Sunday, April 24, 2011

Pilihan Raya PERMAI.


Semenjak seminggu lalu, rakyat PERMAI mula dipanaskan dengan bahang pilihan Raya bagi jawatan-jawatan AMT PERMAI sesi 2011/12. Dan saya turut tidak terkecuali dipeningkan dengan kehangatan pilihan raya ini.

Namun, tidak dinafikan rasa terhibur dengan suasana yang dicorakkan oleh mahasiswa mahasiswi yang semakin belajar untuk matang. Dan paling penting rasa bahagia apabila menyaksikan bi'ah mahabbah yang sedia ada kembali pulih setelah diuji sebentar oleh Allah. Semoga Allah terus melindungi hati-hati kita dalam berusaha untuk sama-sama menjadi kelompok mereka yang Allah redha, insyaAllah.

Sebelum itu, saya sekali lagi memohon maaf kepada semua, jika membuatkan antum tersinggung atau kecewa dengan sikap saya yang memilih untuk menarik diri setelah antum meletakkan harapan dengan pencalonan ini.

Mendapat banyak message bermula seawal nama-nama calon yang layak bertanding keluar di YG PERMAI dan FB JPR PERMAI. Mungkin kerana saya terus merespon untuk tarik diri. (walaupun ditolak permohonan tarik diri tersebut)

Tersentuh dengan keprihatinan antum. Terima kasih semua..

Tidak Menjadi Pemimpin bukan bermakna Tidak Memimpin.

Saya akui, rata-rata yang menghantar message dan bersemuka secara langsung, semuanya meletakkan harapan kepada pemilihan pemimpin yang "mempunyai fikrah macam anti" atau
"pemimpin yang setiap kali bertemu dengannya akan ada titipan kata-kata hikmah yang menyejukkan" atau "merupakan aset PERMAI yang tidak boleh disia-siakan" atau "mampu merancang dan bergerak secara konsisten" atau lain-lain.

Maaf. Tidak mampu menulis semua harapan mereka. Sungguh. Semoga Allah redha dengan diri saya dan kalian..

Sebelum itu, biar dijelaskan di sini, kerana antum semua telah tahu benar dengan nekad saya yang memang tidak mahu memegang apa-apa jawatan dalam AMT mahupun AMM PERMAI.

Sesungguhnya, tidak terlibat dalam kepimpinan yang mempunyai nama, tidak semestinya tidak menjadi pemimpin langsung. Bukan bermakna saya memilih untuk tidak bertanding ini menunjukkan bahawa saya menolak amanah yang telah Allah berikan.

TIDAK.

Tidak sama sekali. Malah, insyaAllah, jika saya tidak memegang apa-apa jawatan, saya akan mampu untuk lebih fokus ke arah amal Islami itu.

insyaAllah, Allah telah susunkan yang terbaik untuk saya dan kalian. Yakin yang Allah Lebih Maha Tahu menjangkaui semua apa yang kita jangkakan.

Pilihlah Calon Yang Benar-Benar layak.

Di sini, saya mengajak diri saya dan kalian, untuk bijak dalam memilih kepimpinan. Lantaran hal ini bukan perkara main-main, dan bukan perkara suka-suka. Tetapi perkara yang menentukan kemaslahatan semua. Kemaslahatan masyarakat PERMAI di masa hadapannya.

Semoga Allah mengurniakan kita kebijaksanaan dalam memilih dan terus kuat untuk sentiasa bersama mereka dalam perjuangan yang besar dan berat ini.

Dan saya sentiasa menyokong kalian,insyaAllah.. ^^.

Berkempen.

Memandangkan sudah memasuki fatrah berkempen, saya dengan ini berbesar hati untuk berkempen bagi pemilihan :

Ketua HELWAI: Siti Fatimah Binti Ismail.
Tim. Presiden MMY: Afifah Binti Hamdan.

Saya dengan hormatnya ingin memaklumkan bahawa sepanjang saya pernah menjalankan kerja dengan kedua-dua calon ini, saya dapat merasakan dan meyakini betapa mereka layak untuk memegang jawatan-jawatan tersebut. Allahu'alam..

PERMAI sentiasa dalam hati.

Semoga Allah sentiasa dalam gerak kerja kita insyaAllah.

Nurul Hasna' Binti Hazni.
Tahun 2,
Usul Fiqh.
Timb. Biro Tarbiyah,
Majlis Mahasiswa Yarmouk.
sesi 2010/11.

