Thursday, June 11, 2009

perkongsian gambar Hari Keluarga Haluan

Post kali ini saya berhajat untuk berkongsi bersama kalian gambar-gambar sepanjang Hari Keluarga Haluan yang lalu.



Mesyuarat perwakilan Haluan Nasional


rehat pagi

slot bersama sir RB



sahabat-sahabat saya



slot petang



sir RB dan pakcik A


majlis menjemput pasangan yang baru walimah
(abang Isam dan kak Raihanah)


slot 'Baitul Muslim'
(masing-masing khusyuk mendengar (",))

Sunday, June 7, 2009

Hari Keluarga Haluan

Saya tiba di rumah sekitar jam 10.30 malam tadi. Sangat penat. Dan esok, saya akan berangkat ke Pendang, Kedah pada jam 7 pagi.InsyaAllah, KMK kali ini akan diadakan di sana seperti yang pernah saya uar-uarkan dalam laman blog ini.

Post kali ini saya berhajat untuk berkongsi sedikit pengalaman berharga saya dalam mengikuti program Hari Keluarga Haluan yang baru berlangsung pada 5-7 June yang lalu di kampus UKM Bangi.
Allah izin, kami sekeluarga hanya dapat mengikutinya pada hari Sabtu dan Ahad kerana kami bertolak lewat. Abang tidak mahu mengambil cuti. Jadi kami terpaksa bertolak pada pukul 7 petang dan tiba di sana pada jam 4.30 pagi.

5 June 2009.

Abang kepenatan memandu kerana dia tidak sempat berehat. Sepanjang awal perjalanan, tidak ada apa-apa masalah yang berlaku. Kami merujuk arah jalan ke UKM dari seorang pakcik melalui lebuh raya ke KLIA. Namun, terdapat sedikit kesilapan dalam pemberitahuan maklumat menyebabkan kami tersesat. Kami hampir-hampir berputus asa. Namun ibu berusaha menghidupkan suasana dengan perkongsian sirah. Malam yang gelap ibu sinarkan dengan sedikit tazkirah santai tetapi amat menusuk jiwa.

Ibu mengambil kisah Perang Tabuk. Kisah perang yang jauh perjalanannya dan berlangsung dalam musim yang panas serta dalam waktu yang sesuai mengutip kurma yang masak. Berlaku pengorbanan besar para sahabat. Dalam pada itu terdapat tiga sahabat yang agak berat untuk berangkat sehingga menyebabkan mereka tidak ikut serta. Kisahnya panjang. Sehingga kepada hukuman yang Allah wahyukan serta pengampunan yang telah Allah berikan kepada mereka setelah mereka sungguh-sungguh bertaubat.

Sirah itu sebenarnya sudah lazim ibu ceritakan kepada kami. Namun pada malam itu, baru saya dapat menyelami suasana sirah tersebut. Sebagai mana situasi yang kami lalui, dari jauh berangkat membawa hajat besar. Bukan sedikit duit yang habis. Bukan kecil tenaga dan masa yang terpaksa dikeluarkan. Bukan tidak punya alasan yang boleh diberi tetapi kata ibu, ketika keadaan beginilah baru kita dapat rasai pengorbanan besar yang telah salafus soleh kerahkan dalam usaha penyebaran dakwah Islamiyah.

Kata ibu, ketika kita membaca kisah sahabat-sahabat yang tidak ikut berperang, kita rasa hairan dan kadang-kadang terbit rasa jengkel tetapi apabila kita sendiri yang melaluinya baru kita sedar betapa payah untuk berlawan dengan hawa nafsu. Saya sendiri agak terkilan (secara peribadi) melihat sambutan sahabat sahibah dari Perlis. 10 jari apabila dibilang jumlah keluarga yang hadir masih punya lebih.

Alhamdulillah, setelah berusaha mencari kami menemui juga jalan ke UKM. Jalan kampung yang suram.Kami melalui Bandar Bangi Lama. Itu pun tersesat juga. Tetapi Allah izin selamat sampai setelah bertanya arah jalan dari pengawal sebuah pusat kajian.

Yang melucukan, setelah selamat sampai dan selepas mengambil kunci bilik penginapan, saya dan ibu telah tersesat dalam mencari arah bilik kami. Rupa-rupanya bilik kami di dalam bangunan lain. Terpaksa turun setelah memanjat anak tangga hingga ke tingkat 4. Sangat meletihkan. Dan setelah selamat sampai ke bilik kami, Allah izin rupa-rupanya ibu tertukar beg pakaian dengan abang. Memang Allah uji sungguh malam itu.

6 June 2009.

program 'Mesyuarat Perwakilan Haluan' bermula jam 8.30 pagi. Saya hanya sempat mengikutinya hanya dalam sekitar 20 minit kerana terpaksa memberi memberi ruang kepada makcik-makcik yang tiba lewat. Tempat duduk tidak mencukupi. Terdapat makcik-makcik yang terpaksa berdiri. Justeru, kami, anak-anak mengambil inisiatif duduk di ruang legar, di luar dewan utama. Apa lagi, kami mewujudkan sesi reunion sesama sendiri memandangkan ramai sahabat-sahabat dan kakak-kakak dari ipt-ipt terutama UIA hadir pada hari itu.

Selepas waktu rehat, perwakilan meneruskan mesyuarat dan kami remaja-remaja atas 16 tahun dijemput menghadiri sesi bersama sir RB yang sangat-sangat saya rindui. sir RB menghadiahkan kata-kata yang tampak ringkas tetapi penuh dan padat dengan permata-permata berharga.

