Saturday, September 22, 2012

Quoted IV



"Mukhlisah..kereta yang mukhlisah naik sekarang ni, duit atuk punya tau.." beritahu ummi Mukhlisah.

True Love is,
"Show, Don't (Just) Tell"

Kata bonda, mengucapkan kata-kata sayang beribu kali pun tanpa tindakan, tidak berguna.
Jika sayang sebenar itu ialah membawa orang yang kita sayang ke dalam syurga Allah,
makanya kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan apa-apa yang membawa kita ke sana dan juga bersungguh-sungguh menjaga daripada apa yang menghalang kita ke sana.

betul?

Nota Kaki:
-bermusim itu perkara biasa, bukan?
-bonda, semoga Allah menjaga bonda di Malaysia! ='(

Friday, September 14, 2012

the Cute Little Monsters

Alam rumahtangga mungkin indah dan harum ketika awal-awal kita melangkah. Musim bulan madu, fatrah taaruf, tahun malu-malu dan keriangan menanti anak pertama dilalui dengan gambaran yang cantik dan warna warni.

Namun hakikatnya perjalanan itu sangat panjang dan masih jauh.

Hadiah Cinta.

Akhir-akhir ini saya gemar memerhatikan manusia-manusia yang saya ketemu lebih-lebih lagi mereka yang telah lama berumahtangga dan sedang dalam fatrah membesarkan anak-anak.

Menarik meluangkan waktu bersama dan mendengar perkongsian pengalaman mereka. Belajar dari pemerhatian sebuah kehidupan yang mahal.

Bersama mereka yang sedang melalui fatrah anak pertama dan di awal usia perkahwinan, melihat mereka yang sedang kalut mengejar anak-anak kecil yang mula merunsingkan dan memunggah rumah dalam keadaan berada dalam fasa kritikal rumahtangga iaitu 5 tahun kedua, melihat mereka yang melayani karenah permasalahan anak-anak yang sedang tumbuh membesar dan mula bijak bertanya dan menilai, melihat mereka yang sedang menghadapi fatrah anak-anak remaja yang sedang berada dalam zaman konflik jiwa dan seterusnya ibu bapa yang sedang dalam zaman anak-anak dewasa.

Satu fasa demi satu fasa yang mencabar.

Teruja vs Tekanan.


kanak-kanak hanya akan diam apabila tidur. 
Kerana itu hobi saya adalah menidurkan Mukhlisah. :D

 "kakak ni hampir depressed..tahun depan kakak ni kata nak berhenti kerja. Tak tahan..", bisik bonda ketika kami sedang menziarahi seorang kenalan rapat.

Saya diam. Melihat keadaan rumah yang dipenuhi jeritan 4 orang anak-anak seusia 5 tahun - bayi yang berlari-lari ke sana ke mari memanjat sofa, tangga dan segala serta barang-barang yang tidak tersusun membuatkan saya faham atas faktor apa depression itu berlaku.

Sebak.

Bukan kali pertama depressive syndrome melanda mereka yang saya kenali. Apatah lagi bagi mereka yang sedang dalam fatrah anak-anak membesar.

Mungkin bagi pasangan yang baru berumahtangga, menerima berita kehamilan pertama adalah sesuatu yang ditunggu dan keterujaan menanti bayi comel yang gebu itu dihitung setiap hari. Namun setelah lahir dan mula meragam, apakah cukup bersedia?

Seorang anak, mungkin masih terkawal. Jika dua, tiga, empat, lima, dan seterusnya? Apatah lagi jika semuanya membesar dalam satu fatrah.

Serius. Fenomena syndrome ini bukan isu remeh sebenarnya.

Kajian yang pernah dijalankan oleh federal government's National Survey of Families and Households USA, yang melibatkan kaji selidik terhadap 10,000 orang dewasa sekitar 1980s, dan diikuti kajian pada tahun 2003 menunjukkan bahawa tekanan lebih banyak dihadapi oleh pasangan yang mempunyai anak.

Menurut Robin Simon, Ph.D., dari Florida State University, yang menjalankan kajian bersama Ranae Evenson, Ph.D., dari Vanderbilt University in Nashville, "In terms of depressive symptoms, parenthood is not good," lantaran tekanan perasaan akan lebih banyak berlaku sepanjang fatrah tersebut.

