Wednesday, June 20, 2012

Our SuperHeroes.

Membesar dengan kisah-kisah manusia hebat yang diceritakan bonda setiap malam sebelum tidur membuatkan saya sangat mencintai mereka.

Abu Ubaidah alJarrah r.a, Bara' Malik alAnsori r.a, Abu Bakr asSiddiq r.a, Umar alFarouq r.a, Khalid alWalid r.a, Mus'ab Bin Umair r.a, Ja'afar Bin Abi Talib r.a. dan ribuan bintang-bintang lain yang menyinari lipatan sejarah dunia. Mereka manusia hebat. Mereka manusia terpilih yang telah meredhai Allah dan Allah meredhai mereka.

Mereka dijamin syurga semenjak masih hidup. Malah, mereka menjadi pendamping dan pendokong Rasulullah s.a.w. belahan hati yang selayaknya kita cintai.

Namun, zaman itu telah berlalu. Jauh. Terasa sangat jauh untuk kita kejar mencontohi. Malah terasa suasana jauh berbeza. Jahiliyyah semakin zalim dan kejam. Iman terus menerus dicalari dan ditusuk.

Maka akan terluah penuh lelah, "mereka hebat kerana mereka sahabat Rasulullah.. Mereka berada di zaman yang jahiliyyahnya adalah kebodohan dan batu. Tetapi jahiliyyah hari ini lebih dahsyat membunuh..

apakah mungkin kita akan terpelihara seperti mereka?"

Mereka Ikhwanku, Kalian Sahabatku.


Sheikh Raed Solah

Pernah suatu hari, ketika sahabat-sahabat sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w, baginda menyebut, "aku merindui ikhwanku..". 

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya penuh tanda tanya.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kalian adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."


"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.



.......

Bukankah sangat cantik kisah ini? :')

Air mata pasti bergenang setiap kali ruh kerinduan baginda s.a.w menguasai. Benar. Yang dirinduinya adalah ummat hari ini. Kita. Dan mereka yang turut sama mengimani ketauhidan tersebut.


Ikhwan Yang Hebat Terus Dilahirkann Bukankah Kekuatan Itu Bukan Mustahil?




Ismail Haniyyeh
Perdana Menteri Palestin yang paling digeruni Israel.


Ketika saat kita merasakan untuk mencontohi para salafussoleh itu sesuatu yang mustahil, lantas selongkarlah dunia. Kita akan menemenui suatu kelompok yang hidup sezaman dengan kita serta merempuh jahiliyyah yang sama dahsyat dengan kita, namun mereka mampu menjadi bintang-bintang bersinar yang menyinari dunia Islam.

Sungguh. Apabila mengalami suatu fatrah yang cenderung futur, maka kisah-kisah mereka akan saya selongkar di internet. Lantas jadi malu dengan diri sendiri.


Mereka tumbuh dari rimbunan masyarakat rosak yang sama. Bahang matahari jahiliyyah yang terik tetap sama pedih membakar. Namun mereka mampu tumbuh subur sebagai pohon terbaik seluruh alam. Buah mereka menyegarkan manusia yang kehausan. Bunga mereka harum disebar angin bayu ke serata dunia. Rendang mereka meneduhkan musafir yang lelah berjalan.


Hebatnya mereka acuan Tauhid dan Iman. Dan benarlah seperti apa yang disabda baginda s.a.w. 1400 tahun yang lalu:


Akan senantiasa ada satu kelompok dari umatku yang berperang di atas urusan Allah. Mereka mengalahkan musuh-musuh mereka. Orang-orang yang memusuhi mereka tidak akan mampu menimpakan bahaya kepada mereka sampai datangnya kiamat, sementara keadaan mereka tetap konsisten seperti itu." (HR Muslim)

Maka, bukankah sesuatu yang rugi jika kita tidak berusaha mencontohi mereka?


Wahai Anak-Anak, Merekalah SuperHeroes mu!

Menjadi sesuatu yang memalukan jika hari ini, anak-anak kita masih didedahkan dengan superhero-superhero ciptaan jahiliyyah seperti Batman, Ben10, Naruto, Supeman dan sebagainya yang palsu dan sia-sia sedangkan dalam masa yang sama ada peribadi-peribadi mulia yang lebih layak untuk diangkat untuk dicontohi.


Recep Tayyip Erdogan
Perdana Menteri Turkey

Ketika awal AKP memenangi kerusi parlimen Turkey, 2002 saya masih di bangku sekolah rendah. Namun akibat minat terhadap fakta dan sejarah, maka kisah mereka telah saya korek.


Walaupun perjalanan AKP adalah sangat panjang, namun dunia baru terledak dengan keberanian tokoh ini selepas peristiwa di awal tahun 2009 apabila Erdogan dengan berani menempelak Presiden Israel dalam World Economic Forum sebelum keluar sebagai tanda bantah terhadap serangan Gaza.

                     

The most adorable man in the whole world!

Kisah Lanjut: Recep Tayyip Erdogan 



asSyahid Furkan Dogan

Pemuda ini sebaya saya. Dan jujur, saya malu untuk mengaku. Kerana beliau telah 2 tahun berada di dalam syurga, sedangkan saya masih bergelumang dengan dunia.

Antara kata-kata akhir yang dicatat sebelum kesyahidannya yang membuatkan saya rasa terpukul,

"It is the last hours to martyrdom, insha'Allah. I am wondering if there is a more beautiful thing. The more beautiful thing is only my mother, but I'm not sure. The comparison is very difficult. Martyrdom or my mother? Now, the hall has been evacuated. So far people were not serious, but they have become serious recently.

Bukankah itu bukti bahawa jiwanya terpelihara sehingga hanya ada 2 perkara yang paling dicintainya iaiatu syahid dan ibunya sendiri.

Sungguh. Saya malu dengannya.

Kisah lanjut: Furkan Dogan.



Bulent Yildirim
Presiden NGO kebajikan yang melangkaui bangsa dan sempadan, IHH.

Dizinkan Allah untuk terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan bermula semasa perang Bosnia 1995. Seterusnya secara serius bergerak membantu kerja-kerja amal kebajikan dan jihad. Dan yang pastinya menjadi antara tokoh yang sangat hajat untuk saya temui..T_T


IHH termasuk dalam senarai Persatuan Radikal dan Terroris oleh pihak Israel, namun itu bukan sesuatu yang menghalang.Dan hari ini, kita mampu lihat IHH menjadi pihak pertama dalam mana-mana kawasan saudara Muslim yang memerlukan.


Semoga Allah memberkahi mereka dan memuliakan mereka dalam kalangan makhluk langit insyaAllah.


Kisah Lanjut: Bulent Yildirim.


asSyahid Yahya Ayyash

Antara engineer terawal Bridge alQassam (sebelum Muhannad). Syahid ketika berusia 30 tahun dalam tahun 1996 dengan cara kotor iaitu asSyahid telah diberikan telefon mudah alih (handphone) yang dicipta bersama bom jangka melalui orang kepercayaan beliau oleh pihak Israel. Apabila asSyahid menggunakannya, satelite Israel mampu mengesani sekaligus mengaktifkan bom tersebut.

asSyahid menjadi orang yang paling dikehendaki Israel selama 3 tahun selepas berjaya merancang misi yang membunuh lebih 90 orang tentera Israel.

Kisah Lanjut: Yahya Ayyash.




asSyahid Muhannad atThohir
engineer ke4 Bridge alQassam.

Syahid pada tahun 2002 ketika umurnya 26 tahun setelah berjaya menjadi orang yang paling dikehendaki oleh Israel kesan kehebatannya yang bertanggungjawab merancang pembunuhan lebih 100 orang tentera Israel.

Ketika pihak Israel mahu membunuhnya, mereka mengepung bandar yang telah dikosongkan dengan segala kekuatan kereta kebal-kereta kebal, helikopter-helikopter dan tentera-tentera yang lengkap manakala asSyahid cuma bersama seorang sahabatnya. 2 orang berhadapan kekuatan jentera besar musuh, bukankah itu sesuatu yang sepatutnya memalukan pihak musuh?





Abdul Razak Thollas

Abdul Razak merupakan salah seorang tentera Syria yang keluar semenjak di awal kebangkitan dan menyertai Tentera Pembebas Syria. 

Dan sekarang beliau memimpin sebuah angkatan batalion yang diberi nama alFarouq.

Semoga Allah memenangkan mereka ke atas kezaliman Basyar dan juga menghadiahkan mereka sebaik-baik pengakhiran iaitu syahid.



video pemuda hebat .



