Wednesday, March 23, 2011

Ayat-ayat cinta dari bonda..

bonda dan abang.
orang cakap, macam abang dengan adik..

Malam semalam, ketika mata hampir terpejam selepas menyiapkan bedah buku usul 20 sekitar jam 1 pagi lebih,

handphone berlagu tanda ada message masuk.

"My Ummi". Hati langsung sebak.
Yakin bonda mengirim ayat-ayat cinta dari jauh buat anaknya yang sedang berendam air mata.

"Salam Hasna', lama sungguh tak dengaq suara..maaf banyak-banyak kerana mak terlalu sibuk. Hari tu hal kenduri, ni hal sekolah pulak..penyakitpun bertimpa-timpa..Baru baik gastrik ni kena migrain pulak.

Apa-apapun, namamu tidak pernah lekang dalam doa tulus mak kepada Allah swt..Mak tak dapat bantu Hasna'. Hanya Dia. Mohonlah kepadanya dengan doa nabi Adam a.s. dan Hawa, doa nabi Yunus a.s., doa nabi Ayub a.s...dengan penuh rasa rendah hati dan hina dina di sisiNya.. Sebagai hamba yang berdosa yang mahu kembali kepadaNya..insyaAllah, doamu akan didengari di a3rash sana, oleh Allah swt dan para malaikat di sekelilingNya.

Jika suci hatimu, bersih niatmu keranaNya semata-mata dalam menuntut ilmu itu, insyaAllah, mak yakin Allah swt sesekali tidak akan membiarkanmu terlantar keseorangan kerana janjiNya adalah benar.."Dan kewajipan Kamilah menolong hamba-hamba Kami yang beriman.."

Bersihkan hati dan niatmu di samping usaha yang max hingga kau layak mendapat pertolongan yang dijanjikan itu..jika kau telah ditolongNya, apakah masih ada halangan yang merentangimu wahai anak sayangku?


Berbaik sangkalah dengan Rabbmu..Dia hanya mahu menggenggam hatimu agar tidak lari menjauhiNya. Dia mngasihimu dan suka mendengar rayuanmu padaNya sebelum Dia menunaikannya..
Segalanya mudah jika dipermudahkan olehNya.

Tinggalkan sifat-sifat mazmumah jika masih ada bersarang dalam hatimu agar terbuka hijab yang membatasi hatimu dengan ilmu milikNya. Mak yakin Hasna' boleh.."


Saya menangis. Maha suci Allah yang melahirkan aku dari rahim ibu mukminah. Yang tidak pernah sama sekali melupakan kami anak-anaknya untuk kembali kepada ketaatan kepada Allah dalam apa-apa kegentingan sekalipun.

Saya menangis sehingga tertidur. Terlajak bangun jam 4 pagi bermakna terlepas sunat sebelum azan subuh. Mata bengkak. T_T.

..

Tengah hari tadi, sedang tela3ah kitab-kitab muhadarah di maktabah, teringat tidak sempat menjawab message bonda semalam.

Menulis dengan air mata yang mengalir deras. Pelajar arab di meja hadapan melihat hairan.

"Salam wbt mak, maaf..tak dapat nak bercakap dengan mak buat masa ini. Takut menangis..

Doakan hasna' terus kuat ya mak. Semoga hasna' sentiasa dalam usaha membersihkan hati dan amal dalam rangka menjadi hamba Allah dan pelajar muslim yang terbaik dalam nilaian Allah.

Doa dan dorongan positif mak sudah cukup untuk buat hasna' membina semula keyakinan diri.
Bersyukur sangat kerana lahir dalam keluarga tarbiyah yang tidak pernah negative meskipun hasna' selalu tidak mampu lakukan yang terbaik.."

Terus mengesat air mata. Sebelum jawapan bonda tiba.

"Hasna' sayang..., usaha tugas kita, kejayaan milikNya.. mak tidak meletak beban atas bahu hasna' untuk beri banyak A(score)..

Yang penting, hasna' menguasai ilmu/ menghayati ilmu/ dapat menyampaikan ilmu/ membentuk diri dengan ilmu yang benar dan sohih..
insyaAllah, hasna' boleh..

Cuma kena betul-betul fokus, kalau terlalu berat kena kurangkan sikit tanggungjawab. Letak priority yang betul. Tidak semua kita boleh buat dalam satu masa..u get one, u lose one..itulah kehidupan.

Yang paling mak takut ialah ada sesuatu dalam hatimu yang menjadi sebab lambatnya datang pertolongan Allah. Na3uzubillah..
Begitu jugalah mak selalu muhasabah diri mak. Takut-takut ada dosa mak yang menghalang pertolongan Allah..Tidak rugi jika kita selalu check hati kita, kerana hatilah tempat nilaian Allah yang pertama.

Salam rindu dari mak.."

SubhanAllah. Alhamdulillah..Tidak terungkap kata-kata saat ayat-ayat cinta bonda ditatap dengan mata basah.

Ya Allah, cintai bonda sepertimana bonda mengajar kami untuk selalu mencintaiMu. Jagalah bonda sepertimana bonda selalu mendidik kami untuk selalu berjaga-jaga dalam memenuhi ketaatan kepadaMu.

Sungguh. Kuatkan aku ya Allah, agar sentiasa menjadi hambaMu yang terbaik. Semoga dengan itu, bonda perolehi ganjaran dalam setiap kebaikan yang aku lakukan..T_T.

nota kaki:
*Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhmdulillah. Tadi peroleh keputusan yang menguatkan lagi keyakina bahawa Allah itu tidak pernah mensia-siakan..T_T.
*berkongsi message ni sebab nak simpan ayat-ayat cinta bonda.

*menunggu waktu yang kuat. Baru nak telefon mak..

Tuesday, March 22, 2011

~Maaf~

Maaf kerana sudah jarang-jarang menulis. Rindu sebenarnya. Bagai mahu mencoretkan semuanya. Bagai mahu bercerita semua.

Kisah hari-hari yang dilalui. Cerita-cerita yang diteladani. Ayat-ayat yang memuhasabahkan diri.

Menulis melepaskan dan mengumpulkan.

Bagi saya, menulis ini merupakan terapi yang sangat dekat dengan jiwa. Menulis apa-apa yang bermain dalam hati. Menulis semua kata-kata yang kadang-kadang tidak mampu diucap. Menulis sebagai satu usaha untuk meluahkan selepas puas menangis dalam pengaduan dengan Allah.

Sebenarnya banyak tulisan-tulisan yang saya simpan kemas sebagai harta peribadi. Tulisan kisah bahagia. Tulisan kisah duka. Tulisan ungkapan-ungkapan doa.

Entah. Mungkin kerana saya tidak biasa bercerita kepada manusia kerana lebih senang memilih untuk menjadi pendengar. Dan mungkin kerana saya kurang yakin dengan kemampuan manusia yang juga cuma makhluk. Lebih baik saya mengadu dan menangis langsung dengan Allah dalam semua perkara walau sekecil-kecilnya.

Jika saya jatuh, selesai menangis, langsung tangan laju menulis. Menulis doa dan pengharapan. Serta menulis perancangan bagi jalan keluar yang perlu saya ambil. Dan dengan tulisan-tulisan itu saya rasa puas. Roh kekuatan itu mengalir semula bersamanya air mata yang telah disapu habis.

Menulis itu kenangan.

Bagi saya juga, menulis itu meletakkan kenangan kepada suatu penceritaan yang terjaga dari luput. Lantaran itu saya suka menulis hari-hari bermakna yang telah saya lalui. Kisah-kisah yang telah ditempuhi. Agar saat saya membukanya kembali dan membaca semuanya, saya akan tersenyum semula. Melihat kembali peristiwa-peristiwa itu yang disusun Allah tidak sesekali sia-sia.

Menulis itu membentuk dan mengingatkan.

Saya lebih senang menulis untuk diri sendiri. Dan baru belajar menggunakan ayat formal untuk tatapan umum. Kerana bagi saya, jika saya menulis untuk menarik diri jiwa untuk kembali kepada kepatuhan kpeda Allah, insya-Allah, manusia-manusia lain akan turut mendapat manfaatnya. Sungguh. Menulis itu perlu bersamanya jiwa dan hati selain kefahaman itu sendiri.

Saat rasa lemah, suka melihat semula tulisan-tulisan saat kuat itu ada. Mengutip semula semangat itu sebelum bangun untuk meneruskan langkah.

Minta maaf.

Beberapa hari lepas, sempat skype dengan adik. Taha bilang,"kak hasna' update la blog..kami seronok nak baca..".

Alhamdulillah. Seronok. Tidak seronok. Tersentuh. Tidak tersentuh. Semua itu dalam genggaman Allah. Semoga Allah menilai semuanya sebagai amal kebaikan yang insyaAllah menjadi pemberat timbangan kebajikan di hari perhitungan nanti.

Cuma di sini, berhajat untuk memohon maaf atas ketidak istiqamahan dalam menulis. Saya kira antara faktornya:

1)sibuk belajar.

2)periksa berderet-deret.

3)tidak sempat untuk dan menulis sungguh-sungguh.

4)setiap minggu perlu menulis untuk silibus projek IMAN di bawah kelola Biro Tarbiyah Majlis Mahasiswa Yarmouk. Due date, sebelum setiap hari khamis. Perlu mencari bahan dari sumber seerah, dalil, isi dan segala-galanya.