Wednesday, April 20, 2011

Pemuda Kahfi

*Di mana dicari pemuda kahfi,
terasing demi kebenaran hakiki.
Di mana jiwa pasukan badar berani,
menoreh nama mulia perkasa abadi.

*(2x)

Umat melolong di gelap kelam
tiada pelita menyinar terang
penunjuk jaran kini membukam
lalu kapankah fajarkan datang.

*(2x)

mengapa kau patahkan pedangmu,
hingga musuh mampu membobol bentengmu.
menjarah menindas dan menyiksa,
dan kita hanya diam sekadar terpana.

*(2x)

**Bangkitkan negeri,
lahirkan generasi.
Pemuda harapan,
tumbangkan kezholiman.

** (2x)

Wajah dunia Islam kini memburam,
cerahkan dengan darahmu.
Panji Islam telah lama terkulai
menanti bangkit kepalmu.

*(2x)

"Generasi Harapan" dendangan kumpulan haraki Izzatul Islam merupakan antara lagu yang menjadi halwa telinga saya. Apatah lagi saat-saat hamasah itu jatuh, maka lagu ini akan diputar kerana menyentak kembali jiwa yang hampir terlena.

Mana mungkin sama jiwa saya yang selalu tewas dengan jiwa pemuda Kahfi yang terlindung dari fitnah dunia meski ketika itu mereka hanya beberapa orang pemuda beriman dalam kerajaan thaghut yang zalim.

Ayuh hadam kembali "Uzlah Syu'uriyyah Tammah". Biar kita perit di sini, tetapi jiwa kita bahagia di langit. insyaAllah.

**
Balik dari markaz sihhi Yarmouk dan mendapat surat rujukan untuk rawatan lanjut ke Hospital King Abdullah JUST membuatkan saya kembali kepada titik awal.

Dalam kita merancang untuk hidup panjang, sewajarnya lebih dahulu kita bersiap jika esok bukan milik kita lagi. Doakan saya sahabat.

Monday, April 18, 2011

Gerhana


melihat KEHIDUPAN dengan kanta IMAN.

Alhamdulillah, telah selesai exam kedua bagi semester ini sebentar tadi. Menunggu ketibaan final yang insya-Allah akan bermula sekitar awal Mei. Semoga Allah permudahkan.

Iman itu berombak.

Akhir-akhir ini, Allah banyak mendidik saya untuk sedar, faham dan tahu bahawa dalam hidup ini, kita tidak memiliki apa-apa walaupun sedikit hatta kebaikan dalam diri kita. Kemanisan Iman dan bahagia dalam kekuatan hubungan dengan Allah itu juga tiada jaminan untuk kekal jika kita tidak menghargai dan bersungguh mempertahankannya.

Dan saya sedang mengalami didikan ujian itu. Rasa pedih saat tidak mampu mengalirkan air mata dalam solat dan doa pengharapan. Rasa pedih ketika mata begitu tegar mengering ketika membaca ayat-ayat gambaran kedahsyatan neraka. Sedangkan itu petanda jauhnya ruh ini dari tempat asalnya..!

"Ada tiga kelompok manusia yang mata mereka tidak akan melihat api neraka: Orang yang matanya berjaga di jalan Allah, orang yang matanya menangis kerana takut kepada Allah dan orang yang matanya tidak mahu melihat perkara-perkara yang diharamkan Allah."

(Riwayat Ath-Thabrani)

Benar. Syurga Allah itu mahal. Dan jalan untuk memperolehnya terlalu perit. Mustahil hati yang mati mampu diganjarkan dengan ganjaran itu.

Dakwah MESTI bersamanya proses TARBIYAH.

Dari sekolah dahulu, saya selalu mendengar ayat ini. Dan Allah mengizinkan untuk saya memahaminya di sini. Terdidik dengan didikan Allah secara langsung.

Sungguh. Sejak akhir-akhir ini, jadual saya semakin padat. Kepala dipenuhi perancangan gerak kerja yang macam-macam. Di samping masalah-masalah normal yang menghinggap silih berganti.

Dan semua membuatkan diri ini semakin sedar dengan izin Allah, bahawa mahu menjadi pemuda muslim yang terbaik dalam nilaian Allah terlalu mustahil tanpa HDA yang jelas.

Dan sesuatu yang sukar untuk saya terima dahulu iaitu ketiadaan murabbi mithali membuatkan saya semakin jelas kini bahawa murabbi terbaik adalah Allah. Allah yang sentiasa ada dan selama-lamanya ada. Yang Maha Tahu keaiban kita ketika manusia lain hanya nampak kebaikan yang zahir. Allah yang sentiasa mampu untuk menarik segala yang ada dalam diri kita.