"rijal-rijal dakwah yang komited merupakan baru-bata
bangunan yang diikat membentuk dinding yang kukuh,
mendinding ummah daripada diceroboh oleh jahiliyyah"

"Allah suka orang yang mendekati masyarakat dan sabar dengan mereka"

" anak-anak adalah riak-riak ombak kecil yang akan menghasilkan
gelombang besar yang dapat membersihkan masyarakat"

HaB: "manusia yang mulia memilih seni kematian"


Sesi petang adalah waktu yang paling menyedihkan bagi saya. Hal ini kerana, saya tidak dapat masuk ke dalam dewan akibat terlalu penuh. Saya dan Afifah Adila tiba lewat petang itu akibat ketiadaan pengangkutan. Sangat mengecewakan. Apabila berada di belakang ni, almaklumlah, cepat terpengaruh dengan kelompok-kelompok yang bersembang. Ketika tayangan multimedia bermula, saya terpaksa menyusun beberapa kerusi yang patah dan memanjatnya untuk mengendap dari lubang di dinding bilik stor, di belakang dewan. Alhamdulillah dapat juga saya saksikan tayangan tarbawi tersebut hasil usaha keras saya. (",)

Petang itu, perwakilan KeARAH diminta untuk menghadiri mesyuarat ringkas atau lebih kepada sesi pembentangan.

Pada malamnya, kami telah mengikuti program yang bertemakan tajuk yang masyhur dalam kalangan remaja iaitu " Baitul Muslim". Oh ya sebelum terlupa, sepanjang Hari Keluarga ini, program untk dewasa, remaja dan kanak-kanak telah dijalankan secara berasingan kecuali ketika sesi awal mesyuarat sahaja remaja bergabung dengan dewasa. Malam itu, golongan dewasa mengikuti slot 'Bicara adDeen' yang dibawa bersama radio IKIM.fm.

Program ini telah mendapat sambutan yang amat hangat daripada golongan remaja kerana dewan utama telah penuh sebelum jam 9 malam lagi. (",) Saya sangat terharu melihat fenomena ini. Sepeti biasa, pengisian sir RB sangat-sangat saya tunggu.

"Baitul Muslim adalah perintis dalam amanah dakwah"

Sangat banyak yang telah saya teguk malam itu dan antara yang paling saya tersentuh ialah kepentingan menjaga syara' dalam membentuk Baitul Muslim kerana generasi dakwah bermula dengan itu.

"kami takut andai ada salah satu batu-bata yang akan digunakan dalam membina bangunan yang utuh ini, tidak diterima Allah (rosak)"

Potongan kata-kata sir RB dalam menceritakan kerisauan generasi awal dalam membina Baitul Muslim. Setiap apa yang telah syara' gariskan diikuti dengan teliti dengan penuh harapan agar anak-anak yang bakal dilahirkan mewarisi semangat DnT.

Pakcik A juga berkongsi pengalaman fasa-fasa dalam membina Baitul Muslim. Bermula dengan ta'aruf hingga seterusnya. Turut dikongsi bagaimana untuk merasai pembinaan Baitul Muslim ini adalah suatu ibadah. Sepertimana kata-kata HaB " Baitul Muslim adalah rukun ke2 dalam peringkat Iman.

Sebelum saya terlupa, maklumat untuk remaja Haluan yang tidak dapat hadir pada malam tersebut, Haluan telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan satu jawatankuasa dalam menguruskan hal-hal Baitul Muslim dalam kalangan anak-anak dengan diketuai oleh Pakcik Che Ani. Justeru, bagi sesiapa yang berhajat, silalah merujuk kepada beliau. (",)

Sesi malam itu tamat sekitar jam 11 malam.

7 June 2009.

Kami diminta untuk check out pada jam 7.30 pagi. Aktiviti hari ini hanya sukaneka keluarga, justeru kami berundur awal untuk pergi menziarahi nenek yang hanya tinggal di Wangsa Maju.

(maaf kerana gambar tidak dapat dilampirkan bersama kerana tidak sempat)







Thursday, June 4, 2009

saya hanya hamba, sahabat..

Sudah lama saya tidak menulis untuk post baru.
Hal ini kerana, saya tidak bisa menulis tanpa punya perasaan yang hadir bersama. Saya jadi takut andai saya tahu apa yang saya tulis bukan lahir dari hati saya.
Lebih-lebih lagi apabila blog ini sudah dikunjungi banyak orang. Saya bukan menyombong tidak membenarkan tetapi agak segan dan tidak selesa kerana matlamat blog ini diwujudkan sebagai tempat privasi untuk saya menulis pandangan-pandangan saya.

Sejujurnya, saya masih tidak sempurna. Saya masih perlu sentiasa berusaha keras untuk istiqamah dalam mengislahkan diri saya kepada yang lebih baik. Saya hanya seorang hamba.
Justeru, saya ingin memohon maaf andai saya pernah melukakan hati sesiapa yang mengenali saya selama ini. Maafkan saya sahabat, kerana saya hanya seorang hamba..

sincerely,
Lurv4Allah

Monday, June 1, 2009

laknat ke atas yahudi dan munafiq

Sejak akhir-akhir ini, saya perasan khabar dari Palestin tidak lagi wujud di dada-dada akhbar. Hairan. Mustahil tidak berlaku apa-apa. Saya turut tidak berkesempatan melihat berita-berita mengenai saudara-saudara kita di internet.

Sungguh.Khabar dari Palestin sunyi akhir-akhir ini. Dunia tampak tidak curiga. Tidak cuba untuk menyiasat. Tidak cuba untuk berprasangka. Disangka sudah amankah bumi Palestin ini?