5)setiap minggu juga perlu menulis untuk projek bedah buku usul 20. Due date, setiap hari isnin atau rabu. Perlu menghadam betul-betul sebelum membuat ringkasan.

6)tidak termasuk menjadi perunding motivasi a.k.a pendengar dan perespons setia kepada sahabat-sahabat dan junior-junior yang datang berkongsi. ^_^".

7)tidak termasuk penyusunan silibus halaqah-halaqah.

8)dll…


Tapi sebenarnya saat dilihat balik semua itu, bukan alasan. Faktor UTAMAnya ialah: tidak pandai membahagikan masa.


Betul. Senang menghadam tajuk masa. Membaca. Mendengar. Malah mungkin pernah berkongsi dengan orang berkenaan itu suatu ketika dahulu. Tetapi saat aplikasi menuntut, selalu tewas.


Penutup.


Tadi semasa membuka bahan-bahan untuk menyusun slibus projek IMAN minggu ini dengan tajuk: "Ayuh Menjaga HDA", sempat terjumpa satu hadis yang membuat saya merenung dalam.


عن أبي محمد عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما قال: قال رسول الله (صلى الله عليه وسلم) : "لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعاً لما جئت به". (حديث حسن صحيح، رويناه في كتاب الحجة بإسناد صحيح)

Maksudnya:


Dari Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin Al-'Ash Radhiallahu 'anhuma, katanya: "Telah bersabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam: 'Tidak benar-benar beriman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya menuruti apa yang aku bawa." (Hadis ini hadis hasan sahih yang kami riwayatkannya dari kitab al-Hujjah dengan sanad sahih.)

Semoga Allah meletakkan kita dalam golongan mereka yang bersungguh untuk menundukkan hawa nafsunya. insya-Allah..T_T.


Nota kaki:

-syukra katsira sahabat-sahabat dan senior-senior yang sudi berkongsi tips, kata-kata dan segala di fb ketika saya rasa sedikit gundah tadi. Sungguh. Tidak ada kekuatan selain dari Allah..

-betul-betul rasa tidak mampu melangkah. Hanya Allah sumber kekuatan.

-akhir-akhir ini, sahabat-sahabat banyak menjadikan saya sebagai tempat rujukan dan perkongsian cerita berkenaan rahsia-rahsia atau cerita-cerita awal ke dalam fasa Baitul Muslim itu. Alhamdulilah, sekali lagi bersyukur kerana mampu bermanfaat untuk mereka dan diberi kepercayaan tersebut. Namun terdetik juga dalam hati, "gaya deme berkongsi dan bertanya ni, macam saya ni dah berpengalaman ja.."=_=". Heih~

-tengah cari waktu nak post tentang mak~ ^^. insya-Allah..

-oh ya, ni gambar kawin kakak:


gambar malam a3kad nikah di rumah pengantin perempuan. (12 Mac 2011)


gambar kakak di majlis pengantin perempuan (13 Mac 2011)

gambar kakak di majlis pengantin lelaki (19 Mac 2011)

-Post khas dari abang ipar, abang Ali Irfan buat kakak...^^. kehidupan Nafas Baru.

Friday, March 11, 2011

~Istimewa untuk kakak 2~


dari kiri: Taha, saya, kakak dan abang.
sangat suka gambar ni.

Esok 12 Mac 2011.

Tarikh yang akan menjadi antara tarikh terpenting dalam hidup kakak, insyaAllah.

Doa Hasna' dari jauh,

Semoga kalian berdua sentiasa dalam kasih dan ihsan Allah. Semoga Allah sentiasa menghidupkan kalian sebagai pasangan yang saling melengkapi antara satu sama lain, saling mengingatkan, saling membentuk, saling memahami, saling mencintai, saling melapangkan, saling membahagiakan, saling mendoakan, saling menguatkan, saling meringankan, saling memaafkan, saling berlapang dada, saling menerima kelemahan dan kelebihan, saling menunaikan amanah dengan terbaik, saling mengamalikan Tarbiyatul Awlad, saling berusaha membina roh Baitul Dakwah sekali gus saling beriringan melangkah kepada keampunan dan rahmat sang Pemilik iaitu nikmat terbesar Syurga Allah, insyaAllah..

Uniknya Baitul Dakwah itu.

Saya yang seronok mengikuti fasa-fasa dalam hidup kakak belajar banyak dari semuanya. Lebih-lebih lagi dari sudut pembinaan Baitul Dakwah kakak. Dan saya senang berkongsi dengan sahabat-sahabat sebagai motivasi untuk menguatkan lagi keyakinan bahawa janji Allah itu PASTI.

"lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik. Dan wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik".

Maaf. Jangan silap meletak niat. Menjadi baik untuk mendapat pasangan yang baik. Allah itu sentiasa Maha Tahu apa-apa yang kita sembunyikan. Teringat pernah berkongsi dengan seorang teman:

"bila kita melihat dan mengagumi pemuda yang bersih jiwanya, bukan kita hanya lihat pada satu arah. 'ya Allah, aku berhajatkan zauj yang soleh seperti itu'. Tidak, tetapi lihat dari sudut yang berbeza. 'Allah, dia hanya manusia. Tetapi dengan manusia yang soleh seperti itu pun aku merasai kerdilnya aku lantaran tidak layak, apatah lagi aku dengan syurgaMu.' Kita perlu melihat mereka dari pandangan akhirat".

Sungguh. Mahu membina perkara besar bukan suatu yang mudah. Kebergantungan dengan Allah adalah asas paling penting. Yakin dengan penyusunan Allah. Berusaha bersungguh dalam membersihkan hati dari kemaksiatan.

Teringat Pakcik Rosdi Baharom pernah menyebut dalam slot Baitul Muslim ketika konvensyen HALUAN kebangsaan,

"ketika zaman kami, zaman generasi awal melihat Baitul Dakwah itu dengan pandangan yang berhati-hati dan teliti. Teliti dalam memastikan pemilihan bahan-bahan, pemilihan batu bata untuk membina bangunan itu tidak dicampuri dengan kerosakan. Takut-takut, bangunan tidak kuat dan akan roboh".

Dan saya yakin, insyaAllah, kakak telah melewati fasa-fasa penantian dan kesabaran itu dengan jalan yang terbaik.

I solute you, sis! ^_^

Kakak yang saya kenali.

Tidak dinafikan, saya sentiasa mahu menjadi pesaing kakak suatu ketika dulu. Kakak yang rajin. Kakak yang bersungguh. Kakak yang bermatlamat jauh. Kakak yang berfikiran kreatif dan menjangkau pemikiran. Kakak yang fokus dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Kakak yang akan melakukan sesuatu dalam bentuk yang sangat terbaik dan cemerlang. Kakak yang selalu digelar 'otak yang tak berhenti duduk diam'. Kakak yang bermaklumat. Kakak yang tegas. Kakak yang selalu menangis dan risau dengan peperiksaan sedangkan selalu cemerlang hadiah dari Allah natijah kesungguhan dan kerajinanan kakak. Dan lain-lain.

Semua yang tidak ada pada saya. =_=". Hehe. insyaAllah sedang berusaha.

Doa saya, semoga kakak terus istiqamah dalam semua kebaikan tersebut sehingga sampai kepada kematian yang mulia, insyaAllah.

Pesanan kepada abang 'Ali 'Irfan a.k.a BroHamzah.

Semoga menjadi nakhoda yang penuh kasih sayang dalam ketegasannya. Semoga dengan BD ini menjadi batu loncatan untuk lebih melaju dalam amal Islami, insyaAllah.

Didik kak yam tegas-tegas sikit.^_^.

Paling penting, selamat menjadi ahli keluarga kami yang semuanya terlalu mesra (baca: riuh rendah).

Teringat kisah makan malam kami sekeluarga (tak ingat bila, rasanya macam banyak kali juga) yang memang menjadi tradisi sebagai tempat abang bercerita hari-harinya yang lucu atau sebagai tempat halaqah tidak rasmi, kami yang sedang bercanda dengan cerita-cerita jenaka abang tiba-tiba menjadi senyap apabila ada yang bertanya: "nanti kalau ada abang Ali duduk sekali makan dengan kita, macam mana ya?".

Ibu membalas,"bang bair mesti senyap..kita pun makan sopan-sopan ja..". Dan kami ketawa semula.

Harapan Hasna', semoga abang Ali dapat menjaga hati dan perasaan kakak lantaran kakak merupakan ibu kedua Hasna' selepas mak. Apatah lagi, menyayangi dan muliakan isteri dengan kemuliaan yang sebenar adalah sunnah Rasulullah s.a.w.

"Sebaik-baik muslim adalah yang sebaik-baik akhlaknya terhadap ahli (isteri)nya".

(erk~..ada gaya mengugut tak? He he)

Nikmat rumah tangga itu adalah penyatuan keluarga.

Kakak pernah sebut dulu, "selagi kita tidak mampu berkongsi bermakna selagi itu kita belum memahami apa itu dinamakan Ukhuwah Islamiyah".

Betul. Dan perkara itu yang sedang saya fahami kini.

Walaupun kakak tidak akan lagi menjadi milik kami sahaja kerana kakak pasti perlu memberikan sepenuh komitmennya kepada suami dan mendahulukan keluarga di bahagian suaminya tetapi saat melihat kemanisan Ukhuwah Islamiyah itu, semuanya menjadi sesuatu yang membahagiakan.