Rujuk: ( Debra Gordon: Is Motherhood Depressing?)

Dan kaum ibu yang akan paling banyak menghadapi tekanan ini. Mungkin atas faktor emosi.

Penting: Persediaan Menghadapi yang Paling Dahsyat.

 "kita tidak boleh menjadi ibu bapa yang baik jika hanya suka dengan kanak-kanak. Kita kena suka dengan anak-anak.", tulisan Ustaz Hasrizal dalam artikel Antara Anak-anak dan Kanak-kanak.

 Melangkah ke alam perkahwinan yang cuma dibayangi dengan fantasi cinta, kemesraan, belaian sayang, anak comel yang tersenyum dan segala cerita pari-pari indah adalah sesuatu yang sangat karut dan mengundang bahaya.


Kakak dan Mumu

Teringat kakak ada berkongsi dalam cerita pengalamannya, ketika sebelum berwalimah, segala perancangan telah disusun dan dirangka, namun saat berada dalam dunia sebenar, segala perkara berjalan terlalu cepat dan tidak dijangka. Malah persediaan yang selama ini dirasa kuat dan lama, hilang dan ketika itu emosi terganggu.

Itu baru cerita anak seorang dan masih kecil comel.

Teringat kakak ada menceritakan satu kisah yang didengari dari penyampaian seorang ustaz dalam satu kuliah agama, pernah terjadi baru-baru ini peristiwa seorang ibu yang tanpa sengaja terbunuh anaknya yang baru berusia 2 tahun lebih lantaran terlalu geram dengan tindakan anaknya yang suka menyepahkan rumah.

Ibu tersebut dikurniakan anak setelah hampir 15 tahun berkahwin dan setelah memiliki anak, dia mengalami tekanan emosi kerana si ibu merupakan seorang yang sangat mementingkan kekemasan dan kebersihan rumah. Peristiwa itu berlaku tanpa sedar apabila anaknya mengoyakkan kertas-kertas yang telah disusun dan si ibu menampar muka anak tersebut. Sedar-sedar, anak telah terjatuh dan pengsan. Kata doktor, anaknya tidak dapat diselamatkan lagi dan telah meninggal dunia serta merta ketika terjatuh.

Itu baru cerita anak yang suka menyepahkan rumah.

Teringat pengalaman beberapa hari berada dalam pusat jagaan kanak-kanak (nursery) di dalam kampus tempat kakak bekerja.

Bukan semua anak-anak faham bahasa dan pandai duduk diam baik-baik. Ada yang berangin dan kuat meragam. Menjerit-jerit dan suka menganggu kanak-kanak lain sehingga membuatkan yang lain menangis. Ada yang suka mengendel dan tidak betah untuk berenggang. Hanya mahu didukung 24 jam. Dan pelbagai  lagi karenah yang menuntut kesabaran dan kesedaran psychology.

Tidak hairan jika diselidiki punca penderaan dan pembunuhan anak-anak adalah kesan gangguan emosi yang bercelaru.

Sungguh. Jika tidak bersedia untuk ditimpa beratnya tekanan mental, fizikal dan emosi maka alam rumahtangga itu masih terlalu jauh untuk kita bersedia fikirkan.

 Penting: Kesefahaman dan Kerjasama Suami Isteri.

 Antara perkara terpenting dalam menghadapi tekanan 'The Cute Monsters' ini ialah pasangan suami isteri yang saling memahami dan sentiasa bersedia membantu meringankan beban.

Dua contoh mudah yang melucukan tetapi sering berlaku yang dipetik dari tulisan Evonne Lack: What new parents fight about an how to avoid the arguments :

Contoh Pertama:  "Can you get up with the baby? I'm exhausted."

"No one can say who's more tired, because neither of you really knows. The reality is, if you're both feeling exhausted, you both need help," komen Carolyn Pirak, seorang clinical social worker yang berlesen dan pengarah program Bringing Baby Home.