Alhamdulillah ada yang menyedarkan saya pagi tadi. Hari-hari yang saya lalui dengan penuh harmoni dikejutkan dengan khabar celaka mengenai pengkhianatan sang munafiq di bumi Anbiya' sana. Munafiq membunuh saudaranya?!

Ya. Itu yang saya dengar dan saya terus membuka laman infopalestina. La haulawala quwwata illa billah hil'aliyyil'adzim..

Pengkhianatan besar yang telah dilakukan oleh sang munafiq terhadap saudaranya! Membunuh saudara seagama, sebangsa dan lebih-lebih lagi senegara di hadapan tentera yahudi!
Laknat Allah ke atas mereka. Laknat Allah ke atas mereka. Laknat Allah ke atas mereka.

Tentera Fatah di bawah arahan Mahmoud Abbas (semoga Allah memberikannya kesengsaraan) telah membuat kepungan terhadap tentera Hamas di Tebing Barat. Mereka meminta tentera Hamas menyerah diri namun dengan nama Allah tentera Hamas cuba untuk mempertahankan diri. Dan di hadapan tentera Zionis laknatullah berlakulah pertempuran sengit antara yang haq dan yang munafiq. 2 mujahid alQassam telah syahid iaitu Muhammad Saman, komander dan pembantunya Muhammad Yasin serta pemilik rumah Abdul Halim Basya. Manakala 3 ahli keluarga mujahid telah ditangkap.

Sebelum itu, tentera Fatah telah menangkap 4 ahli keluarga mujahid dan salah seorang ahli keluarga asSyahid Sheikh Ahmad Yasin untuk mendesak supaya mujahid Hamas tersebut menyerah diri tetapi ditolak.

Setakat ini menurut laporan infopalestina, sudah lebih 700 mujahid Hamas di dalam penjara Fatah di Ramallah. Kebanyakan yang ditangkap adalah mantan tahanan penjara Israel dan buruan zionis.

Terdapat satu kisah, semasa pasukan Abbas menyerbu rumah mantan tawanan Israel, Adnan Samarah di Thulkarem, beliau tidak ada di rumah. Tentera-tentera itu kemudian berkata kepada ayah Adnan, " Jika dia tidak menyerah diri maka 'mereka' akan membunuh ayahnya".

Apakah itu ucapan muslim kepada saudara muslimnya yang lain? Bukankah haq seorang muslim itu sepatutnya dijamin kesejahteraannya? Apatah lagi terhadap keluarganya.

Saya teringat hadis yang selalu diucapkan oleh Ustaz AMY yang mana mafhumnya berbunyi,
"Barang siapa yang membantu membunuh saudara muslimnya walaupun hanya dengan satu ayat, maka akan tertulis di dahinya tiada rahmat Allah ketika Hari Akhirat kelak". Na'uzubillah min zalik.

Bukankah janji Allah itu pasti? Apa yang berlaku di Palestin kini bukan sahaja membantu zionis malah mereka sendiri yang membunuh mujahid-mujahid dengan kedua tangan mereka.
Semoga laknat Allah ke atas mereka. Semoga laknat Allah ke atas mereka. Dan semoga laknat Allah ke atas mereka.

Ya Allah hancurkanlah kaum yahudi, munafiq dan musyrikin yang dzolim. Wahai Tuhan yang di tanganNya kerajaan langit dan bumi, sesungguhnya apa-apa yang berlaku di atas muka bumi ini semuanya di bawah pengetahuanMu, di bawah penyusunanMu. Maka ampunilah kami andai kerana kelalaiaan kami, kerana dosa-dosa kami, kerana kemewahan kami saudara-saudara kami diuji sedemikian rupa..Hanya kepada Engkau kami adukan kelemahan kami. Hanya kepada Engkau kami mohon kekuatan. Bantulah kami. Bantulah kami. Bantulah kami Ya Allah, pemilik setiap hati-hati kami.

Apakah yang akan saya jawap di muka pengadilan Allah nanti? Ketika saudara-saudara saya meminta bantuan, saya leka menonton televisyen. Senang dengan hiburan. Lalai dengan khayalan. Apakah sudah cukup sepotong doa tanpa penghayatan yang saya ucapkan setiap kali selepas solah sahaja?Atau sumbangan kuman kecil yang terus-terusan diingati?Cukupkah hanya dengan itu?

Saya tanya pada diri. Tahu jawapannya tidak cukup. Tetapi apa lagi yang telah saya lakukan?
Mengapa payah benar untuk menghadiahkan ingatan yang berterusan terhadap perjuangan mereka? Mengapa payah benar untuk merasai cemburu dengan kesyahidan yang telah mereka raih? Mengapa payah benar untuk saya istiqamah dalam keseriusan merasai kehilangan kegemilangan ummah?Mengapa payah benar untuk saya merasai kegentingan kehilangan Islam dalam masyarakat melebihi kerunsingan seorang ibu kehilangan anaknya?

Saya terus menerus menyoal pada diri. Tanpa pernah ada usaha untuk menyelesaikannya.

Saturday, May 30, 2009

program SMKPs

Semalam saya mengikuti program takhsin alQuran anjuran Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis sebagai fasilitator. Program ini diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis. Bas datang mengambil kami di MATRI sekitar pukul 7.30 pagi.

Para fasilitator seramai 23 orang (12 lelaki dan 11 perempuan) telah diamanahkan untuk bersama-sama ahli kumpulan sepanjang program ini berjalan. Kami ditugaskan untuk membetulkan bacaan peserta. Hanya itu yang diminta. Nampak mudah. Tetapi hal ini sebenarnya satu peluang besar bagi kami untuk meluangkan lebih masa dengan adik-adik.