Baitul Muslim itu telah mengikat dua pihak yang berbeza untuk menjadi sebuah keluarga besar. Membina jalinan persaudaraan darah selain persaudaraan akidah.

subhanaAllah..hebatkan Islam?

Penutup.

Semoga Baitul Dakwah yang akan didirikan oleh kakak dan zaujnya sentiasa dalam kondisi berjaga-jaga agar sentiasa dalam lingkungan yang Allah redha. Semoga Allah sentiasa membantu kalian dalam memenuhi amanah DnT itu. insyaAllah..doakan Hasna' di sini ya. ^_^ (suppose to be like this à T_T)

*post tentang kakak yang sebelum-sebelum ini.

istimewa untuk kakak.

my beloved sis.

saya harus belajar untuk matang.

*minggu depan 2 paper: mu3amalat Iqtisodiyah dan Dakwah.

*baru perasan, dah 2 post saya tulis dengan susunan yang sedikit tidak terurus. Pelik.

*kena hadam semula Jiddiyah dan keseriusan. Haish..

*a3kad nikah: 12 Mac 2011. Kenduri bahagian perempuan: 13 Mac 2011. Bahagian lelaki, erk~ tak ingat..=_="


Wednesday, March 9, 2011

F.O.K.U.S

insyaAllah, kali ini berhajat memulakan post dengan 2 hadis yang membuatkan saya berfikir panjang.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
"Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin itu ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya." (riwayat atTarmizi)

Hadith lain:
"Seseorang itu sudah dianggap (menyibukkan diri) dengan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (dirinya) " (riwayat Ibnu Hibban).

Sungguh. Hakikatnya realiti hari ini, terlalu banyak perkara yang tidak berkaitan dengan diri saya dan kepentingan dalam amal Islami yang sengaja saya sibukkan waktu terhadapnya. T_T. Semoga Allah mengampuni setiap kemaksiatan terhadap waktu tersebut.

Pelajaran Hari Ini.

Ketika kelas Dakwah hari ini bersama Dr. 'Aisy Lubabnah, Dr ada menyebut satu hadis yang berkaitan keikhlasan. Mafhum hadis tersebut berbunyi (ayat Dr.) :

"3 Golongan yang paling awal masuk neraka ialah; 1)orang 'alim. 2)orang syahid di medan jihad. 3)orang yang menginfaq. Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana TIDAK IKHLAS semata kerana ALLAH".

Saat itu terasa seperti dihentuk. T_T. Takut. Semoga Allah tidak menolak saya jauh.

Kekuatan HANYA milik ALLAH.

Akhir-akhir ini, hampir setiap hari, Allah izin ada sahabat datang silih berganti meminta nasihat, pandangan dan semangat. Sebahagian menggunakan wadah teknologi dan sebahagian yang lain lebih senang berjumpa..

Maha suci Allah yang di tanganNya segala sesuatu. Sungguh. Kekuatan itu semuanya hanya dari Allah. Pencipta dan Pemilik kehidupan. Di tanganNya hati-hati kita berbolak balik.

Cuma yang terdaya saya kongsi hanyalah KEMBALILAH KEPADA ALLAH SEPENUHNYA. Kembali kepada pengaduan kepadaNya. Kembalikan kepada kepatuhan maksima kepadaNya. Kembalilah dalam tangisan mengakui lemahnya kita yang hanya hamba.

Saya selalu sebut pada diri dan kepada sahabat-sahabat yang datang berkongsi, perkara pertama yang perlu kita yakin ketika ujian itu datang tanpa mengira apa jenis sekalipun ujian tersebut ialah:

"Yakinlah saat itu IMAN kita sedang berbicara. Iman kita sedang berbicara tentang setakat mana kita menyakini kesempurnaan Allah yang tidak punya kecacatan walaupun sedikit.
Kerana apabila kita meyakini itu, sama sekali MUSTAHIL akan wujudnya keluh kesah dan meraba-raba dalam mencari kekuatan sesama manusia. MUSTAHIL kita akan bersandar kepada manusia bilamana kita melihat bahawa Allah di atas sana Pemilik jiwa dan DIA YANG MENYUSUN KEHIDUPAN KITA.

Iman kita sedang berbicara tentang setakat mana kita memahami konsep TAWAKKAL. Merasai kebergantungan kita dengan Allah secara maksima. Tali kukuh yang menghapus langsung rasa pengharapan kita kepada kerapuhan manusia. DIA yang mewujudkan ujian dan rasa gelisah itu, justeru hanya kepada DIA kita serahkan pengaduan".

Maaf. Saya bukan menghalang daripada perkongsian sesama manusia. Tetapi perkongsian kepada pencarian resolusi itu berbeza jauh dengan perkongsian jiwa yang mahu difahami. Perkongsian jiwa yang merintih mengadu beratnya ujian. Perkongsian jiwa yang bersamanya pengharapan agar ada manusia yang memahami dan mengasihi.

Kita ada Allah. Allah Sang Maha Pencipta itu lebih TAHU daripada manusia yang turut diciptakan. Lantas, apakah gunanya asma' Allah yang mulia?
Allah al 3liim (Allah Maha Mengetahui)
Allah alBashiir (Allah Maha Melihat)
Allah asSaami3 (Allah Maha Mendengar) dll.

"...Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." (alBaqarah:214)

Sungguh. Jangan biarkan ada kecacatan dalam keyakinan kita pada Allah.

Saya punya kekuatan berbicara dan menulis sebegini kerana saya juga seperti itu ketika belum betul-betul berada dalam proses Tarbiyah ini. Lebih-lebih lagi, ketika berada dalam comfort zone yang dikelilingi oleh bi'ah solehah.

Namun, ketika Allah mengizinkan saya tercampak jauh di sini, ketika itulah saya belajar perlahan-lahan meletakkan Allah dalam seluruh kehidupan. Belajar untuk mengadu hanya kepada Allah. Belajar untuk menangis hanya pada Allah. Belajar untuk berharap hanya pada Allah walaupun dalam sekecil-kecil perkara. Kata ibu, "belajar untuk tawakkal walaupun ketika memasak..".

insyaAllah, belajar meyakini kesempurnaan Allah dalam tawakkal dan tindak tanduk kita. Bukan sekadar dalam kata-kata.

penutup: Dakwah MUSTAHIL tanpa bersamanya HDA.

"Tarbiyah tanpa Dakwah tidak ke mana-mana. Dakwah tanpa Tarbiyah. sia-sia" - UDMZ-

"Mana mungkin kita yang membawa manusia dekat dengan Allah, kita sendiri jauh dengan Allah..!" -senior Sahel-

"Milik Allahlah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Jika kamu mengatakan apayang ada dalam hatimu atau kamu SEMBUNYIkan, nescaya Allah memPERHITUNGkannya (tentang PERBUATAN itu) bagimu. Dia mengAMPUNI siapa yang Dia kehendaki dan mengAZAB siapa yang Dia kehendaki. Allah MAHA KUASA atas segala sesuatu" (alBaqarah)

Semoga Allah sentiasa bersama dalam setiap amal dan 'ibadah kita. T_T. Sungguh. Takut saat teringatkan betapa dahsyatnya ancaman Allah. Betapa kekotoran jiwa masih melekat banyak.

Namun, semua itu bukan alasan untuk kita berhenti. insyaAllah, jangan berhenti dalam pengaduan kepada Allah. Teruskan. Dan teruskan langkah.

nota kaki:

Tadi, Allah uji dengan suatu perkara. Membuatkan saya kembali muhasabah setelah hampir terlupa lama. Herm..nampaknya perlu ketatkan semula prinsip yang telah dilonggar banyak. Juga membuatkan saya kembali kepada titik permulaan, "Untuk apa aku bergerak?".

Semoga Allah mudahkan..Sedang menempuh fasa imtihan awwal.

Belajar untuk matang, insyaAllah.

Wednesday, February 23, 2011

~Istimewa untuk kakak~


Taha, 2 orang anak sahibah UK dan kakak..

*Post ini berbentuk kekeluargaan dan bersifat santai. Maaf, jika tulisan ini tidak memberi kebaikan manfaat kepada pembaca kerana post ini saya hadiahkan untuk kakak saya, insyaAllah..

Saya berjanji pada kakak untuk menulis satu coretan istimewa buatnya dan hanya akan dipost pada 13 Mac. Tetapi nampaknya saya tidak mampu menunggu lama.

Biar post ini menjadi pra-post istimewa tersebut, boleh?

Saya sayang kakak.

Dalam hidup ini selain ibu, kakak merupakan insan yang paling dekat dengan saya sekaligus antara insan yang menjadi tulang belakang kepada saya hari ini.

Teringat ketika kami dulu dalam usia anak-anak kecil, bermain masak-masak, berlakon ibu anak, berlakon pengantin, bermain Barbie doll, menyusun 'database' teddy bear yang melebihi 40 jumlahnya , didenda bersama, berkongsi cerita apa yang berlaku di sekolah sebelum tidur dan segala kenangan lain yang sentiasa segar.

Saya rindu semua waktu itu. Waktu yang mengajar erti kasih sayang yang terlalu mahal. Tidak dinafikan, kami selalu berselisih (baca: gaduh). Bagi saya itu adalah lumrah. ^_^ Dan semua itulah yang membina cerita hidup yang sukar dilupakan.

Saya hanya punya seorang kakak. Bagi seorang adik, kakak merupakan ikon segala kejahatan dan juga ikon segala kebaikkan. Seseorang adik itu akan memerhati dan menilai sekaligus mencontohi atau mengikuti setiap apa yang berlaku dalam hidup kakaknya.