"katakanlah Ya Allah, Pemilik kekuasaan (kerajaan) alam buana, Engkau memeberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau merampas kekeuasaan itu dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau berkuasa memuliakan dan menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Mu (ya Allah) segala kebaikan dan keelokan. Sesungguhnya Engkau berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja. Engkau menabirkan siang dengan malam. Dan malam pula Engkau berkuasa menabirkannya dengan siang. Engkau menerbitkan seusatu yang hidup dari sesuatu yang kaku/mati, sebagaimana Engkau melahirkan yang kaku/mati dari sesuatu yang hidup. Engkau memberi rezeki kepada sesiapa sahaja tanpa perlu berhitung" (doa ma'tsuraat)

Sungguh. Semoga Allah bersihkan saya! T.T

Teringat kata-kata senior:

"mustahil kita yang membawa risalah nubuwah ini kotor dengan kemaksiatan".

Takut. Andai terbantutnya pengislahan masyarakat lantaran kerana jauhnya diri ini dari kebersihan amal dan hubungan dengan Allah.

Berhati-hati.

Senang untuk berkongsi lagi potongan ayat-ayat cinta bonda yang baru tiba beberapa hari yang lalu buat tatapan kalian bersama..

Awalnya segan menyusun ayat tetapi saya tahu ketika itu saya perlu bicara seorang ibu ketika sedang melalui fatrah hampir tewas dalam melawan jahiliyyah yang sentiasa kuat merobohkan jiwa. Dan pilihan saya tersebut selepas pengaduan penuh kepada Allah sememangnya adalah keputusan yang tepat.

"mak faham message hasna' tu..sangat faham sebab makpun pernah jadi muda remaja.."

Mendapat balasan dengan pendahuluan ayat sebegitu rupa membuatkan saya menangis seakan-akan bonda sedang saya peluk erat.

(Message bonda panjang tetapi diedit dan hanya ini yang dapat dikongsikan bersama )^^

".....itulah yang berlaku kepada gadis-gadis biasa..mereka tidak ada benteng pertahanan daripada panahan anak panah-anak panah syaitan, lalu terjadilah kemungkaran-kemungkaran seperti yang kita sedia maklum..ALHAMDULILLAH, kita diberi nikmat iman&islam.Kita beriman kepada Allah SWT dengan segala kesempurnaan asma'-asmaNYA.Dia YANG MAHA KUASA,MAHA BIJAKSANA,MAHA MENGETAHUI yang ghaib & yang nyata,MAHA ADIL,MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG..sesekali tidak akan membiarkan kita..cuma DIA telah menetapkan masa-masaNYA yang tersendiri, pilihanNya telah ada untuk kita, tidak dunia ini.. setia menanti di akhirat sana I.Allah..alangkah berbahagianya hidup mentauhidkan ALLAH,tiada kebimbangan, tiada keluh kesah menanti penyusunan-penyusunan RABB kita untuk kita, DIA yg kita cintai & KITA RASAI CINTANYA PADA KITA..setiap peristiwa dalam hidup ini dapat kita rasai betapa DIA sentiasa menjawab persoalan-persoalan kita...wahai anakku,tidakkah kita sangat-sangat beruntung bercinta kasih denganNYA..nak solat dulu wahai sayang.."

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Semoga Allah terus menguatkan kita untuk sama-sama bersungguh menjaga Allah dalam kehidupan kita sekali gus menjaga manusia lain untuk sama-sama menjaga Allah dalam kehidupan mereka.

*saya senang berkongsi ayat-ayat cinta bonda bersama kalian kerana saya berhajat supaya kita sama-sama mendapat manfaatnya.

Saya rindu himmah itu.

Sejujurnya saya rindu roh semangat yang menjalar dalam hidup. Rindu tangisan lantaran terlalu mencintai syurgaNya. Rindu tangisan saat melihat umat berdarah. Rindu tangisan saat menyaksikan luka-luka baru yang muncul di tubuh umat sedangkan luka-luka lama masih basah. Rindu roh yang membuatkan diri sentiasa peka dan sensitive dengan dosa yang melekat. Rindu dengan kekuatan yang mampu menepis rasa itu. Rindu semuanya..T.T.