Alhamdulillah program berjalan lancar dan para peserta memberikan komitmen yang sangat baik. Dalam kumpulan, setiap kali kami habis membaca secara bergilir, saya akan mengajak mereka untuk mentadabbur setiap ayat surah tersebut. Dan Maha suci Allah yang di tanganNya segala sesuatu, adik-adik memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang telah saya sampaikan. Mereka tidak nampak mengantuk atau bosan walaupun kami berada dalam bilik yang bersuhu rendah sepanjang hari. Wajah mereka ceria dan mereka sentiasa mempamerkan tindak balas yang positif setiap kali perbincangan antara kami diadakan.

Sungguh. Saya sayang mereka. Mereka adalah antara masyarakat yang berhajat untuk Islam walaupun dikelilingi oleh suasana yang turut berhajat memusnahkan mereka.
Ketika itu saya terdetik, apakah yang telah saya lakukan untuk membantu masyarakat yang berhajat seperti ini?

Selama ini saya gembira dan bahagia dalam tarbiyah tanpa pernah bersungguh untuk mengajak ummat berkongsi kebahagiaan tersebut..

Dan hari ini di MATRI, saya telah menghadiri NADI '09 (Nadwah Kepimpinan MATRI) anjuran SHQ untuk ahli HQ MATRI. Program ini bermula semalam namun saya tidak dapat mengikutinya.


suasana sepanjang NADI '09

Banyak yang telah saya teguk sepanjang saya berada dalam majlis ilmu tersebut. Sungguh. Saya telah menerima banyak namun apakah saya turut berkongsi dalam jumlah yang sama? Semoga Allah mengampuni setiap kelalaian dan kekurangan saya.

Oh ya. Ini gambar adik saya.


Dari kiri Amirul, Ridhwan dan Thalhah (adik saya)

Friday, May 29, 2009

Adikku telah pulang..

Awal pagi tadi, adik saya yang merantau jauh untuk menimba ilmu telah pulang. Saya rasa ada kelainan kali ini. Kelainanan pada dirinya dan kelainan pada diri saya sendiri. Saya benar akui. Pada dirinya, dia semakin tinggi, malah mengalahkan saya, kakaknya yang selama ini 'perasan' tinggi.(",). Dan pada diri saya, kepulangannya kali ini bagai dinanti. Sejujurnya saya tertunggu untuk melihatnya di muka pintu sejak kebelakangan ini.

anak-anak murid saya

Mungkin kerana setiap kali saya menatap wajah anak-anak murid saya (yang seusia dengannya), saya akan teringatkan adik.
Sungguh. Baru saya sedar bahawa dia adalah teman saya selama ini. Walaupun kami selalu bergaduh, tetapi kerana dia, saya memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi. Masih ingat, kami selalu ditinggalkan hanya berdua. Kadang-kadang berhari-hari kerana ibu mengikuti kursus di luar.

Dan masih saya ingat, antara peristiwa yang tak mungkin saya lupakan, saat kami tinggal berdua, adik demam panas. Dan malam itu saya ada persembahan sebagai watak utama dalam lakonan anjuran kakak-kakak lepasan. Kisah kesyahidan Sumaiyah. Kisah yang berat bagi saya. Memerlukan penghayatan yang penuh.

Adik tidak kebah-kebah. Langit pula basah. Hujan lebat dan angin sangat sejuk. Mana mungkin saya tinggalkan adik. Seusai solat Maghrib, saya menangis sungguh-sungguh dengan Allah. Benar-benar saya rasa sayu. Bagai si yatim piatu yang tiada penggantungan melainkan hanya ada Sang Penciptanya sahaja. Ketika itu, saya menangis mengalahkan tangisan si bayi yang pinta didodoikan. Benarlah Allah adalah sebaik-baik pendengar.

Mujur ibu dapat pulang malam itu juga walaupun agak lewat. Nak tak nak saya terpaksa membungkus adik dan membawanya bersama ke MATRI kerana adik takut untuk tinggal sendirian di rumah walaupun sekejap. Saya membekalkannya selimut dan memakaikannya dengan baju hujan agar dia tidak basah. Hati saya benar-benar sedih mengenangkan kepayahan yang perlu dialaminya dalam usia yang masih kecil.

Sepanjang perjalanan, air mata saya tahan keras agar tidak tumpah. Meredah malam gelap, tanpa bumbung, terus dibasahi hujan yang deras bersama-sama perasaan yang tidak tertahan, saya kira itu adalah malam yang paling sayu yang pernah saya lalui. Baru ketika itu, saya sedar bahawa saya adalah seorang kakak yang kuat.

Adik pulak tidak mahu naik ke dewan makan, tempat semua pelajar puteri MATRI akan berkumpul malam itu. Jadi dengan berat hati, saya terpaksa tinggalkannya di musolla. Banyak perkara yang saya tinggalkan sebagai pesanan. Takut demamnya semakin teruk.

Kemudian, saya ke asrama untuk latihan akhir. Dengan hati yang masih kacau, saya tetap meneruskan tugasan. Dan Allah izin, lakonan saya pada malam itu walaupun tanpa latihan yang cukup tetapi lahir dari hati saya yang sedang berduka berjaya membuatkan penonton dan hakim menangis. Saya sendiri terharu. Mungkin kerana saat Sumaiyah merasai pergantungan Allah ketika dia diseksa dapat saya rasai dalam hati saya. Sungguh. Allah sebaik-baik tempat bergantung harap.