Dan saya tidak terkecuali. Seingat-ingat saya, kakak memberi impak yang besar dalam perilaku dan tingkah saya. Contoh yang tidak soleh, kakak mengajar saya mendengar lagu westlife dan backstreet boy ketika kecil dalam keadaan sembunyi-sembunyi dari pengetahuan ibu. Huhu..

Dan semestinya, kakak adalah antara manusia yang bersungguh menarik saya keluar dari kegelapan itu. Masih jelas, air mata kakak ketika saya melukakan hatinya dengan bertindak secara tidak wajar. (baca: nakal). Masih disimpan kemas surat-surat yang ditulis tangan oleh kakak. Menjadi bukti betapa tegarnya impian kakak untuk melihat saya menjadi hamba yang memahami erti sebenar kehambaan dan kepatuhan.

Permata itu hadiah.

Sungguh. Saya tidak mampu menahan lagi. Saya rindu kakak. Hanya dia satu-satunya yang saya ada, hadiah dari Allah, dan semestinya hanya dia satu-satunya saya sayang.

Dan kini sayang saya pada kakak bertambah-tambah pada setiap kali saya merancang dan bekerja. Tersentuh saat ada yang menegur,"anti ni macam kakak antila..". Bukan kerana pujian itu. Tetapi rasa itu hadir lantaran bahagia kerana saya dan kakak telah diikat oleh satu ikatan yang kukuh iaitu sama-sama mahu bekerja di atas jalan ini. Sebuah ikatan yang insyaAllah tidak akan terputus sampai bila-bila selagi kami sama-sama istiqamah di atas jalan ini. Sebuah ikatan yang lebih mahal harganya daripada ikatan darah kekeluargaan itu sendiri.

Biar kami sudah jarang bersama. Biar kami sudah jarang bercerita. Tetapi biar Allah nilai kami bersama dalam mereka yang memilih Iman dalam dunia yang membinasakan.

Teringat doa ibu yang membuatkan mata saya basah banyak,

"Wahai anak yang mengasihiku dan kumengasihinya kerana Allah swt..kedua-dua puteriku Alhamdulillah telah dianugerahkan Allah swt mengenalNya dan jalanNya dan merasa nikmat serta mensyukuri dengan memenuhi tuntutan-tuntutanNya.. Alhamdulillah, tidakku risaukan lagi tentang asas-asas keimanan dan ketauhidan mereka..Kusyukuri nikmat Allah swt yang terbesar ini..Mudah-mudahan kedua-dua puteriku yang soleh dan mosleh ini menepati sabda Rsulullah saw bakal menjadi pendidingku daripada api neraka.."

Sungguh. Semoga Allah memakbulkan doa ibu yang mulia. Ibu yang tidak pernah berhenti mendidik kami dengan penuh kepayahan dalam masa jahiliyyah rakus mencari peluang.

Hati ini bersama di sana.

Saya terus membilang hari. Bersamanya sebak yang mencarik. Mustahil jika saya katakan saya tidak pedih di sini. Tinggal lagi 17 hari.

Kakak yang merupakan satu-satunya kakak yang saya ada akan mengalami fasa baru. Dan saya setia di sini. Tidak dapat melihat dan berada hampir ketika detik-detik peralihan fasa itu. Tidak mampu membantu walupun sedikit kecuali doa dari bumi jauh. Bukan sedikit air mata yang telah menitis. Tetapi itulah mahar yang perlu dibayar.

Semoga Allah kuatkan. Semoga Allah tenangkan. Semoga Allah ubatkan.

Coretan buat kakak.

Kakakku Maryam Fatin Hanisah Binti Hazni,

Semoga Allah permudahkan setiap urusan. Semoga Allah berkati setiap perjalanan. Semoga Allah lapangkan setiap perancangan.

Allah Maha Tahu setiap perjalanan hidup yang telah kak yam lalui, dan Allah Maha Tahu ganjaran apa yang terbaik buat kesabaranmu selama ini. Berbahagialah dirimu wahai kakakku.

Semoga anugerah itu menjadi bahan pembakar yang bakal melajukan lagi gerak kerja kak yam dalam DnT. Semoga Baitul Dakwah itu menjadi bahan pengeluar kader-kader Islam insyaAllah..

Hasna' sayang dan rindu kak Yam. Dan Hasna' bahagia menjadi adik kak Yam (walaupun kalau masa gaduh tu ada la rasa macam geram-geram sikit..hehe) Semoga kak Yam mendapat saham dalam setiap amal kebaikan yang Hasna' buat, insyaAllah..

Semoga menjadi isteri solehah kebanggan suami. Semoga kita istiqamah di atas jalan ini sehingga peroleh kematian yang mulia insyaAllah..

p/s:

-doakan Hasna' ya..

-Maaf, mungkir janji..^_^

-menulis dengan linangan air mata.

-13 Mac selalu dikira sedangkan first exam mula 7 Mac..Astaghfirullah hal 3dzim..



Thursday, February 17, 2011

Buat diriku dan kalian, wanita..

Tergerak untuk menulis dalam rangka sepenuhnya untuk diri ini. Semoga Allah melindungi kita semua dari fitnah dunia.

Pendahuluan.

Kebelakangan ini, Allah telah mengizinkan saya untuk menjadi pendengar setia, pemerhati setia sekaligus penganalisis setia bagi sahabat-sahabat mahupun junior-junior yang rapat. Alhamdulillah, kerana dalam banyak-banyak orang yang ada, Allah memilih hati-hati mereka untuk berlapang dada berkongsi. (Mungkin saya ni ada gaya pendengar yang baik ^_^ . erk?)

Dan saya belajar banyak daripada semua cerita-cerita dan perkongsian masalah-masalah mereka.

Rasa itu fitrah.

Sebelum apa-apa, sejujurnya, saya juga remaja seperti kalian. Yang sama-sama sedang merempuh fitrah itu. Sungguh. Rasa itu adalah fitrah.

Namun persoalannya, adakah fitrah itu selama-lamanya fitrah?

Mudah untuk mengetahui apakah masih bersih atau sudah kotor. Lihat pada kondisi hati kita dan kejernihan hubungan kita dengan Allah. Jujur, mustahil kita mampu mecintai Allah dalam masa yang sama kemaksiatan itu terus memenuhi ruang.

Rasa itu ujian.

Ibnu Qayyim berkata yang bermaksud:

"Cubaan yang Allah berikan kepada hambaNya yang mukmin oleh sebab ia mencintai syahwat dan maksiat serta cenderung kepadanya hanyalah untuk mengiring hamba itu kepada mencintai sesuatu yang lebih utama, lebih baik, lebih bermanfaat dan lebih abadi daripada sekadar syahwat dan maksiat. Juga agar hamba itu berjuang untuk meninggalkannya demi mencapai mencapai redha Allah".

Lalu, kita perlu memandang rasa itu sebagai ujian. Ujian yang mencuri kekhusyukan 'ubudiyah kita. Dan pastilah semua itu mustahil untuk kita rasai selagi kita tidak nampak betapa pentingnya meletakkan Allah sebagai yang utama dalam seluruh kehidupan.

Ujian itu memang pedih. Kerana dari ujian itu menentukan nilaian Allah terhadap kita.

"Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang sebelum kamu…." (alBaqarah: 214)

Ada yang mahu lari dari ujian. Namun, mustahil kita mampu. Kerana hidup ini memang terbina atas ujian.

"Ujian membina kehidupan umpama kain yang dikait, dan benang itu adalah ujian". (tak ingat dari buku mana)

Apa kekuatan kita?

Dalam urusan ini, IMAN kita memainkan peranan yang paling penting. YAKIN dengan ALLAH. YAKIN dengan SUSUNAN ALLAH.

"Jangan biarkan ada krisis keyakinan dengan Allah". (Novel Mawar Berduri: Fatimah Syarha)

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Rabbmu.." (at-Thur: 48)

Saat saya menemui ayat ini. Lidah jadi kelu. Hati jadi sayu. Betapa terusik jiwa menerima kalam cinta Sang Pencipta agar bersabar. Sabar selagi belum tiba masanya.

Adu pada Allah untuk setiap apa yang bermain dalam hati kita. Menangis dengan Allah saat merasai kepedihan itu. Kita tidak mampu membuang fitrah itu jauh tetapi kita mampu berdoa semoga Allah kuatkan kita dan menyusun yang terbaik dalam hidup kita.

Firman Allah yang bermaksud:

"Jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu.." (alBaqarah: 45)

Sungguh. Hanya solat sebagai kekuatan. Berbicaralah dengan Sang Pencipta kerana Dia lebih Maha Mengetahui. Kuatkan HDA (Hubungan Dengan Allah) kerana hanya itu ubat bagi kesakitan tersebut.

Sungguh. Tidak ada manusia yang boleh membantu melainkan kembali kepada fitrah kehambaan.

Di tangan wanita penentu segala.

Dalam masalah ini, wanita memainkan peranan terbesar. Kerana apa?

Di tangan wanitalah penentu kepada bermulanya masalah yang lebih besar. Justeru, didiklah hati-hati kita untuk lebih takutkan Allah. Jagalah hati-hati kita dalam rangka untuk menjaga hati-hati mereka daripada kemurkaan Allah.

Memang susah. Kerana itu kita perlu berbalik semula kepada perkara-perkara di atas.