Saya memberi namanya Umar Huriyye.

Sangat mendoakan agar suatu hari nanti, saya mampu melahirkan putera secekal dan sehebatnya. Sungguh-sungguh.

Baru berusia 4 tahun, namun telah menjadi mujahid yang berjiwa besar. Umar yang lantang dengan suara comelnya telah menyaksikan sendiri bondanya dibunuh di hadapan mata. Tidak seperti kanak-kanak yang lazimnya akan fobia dan kemurungan, Umar bahkan semakin sedar dan faham apa itu perjuangan yang mendewasakan.

Wahai Umar, melihat kamu yang hebat, membuatkan saya terfikir, alangkah bagusnya jika dapat saya ketahui rahsia kehebatan ayah bondamu sehingga lahirnya kamu, sang mujahid kecil berjiwa singa.

:')



anak ajaib.

Penutup: Mujahadah Melahirkan Mujahid.


Malu untuk mengaku, tetapi saya menyimpan satu impian yang besar. Mungkin terlalu besar sehingga saya merasakan sesuatu yang mustahil untuk terjadi. Namun terus mendoakan semoga Allah memakbulkan impian saya yang penuh kelemahan.


Impian saya, semoga dari rahim ini lahirnya manusia-manusia yang hebat. Mungkin jika belum termakbul untuk anak-anak, saya tetap mendoakan semoga generasi yang seterusnya akan diizinkan Allah.


T_T


Dan pastilah, persiapan untuk membina mujahid-mujahid itu mesti dimulai sekarang. Semoga Allah menguatkan.



Norman Finkelstein
Antara tokoh non-muslim yang sangat saya kagumi. 
Semoga Allah menghadiahkan beliau kemuliaan Islam. Ameen.


nota kaki:
-Bagaimana mahu sentiasa menjadi muslim yang terbaik? T_T


-Ramadhan semakin hampir. Mari terus berusaha melakukan persediaan yang terbaik. Semoga dikuatkan untuk peroleh ijazah Taqwa yang cemerlang insyaAllah.



Tuesday, June 12, 2012

.quoted.


"hasna' selalu cerita perancangan anak-anak perempuan. Nak bagi ke hadapan la, berani keluarkan hujah la, ada critical thinking la...apa perancangan anak lelaki?".

er.

"anak lelaki...hasna' nak mereka ikut ayah mereka. Sebab ayah mereka lagi hebat".

*blushing*


nota kaki:

-Susunan Allah memang sentiasa tercantik dari segala yang cantik. Setuju?
Lalu, jangan pernah rasa ragu dengan susunan Allah. Bukankah Dia Pencipta yang Maha Tahu?

-Teringat dahulu, saya selalu bercita-cita untuk mengikuti misi kemanusiaan namun tahu bahawa wanita selain doktor agak susah terpilih. Dan Allah izin sesuatu yang lain. insyaAllah, mengiringi relawan ke misi kemanusiaa di muka pintu juga dinilai Allah. Mana tahu, terpilih untuk misi Mavi Marmara yang akan datang, mungkin? 

-Jangan pernah terlupa untuk mendoakan saudara-saudara kita di Palestin, Syria dan di mana sahaja. Mereka saudara kita. Darah mereka, darah kita.

-Berbaki lagi sebulan lebih, Ramadhan bakal tiba. Apa persediaan kita?

-baik. sekali sekala post peribadi, tidak salah kan? Harap-harap tidak ada orang yang baca.

Monday, June 4, 2012

Syiah, Iran dan Syria.

'Syiah'.

Perkataan yang pertama kali saya jumpa di usia sekolah rendah ketika membaca buku seerah Perang Jamal dan Siffin. Awalnya saya kira, hanya kumpulan biasa yang wujud kesan konflik Saidina Ali r.a. dan Muawwiyah r.a. sebelum saya mula melihat dunia mereka ketika ayah membawa kami memijak bumi Iran pada tahun 2003.

Pulang dari Iran, melihat keanehan mereka yang begitu ta3sub terhadap imam sehingga memuja kuburan, laungan azan yang pelik, pergerakan solat yang ganjil, masyarakat yang terasing membuatkan saya mula menyelongkar segala cerita berkaitan Syiah.

Saya mula berminat membaca artikel-artikel berkaitan 12 imam mereka, berkaitan sejarah kesesatan mereka, mazhab-mazhab mereka yang memeningkan dan paling penting berkenaan Revolusi Iran 1978.


gambar 12 imam mereka termasuk saidina Ali, Hassan dan Hussain.

Konklusi yang mampu saya simpulkan ialah, kesesatan mereka ini bermula dari emosi fanatisme terhadap pecahan politik. Remeh sahaja masalah mereka namun apabila dijadikan asas pegangan maka, kucar kacir besar yang telah meletus seperti yang dikupas oleh dr. MAZA dalam tulisannya, SYIAH: mazhab atas nostalgia sejarah.

Syiah: Asas Kesumat Mereka.

Jika kita menyelak segala cerita berkaitan mereka, antara asas yang menjadi tunjang terciptanya 'syiah' ialah seerah ahlu bayt yang penuh keta3suban.

Mereka akan mengambil seerah bermulanya dari perlantikan saidina Abu Bakr dan Umar r.a yang dikatakan silap. Kemudian diteruskan oleh zaman Saidina Uthman yang diceritakan sebagai pemimpin yang penuh kelemahan dan lembik. Malah saidina Uthman juga difitnah sebagai seorang yang mementingkan ahli keluarganya dan mengabaikan tugas sebagai seorang khalifah yang adil.

Ditambah pula dengan kewujudan munafiq penabur fitnah, Abdullah Bin Saba' yang mengadu domba. Sungguh. Saat itu dunia Islam menjadi kabut.

Ditambah seerah ketika berlaku perselisihan faham antara saidina Ali r.a. dan Muawiyah Ibn Abi Suyan r.a. yang menyebabkan tercetusnya perang Siffin dan Jamal.

Sedangkan puncanya masing-masing dengan ijtihad sendiri. Muawiyah menuntut agar pembunuh saidina Uthman lekas segera dicari dan diadili agar pemberontakan yang sama tidak berulang, manakala saidina Ali melihat bahawa lebih perlu fokus memperbaiki pemerintahan dahulu.

Berlanjutan dengan fitnah dan mengkafirkan isteri baginda s.a.w iaitu Aisyah r.ha, Thalhah Ubaidillah dan Zubair alAwwam yang ketika berlakunya perang tersebut menyebelahi Muawiyah sebelum mengambil sikap berkecuali dan keluar perang. Dan ketika 2 sahabat besar itu sedang menunaikan solat, mereka dibunuh oleh pengikut saidina Ali yang dengan gembiranya mengkhabarkan pembunuhan tersebut namun ditempelak oleh saidina Ali dengan hadis, "aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, sesungguhnya tempat yang layak bagi pembunuh Zubair adalah neraka!".


tuduhan syiah terhadap ummul Mukminin.


Saya tidak mahu mengolah panjang berkenaan sejarah mereka kerana itu bukanlah kepakaran saya.  Cuma yang perlu kita fahami di sini ialah urgensi untuk kita menceduk lembaran-lembaran seerah yang benar dan jelas. Dan berhati-hatilah terhadap sumber dari golongan tertentu yang memutar belit seperti yang pernah ditulis oleh ustaz Hasrizal dalam tulisannya, Pendustaan Syiah dalam Sejarah Islam.

Sheikh Abu A'la alMaududi dalam bukunya 'Khilafah dan Kerajaan', ada mengulas berkenaan isu fitnah terhadap khalifah Uthman r.a. yang sebenarnya hanyalah miss-comunication yang diperbesarkan dan ditokok tambah.



berhati-hatilah!

Syiah dan Revolusi Iran.


Khomeini yang diagung-agungkan.

Jujurnya, saat masyarakat banyak mengangkat Ahmedinejad sebagai tokoh yang perlu dicontohi, saya kurang bersetuju walaupun usia ketika itu cuma sekitar belasan tahun, kerana mengikut bacaan sejarah, syiah  adalah suatu anutan yang memang penuh tipu muslihat.

Masakan tidak, kejatuhan khilafah Umaiyah dan Abbasiyah itu juga kesan dari sifat mereka yang bermuka-muka dan hasad. (Sedikit catatan ringkas Ustaz Hasrizal berkenaan sejarah mereka, Sejarah Pertelingkahan Sunni-Syiah.) Malah Salahuddin alAyyubi terpaksa mengambil suatu tempoh yang agak panjang dalam persediaan pembukaan alQuds bagi membanteras jenayah syiah dahulu.