Dan syukur Alhamdulillah kerana ibu selamat tiba dan membawa adik pulang. Bagi diri saya, apa yang telah saya lalui malam itu, benar-benar membuatkan saya semakin sayang kepada Allah dan membuatkan saya rindu kepada adik ketika dia jauh dari saya. Sungguh. Saya sayang adik. Semoga dia dewasa menjadi anak yang soleh kebanggaan ibu.

Monday, May 18, 2009

KMK 13 kembali..
















Maklumat awal KMK:

-9, 10 dan 11 June 2009.
-di Pendang Lake Resort, Kedah.
-Yuran RM 60.










hati yang terisi kembali..


16 dan 17 mei yang lalu, Allah izin saya telah berkesempatan mengikuti atau lebih tepat 'menumpang' kem tahunan khassah MATRI yang diadakan di Pantai Merdeka, Kedah.

Walaupun agak kecewa kerana terpaksa pulang awal, saya tetap terlalu bersyukur kerana ibu 'memaksa' saya pergi. Sejujurnya pada awal, saya segan kerana saya bukan pelajar khassah tetapi ibu telah meminta izin dari ustaz zainuddin dan akhirnya kelulusan telah diberikan..




Abang AI selaku kem komander memberi taklimat



Sekitar kawasan penginapan puteri

Sepanjang 2 hari 1 malam saya di sini, hati saya benar-benar terisi dengan berlian-berlian dan permata-pertama yang mustahil akan diperoleh dari tempat lain. Kata-kata Cikgu AB, Abang AI, Ustaz AH, Ustaz MM dan Ustaz YN sangat-sangat membuatkan saya rasa bagai hanya baru duduk di birai jalan ini. Fikrah yang kononnya dirasakan cukup sebenarnya tidak lebih dari tebalnya kulit bawang yang nipis.

Saya selalu meyangka sudah mencapai matlamat hidup hanya semata saya membesar dan dewasa dalam suasana tarbiyah. Sedangkan itu sesekali TIDAK PERNAH berlaku. Tarbiyah bukan ghayyah (matlamat hidup). Tarbiyah hanya wasilah dalam pembentukan peribadi dan dalam usaha merawat ummah. Selagi peribadi saya tidak sempurna dan selagi ummah tidak sejahtera, proses ini wajib berjalan dan akan terus berjalan.

Seperti kata Cikgu AB yang dipetik dari buku Majdi alHilali:

"Setiap hari luka-luka baru menjalar tubuh ummat sedangkan luka-luka semalam masih belum sembuh"


Tarbiyyah Islamiyyah mesti berlaku. Tarbiyyah tidak membunuh fitrah atau nafsu tetapi meniunnya seperti mana pemuzik meniun biolanya agar menghasilkan suatu muzik yang merdu. Jika dia seorang yang pendendam, lahirkan rasa dendam itu kepada kaum kuffar yang zalim. Jika dia seorang pemarah, lahirkan amarah itu untuk menuntut kehormatan Islam yang kian hilang.

Kepentingan tarbiyyah Islamiyah ialah: -membina kefahaman yang benar.

- memahami peranan dan tanggungjawab

muslim.

- mengenali dan mebezakan pendirian dan sikap

mukmin dan kuffar.

- mengetahui batas-batas kuffar.

-merasa 'izzah dengan Islam.


Sasaran tarbiyah: -berawal dengan pembentukan peribadi mukmin dan berakhir

dengan ustaziyatul 'Alam.

-melahirkan da'ie dan murabbi.

-merawat kerosakan ummah.

-me'islahkan masyarakat.

Hasilan tarbiyyah: -Khairul Ummah (2:110)



"Islam perlukan pendokong seperti mana kelab bola sepak memerlukan pemain-pemain. Apakah penyokong-penyokong yang hadir jutaan bilangan akan menendang bola atau pemain-pemain? Islam perlukan pemain yang akan menyepak bola ke gawang musuh itu bukan penyokong-penyokong yang hanya hadir untuk menonton"

-petikan penyampaian cikgu AB-

Ustaz AH mengisi slotnya dengan penekanan mengenai akhlak Islamiah dan sifat-sifat seorang da'ie. Kata-kata yang paling kami ingati ialah, huraian maksud akhlak Islamiyah iaitu himpunan sifat-sifat mulia yang menjadi DARAH DAGING dalam hidup manusia mengikut alQuran dan asSunnah.

Ustaz MM pula mencurahkan kami dengan mutiara-mutiara yang sedaya upaya tidak kami biarkan mutiara-mutiara tersebut jatuh selain ke dalam kantong hati-hati kami. Pengisian selama 2 jam lebih benar-benar tidak terisi selain daripada penyubur jiwa yang gersang. Tajuk slot tersebut ialah 'Jiddiyyah dan Iltizam dalam kerja Islami'. Maaf kerana tidak dapat dikongsikan dalam post ini kerana terlalu panjang dan amat sayang untuk diringkaskan.

Manakala Ustaz YN pula telah memberi perkongsian menerusi tajuk ' Darurah Tamayyuz'. Juga tidak dapat dikongsi kerana tajuk ini agak berat.



Santai selepas slot pengisian

Selepas menunaikan solat Maghrib dan 'Isyak secara jama', saya bertolak pulang kerana perlu mengikuti mesyuarat KMK ke-13 pada awal keesokan pagi di Pendang.

Semoga Allah menguatkan saya dan mengukuhkan saya di atas jalan ini, InsyaAllah..

Thursday, May 14, 2009

Bidadari Yang Hilang..