Teringat dulu, pernah mendapat perkongsian (atau lebih berbentuk ancaman) dari cikgu KB.

"Ingat, jika seorang lelaki itu tidak kusyuk dalam solat lantaran kamu, kamu yang akan menanggung dosa-dosanya".

Takut.

Saya sejujurnya tidak pernah terfikir sehingga sebegitu jauh betapa beratnya tugas seorang wanita. Menjaga diri dari menjadi faktor kelemahan seorang lelaki.

Terfikir. Sungguh. Tidak ada daya dan upaya melainkan dari Allah.

Saat menerima message, surat mahupun apa-apa tanda yang menggambarkan dia menyimpan rasa dan ketika itu hati berbunga-bunga. Lantas, apa yang mampu menghalang bisikan syaitan untuk yang seterusnya?

Tidak ada lain melainkan rasa takut dan malu kepada Allah.

Bagaimana dengan lelaki?

Jangan hanya melihat kepada wanita untuk menjaga semuanya. Lelaki juga perlu memainkan peranan besar.

Bersama menahan diri dari memulakan apa-apa tanda. Jaga maruah anda sepertimana wanita perlu menjaga maruah mereka.

Jika belum tiba waktunya, jangan terlalu mudah untuk sebar-sebarkan rasa sayang yang berhak untuk hanya yang halal. Sungguh. Bantu kaum wanita untuk menjaga hati-hati mereka sepertimana mereka perlu menjaga hati-hati anda.

Tidak akan faham selagi tidak faham urgensi Baitul Muslim.

Perkara ini akan dianggap remeh selagi kita tidak melihat urgensi pembinaan bangunan utuh sesebuah institusi keluarga Islam itu.

Urgensi pembinaan baitul Muslim.

"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu ialah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk" (al-Israa':32)

1. Melindungi diri dan maruah manusia yang mulia. Lalu mustahil terbinanya baitul muslim jika asasnya sudah mengambil jalan zina (zina hati, zina tangan dll).

", Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (At Tahrim: 6)

2. Berkasih sayang dalam rangka ketaatan kepada Allah. Saling melindungi dari kemurkaan Allah. Justeru, mustahil semua itu akan terjadi, jika asasnya sudah mengambil jalan kemaksiatan (maksiat hati, maksiat mata, maksiat tangan dll).

Mungkin cukup sekadar perkongsian 2 urgensi Baitul Muslim itu sebagai muhasabah kembali akan kefahaman kita terhadap matlamat rumahtangga sebenarnya.

Konklusi.

Maaf kerana saya sebenarnya tidak layak langsung dalam menulis perkara ini kerana saya sendiri masih belum berada dalam alam baitul muslim itu. namun, insyaAllah, semoga tulisan ini dapat membantu diri ini dan sahabat-sahabat yang lain untuk kembali kepada fitrah penciptaan kita.

Realiti hari ini kadang kala mengelirukan kita . Jahiliyyah mengembar gemburkan bahawa hidup tanpa cinta tidak syar'ie adalah suatu kebosanan. Malah wujud fenomena cinta Islami dalam kalangan pekerja amal Islami itu sendiri (na'uzubillah minzalik).

Dan saya menulis ini bukan bermakna saya telah sempurna tetapi sebagai peringatan keras buat diri sepenuhnya.

Semoga Allah redha dengan usaha kita untuk menjadi pemuda rabbani yang melihat akhirat dalam kehidupan dunia.

Wallahua'lam.

*17 Feb 2011. Abang menginjak ke usia 24 tahun. Sanah Helwa ya jamil..Muhammad Zubair Bin Hazni, semoga dewasa dalam keimanan. Sayang bang bair yang setia menjadi abang terbaik buat kami, adik-adikmu..

*12 Januari 2011. Adik menginjak ke usia 15 tahun. Usia awal remaja. Kuatkan dirimu wahai adik, kerana dunia yang ganas sedang menunggu untuk menerkammu. Semoga dewasa menjadi remaja muslim yang meletakkan Allah dalam setiap amalannya, insyaAllah..

*13 Mac 2011. Keluarga kami bakal bertambah. Dan saya di sini hanya mampu tembakkan doa dari jauh, semoga Allah mudahkan setiap urusan..




Monday, February 14, 2011

Mengagumi mereka

Melihat pemuda beriman,

Dalam dunia yang kacau bilau,

Yang kadang-kadang aku sendiri

Selalu jatuh.

Membuatkan aku selalu tertanya,

Makhluk apakah mereka ini?

Malaikatkah?


Mengapa cinta mereka telalu tinggi

Hanya untuk Allah.

Mengapa mereka terlalu bersih

Sehingga kulihat mereka itu putih?


Ya Allah, aku mahu menjadi seperti mereka,

Bersihkan aku Allah.

Aku mahu seperti mereka,

Agar Engkau pandang aku seperti Engkau memandangkan mereka.

Jangan pernah tinggalkan aku Ya Allah.

Kerna jika saat itu datang,

Celakalah aku.

Tidak ada gunanya aku dihidupkan.


Allah,

Hati ini milikMu.

Lemahnya ia adalah ciptaanMu.

Justeru, kuatkan aku untuk menguatkan hatiku.

Agar selalu tunduk dan patuh

Hanya untukMu.


14Feb 2011

Bersama titik air yang mengalir dari mata.

Mengagumi pemuda rabbani seluruh dunia.

Nota:

Dalam melaksanakan amal Islami, kadang-kadang kita terlupa bahawa kita juga milik Allah. Kita asyik memikirkan tentang mereka, tentang bagaimana untuk menyelamatkan mereka dari kemurkaan Allah sehingga terlupa yang kita juga sentiasa dalam pemerhatian Allah.

Menjadi muslim rabbani itu tidak pernah mudah.Kerana syurga indah itu maharnya tinggi. Terlalu.

Takut amal itu dibaluti bersamanya kemaksiatan sehingga ketika dibawa kepada Allah untuk dihisab, ibadah itu hilang lantaran penuh tersalut hitamnya kemaksiatan kepada Allah. Takut. Takut. Teramat takut. Tetapi takut itu perlukan bukti.

Semoga Allah tidak pernah meninggalkan walau sesaat meski hanya sekerlip kerlipan mata.

*balik dari program rehlah ke Ma'rakah Yarmouk, semangat menulis. Tiba-tiba hilang, tidak sempat disavekan. Langsung mati semangat. =_=". Maaf semua..

Monday, January 24, 2011

Amal itu tidak pernah cuti.

Maaf kerana sudah lama tidak menulis. Awalnya sibuk periksa akhir. Kemudian berlangsung Tamrin Dakwah dan Amal selama 2 hari 1 malam. Seterusnya program anjuran Majlis Mahasiswa Yarmouk (MMY) di bawah kelolaan Akademi Syariah MMY (ASM) iaitu sebuah kursus intensif mengenai ilmu faraid yang Alhamdulillah dilalui selama 4 hari yang penuh ilmiah dan bermanfaat.

3 malam 2 hari pertama.

Ustaz Abu Bakr dan zaujah, kak Zizi yang merupakan teman baik kak Ha (Fatimah Syarha) bersama si comel, Abdullah Mujahid datang dari bumi sempadan sana, tanah Syams Syria semata untuk bersama kami.

Kak Zizi bermalam di Bayt Abu Ubaidah dan bermakna selama 3 hari 2 malam itu, kami diceriakan dengan keletah si Mujahid yang insyaAllah bakal menjadi mujahid suatu hari nanti.

Dari kiri atas: k 'dnin, k Pipah, k Zizi, k Syu, Athiroh, Mujahid, Asma' dan k Halimah.
Dari kiri bawah: k Timah, saya, k Ninah, k Yam dan Izzah.
Tiada dalam gambar: Pipah dan k Izzah.
Tidak dapat hadir: k Iffah.

Alhamdulillah..segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan hati-hati kami untuk duduk bersama dalam rangka untuk beriman dan mematuhi setiap amal yang telah Allah tetapkan. Bersama berusaha menjadi pemuda muslim mukmin yang terbaik mengikut nilaian Allah.

Sepanjang 3 malam 2 hari ini, sempat mencedok banyak perkongsian dengan kak Zizi yang nyata berpengalaman luas dalam DnT di UIA dahulu. Sempat berbincang beberapa perkara dan merangka beberapa perkara.insyaAllah..

Antara perkongsian Ustaz Abu Bakr:

  • "Kita beramal Islami bukan kerana Allah tetapi kerana kita yang perlukan Allah".
  • "Berdasarkan surah alAsr (Demi masa..), Allah memberitahu bahawa seluruhnya berada dalam kerugian. Semuanya. KECUALI. Digariskan 3 ciri-ciri yang mengeluarkan manusia daripada kerugian itu. 1. yang beriman. 2. beramal soleh. 3. berpesan-pesan kepada kesabaran dan berpesan-pesan kepada kebenaran."
  • "Iman itu wajib memberi kesan kepada sekeliling. Iman itu boleh digambarkan seperti api dan ais batu. Api yang panas mampu memanaskan ruang. Begitu juga ais batu yang sejuk dan mampu menyejukkan".

Banyak lagi sebenarnya, tetapi cukuplah dikongsi 3 point penting tersebut.