Revolusi yang berlaku pada 1979 ini, diketuai oleh Khomeini akibat kezaliman Shah Reza yang lebih banyak menurut arahan presiden US.

Ketika awal berlakunya revolusi, seluruh ideologi turun ke jalan raya, bersama mengumpul kekuatan bagi menumbangkan Shah Reza. Dalam pada itu, Khomeini yang berlindung di Iraq (akibat hubungan yang tidak baik dengan Shah Reza) diangkat sebagai tokoh lantaran yang terpamer ialah kezuhudan, keagamaan dan ke'ikhlas'annya bersama janji-janji manis kebebasan masyarakat Iran darri sudut bersuara, ideologi, ekonomi, politik dan sebagainya.

Namun sebaik sahaja kerajaan lama berjaya dijatuhkan dan Khomeini naik, demokrasi yang dijanjikan langsung terhapus dan kerajaan dipegang secara mutlak oleh 'orang agamawan'.

Rakyat tidak berpeluang untuk memilih kerajaan dari kepimpinan yang meraka pilih malah terdapat beberapa lagi pengkhianatan Khomeini terhadap masyarakat Iran seperti yang dikupas oleh Elmer Swenson dalam tulisannya What Happens When Islamists Take Power: The Case Of Iran.

 Sebanyak hampir 6 000-10 000 tahanan politik dibunuh dan majoritinya adalah mujahidiin sunni (yang terlibat dalam revolusi). Sedangkan ketika fatrah memancing pengaruh, Khomeini pernah menabur janji, dengan kata-katanya yang terkenal,

"We must establish a government that will enjoy the trust of the people - God know that your capacity and courage are not less than those of others - unless, of course, the meaning of courage is oppressing and slaughtering the people; that kind of courage we certainly don’t have." (Khomeini in exile, January-February 1970.) 



Hassan Khudri yang dijatuhkan hukuman gantung sehingga mati 
akibat bermazhab Sunni dan melaksanakan Dakwah.

Malah kesan lain yang mencengkam sunni di Iran ialah, penghapusan masjid dan dikatakan bahawa sifar Masjid Sunni di Tehran dengan alasan yang diberi oleh salah seorang rujukan Syiah, Misbah alYazdi yang diwawancara oleh The Daily News, (rujuk: Revolusi Iran tulisan Ustaz Abu Huzaifah atsary)

“Kalau di Mekkah telah diizinkan untuk membangun Huseiniyyah, maka barulah di Teheran boleh didirikan mesjid Ahlussunnah”

Maka, jelaslah bahawa segala propaganda bahawa Iran sebagai sebuah negara Islam dengan laungan semangat menghapuskan Israel dari bumi Palestin adalah satu pembohongan. Loqik akal, jika benar, mengapa masih belum digerakkan ketenteraan mereka sedangkan yang dicanang-canangkan mereka adalah sebuah kerajaan yang memilih ketenteraan setanding kuasa besar US dan Israel.

Syiah dan Syria.


Abdul Razaq Tolas berjaya menangkap beberapa warga negara IRAN yang menceroboh ke Syria. Mereka semua disoal siasat Tolas dan ditangannya terdapat pasport milik seorang warga Iran. 

Sejarah Syiah dalam kerajaan Syria telah bermula lama semenjak Hafez alAssad mengambil alih kuasa dari pemerintah sebelumnya.

Antara peristiwa yang terkenal dan dikambus lama sebelum rakyat mula berani bersuara membuat laporan ketika revolusi telah berlaku, ialah peristiwa pembunuhan seramai 40 000 orang sunni di Hama yang disabitkan kesalahan sebagai pemberontak.

Selepas peristiwa tersebut, para ulama' sunni antaranya Sheikh Ramadhan alBhutti berijtihad untuk tidak menentang kerajaan secara terang terangan dan hanya meneruskan kelas-kelas pengajian biasa.

Syria secara jelas mengamalkan dasar politik tertutup dan ditaktor dengan 84% posisi pemerintah dipegang oleh keluarga besar Assad. Kesannya, sebarang campur tangan luar tidak dialu-alukan dan sebarang berita yang berlaku dalam pemerintahannya mempunyai kesukaran untuk diakses keluar.

Secara automotik, masyarakat sunni walaupun berjumlah majoriti 74% bergerak memenuhi kawasan utara Syria kesan penindasan diskriminasi pemerintahan Syiah.


Seorang pakar rujuk Syiah, Ayatullah Ahmed Jannati berucap di Universiti Tehran berkata:   
“Kewajipan bagi Syiah untuk memasuki Syria dan berjihad di samping pentadbiran Syria hingga Syria tidak akan jatuh ke tangan musuh Ahlul Bait Rasul”

Kebencian mereka terhadap sunni dan bersikap pro-yahudi telah lama berlangsung. Malah peristiwa rampasan Bukit Golan oleh Israel dari Syria juga hakikatnya hanyalah tipu muslihat dan Perang Lubnan-Israel 1982 turut mendapat campur tangan Syria.


gambar tentera Israel bersama potret Hafez alAssad ketika berjaya memasuki Lubnan 1982.

Lantas, peristiwa berdarah yang berlaku hari ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan baru terjadi. Tetapi merupakan rentetan dari perjalanan sebuah kisah yang lahir dari emosi kebencian yang berasaskan mazhab yang menyeleweng.

Penutup: Ambil Tahulah!



Prof. Dr. Yusuf Qardhawi.

Setiap kali menyelak sejarah-sejarah berdarah dan peristiwa-peristiwa luka hari ini, yang sememangnya sentiasa berusaha untuk dilupakan oleh sistem, sebenarnya membuatkan kita dapat melihat dunia dari kaca mata yang penuh simpati dan terbeban.

Kita akan merasakan bahawa telah berbillion-billion jiwa diragut nyawa mereka dalam keadaan dizalimi dan kejam. Mereka tersempit dan tertekan lantaran suara halus mereka langsung tidak didengari. Jujurnya, jika ditanya kepada kita, "tahukah 100 nama dari billion mangsa tersebut?". Pastilah kita tidak mampu menjawab kerana kita merasakan bahawa perkara itu sama sekali tidak penting.

Namun, tahukah kita bahawa mereka itu juga MANUSIA yang sama nilai kehormatan dan kemuliaan sebagai ciptaan Allah yang sempurna?

Jika kita merasakan kita layak untuk hidup damai dan aman, bukankah mereka juga layak mendapat hak yang sama?

Maka, ambil tahulah! Bukan sekadar isu ini, tetapi isu-isu kemanusiaan dunia yang lain.

Semoga Allah tidak mencampak kita jauh.


jangan pernah merasakan kain putih itu membalut makhluk dari planet pluto.
Mereka manusia. Mereka Muslim. Mereka saudara kita.



nota kaki:

-sejak akhir-akhir ini, Allah izin kesihatan kurang baik. Badan panas, dan muntah-muntah. Mungkin petanda badan mahu segera pulang ke Malaysia..T_T

-


Thursday, May 24, 2012

Wanita dan Islam II

Perkara biasa apabila isu feminisme muncul, ada suara-suara sumbang melabel,

"perempuan macam ni la..tahu memberontak sahaja. Ikut emosi. Tak ada akal. Agama pun kurang..Kan dah sesat".

Baik. Sebelum apa-apa, saya mahu bertanya dahulu,

"Revolusi Arab tercetus kerana apa? Rakyat bangkit kerana apa? Berlaku pergulingan kuasa kerajaan kerana apa?"

Jawapannya banyak tetapi merangkumi perkara yang sama. Ketidakadilan. Kezaliman. Penindasan. Ditekan. Hak dicabuli. Diskriminasi. Suara dibenamkan. Dan lain-lain.

Fitrah bukan?

Manusia akan bangkit memberontak apabila terasa diri dicengkam dan ditindas.

"Tetapi.., mengapa mesti memilih sekularisme?"

Baik.Saya mahu bertanya semula,

"Jika sebuah negara yang berlaku tunjuk rasa itu dibanteras secara kejam oleh pemerintah negara tersebut dan mereka menjerit melolong memanggil negara-negara lain untuk datang membantu, namun tidak ada seorang pun yang tampil, yang datang hanyalah NATO dan Amerika Syarikat. Dalam keadaan genting dibunuh sebegitu, apakah anda kira mereka akan menolak bantuan tersebut? ".