6.15 pm, pada tarikh 14 Mei 2009, seorang wanita berjasa telah pergi untuk selama-lamanya.

Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita pasti akan kembali..
Datin Halimaton Binti Hussin atau mesra dipanggil ummi oleh pelajar-pelajar MATRI telah kembali ke Rahmatullah petang tadi.

Beliau pada awalnya dijangkiti demam Denggi dan kemudian memberi kesan negatif kepada jantung dan buah pinggangnya.

Doakan kesejahteraan beliau di sana dan mohon doakan sekali Ustaz Dahlan kerana kesihatan Ustaz agak terjejas semenjak ummi jatuh sakit.
Semoga Allah menerima amal baiknya dan merahmatinya.
alFatihah.

Saturday, May 9, 2009

Tahniah VT Matri!

Hari ini saya mengikuti lagi perlawanan separuh akhir sukan bola tampar setelah terlepas untuk tahun yang lepas. Walaupun sukan ini yang saya gemar, tetapi bukan cerita tentangnya yang ingin saya coretkan.


Sahabat dari jauh dan ibu




wajah-wajah yang tenang dalam resah

Saya dapat banyak pengajaran dan hikmah dari perlawanan ini. Banyak. Sangat banyak.

Meskipun tewas di pusingan separuh akhir, tetapi saya yakin pasti ada sesuatu yang ingin Allah sampaikan.
Selama ini, MATRI selalu tewas di tempat kedua. Namun Allah hadiahkan dari kesabaran itu dengan kemenangan juara pada tahun lepas. Dan kali ini, Allah sengaja menguji dengan tewas di pusingan separuh akhir. Agak menurun berbanding keputusan sebelum ini.
Mungkin secara logik, saya punya alasan iaitu kerana MATRI diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan Sek.Men Syed Alwi, pesaing MATRI selama ini. Justeru, kedua-dua pihak ini akan bertemu pada saingan separuh akhir, bukan dalam pertandingan akhir seperti sebelum ini.
Tetapi jika ditelusuri dari kaca mata seorang mukmin, sebenarnya Allah sengaja ingin mendidik hati-hati hamba cintaanNya agar benar-benar meyakini bahawa hanya Allah yang memberi sesebuah kejayaan itu.
Allah menghadiahkan khabar gembira saat kita meyakini hanya Allah sebagai tempat bergantung dan berharap. Tetapi sebagai bukti kasih sayangNya, Dia ingin agar hamba-hambaNya selalu menjaga kebersihan hati-hati itu.



Situasi yang sungguh mencemaskan

Sejujurnya, saya benar-benar merasai bahang di medan jihad saat menyaksikan perlawanan yang sangat sengit ini. Sorakan dan takbir pelajar-pelajar MATRI benar-benar menaikkan semangat. Disusuli dengan nyanyian nasyid MATRI iaitu 'Sunnah Berjuang' dan 'Adakah kau lupa' yang dinyanyikan dengan penuh 'izzah dan lahir dari hati.

Sungguh. Hanya Allah tempat kita bergantung harap dan memohon pertolongan. Yakinlah hanya Islam yanag tertinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.

Friday, May 8, 2009

RiMBA 2 ditangguh..

Keputusan diputuskan. RimBA 2 ditangguh ke bulan november atau disember. Itu kata putus penasihat tertinggi keARAH Perlis, Cikgu Ghazali Bin Saad.

Saat itu saya kira, saya adalah manusia yang paling gembira. Terbang satu lagi tanggungjawab yang berat. Terasa ringan bahu yang memikul.

"Walaupun rimba 2 ditangguh tapi ana harap, kita tetap bekerja. Kita mesti bergerak kerana rimba ini hanyalah wasilah tapi mas'uliyyah dakwah dan tarbiyah itu selalu ada."
"Nak tak nak kita kena sentiasa bekerja kerana jahiliyyah di luar sana tidak pernah berhenti. Tidak perlu bergerak hanya apabila menerima arahan." bicara pengerusi keArah sahabat selepas pengkhabaran penangguhan tersebut benar-benar menampar wajah saya.

Saya jadi malu pada Allah. Apakah saya senang dengan kerehatan dari jalan DnT ini? Hati apakah saya ini?
Sejujurnya saya malu dengan diri saya saya sendiri. Saya telah gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam medan ini. Selalu saja saya menukar jalan yang berduri dengan hamparan permaidani merah. Selalu saja saya senang lenang di atas jalan yang penuh dengan luka-luka dan kepayahan. Bermakna saya tidak benar-benar terjun tetapi hanya selangkah cuma bertapak di atas jalan ini.

Saya akan kuat saat bersama teman-teman. Bersemangat untuk bekerja dan bergerak. Tetapi akan lesu apabila saya bersendiri. Hanya senang untuk mengimbau kenangan manis tinggalan lampau.

Sungguh. Saya takut untuk berhadapan dengan Allah. Mas'uliyyah yang diberi tidak ditunaikan sebaik mungkin. Sejujurnya saya bukan pemimpin yang baik. Saya senang untuk menurut arahan berbanding memberi arahan. Saya senang menjalankan apa yang telah disusun oleh mas'ul berbanding menyusun untuk dijalankan. Saya hanya pandai bekerja tetapi lemah dalam meyusun kerja.
Bukankah itu tidak baik? Islam perlukan pendukung bukan hanya penyokong. Islam perlukan penggerak bukan penurut. Saya tahu itu. Tetapi saya tidak mampu untuk mengaplikasikannya.

Jahiyyah terus laju merempuh benteng ummah tapi saya terus menanti arahan. Menanti panggilan untuk bergerak. Tanpa pernah berfikir untuk menggerak. Itulah saya.