Pada hari terakhir, dalam slot resolusi, senior Hilal Asyraf ada menyentuh perkara asas berkenaan setakat mana kita mahu melihat keseriusan urgensi Tarbiyah. Sungguh. Kita tidak mampu memperuntukkan walau sedikit waktu dalam hidup untuk berada dalam taman-tanam keimanan kepada Allah jika kita tidak nampak urgensinya menjadi muslim mukmin itu. Sejujurnya tidak ada jaminan kepatuhan kepada Allah melainkan keistiqamahan kita untuk terus mendidik keimanan.

Seterusnya dalam kalimah akhirah, senior Aiman Majdi merangkap mas'ul kami di bumi Jordan ini, menyentuh berkenaan Jiddiyah dan keseriusan. Walaupun cara penyampaian yang santai tetapi beberapa point disentuh serius.

  • "Kita selalu mendengar 'Belajar nombor 1, DnT bukan nombor 2', kerana DnT itu sememangnya tidak perlu ada nombor. DnT mesti menjadi darah daging kita".

Tamrin tamat sekitar tengah hari hari Sabtu. Sempat bermain dengan Abdullah Mujahid sebelum saya bergegas ke mesyuarat AMT dan AMM MMY. Pulang lewat malam dengan ketiadaan Abdullah Mujahid yang menceriakan rumah kami selama 3 malam 2 hari ini membuatkan sunyi itu menusuk. Rasa macam nak menangis..T_T"

perkongsian k Pipah berkenaan tamrin klik.

4 hari seterusnya.

Kelas ilmu faraid iaitu ilmu mengenai pembahagian harta pusaka yang berlangsung di Bayt PERMAI dengan tenaga pengajar scorer MMY, senior Syukri Ali dan senior Izaan Azalan.

Saya mula mengenali ilmu faraid ini ketika ibu sedang sibuk menguruskan harta peninggalan ayah. Mengikut ibu sekali sekala ke KWSP dan ke mahkamah syariah, melihat dan mendengar serba sedikit berkenaan ilmu faraid.

Tetapi apa yang saya tahu sebelum ini hanya sedikit memandangkan Allah mudahkan urusan kami dengan kecukupan furu' waris iaitu pewaris asal (anak lelaki dan anak perempuan). Justeru Alhamdulillah kali ini, kami didedahkan berkenaan keluasan ilmu Allah yang sangat hebat.

Pelbagai kemungkinan masalah yang dirangka oleh para sahabat dan fuqaha' mengikut nas alQur'an dan hadis Rasulullah s.a.w yang secara normalnya jarang-jarang berlaku tetapi berkemungkinan untuk terjadi membuatkan ilmu faraid ini begitu unik dan sistematik. (dan agak memeningkan sedikit..=_=")

Kelas tamat pada hari Khamis. Sejujurnya rasa sedih untuk meninggalkan suasana pembelajaran yang seronok.

Hari-hari seterusnya.

[maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) FUJUR dan TAQWA. Beruntunglah mereka yang mensucikannya dan merugilah mereka yang mengotorinya: asSyams; 8-10]

Fitrahnya manusia itu punya turun dan naik. Dan dalam cuti ini, saya juga punya tempoh jatuhnya. Semoga Allah tidak menolak saya jauh.T_T.

Iman itu perlukan ancaman.

Semalam Alhamdulillah, buat kali pertama berlangsungnya halaqah Q bagi pihak sahibah sekaligus bergabung dengan pihak Q sahabat kerana bersambung dengan mesyuarat bagi menyambut Q dari Malaysia insyaAllah pada bulan Februari yang akan datang.

Dan pengisian diisi oleh senior Sahel. Berikut merupakan beberapa point yang dapat dikongsi.

  • "Kehidupan itu sendiri merupakan Tarbiyah kerana Iman tidak akan lahir tanpa Tarbiyah"
  • "Masyarakat melihat maksiat sebagai nikmat. Kerana hari ini kita berada dalam kondisi 'harb fikry iaitu peperangan dengan keyakinan dan kefahaman. jika kita meninggalkan kerja-kerja Islam dalam kondisi masyarakat hari ini bermakna kita BERDOSA -MM-"
  • "Pernah ditanya kepada UDMZ, apakah rahsia untuk istiqamah dalam beramal, jawab ustaz: sibukkan diri kita dengan Dakwah"
  • "Pesanan yang sempat dititipkan oleh Abu Amar (MAarR) ketika kami bertanya soalan yang sama, jawab Abu Amar (khusus kepada pelajar Timur Tengah):1. Fasihkan bahasa Arab.2. Sibukkan diri dengan D. 3. Kaji qadiyah Palestin dan Qadiyah Iraq."
  • "Mukmin memandang dosa walaupun kecil ibarat batu besar yang menghempap manakala munafiq melihat dosa itu umpama lalat yang hanya dikibas-kibas".
  • "Mana mungkin kita yang membawa manusia kepada Allah, sedang kita sendiri JAUH dengan Allah. Mana mungkin kita yang membawa risalah-risalah suci ini, KOTOR".
  • "Jalan ini mendidik kita untuk membersihkan diri."
  • "Tarbiyah tanpa D, tidak akan ke mana-mana. D tanpa T sia-sia -UDMZ-"
  • "Tarbiyah dan pembersihan jiwa umpama semaian pokok. Jika tidak dibajai dan disirami, pokok akan layu dan kering. Jika dibajai, pokok akan subur -MM-".
  • "Rukun-rukun khusus untuk pemuda yang digariskan oleh IHAB: 1.IMAN. 2.keIKHLASan 3.Semangat yang berkobar-kobar.4.Amal. Kita boleh check kembali diri kita, apakah kita benar-benar memenuhi tuntutan seorang pemuda itu."

Sungguh. Malam itu umpama saya ditampar-tampar. Mata tidak mampu menahan. Titik jernih itu mengalir. Allah hadiahkan peringatan yang keras ini setelah saya hampir jauh. Malunya dengan Allah..

UDMZ..murabbi mithali qudwah kami

Ditambah ketika senior berkongsi akan kisah-kisah di hujung usia UDMZ. Betapa ustaz sehingga ke detik nafas terakhirnya memikirkan tentang DnT. Tidak pernah terhenti. MasyaAllah.. Benarlah rehat bagi seorang mukmin itu hanya ketika menemui sang Pencipta.

Semoga Allah menguatkan kami untuk istiqamah di atas jalan ini, insyaAllah..

Penutup.

Sebenarnya, saya dalam kesedihan baru-baru ini. Sedih dan pedih lantaran tidak mampu menjadi pelajar muslim yang terbaik. Dididik oleh Allah untuk berusaha keras lagi. Dan tarbiyah itu yang menguatkan. insyaAllah, akan maksima fokus selepas ini.

Doakan saya sahabat. Semoga kita kuat untuk menjadi yang terbaik dalam nilaian Allah, insyaAllah..

Thursday, December 30, 2010

Kuat itu dari proses yang panjang.

Kehambaan itu perlu serius

Angin di luar sejuk. Bermakna saya di dalam rumah hampir beku. Menggigil selalu. Syita' yang awalnya pening-pening kini menjadi syita' yang sebenar. Suhu menunjukkan 6 celcius. Masih belum cukup maksimum bagi turunnya salji di hadapan rumah.

Sudah lama saya tidak menulis secara konsisten. Ikut hati, sentiasa berhajat. Namun selalunya setelah beberapa huruf ditekan, tangan langsung memadam.

Kerana bagi saya, menulis ini memerlukan jiwa dan perasaan bersama. Kerana kita bukan mahu menulis biasa-biasa. Kita mahu biar penulisan ini menjadi penyentuh jiwa. Jiwa sendiri sepenuhnya dan jiwa-jiwa lain yang turut sama mencari.

Ada sahabat bertanya," Bagaimana kamu kuat untuk bergerak?".

Sungguh. Itu soalan yang sangat mendalam untuk dijawab. Apatah lagi bagi saya yang masih perlu digandakan lagi peningkatannya. Jujur. Saya masih belum cukup kuat dan masih banyak yang perlu ditampung sana-sini.

Namun biar saya jawab dengan kekuatan yang Allah hadiahkan dan semoga kekuatan itu menjadi darah daging kehidupan saya insyaAllah.

Kebencian itu melahirkan Cinta.

Perkara yang paling penting sebagai penolak kita adalah kebencian kepada jahiliyyah. Benci dengan penuh maksima.

Dan saya membenci jahiliyyah. Kerana sejujurnya saya pernah berada dalam longkang-longkang jahiliyyah dan merasai betapa pahitnya berada jauh dengan Allah.Perlu diingat, jahiliyyah itu bukan sahaja sistem yang besar tetapi juga keperibadian dan tingkah laku yang tidak mengambil iman sebagai tunjang.

Membesar dalam rahim Tarbiyah tidak bermakna kita terus diberi hidayah. Saya teringat semenjak kecil, saya merupakan anak yang nakal berbeza dengan kakak. Ibu selalu menangis dengan tingkah saya yang suka menjawab dan kuat memberontak.

Pernah ketika saya berusia 6 tahun, ibu sambil berlinangan air mata meminta saya untuk memilih mana-mana makcik yang saya kenal dan sayang untuk menggantikan ibu. Dan saya mula berfikir," Teruk sangatkah aku sehingga ibu bertindak begitu?". Malah sehingga kini, permintaan itu masih tergiang-giang.

Teringat ketika darjah 4 selepas dimarahi ibu, saya menangis sungguh-sungguh dengan Allah. Takut seandainya Allah menolak saya lantaran kemarahan ibu Sungguh. Ketika itu saya tahu akan kelemahan yang ada tetapi tidak cukup kuat untuk melawannya.