Begitu jugalah mereka. Ketika mereka membesar dalam keadaan wanita tertindas atas nama 'Islam' yang dirosakkan oleh muslim yang tidak mengamalkan Islam secara syumul dan sempurna, mereka berusaha mencari dan menyelongkar atas dasar menuntut keadilan. Namun terus ditekan dan dalam masa yang sama ideologi luar datang menghulurkan 'resolusi'.


filem wajib tonton untuk mengetahui bagaimana feminisme boleh terbentuk hasil golongan 
agamawan yang zalim
(amaran: cerita ini mengandungi agenda yang tidak baik. Saya berlepas tangan jika anda menontonnya)

Maka, apakah kita mahu menyalahkan rakyat yang menerima 'bantuan' itu atau kita mahu menyalahkan negara-negara jiran yang membisu?

Sejarah Ringkas Feminisme Dan Islamic Feminisme .

File:Womanpower logo.svg

lambang feminisme.

Sejarah feminisme bermula dengan 3 gelombang. Tercetus dari kalimah 'feminisme' pertama oleh Charles Fourier pada tahun 1837. Antara yang diperjuangkan ialah tuntutan hak perlindungan perempuan dari kekerasan rumah-tangga, gangguan seksual dan perkosaan, persamaan hak perempuan dalam bidang pekerjaan dan sebagainya. Sebahagian besar pemikir ideologi ini terdiri dari golongan wanita berpendidikan. 


Selepas Perang Dunia I, para wanita lebih terdedah kepada keyakinan bahawa mereka mampu menjadi sebahagian daripada masyarakat apabila terlibat dalam sektor-sektor negara sepanjang ketiadaan sebahagian besar kaum lelaki yang pergi berperang dan terbunuh. 


Gelombang kedua berlaku selepas Perang Dunia II di mana bermulanya kuasa ekonomi Kapitalisme yang merendah-rendahkan nilai wanita. Kesannya, wanita-wanita bangkit menentang kerana mereka telah membuktikan bahawa mereka mampu membantu dalam pentadbiran pengurusan negara, ekonomi, politik, agama dan rumahtangga.


Dan tercetus gelombang ketiga yang lebih bersifat global dan akhirnya sehingga ke hari ini sedang berlangsung gelombang keempat.


Sejarah lanjut, boleh rujuk History of Feminisme.






Islamic feminisme atau lebih gemar untuk saya sebut sebagai Secular Feminisme kerana Islam hakikatnya memuliakan wanita dan tidak ada apa yang perlu diubah dalam mana-mana bahagian di dalam Islam. Yang WAJIB diubah adalah mentaliti, sikap dan perlaksanaan muslim itu sendiri.

Kesan dari gelombang-gelombang feminisme barat ini, maka tersebarnya ideologi 'Islamic Feminisme' di negara-negara Timur Islam bermula sekitar abad ke 19 dan 20.

Bacaan lanjut berkenaan Islamic (Secular) Feminisme.

Punca Secular Feminisme.

Saya lihat isu feminisme ini berpunca dari 2 perkara yang berbeza. Sama ada dari ideologi logik akal yang mengarut atau dari perlaksanaan Islam yang salah oleh masyarakat muslim itu sendiri.

Punca pertama sememangnya ditolak dan perlu dibanteras kerana logik akal manusia jika tidak dihalang, maka akan menjadi cetusan pegangan yang porak peranda.

Itu lumrah. Idea yang difikirkan atas dasar nafsu bukan sahaja berlaku pada wanita tetapi juga pada lelaki.


Dr. Amina Wadud 

Ideologi-ideologi merepek ini yang membawa kepada tafsiran-tafsiran ayat alQur'an yang jauh tersasar dan pertikaian terhadap hukum-hukum Allah.

Manakala punca kedua itu yang perlu kita teliti dan dalami permasalahan-permasalahannya agar dapat kita cari dan gali kerosakan untuk membuangnya habis, sekaligus mengembalikan masyarakat kepada fitrah Islam yang sebenar.

Jika kita tidak menyelamatkan punca kedua ini, maka punca pertama tadi yang akan datang menghulurkan 'bantuan'.


Irsyad Manji

Keadilan Islam Yang Tertimbus.


catatan sejarah Irsyad Manji
Tidak hairan dia menuntut 'keadilan'.

Banyak isu yang menjadi faktor wanita-wanita muslim ke hadapan menyuarakan rasa ketidak puasan hati mereka terhadap perlaksanaan sistem Islam (saya ulang, PERLAKSANAAN) dan mentaliti yang mendidik cara masyarakat berfikir.

Antara isu yang sangat perlu kita ubati dalam masyarakat muslim di seluruh dunia:

1) Isu Rumah tangga dan Keluarga.

Para suami selalu merasakan bahawa mereka ada kuasa Tuhan dalam keluarga. Memang tidak dinafikan ada dalil dari hadis Rasulullah s.a.w,


Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.”

Namun MESTI kembali semula kepada syarat ketaatan isteri kepada suami tersebut. Adakah benar-benar suami itu layak atau tidak untuk ditaati.

File:Taliban beating woman in public RAWA.jpg

isu suami memukul isteri atas hujah Islam membenarkan.



 isu tekanan paksaan seks yang dialami oleh  banyak isteri.
dan ini jawapannya.

"Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertakwa..”  (alFurqan: 74)



Perkahwinan itu asasnya bukan mewujudkan perhambaan tetapi menjadikan lelaki itu imam yang memimpin seluruh ahli keluarganya kepada TAQWA.

Mustahil seorang suami itu mampu membawa keluarganya untuk takut kepada Allah jika dia sendiri tidak takut kepada Allah dengan tidak memiliki akhlak muslim mukmin yang baik, bukan?


isu perkahwinan paksa oleh wali
sedangkan ada dalil Rasulullah s.a.w. membenarkan perkahwinan itu dibatalkan apabila wanita tidak bersetuju.



Islam mengangkat fitrah cinta dan kasih sayang. Apatah lagi cinta dalam pembinaan perjalanan sebuah keluarga. Lantaran itu hakikatnya perkahwinan bukan untuk membahagiakan lelaki semata, tetapi untuk melengkapi antara dua jiwa.

"God provides everyone out of His abundance, for God is resourceful, wise" (4:130)


isu wanita dizalimi tetapi takut meminta fasakh kerana masyarakat 
memandang hina wanita yang meminta cerai

Sungguh. Islam itu agama fitrah yang memberi kebahagiaan di dunia, bukan sekadar agama jaminan kebahagiaan di syurga. 

Teringat kata-kata Oprah Winfrey, 

"Teach your son to be the husband you want to be with"

2) Isu Keadilan Sosial, Pendidikan dan Ekonomi.

Wanita itu manusia. Manusia itu punya akal dan suara. Akalnya perlu diisi manakala suaranya perlu didengari. Kemuliaan dalam pengadilan untuk manusia itu sama, tidak kira anda lelaki atau wanita.

File:Taliban execute Zarmeena in Kabul in1999 RAWA.jpg


Wanita ini ibu kepada 7 orang anak, selalu didera dengan teruk oleh suaminya. Tiada pembelaan.
Akibat tidak tertahan menanggung derita, dia mengambil jalan membunuh suaminya ketika lelaki itu sedang tidur.
Langsung wanita ini dijatuhi hukuman bunuh pada 16 November 1999.
Di manakah keadilan dalam sebuah negara Islam?



Banyak negara, keadilan wanita tercantas terutama negara arab yang dipandang sebagai 'negara Islam'. Hak-hak sosial wanita disekat sekalipun perkara-perkara itu memberi impak kepada kehidupan mereka seperti hak mengundi, hak memandu, hak terlibat dalam perundangan dan sebagainya. Apatah lagi hak terlibat sebagai pemikir politik.

Sedangkan keterlibatan wanita dalam menyusun polisi sesebuah negara sangat penting. Hanya wanita yang memahami polisi-polisi yang perlu dilihat dari sudut pandangan kekeluargaan terutama dalam sektor kerjaya dan pendidikan apatah lagi khususnya sektor keluarga.

Kajian yang dilakukan oleh TheDailyBeast menunjukkan bahawa 10 negara paling teruk untuk dididami oleh wanita dipenuhi oleh majoritinya negara Islam (yang bergaris) Kajian ini dinilai dari 5 kriteria: Keadilan, Pendidikan, Kesihatan, Politik dan Ekonomi.