Tolong.. Tolong doakan saya agar tidak terus menerus sebegini. Saya tidak mahu hanya menjadi batu dalam menyaksikan keruntuhan ummah. Tolong doakan saya ya.



kenangan adik-adik peserta RiMBA 1

Tuesday, May 5, 2009

Kenangan di Langkawi

Buat kali kedua, saya telah menjejakkan kaki ke Langkawi sebagai fasilitator untuk program Generasi Langkawi Gemilang (Geliga) kali ke-4 kerjasama antara HALUAN MALAYSIA dan BEST STAR RESORT.

Kami telah bertolak pada petang Khamis dari jeti Kuala Perlis pada jam 4 petang.

kak Amalina dan kak Jannah yang setia menunggu sehingga kami naik feri.

Untuk program kali ini, Dr Azizan Ahmad kembali menjadi motivator selepas Geliga 1. Sebelum ini, untuk Geliga ke 2 Cikgu Azmi Bahari yang menggantikan beliau. Begitu juga Cikgu Syahid Amin untuk Geliga ke3.

Sepanjang 4 hari kami berada, dua program telah berlangsung. Pada hari Jumaat, kami menjadi fasilitator program kecemerlangan PMR. Program ini bermula pada jam 7.30 pagi dan tamat pada jam 12 tengah hari.



adik-adik sedang menasyidkan lagu tema 'Demi Matahari'

Mungkin masa yang diperuntukkan amat singkat tetapi saya yakin, peserta mendapat banyak manfaat dari setiap bicara Dr Azizan.Senang sekali melihat peserta yang bersemangat walaupun program ini julung-julung kali diadakan.

Pada petang itu, Dr Azizan telah mengadakan 1 slot tambahan untuk para fasilitator yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM. Slot ini sebagai suatu perkongsian yang dibuat oleh Dr Azizan sendiri serta pemilik BEST STAR RESORT sekaligus penaja tempat tinggal kami iaitu Tuan Haji Roslan. Sejujurnya saya mendapat banyak mutiara untuk disimpan sebagai panduan dalam menentukan arah kehidupan saya.

Seterusnya, pada hari yang berikut iaitu hari Sabtu, kami menjadi fasilitator untuk program Geliga. Dr Azizan sengaja meminta kami menguruskan program kali ini sebagai latihan dan beliau hanya menjadi pemerhati.

Geliga adalah program untuk pelajar tahun 5 dan 6. Tema kali ini adalah kecemerlangan. Sebelum ini untuk Geliga 3, Cikgu Syahid mengambil tema kepimpinan.

Majoriti peserta merupakan peserta yang pernah mengikuti Geliga sebelum ini. Justeru, ta'aruf kami tidak mengambil waktu yang lama. Adik-adik peserta cepat mesra dan sangat ceria. Sungguh. Saya benar-benar sayangkan mereka.

Slot-slot untuk Geliga 4 ini lebih berbentuk aktiviti. Tampak adik-adik peserta memberikan komitmen yang sangat baik dan keletah mereka sangat melucukan. kami benar-benar senang dengan mereka. Seperti biasa, program ini bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir jam 5 petang.

Hari Ahad, cuaca gelap. bumi sentiasa basah dengan hujan yang turun dari petang semalam. kami hanya berkurung di dalam bilik kerana tiada kenderaan untuk bergerak.


suasana di BEST STAR RESORT dari tingkap bilik kami

Selepas solah Zohor, kami pun bergerak ke Kuah dan seterusnya ke jeti. Langit masih gelap. Dalam hati saya benar-benar berdoa semoga tidak berlaku apa-apa kerana sejujurnya saya memang tidak mahir berenang.(",) Mungkin saya akan jatuh sepeti seketul batu, tenggelam di dasar laut.




langit gelap menjadi bukti kekuasaan Allah

Alhamdulillah, kami selamat sampai di jeti Kuala Perlis sekitar jam 7 malam.

Maha suci Allah yang telah memberi keizinan untuk saya mengalami suatu perjalanan yang penuh dengan hikmah dan pengalaman. Sungguh. Saya akan merinduinya saat saya berjauhan nanti...

Wednesday, April 22, 2009

Kasih Allah


Saya selalu mengeluh mengenai kerja-kerja yang harus saya lakukan. Saya rasa penat. Dan saya teringin untuk merasai cuti yang teman-teman saya peroleh sepanjang kami digelar pelajar lepasan SPM.
Dan Allah izin, hujung minggu yang lalu, saya telah melalui sepanjang 3 hari yang melalaikan dan penuh sia-sia. Masa saya dihabiskan untuk sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat langsung untuk akhirat saya malah boleh menjerumus saya ke kancah angan-angan yang membahayakan iman.
Saya telah melalui hari-hari yang saya rasakan sungguh bodoh. Iman saya tiada penawar. Semakin hari semakin lemah. Saya payah untuk khusyu' dalam ibadah. Hati saya semakin sakit. Nafsu pula yang bersuka ria.
Maha suci Allah yang di tanganNya segala kekuasaan. Sejujurnya, saya telah mengharungi hari-hari yang sangat memalukan. Saya malu dengan Allah. Baru sahaja diuji dengan waktu yang sedikit cuma saya sudah kecundang. Apakah yang akan saya jawap di hadapanNya nanti? Saya rasa terlalu kecewa.

