk peringatan hati.

Kerana selepas melalui perjalanan kehidupan dan cerita yang pelbagai warna ini, perkara yang sangat penting dipaku dalam-dalam ialah 3 patah kata yang pendek dan kelihatannya remeh itu, iaitu,

"Iman, Tauhid dan Taqwa".

Dan semua itu tidak akan dapat, melainkan dengan kita memohon kepada Allah agar dikurniakan kefahaman yang benar dan jelas di atas jalan ini. Agar kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang rugi, paling rugi apabila kehidupan kita di dunia menjadi faktor kita dicampakkan sebagai bahan bakar api neraka. Nau'zubillah minzalik. T.T

Juga, kesedaran untuk bersusah payah menjaga semua itu, kesedaran untuk bersungguh-sungguh mengadu kepada Allah sehingga terasa pedihnya hati dan lajunya air mata semata kerana mengharapkan penerimaan Allah, tidak akan lahir melainkan apabila kita sedar, kepada siapa kita beriman.

Allahua'lam.



nota kaki:
- Saya bukan yang terbaik. Banyak kelemahan dan kekurangan. Tetapi saya tahu kelebihan apa yang telah Allah berikan dan insyaAllah kelebihan itu yang akan dimaksimakan.

-Doakan saya teman.