Semoga gerhana ini lekas segera pergi. Kerana saya mahu cahaya ini bermanfaat untuk manusia-manusia yang duduk di sekeliling. Dan mustahil cahaya itu mampu menyapa jika terhalang dengan objek gelap yang pekat.

*jagalah Allah, nescaya Allah akan selalu menjaga mu..

*kita selalu dengar, Allah uji tanda sayang. Tetapi bagaimana pula jika Allah uji kita dengan tidak mampu menangis kerana takut kepadanya, adakah itu tanda Allah benci? T_T.

*doakan saya, semoga dapat bentang dengan baik dalam fiqh Medic nanti..

Sunday, April 3, 2011

20 tahun menjadi muslim



teringat ayah, teringat kematian yang semakin hampir..


Alhamdulillah, berkesempatan jua untuk saya coretkan di sini setelah terpaksa dipendam lama hasil kesuntukan waktu; exams, assignments (taqrir), KARISMA (karnival sukan mahasiswa Jordan), dll.
Maha suci Allah yang di tangannya sahajalah Pemilik dan Penentu kehidupan. Dan kepadaNyalah kepastian bahawa kita akan kembali dan akan dihisab.


20 tahun bergelar muslim.


29 Mac 2011 yang telah beberapa hari berlalu menjadikan usia saya meningkat kepada 20 tahun. Usia yang pada saya merupakan usia yang seharusnya sudah matang dan memiliki kefahaman untuk menyerahkan seluruh jiwa dan tenaganya kepada Allah dan amal Islami.


Namun, saat dinilai kembali, masih terlalu banyak yang perlu ditampung kebocorannya. Masih terlalu banyak yang perlu diperbaiki kerosakannya. Masih terlalu banyak yang perlu ditambah baik fungsinya.


20 tahun bergelar muslim. Dan rasanya saya masih belum menyumbangkan apa-apa untuk Islam. Masih terus berharap kepada keelokan Islam tanpa pernah berusaha untuk keluar memperbaiki Islam dalam kalangan masyarakat.


Teringat penyampaian kak Rohana UK mengenai usia; "usia kita ditentukan bermula sejak bila hubungan kita dengan Allah hidup". subhanaAllah..bermakna baru beberapa tahun saya menjadi hamba di dunia ini?


Harapan untuk 20 tahun bergelar muslim ini.


Dewasa menjadi remaja dalam suasana jahiliyyah dan syaitan yang bersungguh-sungguh untuk menghapuskan ketaatan kepada Allah bukan perkara mudah.


Dalam beramal sekalipun, syaitan terus merobek untuk menghilangkan keikhlasan, kesungguhan, ketelitian, keseimbangan dan keseriusan.


Justeru, semoga melangkahnya saya ke alam 20an ini menjadikan saya lebih matang dalam usaha menjadi pemuda muslim mukmin yang semata mengambil nilaian Allah. Semoga Allah sentiasa bersama dalam langkah, gerak kerja dan perancangan..sungguh. tidak ada kekuatan melainkan hanya dari Allah.


Terus berdoa semoga Allah melimpahkan rahmat dalam usaha menuntut dan menguasai ilmu di sini. Teringat UDMZ pernah menyampaikan hajat beliau terhadap generasi kami:
"Islam memerlukan ilmuwan yang pakar dan mahir dalam pengkhususan masing-masing".
Justeru, semoga Allah membantu untuk saya bersungguh ke arah itu insya-Allah.


Semoga terus menjadi anak yang soleh yang mampu membahagiakan bonda sentiasa. Teringat doa saya yang tidak putus-putus dari dulu, iaitu jangan saya pergi dulu atau bonda pergi dulu sebelum bonda merasai keberuntungan lahirnya saya di dunia ini. Biar saya selalu melapangkan bonda sentiasa dalam apa-apa keadaan. Sungguh. Redha bonda kekuatan untuk terus hidup.


Tidak dilupa, semoga Allah terus memberi kekuatan untuk saya menjadi sahabat yang baik, yang sensitif terhadap sahabat-sahabatnya yang lain, yang sentiasa berusaha untuk itsar, yang sentiasa memaafkan dan melapangkan. Dan paling penting, menjadi sahabat yang bersungguh untuk membawa sahabat-sahabatnya yang lain bersama masuk syurga Allah, insya-Allah.


Ucapan mak dan kakak.