1) Chad. 
Wanita langsung tiada hak dan tidak diiktiraf sama sekali. Anak-anak perempuan telah dipaksa kawin (kawin susun) semenjak usia 11-12 tahun.
2) Afghanistan
90% wanita buta huruf. 85% terpaksa melahirkan anak tanpa bantuan dan memberi kesan buruk kepada kesihatan wanita. 
3) Yamen.
Penderaan rumahtangga adalah bukan satu jenayah dan tiada pembelaan jika isteri dizalimi.
4) Congo.
Penderaan rumahtangga yang teruk. Purata 1100 orang wanita dirogol setiap hari.
5) Mali.
Wanita banyak mengalami serangan kesihatan dan tiada usaha untuk menghentikan tradisi (yang merosakkan).
6) Solomon Island.
Tiada langsung wakil wanita dalam pentadbiran.
7) Niger.
Perkahwinan paksa banyak berlaku dan tiada usaha menghentikannya.
8) Pakistan.
Purata setiap tahun, 1000 orang anak perempuan menjadi mangsa 'Honor Killing'.
9) Ethiopia.
Kesihatan wanita yang tidak terjamin terutama mangsa pengguguran. 
10) Sudan.

Mungkin kelihatannya akan ada 'bias' kerana penilai adalah dari kalangan non-muslim. Namun jika itu yang dilihat mereka dan mereka membuat kajian beserta bukti, mengapa tidak kita akui?

Dalam hal ini, Qatar wajar diberi pujian kerana dianugerahkan oleh akhbar The Independent (UK) sebagai negara terbaik dalam memberi peluang seluas-luasnya untuk wanita menuntut di universiti.

Untuk sektor pembangunan negara (ekonomi) pula, kajian telah meletakkan 4 faktor kurangnya penglibatan wanita (sekadar bacaan kasar) iaitu:

1)kurang cita-cita.
Hal ini ada kaitan dengan sifat wanita yang memiliki 'nasty sindrom' selepas berkeluarga. 

2)kurang motivasi.
Lebih memburukkan jika wanita itu tiada individu yang menyokong kerjayanya dan tiada kefahaman terhadap pembahagian tugasan dalam menguruskan rumahtangga.

3)suasana yang tidak membantu dan menyokong.
Berkaitan dengan kepentingan 'family oriented policy' untuk diaplikasikan oleh setiap majikan. Kadang kala bukan salah wanita untuk terikat sibuk dengan kerjaya, tetapi salah polisi yang tidak melihat sudut kekeluargaan yang lebih penting. Kesannya, berlaku banyak kes penceraian dan rumahtangga porak peranda yang selalunya kesalahan dicampak kepada wanita bekerjaya.

4)faktor mentaliti.
Mentaliti masyarakat yang menyebabkan wanita-wanita takut ke hadapan. Ditakutkan dengan ideologi-ideologi yang mengongkong dan menyempitkan.

Persoalan: Islam Telah Membuka. Mengapa Kalian Menutupnya?

Jujur. Setiap kali membincangkan berkenaan penindasan terhadap kaum wanita, saya akan jadi sedih dan mahu menangis. Lantaran saya tahu, kezaliman yang menindas mereka atas nama Islam, membuatkan jiwa mereka tersempit kerana tidak berani melawan. Bukankah itu sesuatu yang memedihkan?

Tidak dinafikan kemerosotan wanita itu sendiri adalah atas faktor fitrah kewanitaan yang lebih gemar bersama keluarga dan duduk di rumah, namun adakah itu alasan untuk menafikan hak-hak wanita?

Jika dikatakan wanita itu cetek akal, kurang agama dan penuh emosi, mengapa tidak diberikan peluang kepada para wanita untuk menjelajah keluasan ilmu Islam agar mereka tahu bahawa mereka telah dimuliakan oleh sang Pencipta. Bukankah itu lebih baik?


Islam datang sebagai penyelamat bagi wanita ketika mereka dibunuh hidup-hidup dalam zaman jahiliyyah. Ketika perasaan cinta mereka tidak dirai dan diperdagangkan sesuka hati, Islam menawarkan perkahwinan yang mulia dan menghadkan lambakan isteri kepada cuma 4. Malah mereka dihormati dengan pengiktirafan sebagai mereka yang layak mewarisi tinggalan waris.

Cukup lengkap hak-hak wanita diangkat.

Namun persoalannya, mengapa dalam perlaksanaannya kita mengkambus dan menyimpannya rapat-rapat semula?

Penutup: Zaman Nenek-Nenek Memendam Rasa Telah Berlalu.


"If Muslim women were themselves to study Islam and contemporary social demands and challenges, it would be much more difficult for men to exploit them in the name of Islam".
(Waris Mazhari dalam penulisannya yang menarik, Islam, Women and Islamic Feminisim)


Kita perlu menerima hakikat bahawa dunia telah berubah. Keterbukaan minda juga telah berubah. Zaman nenek-nenek memandang rasa telah berlalu, bak kata sahabat saya Nafeesa.

Dahulu mungkin wanita terkenal dengan 'diam tanda setuju' dan 'duduk di belakang tabir'. Namun seiring beredarnya waktu, bersamanya penemuan-penemuan baru dalam dunia sains dan teknologi, mengapa kita masih mahu bersikap kuno dalam isu menghormati dan menerima wanita yang semakin kehadapan?

Bukankah lebih baik jika kita rai dan alunkan potensi mereka mengikut syara3? Lantaran jika fitrah itu dibunuh, maka akan tumbuh sifat melawan yang lebih bahaya.


saya punya satu cita-cita.
Jika saya tidak mampu kehadapan bersama berbincang dengannya,
saya akan melatih anak perempuan saya untuk duduk sebaris berhujah dengan orang sepertinya suatu hari nanti, insyaAllah.


Maka mari sama-sama kita koreksi kembali, agar kita tidak menjadi salah satu penyumbang kepada suburnya lagi secular feminisme hasil curahan minyak dan air panas kezaliman dan penindasan terhadap benih Islam. Islam itu fitrah. Fitrah itu adalah hak semua manusia sama ada lelaki mahupun wanita.

Dan saya terfikir satu, jika saya yang jenis 'memberontak' ini hidup di negara-negara yang disenaraikan di atas, adakah mungkin tidak mustahil saya dilabel sebagai 'aktivitis feminisme'? =)


nota kaki:
-jujur, saya sangat prihatin dalam isu ini bukan kerana saya punya pengalaman sendiri. Alhamdulillah, saya membesar dalam keluarga muslim yang adil terhadap gender. Tetapi suasana yang saya lihat dalam masyarakat dan pembacaan saya membuktikan bahawa masih banyak di luar sana yang terus dizalimi.

Maka, mustahil saya mampu hidup bahagia dengan keluarga yang baik, suami yang baik (iAllah) dan suasana yang baik dalam masa yang sama fitnah kezaliman ke atas Islam masih terus merayap ke serata dunia.

Bukankah muslim itu bersaudara?

-sedang sibuk mengemas rumah. Doakan semoga Allah permudahkan ya insyaAllah!

-alfun mabruk untuk senior-senior tahun 6 medic dan tahun 5 dentistry atas kejayaan kalian lulus hari ini. Alhamdulillah..^^.








Wednesday, May 16, 2012

Mahalnya Nilai Itu..!

Rasa sedih mencengkam akhir-akhir ini. Pedih menyucuk-nyucuk. Ada sesuatu yang telah hilang.

Kehilangan yang membuatkan hidup terasa ada compang campingnya.

Kesedihan Terbesar.

Bukan kehilangan wang. Bukan kematian orang tersayang. Bukan pemergian sahabat. Bukan. Malah sesuatu yang lebih besar dan tidak ternilai dari semuanya itu.

Kesedihan terbesar bagi seorang muslim.

Kesedihan apabila air mata tidak mampu dititiskan saat membisikkan bicara dalam solat.

Ya. Itulah kesedihan terbesar. Sungguh.

Masakan tidak, solat adalah suatu bukti hubungan hati dan keterikatan jiwa kita dengan Allah sepanjang seluruh perjalanan harian kita. Jika Allah tidak mampu dihadirkan dalam solat, manakan mampu untuk Allah dihadirkan dalam keadaan kita sedang bermain, bercanda dan berbual.

Jika kita tidak mampu merasakan bahawa Allah itu ada memerhatikan kita dan kita sedang memerhatikanNya dalam solat, bagaimana mungkin kita merasakan perkara yang sama dalam rutin yang lain?