Cuma satu yang menguatkan saya bahawa saya adalah remaja dan ini ujiannya. Ujian cinta kepada dunia yang suka-suka, ujian untuk berlawan dengan angan-angan dan ujian melawan nafsu yang suka kepada sesuatu yang tidak pasti. Saya harus kuat. Muslim yang hebat bukan muslim yang tidak pernah silap tetapi muslim yang bangkit daripada kesilapannya. Saya pegang itu.
Ibu pernah menyampaikan dalam halaqah keluarga, bahawa Allah benci orang yang melakukan maksiat tetapi Allah paling benci orang tua yang melakukan maksiat manakala Allah cinta kepada orang yang selalu bertaubat tetapi Allah cinta dan paling kasih kepada pemuda yang selalu bertaubat.
Kerana Allah ciptakan usia remaja penuh dengan cabaran dan dugaan. Justeru, Allah selalu menanti dan sabar menunggu tangisan dan bicara rindu pemuda-pemuda yang cintakan Allah dan takutkan api nerakaNya. Bukankah Allah itu Maha mendengar?

Ayuh sahabat. Kita pulang kepada fitrah iaitu mencintai Allah dan dicintai Allah!

Tuesday, April 14, 2009

Allah itu pemilik cinta


bismillahirrahmanirrahim..
Allah itu penuh cinta dan kasih sayang.
Begitu saya sampaikan kepada pelajar semasa mereka mengikuti kelas pendidikan jiwa pagi tadi.
Saya lihat wajah mereka satu-satu. Wajah yang bersih. Tampak hanya sedikit cuma dosa yang mencalar.
Saya cerita tentang iman.
Bahawa manusia yang punya iman yang terbaik adalah manusia yang selalu berusaha membaiki dirinya. Kerana secara fitrah, manusia tidak lari dari melakukan dosa dan maksiat. Itu janji Allah. Namun, muslim yang cemerlang ialah muslim yang bangkit dari kelemahan.
Kita tidak boleh berputus asa dari rahmat Allah.
Pernah ibu saya menceritakan, saat dia mengikuti suatu kursus, seorang wanita telah bertanyakan kepadanya tentang keadilan Allah. Dia bilang, jika Allah sudah mentakdirkan kita ini tergolong dalam ahli neraka, mengapa perlu susah-susah beribadah.
Jawab ibu, apakah kita tahu apa-apa yang akan berlaku nanti? baik, kalau begitu, mengapa kita susah-susah menyediakan makanan kerana belum tentu apa yang kita masak itu masuk ke dalam perut kita. mungkin terjatuh atau mungkin dimakan oleh binatang. Itu tidak mustahil untuk berlaku bukan?
Wanita itu diam.
Tambah ibu, kita sebagai hamba memang tidak mengetahui apa-apa yang akan terjadi nanti kerana sesungguhnya semua itu di bawah pengetahuan Allah. Tetapi kita bisa memilih. Jika dari sekarang, kita sudah memilih untuk ke neraka, maka memang akan terbentang luaslah jalan ke neraka..na'uzubillah min zalik.
Allah itu punya rahmat dan ihsan melebihi luasnya langit yang terbentang. Kita mesti yakin itu.
Kita sesekali tidak boleh berprasangka buruk dengan sifat pemurahnya Allah. Sebagai hamba, kita hanya perlu lakukan yang terbaik. Berusaha untuk melaksanakan apa yang diperintah dan berusaha meninggalkan apa yang dilarang. Dan meyakini yang Allah itu tidak akan sesekali menzalimi hamba-hambaNya. Dia Maha mendengar dan Maha melihat. Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita, semuanya di bawah pengetahuan Allah.
Yakinilah dengan kehebatan cinta Allah yang tidak pernah mengecewakan. Allah bukan seperti hambaNya yang penuh dendam dan hasad. Selangkah kita menghampiri Allah, berlari Allah mendekati kita.
Justeru wahai diriku, jangan persia-siakan bonus ini. Ingatlah Allah, nescaya Allah akan selalu mengingati kita!

Sunday, April 5, 2009

tanggungjawab melebihi masa yang ada



subhanallah..

nampaknya telah lama saya tidak menulis. Apabila saya mula berhenti, saya akan payah untuk memulakannya kembali.. itu memang sifat tidak baik yang ada dalam diri saya. susah untuk istiqamah..

sebenarnya, saya punya banyak cerita yang ingin dilampirkan, tetapi entah mengapa saya tidak tahu untuk mulakannya di mana.

cukuplah saya rungkaikan dengan perkataan yang mudah, bahawa saya sangat sibuk kini.

sejujurnya, saya masih tidak merasai cuti panjang sebenar yang selalunya dirasai oleh pelajar-pelajar lepasan spm yang lain.

saya pernah mengeluh pada ibu, tentang kepenatan yang saya rasa. Jawap ibu," nak dapat pahala memang payah".

ringkas tetapi cukup untuk menyegarkan kembali hati saya yang lelah.


Cuma, seperkara yang selalu mencengkam perasaan saya, yang selalu sahaja menghantui saya ialah, apakah amalan-amalan yang telah saya lakukan selama ini diterima baik oleh Allah?

Apakah kerja-kerja Islam yang telah saya lakukan sudah cukup bersih mengikut piawaian Sang Maha Mengetahui? atau apakah selalu sahaja amalan saya bercampur dengan najis-najis syirik khuffiy dan maksiat?

saya takut. takut jika saya menyangka bahawa saya sudah cukup beramal, tetapi rupa-rupanya di akhirat nanti amalan-amalan saya dicampakkan kembali ke wajah kerana amalan-amalan saya itu dikotori dengan kejahatan-kejahatan bisikan syaitan yang direjam.. na'uzubillah min zalik.. semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya yang terdahulu dan yang kemudian..
tolong doakan saya..