Salam..hasna' sudah berusia 20 tahun.. telah 20 tahun keluar dari rahim bonda dan menghuni bumi Allah swt.. tak tahu untuk berapa lama lagi..mak doakan hasna' sentiasa dalam rahmat dan kasihnya.. dimurahkan rezeki, panjang umur dalam keimanan dan ketaatan.. mendapat pasangan hidup yang soleh dan muslih' pasangan yang menjadi 'amiliin Islam..
Semoga bertambah kukuh dan teguh dalam perjuangan insya-Allah.. ingat mak, doakan mak..
29 Mac 2011 1:03pm waktu Malaysia.

Assalamu'alaikum wbt adinda hasna' yang sentiasa dirindui dan didoakan kebaikan buatnya.. Salam ingatan dari kedua kekanda kamu dari cerok ibu kota tanah airmu. Afwan sebab lambat mesej ucapan ini.. hajat hati nak sembang terus dengan awak..tapi..belum berkesempatan. Mungkin sekadar perkongsian ringkas di medium sms ini, suka kak yam nak share 1 hadis Rasulullah s.a.w.:
Setiap keletihan, penyakit, kegelisahan, kesedihan, perlakuan jahat dan kegalauan yang menimpa seorang muslim, hingga tertusuk duri sekalipun, semua itu akan menyebabkan Allah menghapuskan kesalahan (dosa-dosanya). –hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Ahmad-
Lantas, setiap kali kamu merasakan letihnya menuntut dan menguasai ilmu, sakitnya bergaul dengan pelbagai manusia sekeliling, sedihnya mengenang hajat tidak tercapai, ingatlah hadis ini.. moga menjadi penawar hatimu..memberi inspirasi untuk terus sabar, ikhlas dan istiqamah atas jalannya..insyaAllah.
Happy belated birthday to you, sis! Sweet 20.@>--
luv u- kak yam dan abang ali mu.
2 April 2011 2:34pm jam Malaysia.


Syukran katsira buat kalian berdua yang terus menerus mengingatkan diri ini kepada Allah.


Buat bonda,
Hasna' tidak mampu untuk menulis walaupun satu ayat kerana sesungguhnya tidak ada kata-kata sekalipun gambaran untuk menyatakan betapa bahagianya hasna' lahir dari rahim bonda.


Cukuplah sekadar hasna' menulis di sini,
bahawa jika di akhirat nanti, Allah meletakkan hasna' ke dalam syurgaNya yang penuh dengan kenikmatan itu (insya-Allah), hanya satu yang akan hasna' ucapkan,


"ya Allah, dengan rahmatMu aku upaya untuk berada dalam kenikmatan ini. Dan dengan rahmatMu yang telah menciptakan bonda buatku yang telah mendidikku untuk mencintaiMu sepenuh hatiku, yang membuatkan aku terus berhati-hati dan berjaga-jaga dalam memenuhi ketaatanku kepadaMu.
Maka dengan itu ya Allah, gandakan kebaikan ke atasnya dengan gandaan yang berlipat kali ganda.


Kerana aku sesungguhnya tidak mampu membalas semua kebaikan yang telah dia curahkan ke atas aku sekalipun sedikit. Kerana itu ya Allah, aku mohon kepadaMu dengan penuh harap dan aku menjadi saksi atas setiap kebaikannya, atas setiap kesabarannya, atas setiap ketabahannya dan atas setiap kesungguhannya mendewasakan kami dalam 'ubudiyah kepadaMu, agar Engkau hadiahkan pada bonda mukminah ini syurga yang terbaik di sisiMu. Dan sesungguhnya Engkau lebih tahu apa yang selayaknya untuk hamba-hamba-Mu yang beriman.."


Hanya itu yang selayaknya untukmu wahai bonda mukminah..


Wahai bondaku, sepanjang 20 tahun hasna' menjadi anakmu, rasa ragu-ragu itu selalu muncul. Apakah hasna' mampu menjadi ibu yang terbaik buat anak-anak seperti mana bonda telah menjadi ibu yang terbaik buat kami?


Teruslah mendidik kami anak-anakmu. Teruslah menarik kami dari tergelincir agar tidak lari dari jalan DnT yang sememangnya memerlukan ketelitian yang maksimum.


Doa sayidina Umar r.a: "rahmat Allah ke atas mereka yang (sudi) menunjukkan kepada kami ke'aiban kami."
Sungguh. Rahmat Allah ke atasmu. Rahmat Allah ke atasmu. Rahmat Allah ke atasmu..