Bahkan solat itu seharusnya adalah suatu oksigen yang menghidupkan hati yang membuatkan kita menjadikan takut untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah antara jarak waktu solat yang seterusnya.

Maka, bukankah kehilangan air mata lantaran lenyap cinta berbicara dengan Sang Pencipta adalah sesuatu yang memedihkan?


وقال صلى الله عليه وسلم : " لا ينظر الله إلى صلاة لا يُحضر الرجل فيها قلبه مع بدنه 

"Allah tidak memandang kepada solat seseorang yang tidak dihadirkan dalamnya hati ke dalam jasadnya (pergerakan)."

*walaupun taraf hadis ini dhoif, tetapi cukup untuk menakutkan kita dan membuat kita lebih berhati-hati.

Cinta Kita Pada Kecintaan Dia.




عن أبي هريرة – رضي الله عنه – قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم - إن اللهتعالى قال : من عادي لي وليا فقد آذنته بالحرب ، وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه ، و لا يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه ، فإذا أحببته كنت سمعه الذي سمع به و بصره الذي يبصر به ، و يده استعاذني لأعيذنه -التي يبطش بها ورجله التي يمشي بها و لئن سألني لأعطينه ، و لئن رواه البخاري 
"HambaKu mendekatiKu dengan (mengerjakan) sesuatu yang amat Aku sukai, iaitu apa saja yang Aku wajibkan kepadanya, HambaKu senantiasa mendekatiKu dengan (mengerjakan) ibadah-ibadah sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku menjadi telinga yang ia pakai untuk mendengar, matanya yang ia pakai untuk melihat, tangannya yang ia pakai untuk berbuat, dan kakinya yang ia pakai untuk berjalan. Jika ia meminta kepadaKu maka Aku pasti memberinya jika ia meminta perlindungan dariKu, maka Aku pasti melindunginya". 
(Hadis Qudsi Riwayat Bukhari)

Kita seorang muslim. Kita baik. Kita tidak melakukan kemaksiatan. Kita tidak terfikir untuk mencuri. Jauh sekali untuk membunuh orang. Kita mampu bangun tahajjud saat orang lain dibuai mimpi. Kita mampu menangisi dosa-dosa kita. Kita mampu melaksanakan semua ibadah yang dituntut Allah. Kita mampu berbuat itu ini. Kita mampu melakukan itu ini.

Ya. Kita melakukannya. Tetapi kita terlupa 'apa' yang menggerakkan untuk kita melaksanakan semua itu.

Kita mampu mecintaiNya HANYAlah kerana Dia mencintai kita.

Kita mampu menjadi muslim kerana Dia mencintai kita.
Kita mampu bangun di akhir malam kerana Dia mengejutkan kita lantaran cintaNya.
Kita mampu khusyuk dalam solat bersama air mata kerana Dia menghadiahkan itu kepada kita lantaran cintaNya.
Kita mampu berakhlak baik dan masyarakat senang dengan kita kerana Dia membaluti keaiban kita dan memancarkan kebaikan itu lantaran cintaNya.
Kita mampu menangis kerana menyesali dosa-dosa kemaksiatan kita kerana Dia mencampakkan rasa takut lantaran cintaNya.

Bukan kerana kita. Bukan kerana iman kita yang sudah cukup cantik dan terbaik.

Tetapi semuanya kerana tawfeeq Sang Pemilik Cinta.

Mahalnya Kekuatan Tawfeeq Itu.

Kita selalu mengucapkan, "semoga kita dikurniakan tawfeeq dan hidayah..".

Tetapi apa makna sebenarnya 2 kalimah yang mahal nilainya ini?

Hidayah adalah petunjuk dari Allah hasil proses pendidikan. Dan tawfeeq adalah benih tanaman yang dicampakkan Allah untuk menggerakkan kita kuat dalam bergerak memenuhi petunjuk itu.

Bermakna, saatnya kita lesu dalam melaksanakan ibadah bersama cinta, itu adalah pertanda bahawa Tawfeeq telah semakin LENYAP..! Dan itu adalah sesuatu yang menakutkan. Sungguh.

Meski Hidayah tidak kurang mahalnya, tetapi hidayah boleh dicari dengan pembacaan, persekitaran dan pembelajaran. Namun Tawfeeq adalah anugerah yang dicampakkan Allah untuk hamba-hambaNya yang terpilih. Tawfeeq adalah nilai cinta Allah kepada kita hasil dari kesungguhan kita mencari hidayah.

Bermakna, bila-bila masa sahaja tawfeeq itu boleh ditarik jika kita tidak menghargainya.

Allah.. T_T

Penutup: Minta, Pinta, Rayu, Adu, Tagih Dan Mengharap Untuk Tawfeeq Allah.


"Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan dari Tuhan kalian dan berlumba-lumbalah mencari syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa"
(Ali Imran: 133)


Kita tahu syurga Allah itu mahal. Dan kita sedar bahawa kita perlu berlari sungguh-sungguh ke arahnya. Berlumba-lumba dan berebut-rebut. Lantaran takut syurga telah penuh dan tidak layak untuk kita menghuni bersama mereka yang lebih mulia.

Namun apa kekuatan untuk kita berlari dan berlumba itu?

Tidaklah lain dan tidaklah bukan melainkan kekuatan yang datang dari Allah, Pencipta kita, Penyusun atur kehidupan kita, Pemilik hati  dan kelemahan kita serta tempat kita akan dikembalikan dan dihisab.

Menangislah jika kita tidak mampu menangis..!


"Allahumma (Ya Allah), Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Illah melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hambaMu. Dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu (yang akan kulaksanakan dengan) segala kemampuanku. Dan aku berlindung kepadaMu dari segala kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan. Aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa melainkan Engkau"

nota kaki:

- one of my soulful song.  T_T




-doakan imtihan saya yang masih berbaki 4. Esok Fiqh Muqorran, fiqh perbandingan mazhab.

-doakan kesihatan cinta hati saya, bonda yang keseorangan bertarung dengan migrainnya. Menahan sebak mendengar suara bonda. Terbaring di dalam rumah. Alhamdulillah sahibah menghantar makanan.

Kuserahkan bonda untuk dijaga olehMu Wahai Pemilik Kekuasaan langit dan bumi.  Sungguh. Dia adalah bondaku yang mulia dan aku sangat mengasihinya. Hanya kepadaMu aku bertawakkal.
:'(

Thursday, May 10, 2012

The First Man Who I Met.

*Post peribadi sempena homesick. Hanya catatan sendiri, tiada manfaat untuk orang lain kerana masing-masing punya ayah-ayah sendiri yang memiliki keistimewaan tersendiri.


"hasna' jarang cerita tentang ayah..", perasan teman-teman.

Dan apabila saya menyelak kembali tulisan-tulisan, diakui memang benar bahawa sangat tidak ada saya nukilkan kisah ayah. Mungkin ada cuma satu dua, tampal-tampal dalam beberapa coretan tetapi tidak sekhusus tulisan-tulisan saya buat belahan jiwa, bonda.

Tidak dinafikan mungkin atas faktor saya cuma sempat hidup bersama ayah selama 13 tahun dan jika dihitung dalam 13 tahun itu, mungkin sebenarnya berbaki cuma beberapa tahun akibat tuntutan kerjaya ayah.

Tidak banyak yang saya kenal ayah. Jujur. Tetapi semenjak akhir-akhir ini, sedikit demi sedikit saya kuis catatan hidup untuk menyelami perasaan ayah selama 44 tahun beliau sempat bernafas di atas muka bumi ini.

Dan itu membuatkan suatu perasaan halus muncul.

Ayah: Beberapa Perkara Yang Saya Cinta.

"Macam mana hasna' boleh terlalu suka dengan sejarah?".
"Macam mana hasna' boleh suka baca benda-benda fakta macam ni?"
"hasna' ni macam wikipedia la.."

Selalu orang bertanya perkara-perkara begini walaupun hakikatnya gambaran mereka itu hanyalah hyperbola. Lantaran banyak lagi orang lain yang lebih berganda wikipedianya.

Hobi Pembacaan Kajian, Fakta Dan Sejarah.



apabila kita terdidik melihat kengerian peperangan,
secara langsung membuatkan kita memahami situasi saudara yang sedang 
berada dalam konflik itu.

Sungguh. Ayah yang saya kenal sangat mempengaruhi saya hari ini. Terutamanya dari sudut kecintaan kepada sejarah.