Saya cuba dan terus mencuba. Bukan sesuatu yang mudah. Ketika berusia 12 tahun, jiwa saya semakin hebat bertarung. Antara Allah dengan keseronokan remaja. Dan selalunya saya jatuh. Tetapi doa itu sentiasa ada. Doa semoga saya tidak dikembalikan sebelum saya benar-benar menjadi hamba.

Noktah paling penting yang merubah langsung kehidupan saya ialah selepas kematian ayah. Tetapi bukan berlaku secara serta merta. Masa yang panjang. Air mata yang banyak. Kepedihan yang menggigit.

Apa kekuatan saya untuk terus setia? Hanya semangat yang bersungguh untuk menjadi hamba yang luar biasa. Bersamanya ibu yang tidak pernah lelah membentuk serta kakak yang tidak pernah putus menjadi inspirasi.

Saya bina perlahan-lahan fitrah keimanan dalam diri.Yakin sepenuhnya kepada Allah. Berhajatkan secara maksima syurga Allah. Takut kepada pengakhiran yang akan mencampakkan diri ke neraka. Tingkatkan bacaan ilmiah. Dampingi dengan manusia-manusia yang soleh. Banyakkan berfikir sesuatu yang besar. Dan semua itu tidak dapat dibentuk melainkan dengan Tarbiyah Islamiyah Kamilah.

Bak kata-kata Mustafa Masyhur:
"Tarbiyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyah".

Dan kini, kebencian kepada jahiliyyah itu semakin kuat setiap kali teringat betapa payahnya saya untuk lari dari kepompong itu. Benarlah, kita tidak mampu melihat kejernihan Islam selagi belum mengikis habis jahiliyyah yang ada dalam diri kita.

Umpama ulat sampah yang setia di tong-tong sampah. Jika ditanya ketika itu, busukkah sampah itu? Pasti dijawab tidak. Tetapi apabila kita keluarkan dia dan mencuci bersih serta meletakkan wangian di tubuh ulat sampah itu kemudian menyoal kembali. "Adakah sampah itu busuk?". Pasti ulat akan menjawab ya.

Seperti itu juga fitrah manusia. Mustahil dia akan membenci sesuatu yang dia sedang bergelumang di dalamnya. Melainkan dia tekad untuk keluar dan membersihkan dirinya dari daki-daki kekotoran itu. Selepas itu, pasti dia akan benci untuk kembali ke sana.

Saya akan menangis setiap kali mengingat semula betapa susunan Allah yang mengizinkan saya untuk melalui kepayahan dalam usaha mencintaiNya. Tidak seperti manusia-manusia yang baik semenjak di usia kecil.

Saya akan menangis setiap kali lintasan "jika Allah menarik kembali hidayah ini", kerana saya pernah melalui suatu tempoh yang sangat gelap dan penuh kekacauan.

Saya akan menangis setiap kali saya menerima kata-kata syukur ibu "atas anugerah Allah Hasna' sebagai anak mak dan ayah penyejuk mata dan jiwa" kerana saya tahu betapa mahalnya harga untuk saya mendapat kata-kata redha itu.

Sungguh. Kebencian kepada jahiliyyah yang menghitam membuatkan saya mencintai Tarbiyah atau proses keimanan kepada Allah ini.

Tidak ada jaminan dalam keimanan.

Kenikmatan Iman dan Islam yang kita miliki hari ini sama sekali tidak punya jaminan untuk kekal. Allah pemiliknya bila-bila masa mampu menarik kembali dan membiarkan kita dalam kesesatan (na'uzubillah min zalik).

Namun kita ada harapan. Iaitu dengan berada dalam suatu proses pendidikan yang panjang dan berterusan. Proses pendidikan yang sistematik dan lengkap. Dan semua itu hanya bisa diperolehi dengan Tarbiyah Islamiyah yang diaplikasikan seumpama dengan madrasah Tarbiyah Rasulullah s.a.w.

Kita bergerak bukan untuk manusia lain. Tetapi kita perlu bergerak kerana melihat urgensinya Tarbiyah dalam pembinaan keperibadian muslim. Kita melihat urgensinya Tarbiyah dalam menjaga kebersihan hubungan kita dengan Allah dalam kondisi jahiliyyah yang maha dahsyat sedang berombak di luar sana.

Kita soleh hari ini belum tentu kita soleh hari esok. Namun insyaAllah, selagi mana kita tekad untuk duduk dalam proses ini sehingga ke akhir hayat, Allah akan selalu bersama.

Syurga itu mahal.

Saya tidak mengaku bahawa saya telah cukup beriman kerana manusia itu tidak pernah kuat untuk istiqamah. Tetapi dengan proses keimanan ini, akan selalu membuatkan kita bangun semula.

Syurga Allah itu mahal. Lalu maharnya juga pasti mahal. Mustahil kita mampu memilikinya dengan usaha yang kecil, bukan?

Doakan semoga kita dikurniakan kekuatan untuk terus hidup dalam pemerhatian luar biasa dari Allah, insyaAllah.

Wallahua'lam.

*Imtihan nihaie semakin menghitung. 3-13 January.
*Berkongsi dalam rangka untuk memberitahu;"semua manusia mampu berubah daripada tidak baik menjadi baik malah dari baik menjadi lebih baik. Hanya perlu anjakan daripada dalam dirinya sendiri dan proses Tarbiyah yang berterusan".

Wednesday, December 22, 2010

Nama itu kekuatan.



cintai murabbi kami ya Allah sepertimana beliau mengajar kami untuk mencintaiMu..

Ketika bergerak merencana, jauh dari bumi sana, bumi barakah awal permulaan. Ustaz selalu terbayang dalam fikiran. Selalu air mata menitik. Merasai beratnya kerja DnT yang pernah terpikul di bahu ustaz.

Saat ketikanya saya memahami apa itu Dakwah dan menangis takut terpinggir dari bibir Tabiyah, saat itu saya memahami gerak kerja dan pandangan masa depan ustaz yang jauh. Saya mula memahami himmah dan hikmah yang terpamer dalam perancangan yang dilihat orang sebagai lambat dan mustahil itu.

Saya jadi rindu.

Penyerlah kebaikan.

Ketika saya dilahirkan, Ummi Halimaton (isteri ustaz) menelefon dari jauh. Bertanyakan khabar ibu dan perihal saya. Ummi bertanya kemudian: "ada nama tak lagi?"
"belum", jawab ibu langsung.
"Nanti 3 hari lagi kak Mah telefon semula, insyaAllah..". Jawapan ummi membungakan hati ibu.

3 hari kemudian,
"pah, ustaz pilih nama Nurul Hasna'.."
Nama yang baru. Tidak pernah didengar sebelum itu. Ibu bertanya, "maksudnya apa ya?"
"cahaya penyerlah kebaikan".
"ejaannya ha, sin, nun alif dan hamzah".
"Bukan hasanah atau husna" Tambah ummi.
"kata ustaz, dia lebih daripada husna atau hasanah"

(ayat yang disusun sendiri berdasarkan cerita ibu)

nama itu kekuatan.

Saya membesar dengan nama itu. Semenjak dulu, jenuh menjawab pertanyaan, "apa ya maksud nama tu?". Dan setiap kali itu saya akan menjawab penyerlah kebaikan secara bersahaja tanpa nampak apa-apa.

Namun tanpa saya sedar, sesungguhnya susunan Allah itu Maha cantik. Membesar dengan nama itu seolah-olah doa kekuatan untuk saya menjadi muslim mukmin terbaik. Bergerak ke arah piawaian mukmin mosleh rabbani.

Dan kini, saya tahu, ustaz menghadiahkan nama yang baik ini bersamanya amanah untuk saya menyerlahkan kebaikan Islam itu sendiri. Agar saya terus tergolong dalam mereka yang bekerja, insyaAllah..

Penyambung rantai-rantai itu

Semoga Allah menguatkan saya untuk terus mencintaiNya dan menyerahkan sepenuh jiwa dan tenaga kepada jalan yang panjang ini. Tidak ada jaminan keistiqamahan kita melainkan hanya jaminan cinta Allah. Justeru, hanya kepada Allah, sepenuhnya pengaduan dan kebergantungan kita agar terus kekal dalam keimanan, insyaAllah..


MATRI bukan ma'sum. Apabila sudah hilang pelajar-pelajar dan guru-guru yang ikhlas serta terhapusnya proses Tarbiyah syumuliyyah itu, maka tidak mustahil MATRI akan menjadi sekolah biasa yang melahirkan manusia-manusia biasa -cikgu AB-. (na'uzubillah min zalik)

*maksud nama saya ada dua. Lagi satu, boleh tengok kamus.
*menjawab pertanyaan bagi yang bertanya maksud nama saya.
*Imtihan niha'ie 3 Jan: France dan Ulum Quran. 5 Jan: Fiqh Mu'amalat. 11 Jan: Aqidah. 12 Jan: Fiqh Ibadah. 13 Jan: Asasiyah fi Tarbiyah.

Saturday, December 11, 2010

proses kendiri.

Iman itu wajib membezakan kita dengan manusia yang tidak beriman.


Di balik segala 1001 perkara yang saya dapat di bumi Jordan ini atau khususnya belajar jauh di luar ini, yang paling mahal saya kira ialah kefahaman dan penghadaman secara realiti Tarbiyah Dzatiyah atau maksudnya proses pendidikan secara kendiri.

Tidak dapat diyakini kecuali bagi mereka yang faham.