Sedangkan antara faktor tekanan emosi adalah tekanan fizikal kesan waktu rehat yang sedikit. Banyak yang berlaku adalah apabila memiliki anak, para ibu yang akan lebih cenderung berkorban berjaga malam untuk menemani anak yang menangis, tidak sihat dan sebagainya.

 Dan para bapa sinonim sebagai golongan yang penyabar kerana masih mampu tidur lena atau meneruskan tidur dalam keadaan anak menangis. =)

Sangat tidak logik dan tidak berperikemanusiaan jika pasangan suami isteri itu bekerja dan sama-sama keletihan, tetapi si isteri apabila pulang perlu terus mengerah tenaga untuk rumahtangga.

Contoh Kedua:  "Here, the baby wants you"

 "As soon as our son needs something or starts crying, my husband hands him off to me," adu seorang ibu. "He'll only spend time with him when the baby's happy."

=)

Perkara biasa bukan?

 Sedangkan anak-anak itu adalah anak bersama. Maka mengapa memilih untuk membebankan isteri bagai anak itu adalah masalah isteri seorang?

"I want to comfort my child. But it's kind of hard when she's screeching as though I'm the devil." Itu fenomena jawapan biasa bapa-bapa. Sedangkan itu petanda bahawa bapa-bapa tersebut tidak berada dekat dalam kehidupan si anak.

Bukankah itu petanda bahaya?

Dua tips buat kaum bapa yang dikongsikan sebagai penyelesaian fenomena screaming-for-mommy ini:

1) Banyakkan rutin harian bersama anak semenjak kecil. Contoh, semenjak baru dilahirkan, tugas ayah adalah memandikan baby.

2) Amalkan sikap mengambil tugas mendukung baby semenjak kecil. Apabila berjalan ke mana-mana, maka tugas ayah adalah mendukung baby tidak kira sama ada bersama sling, carrier atau mana-mana babywearing device yang lain.

Ini tidak, sudahlah isteri telah membawa beban berat anak selama 24 jam sepanjang 9 bulan, setelah anak keluar, suami masih gemar berjalan lenggang.

Justeru, wahai bapa-bapa dan bakal-bakal bapa, kalian yang menentukan sama ada kalian adalah suami yang manusia atau suami yang bukan manusia.


Mumu semasa demam baru-baru ini.

Penutup: Bukan Sekadar Sayang Seorang.

Sebelum berkahwin, banyak pasangan boleh berjanji untuk setia mencintai, menjadi penyokong yang baik, teman hidup semasa susah dan senang, namun realitinya bukan semua mampu menepati janji.

Setakat ini, satu kesimpulan kuat yang saya mampu buat dari keseluruhannya ialah, alam rumahtangga itu bukan sekadar manisnya cinta suami isteri tetapi lebih besar dari itu iaitu kesediaan untuk berlapang dada dengan segala TANGGUNGJAWAB dan kuat menghadapinya.

Lantaran cinta kita kepada pasangan itu hanya di permulaan tetapi hasil cinta itu yang datang bersama cabaran dan masalah hanya akan mampu dihadapi dengan rasa tangungjawab.

Apatah lagi cinta itu bermusim, bukan?
Pokoknya, sayang kita bukan kepada suami semata atau kepada isteri semata tetapi kepada sebuah keluarga yang dibina serta perjalanan kisah keluarga tersebut.


"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. "[Al-Furqan 25: 74]

nota kaki:

-oh ya. Terlupa memberitahu awal-awal bahawa saya belum berwalimah dan baru bertatih menuju alam itu iAllah. Justeru tulisan ini untuk saya sendiri dan hadiah buat bakal ayah anak-anak saya. Semoga kami tidak melihat alam rumahtangga itu dari sudut tingkap cerita dongeng pari-pari tetapi dari pandangan realiti yang fitrahnya adalah kehidupan yang menguji.

-soalan untuk kaji selidik sama ada anda tergolong dalam kalangan mereka yang depression atau tidak. =)
Quiz: Are You Depressed?

- serius saya jadi takut apabila memikirkan bekalan saya untuk berhadapan dengan semua ini. Bersediakah saya?

-akan pulang ke Jordan pada 18hb. Selamat tinggal Malaysia. ='(