Teringat dahulu, kami membesar dengan filem-filem perang, tokoh, peristiwa sejarah dan dokumentari fakta. Kami akan tonton bersama dan ayah akan ceritakan serba sedikit catatan yang berlaku. Jika ada propaganda, ayah akan jelaskan agar kami tahu pihak mana yang benar. Dari effect lakon layar yang hidup itulah membuatkan kami semangat untuk membongkar buku-buku mencari kisah panjang.

Selain dari menjadi salah satu aktiviti keluarga yang sempat ayah luangkan bersama kami, aktiviti ini juga mendidik kami untuk menyelami suasana penting yang terlipat dalam catatan dunia.

Teringat antara movie yang pernah mewarnai hidup kami ketika kecil, The Patriot: Kisah rakyat Amerika bangkit menentang penjajahan British. Saving Private Ryan: Kisah seorang sarjan dan batalionnya dalam suasana Perang Dunia II. Full Metal Jacket: Kisah kesan Perang Vietnam kepada psychology tentera. Black Hawk Down: Kisah konflik di Somalia. Enemy At The Gate: Kisah perang antara Rusia dan German yang berlaku Stalingrad dan merupakan antara catatan penting dalam sejarah peperangan tersebut. Behind The Enemy Lines: Kisah pembongkaran pembunuhan beramai-ramai rakyat Bosnia.

Selebihnya saya dah lupa. ^^#.


Saving Private Ryan Wallpaper #3 1280 x 800

the most incredible sharpshooter who I admire him most
-Barry Pepper (Private Daniel Jackson dalam Saving Private Ryan)-

*Kisah-kisah ini mewarnai kami di waktu malam manakala di waktu siang, hanya Teletubbies dan Magic English yang setia di kaca television. =) Pertembungan antara idea dewasa dan jiwa kanak-kanak.

Teringat perbualan bersama ayah sentiasa berisi fakta. Jarang atau mungkin tidak pernah saya mendengar ayah bercerita kosong merapu.

Malah ayah sangat ambil tahu tentang sesuatu kejadian. Teringat jika berlaku sesuatu peristiwa, maka ayah akan mencari segala catatan dan fakta yang berkaitan dengannya seperti semasa peristiwa perang Maluku-Ambon dan peristiwa DSAI pada 1998.

Penuh kertas-kertas print yang diambil dari catatan-catatan internet di library rumah. Berkotak. Tidak terkecuali buku-buku perundangan dan kehakiman malah buku laporan penuh siasatan juga ayah beli.

Dari situ saya belajar betapa apa itu 'cakna'.


Hobi Menghargai Tapak Sejarah.

Memandangkan waktu kami bersama ayah sangat kurang, maka setiap kali cuti sekolah kami akan 'dipaksa' mengikuti ayah out-station dan berperap di dalam hotel.

Namun ayah tetap akan mencuri waktu untuk membawa kami ke muzium di setiap tempat kami pergi. Malah pernah ayah bersungguh-sungguh membawa kami ke tapak-tapak archaeology semata untuk kami lihat dan merasai suasana lampau dan menghargainya.

Teringat ketika kami menziarahi rumah saudara di Kedah (saya tidak ingat tempat spesifik), dan ayah mendapat tahu di sekitar itu ada pintu gerbang yang pernah digunakan oleh Kesultanan Melayu Kedah, ayah sanggup mencari pusing-pusing pekan tersebut.

Dan akhirnya kami menemuinya. Hanya baki gerbang yang tertinggal dikelilingi oleh bangunan-bangunan baru yang lain. "kenapa mereka tak jaga baik-baik..", keluh ayah. Kami yang masih kecil hanya merungut-rungut di belakang kerana terpaksa mengikutinya semata ke tempat yang kosong. ^^#.

Namun kesannya sangat besar. Setiap kali menyelak buku teks sejarah yang menceritakan sejarah-sejarah kerajaan lama di Tanah Melayu, kesan-kesan Kerajaan Islam Melayu, tinggalan-tinggalan sejarah penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun, maka akan terlintas, "dah pernah pergi tengok dan dah tahu sejarahnya yang besar..". =)

Determind dan Bersungguh.

Ayah yang saya kenal sangat fokus dan bermatlamat. Sekali ayah menyebut perancangannya, maka ayah memang akan fokus bekerja ke arah itu. Dan paling penting ayah tidak pernah berputus asa.

Mungkin di sudut kerjayanya, tidak perlu diceritakan kerana semua orang yang pernah bekerja bersama dan di bawahnya telah selalu memuji. Malah dalam kalangan 15 orang engineer dalam syarikat gergasi Taiko, hanya ayah seorang melayu (chinese-malay juga) dan menjadi antara kesayangan Tan Sri Lee. Menurut kawan ayah, memegang jawatan General Manager di usia 29 tahun dalam sebuah syarikat besar bangsa cina adalah sesuatu yang sangat-sangat jarang berlaku.

Dan ayah telah membuktikannya.

Tentang kesungguhan ini, ada satu kisah ayah yang membuatkan saya akan sebak setiap kali teringat semula.

Ayah mula mengenal alQur'an dalam zaman mahasiswa. Bertatih ayah belajar. Menulis huruf rumi di atas tulisan arab lantaran ayah tidak mampu membaca tulisan jawi. Belajar mendengar kaset-kaset bacaan alQur'an Imam-Imam Masjid Haramain dan mengikutinya rangkak-rangkak.

Sehinggalah ayah punya anak-anak dan menjadi imam kami. Meski tahu bacaannnya agak tidak lancar namun ayah telah berusaha. Sehingga ketika abang mula memasuki MATRI dan pulang dengan hafalan-hafalan serta bacaan yang baik, ayah senang bermakmumkan abang.

Apabila teringat semula, sangat jelas kegembiraan ayah apabila seorang demi seorang anaknya pulang dari MATRI dan menjadi lebih baik.

Dan saya tahu, ayah sentiasa bersungguh untuk belajar menjadi ayah yang baik meski ada jatuh bangunnya. Bukankah manusia itu tidak sepi dari kesilapan? Teringat ayat yang selalu ayah sebut,

"ayah nak anak-anak ayah menjadi muslim yang lebih baik dari ayah.."

Janji. Akan nurul kotakan harapan ayah insyaAllah.

Penutup: Saya Hanya Ada Seorang Ayah.

Meski siapapun ayah, ayah tetap ayah saya, datuk kepada anak-anak yang bakal lahir dari rahim ini. Semoga saya dikuatkan Allah untuk menjadi hambaNya yang bersih, anak yang solehah serta muslim yang bermanfaat agar mampu menghadiahkan ayah ganjaran syurga yang terbaik insyaAllah. Paling penting, semoga generasi demi generasi yang bakal lahir terus terdidik dalam didikan Iman dan Islam agar kebaikan ayah terus mengalir insyaAllah.

Dan Allah menggerakkan jari jemari ini untuk menulis, mungkin desakan dari hati yang jujurnya tidak dapat menipu, setelah 8 tahun berlalu bahawa saya rindu seorang lelaki untuk saya dan adik berlari ke muka pintu setiap kali menyambut kepulangannya dari pejabat dan memeluknya sambil menyanyikan lagu Magic English, "daddy, daddy, hello daddy..We love you !"


T_T


Orang beritahu, muka saya banyak ikut muka ayah.
Mungkin. Dan orang beritahu kalau anak perempuan ikut muka ayah, sejuk perut.
*angkat bakul*



nota kaki:
-3 post tentang ayah:
Entri Istimewa: Ayah I
Entri Istimewa: Ayah II
Saya rindu ayah.

-deactivate dari dunia FB buat sementara. Mencari kembali hati yang hilang. Harap tidak menyusahkan orang kerana baru 2 hari sudah ada yang bertanya, "hasna' deactive fb ke?".

-doakan exams 13hb, 17hb, 22hb dan 2 paper pada 23hb Mei.

-Minggu ini agak sedikit kabut dan mendung. Mungkin kesan homesick. Namun Allah hantar sapaan peringatan petang tadi, "Kita bukan milik kita, kita milik Allah..".
Langsung jadi diam. Bermakna memang selalu dan sentiasa perlu menjadi muslim yang produktif.

-Meeting pencerahan pendetailan pagi tadi bersama Timb Ketua Helwi dan Timb Pengerusi PINTAR yang baru membuatkan rasa sebak hadir.

Namun amanah masih tergalas sehingga tamat bulan 7 insyaAllah.