Buat kakak,
Jazakillahukhairan katsira atas segala-galanya..
Semoga Allah membahagiakan kak yam dan abang Ali dengan kebahagiaan-kebahagiaan di dunia serta kebahagiaan-kebahagiaan yang berganda di akhirat nanti insya-Allah..


Sayang kak yam^^.


Tidak dilupakan buat abang dan adik yang sentiasa bersama menguatkan. Sayang bang bair dan taha..^^.
Teruslah mendidik hasna' ya..
Semoga kita menjadi usrah di dunia, dan terus kekal menjadi usrah di akhirat nanti insya-Allah..


Ucapan untuk semua.


Teringat kata-kata mak semasa kami anak-anak mengucapkan ulang tahun kelahirannya yang ke 49 tahun lepas.


"Salam, jazakumullah atas ucapan semalam..terharu kalau benar lahir dari lubuk hati. Zubair anakku. (mak guna nama zubair sebab abang yang hantar message dan kami hanya call) kalau umur mak umpama seberkas kayu api berisi 50 batang, 49 batang telah digunakan tinggal sebatang sahaja lagi menunggu masa dicabut keluar..
Masa tidak banyak lagi untuk kita hidup bersama-sama di atas dunia yang sementara ini.. tetapi, jika kita sama-sama beriman dan beramal dengan bersungguh-sungguh, insya-Allah kita akan dipertemukan semula di dalam syurgaNya.. insya-Allah kita akan hidup bersama selama-lamanya. Itulah kebahagiaan dan kejayaan yang sebenar-benarnya..
Itulah doa mak untuk kita sekeluarga siang dan malam. Itulah juga doa yang sepatutnya anak-anak tidak tinggalkan..kita hidup di dunia dan akhirat kekal sebagai satu keluarga..
Untuk mendapat itu wahai diriku dan wahai anak-anakku, marilah kita bersegera beriman dan melaksanakan segala amal-amal yang mendekatkan diri kepada redha Allah swt dan marilah kita bersama-sama berusaha meninggalkan apa-apa sahaja perbuatan yang membawa kemurkaan Allah..itulah yang akan melayakkan kita mendapat syurgaNya dan dapatlah kita sekeluarga hidup bersama-sama sekali lagi insya-Allah..
Mak memohon berbanyak-banyak maaf atas apa sahaja kesalahan dan kesilapan sepanjang menjalankan amanah yang diletakkan di atas bahu seorang ibu oleh Allah swt, Pencipta kita. Mak akan ditanya tentang amanah ini..
Mudahkanlah urusan mak wahai anak-anakku dengan menjadi hamba-hamba Allah yang rabbani..
Salam kasih sayang daripada mak yang tidak terucapkan khas untuk permata-permata hati bonda..hanya anak-anak peneman hidup ini.."
Mak.


Sungguh. Begitu jugalah kata-kata saya untuk sahabat-sahabat yang mengirimkan ucapan dan doa sama ada melalui fb, message mahupun berjumpa terus.


Semoga kita terus sama-sama saling menguatkan dalam rangka ketaatan kepada Allah. Bantu hasna' dengan bersama membetulkan kesilapan hasna' dan doakan semoga kita sama- sama dinilai Allah sebagai pemuda-pemuda yang bersungguh memilih iman dalam dunia yang dipenuhi jahiliyyah.


Buat housemates,
Terharu dengan sambutan antum.
Lucu bila tahu objektif rancangan antum. "tak pernah tengok hasna' marah, tu nak try tengok..last kali tak jadi juga..".


Maaf sebab hasna' gagalkan objektif tersebut. Mana mungkin hasna' mampu marah sahabat-sahabat yang disayangi. Allah izin, tak mampu sebab rasa kasih itu mengatasi. Tapi insya-Allah, hasna' bukan robot atau makhluk yang tak ada perasaan ^^.


Mohon maaf atas setiap kesalahan dan kekurangan sepanjang kita bersahabat. Hasna' akui, masih banyak kelemahan dan kesilapan yang perlu diperbaiki. Dan hasna' akui, hasna' bukan sahabat yang baik seperti mana yang antum hajatkan..


Bantu hasna' dengan terus betulkan kesilapan-kesilapan itu..


Kesimpulan.


Semakin bertambah usia, hakikatnya membuatkan semakin bertambah amanah kita dengan Allah dan semakin berganda hutang-hutang kita dengan manusia-manusia di sekeliling.


Semoga Allah menguatkan. Semoga Allah tidak pernah meninggalkan. Semoga Allah tidak pernah melupakan..


*doakan saya sahabat..