TDZ ini sejujurnya bukan sesuatu yang boleh diceritakan dan dicanang-canang tetapi merupakan aplikasi yang menuntut natijah. Dan aplikasinya sudah tentu bukan kecil dan ringan tetapi memerah sepenuh kefahaman dan kesedaran sejauh mana kita meletakkan kepentingan proses Tarbiyah Islamiyah Harakiyah dalam kehidupan.

TDZ tidak dapat digerakkan bagi mereka yang berjiwa kecil. Dan pasti juga tidak terdorong oleh mereka yang masih melihat makhluk lain sebagai kekuatan. Selagi kita mengambil manusia lain sebagai pautan untuk mencari jalan pulang, selagi itu kita akan selalu menyalahkan.

Tarbiyah itu melahirkan murabbi.

Kerana apa Tarbiyah Islamiyah itu bukan untuk mereka yang cepat kalah? Kerana Tarbiyah itu wajib melahirkan jiwa murabbi. Jiwa yang bergerak. Yang melihat urgensi IMAN dalam dirinya dan melihat urgensi IMAN kepada manusia-manusia lain.

Yang mampu membina kekuatan diri, rohaninya, aqlinya dan jasmaninya secara kendiri malah dalam masanya sama mampu membentuk kekuatan manusia-manusia yang bersama dalam kehidupannya.

Muslim yang bergerak dan melihat jelas akan kepentingan dia bergerak. Yang faham dan sedar bahawa dia bergerak bukan kerana keadaan meminta dia bergerak. Yang bisa bergerak dalam kondisi keseorangan mahupun dalam kelompok yang ramai.

Muslim yang tidak akan sesekali berdiam diri kerana sedar akan Jahiliyyah yang laju merancang. Lantas dia tidak pantas untuk berehat dan turut menyusun strategi.

Itu adalah natijah Tarbiyah.

Dan dalam melalui proses itu, kita memerlukan 3 perkara:
1)manhaj Rabbani (sistem syara' susunan Allah; alQur'an dan sunnah)
2)Murabbi Mithali (pendidik dan pembentuk yang dapat memberi contoh)
3)biah solehah (suasana yang membina iman)

Perkara 1 adalah perkara wajib secara langsung dalam proses Tarbiyah. Tanpa perkara 1 maka proses itu akan berlaku secara songsang, maka wujudlah kepincangan.

Perkara 2 dan 3 yang sama pentingnya namun boleh berubah mengikut keadaan dan itulah yang dinamakan Tarbiyah Dzatiyah.

Asasnya perlu ada tetapi aplikasinya berbeza

Asas bagi 2 perkara ini mesti ada. Tetapi perlaksanaan dalam sehari-hari itu yang berbeza.

Perkara 2 iaitu murabbi mithali mesti ada untuk kita memahami Islam secara benar. Dan kerana itu Rasulullah s.a.w diutuskan kepada para sahabat sebagai pendidik dan rujukan.

Namun tidak akan selama-lamanya ada MM itu. Kerana itu TDZ mendidik bahawa Murabbi terbaik adalah Allah yang akan sentiasa bersama tanpa pernah tiada.

Begitu juga perkara 3 iaitu biah solehah. Dalam membina keyakinan dan kefahaman Islam, kita memang memerlukan tapak semaian yang dapat menjadi tempat perlindungan daripada pancaran terik Jahiliyyah, ibarat anak pokok yang baru ditanam. Menjadi satu kemestian bagi si penanam untuk menjaga elok anak pokok tersebut agar tumbuh segar membesar.

Namun tidak selama-lamanya ada BS itu, kerana kita akan meneroka dunia jauh. Dan pastinya bukan semua masyarakat yang kita tinggal punya kesedaran akan urgensi iman malah masih banyak yang tidak mengerti apa itu Islam. Kerana itu TDZ mendidik bahawa biah itu perlu dibentuk oleh pagar-pagar iman. Kerana pagar-pagar itu akan sentiasa bersama tanpa pernah tiada.

Kekuatan dari Seerah.

1. Kisah pemuda kahfi.
(
Kami ceritakan kisah mereka kepadamu dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka (Sang Pencipta), dan Kami berikan kepada mereka tambahan pimpinan (iman, taqwa, ketetapan hati dan sebagainya). Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri, lalu mereka berkata; Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyerutuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran.)[13-14 ;18]

Mereka itu pemuda bangsawan Rom. Hidup dalam lingkungan manusia-manusia yang buta bertuhan. Tanpa suasana yang membentuk keimanan. Yang ada hanya mereka bertujuh.

Nmaun mereka memiliki keimanan tertinggi, iaitu keimanan yang melonjak sehingga mereka dirasuk kekuatan untuk bangun mengisytiharkan keimanan di hadapan qaisar Rom yang mengaku tuhan!

Tidak ada lain melainkan mereka telah melalui suatu proses Tarbiyah Dzatiyah secara maksimum.

2. Kisah Mus'ab Bin Umair.

Mus'ab yang dikenali sebagai anak kaya Makkah. Punya haruman unik dan teristimewa, tidak dimilik oleh sesiapa di bumi Haram itu. Jubah-jubah sutera yang labuh lambang kemegahan kabilah.

Tetapi selepas menerima Allah sebagai Illah, langsung dibuang semua dari dalam hidupnya. Malah dia dihantar ke Yathrib (Madinah ketika itu) sebagai duta untuk dibacakan kepada penduduk di sana ayat-ayat Allah. Sebagai pengajar deen Allah.

Perlu diingat ketika itu, beliau baru beberapa tahun menganut akidah tauhid ini dan Yathrib semestinya tidak dihuni oleh Muslimiin.

Namun TDZ menguatkan Mus'ab untuk membina kekuatan untuk membentuk kekuatan manusia-manusia lain sehingga tidak ada satu rumah pun yang tidak diketuk. Malah dia pernah dihentak ke dinding dan dihunus pendang semata untuk menyekat, namun apabila dia mengambil Allah sebagai kekuatan, smeua itu dipandang enteng.

TDZ telah membentuk Mus'ab menjadi muslim mukmin yang bukan sahaja soleh untuk dirinya tetapi mampu bergerak untuk mensolehkan seluruh masyarakat Madinah alMunawwarah. SubhanAllah..

Konklusinya.

TDZ ganjarannya syurga. Oleh itu maharnya mahal. Tidak banyak yang ditagih sebenarnya. Hanya MUJAHADAH.

MUJAHADAH.

Dan MUJAHADAH.

Kita akan nampak urgensinya TDZ hanya apabila kita nampak urgensinya untuk kita menjaga iman kita dan urgensinya kkita bergerak menjaga iman manusia-manusia di sekeliling kita.


p/s:
*menulis sepenuhnya untuk diri sendiri yang semakin hari semakin lemah TDZnya. Buktinya ialah kemalasan dalam pelajaran..Ya Allah jauhkan aku dari menjadi fitnah kepada Islam.
*maaf kerana mensawangkan blog ini. Sibuk mungkin dijadikan alasan? Doakan semoga saya bisa pandai menyusun hidup.
*banyak sahabat-sahabat pujuk untuk ikut berjaulah. insyaAllah tekad tak ke mana cuti winter ni. Akibat result yang banyak merudum sem ni..-_-"

Friday, November 19, 2010

Saya rindu ayah.

Entah. Semenjak mendengar semula lagu ini di facebook, hati ini bagai tercarik-carik. Sengaja memutar berulang kali, menemani detik pentela'ahan kitab untuk 2 lagi paper first exams sebelum seconds exams menyambung.

Dan setiap kali itu, air mata pasti deras mengalir. Kerana lagu ini ada sesuatu yang sangat dalam dalam hidup ini.

Ketika ayah masih ada. Ketika ayah masih sempat untuk mengusap rambut saya. Ketika ayah masih ada untuk membelai dan memujuk.

Teringat satu kisah sehingga membawa kepada pertelingkahan besar. Saya hanya mampu menangis. Dan malam itu, sebelum mak dan ayah kembali ke Ipoh, saya berjaga sehingga lewat bersama lelehan air mata di bilik kecil di rumah Perlis.

Membuat kad besar bersama lukisan sebuah keluarga. Ada ayah dan mak di tengah-tengah sofa. Dan dikelilingi abang, kakak, saya dan adik. Saya lakar dan warna dengan penuh cinta. Bersama lagu ini sebagai peneman.

Lelehan air mata bersulam doa, semoga keluarga saya tetap bersama sehingga ke akhirnya. Saya tidak mahu ada perpisahan. Kerana perpisahan itu perit. Tambahan bagi kanak-kanak yang baru berusia 13 tahun ketika itu.

Namun, susunan Allah lebih mengetahui. Allah ambil ayah..pada tahun yang sama.

Dan kini, setelah 6 tahun saya cuba membina kematangan diri, sejujurnya tidak dapat dinafikan, saya rindu ayah. Sangat rindu. Rindu pada setiap saat waktu itu. Meski waktu itu jauh berbeza dengan waktu ini, saya tetap amat merinduinya.

Semoga Allah kuatkan saya dalam menjadi pemuda mukmin sebagai hadiah buat ayah. Semoga setiap kebaikan saya di dunia hari ini, menjadi ganjaran kebaikan buat ayah yang tidak putus-putus...insyaAllah..






*lagu untukmu yang tersayang..
*gambar-gambar jelajah Dimasyq, boleh dilihat di facebook saya; hasna' hazni.