- personally, I donnot ask Him for a fine man to be my husband, but I do ask Him for a fine man to be a father of my kids, insyaAllah..

May He makes my du'a real, ameen.


Friday, May 4, 2012

What's Next?

"Akak, apa ya cadangan untuk sambung?"


"Saya rasa nak ambil medic.."


"Kalau ambil ini ok tak?"


"Kursus ini apa ya?"

Beberapa soalan yang lazim ditanya setiap kali musim selepas SPM oleh junior-junior.

Cuba menjawab sepatah dua lantaran saya bukanlah pakar kaunseling kerjaya, cuma berkata-kata berdasarkan pengalaman setahun jagung. =)

Keypoint: Pengkhususan Medan Sumbangan.

Memandangkan pemilihan bidang pengajian merupakan salah satu pemilihan terpenting dalam hidup, maka pada saya pemilihannya pastilah tidak boleh main-main dan ikut-cakap-orang semata.

Lantaran kaedah sumbangan kita nanti mengikut bidang yang telah kita pilih. Dan pastilah kita mahu menyumbang dengan cara yang terbaik dan maksima, bukan?

Bahkan sewajarnya sebelum kita memilih sesuatu bidang pengajian itu, kita sudah perlu mengkaji jenis-jenis pengkhususan apa yang dapat kita ceburi selepas sarjana muda.

Teringat ketika hajat bonda berjaya mempengaruhi saya untuk mengambil bidang deeniyah, saya cuba menghubungi senior-senior yang sedang berada dalam bidang ini untuk mengetahui pecahan pengkhususan dalam kesarjanaan master dan PhD agar saya benar-benar nampak, ke arah mana akan saya menapak.

Keypoint: Minat + Keupayaan + Kemahiran + Dorongan + Pasaran + Peluang.

Bagi adik-adik yang bertanya, selalunya akan dimulakan dengan pertanyaan kecenderungan mereka. Perkara ini penting. Lantaran minat, keupayaan fitrah dan kemahiran (bakat) memainkan peranan yang sangat besar.


Teringat dahulu, hakikatnya saya lebih cenderung kepada bidang kira-kira seusia kecil. Top 3 dalam subjek kegemaran iaitu addmath dan pernah menangis kerana memperolehi markah 96 dalam peperiksaan akhir matematik tingkatan 4, lantaran selalunya markah penuh.

Juga kenangan pertama kali mengikuti tuisyen seumur hidup dengan impian untuk belajar perkara baru bagi subjek addmath tetapi akhirnya cikgu yang meminta saya mengajar. =='. Teringat sahabat saya, Aisyah antara yang selalu beritahu, "nak tukar otak dengan hasna'..". heh.

Dan cita-cita serta kecendorongan saya sebenarnya ke arah bidang sama ada physician, engineering, architecture dan ahli matematik.


antara hobi saya  yang susah untuk dibuang sehingga ke hari ini pada setiap kali tertekan menghafal 
ialah men'sketch' design rumah dan juga design interiornya sekali.
-Ini gambar abang-


Oleh kerana itu apabila awal-awal di hujung pertengahan tahun (sebelum percubaan) tingkatan 5, saya menyuarakan keinginan untuk mengambil bidang Fiqh dan Usul ini hampir semuanya tidak percaya. Masakan tidak, dengan keputusan yang berat ke arah kira-kira serta gred C (periksa pertengahan penggal dapat E) bagi bahasa arab tinggi dalam senarai A bagi semua subjek-subjek yang lain membuktikan sama sekali bahawa saya bukanlah orang deeniyah.

Memang goyah. Jujur, tidak dinafikan sepanjang 2 tahun pertama, saya tidak nampak titik pertembungan antara minat saya dengan bidang ini. Beberapa kali tekad untuk berhenti dan kembali ke Malaysia sebelum lekas-lekas dipujuk bonda.

Namun Alhamdulillah, kekuatan yang membuatkan saya terus bertahan sehingga ke hari ini ialah beberapa faktor.

1. Dorongan.

Alhamdulillah, ini memang sentiasa ada dari bonda semenjak tahun pertama yang sentiasa basah dengan air mata sehingga ke hari ini. Antara dorongan tanpa sedar yang terkuat ialah apabila bonda dan orang lain mula bertanyakan hukum.

2. Minat + Keupayaan + Kemahiran.

Saya meminati perkara yang logik, berfakta memerlukan kepada critical thinking dalam penyelesaian masalah dan perbahasan. Di samping bersesuaian dengan sifat yang ada iaitu sifat kemasyarakatan dan kecintaan kepada pembacaan.

Walaupun sebenarnya saya mempunyai kelemahan terbesar iaitu susah untuk menghafal. Dan saya kira, sudut bahagian ini dalam otak saya agak kurang cergas. ^^#

3. Pasaran + Peluang.

Paling bidang ini mempunyai cabang pengkhususan yang luas. Dan saya telah menyenaraikan beberapa pilihan iaitu:

-Political Sciences.
Ini adalah inspirasi dari Dr Maszlee Malik semasa PERTAMA 2009 yang lalu. Dan sahabat sahibah juga sangat memerlukan kepakaran bidang ini.

-Wanita Dan Kekeluargaan.
Ini memang cita-cita saya. Dan sahibah-sahibah di Malaysia mencadangkan saya mengambil ini.

Antara faktor saya mahu menjadi pakar dalam ilmu ini adalah kerana realiti yang saya lihat sepanjang tumbesaran saya ialah realiti yang mana masyarakat mempersendakan Islam dalam aplikasi kehidupan di sudut kekeluargaan dan kewanitaan.

Kerana itu tidak hairanlah muncul banyak kumpulan-kumpulan feminism yang menyebelahi sekularisme sedangkan hakikat sebenar Islam adalah memuliakan wanita dengan penuh bermaruah.

-Sejarah Dan Peradaban.
Ini minat saya yang mengalir dalam darah semenjak dari kecil. Dan teringat kata-kata Ustaz Sufiyan calon PhD University Yarmouk, "kita banyak kepakaran dalam mengkaji kesohihan hadis dan dalil, tetapi perasankah kita bahawa kita terlalu memandang remeh kesohihan seerah dan sejarah..".

Saya melihat urgensi bidang ini lantaran realiti dalam sekeliling kita adalah dibesarkan dalam catatan-catatan yang telah ditokok tambah serta dikurangkan terutama dalam seerah era selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. sehingga kepada kerajaan Utsmaniyah.

*tapi teringat semasa bersembang dengan mak, kakak dan abang tentang pemilihan ini, akhir perbincangannya ialah, "kena tanya bakal suami awak dulu la apa-apapun...". erm.

Penutup: Kita Merancang, Allah Jualah Sebaik-baik Perancang.


Tidak dinafikan hati saya akan menangis setiap kali melihat gambar-gambar abang 
bersama bahan-bahannya. sobs.

Jujur. Saya bukan seorang scorer tetapi saya adalah pencinta ilmu ini. *Akhirnya declaration yang menakjubkan.

Dan saya cuma mahu lakukan yang terbaik dalam menyumbangkan dengan cara yang terbaik insyaAllah.

Justeru, begitu jugalah saya menasihati adik-adik agar memandang masa depan kalian bukan sekadar memandang kepada pengakhiran yang terhenti tetapi sungguh-sungguh mengharapkan agar Allah menguatkan kita untuk mampu menyumbang kepada kemaslahatan Islam.

Lantas, pemilihan awal ini adalah salah satu yang memainkan peranan terpenting.

Selamat memilih ya.. =)

nota kaki:

-baru-baru ini kak Adnin mengulangi ayat yang sama dengan ayat yang telah banyak orang pertikaikan saya selama ini,

"hasna' minat mathematics dalam masa yang sama pandai melukis, suka benda-benda seni, suka sejarah tetapi tak minat menghafal..memang percampuran otak kiri dan kanan".

Mungkin. Dan saya sendiri selalu keliru antara bakat, minat dan kecenderungan yang ada dalam diri.

-doakan semoga saya kuat untuk istiqomah dengan cita-cita ini dan doakan semoga sesiapa yang bakal menjadi suami saya nanti akan menjadi salah seorang yang menyokong cita-cita ini. Lantaran saya takut saya tidak cukup kuat jika berseorangan.

-seriously, I'm in my bad homesick. 2 years without having a breath on my motherland really kill me. T_T

-Ramadhan bakal tiba. Semoga ketibaan Ramadhan bagai pencuci dosa yang membusuk sepanjang tahun ini.


-MasyaAllah 3alaih.