Tuesday, October 25, 2011

PINTAR: proses Pentarbiyahan.

Teringat ketika meeting pertama bersama penasihat sekitar bulan 6 yang lalu, dalam semua perkara dan permasalahan yang dibincangkan, Alhamdulillah tidak berat untuk saya susun dan laksanakan gerak kerjanya kecuali hanya satu.

Titipan akhir penasihat yang membuatkan saya senyum (baca: sengih) iaitu:
"kalau boleh dalam meeting-meeting bulanan, boleh buat makan-makan bagi merai ajk-ajk yang membantu..". erk.

Langsung rasa berat untuk memegang amanah sebagai Timb. Pengerusi PINTAR. heh.


Ini gambar google.

Jujur. Jika ada segelintir yang mengatakan bahawa aktiviti memasak merupakan hobi dan penghilang stress maka bagi saya pula adalah sebaliknya..^^#.

Aneh melihat mereka yang lagi menghampiri exam, lagi rajin menggeledah dapur. Sedangkan lagi saya rasa terbeban, lagi saya akan meminimakan penggunaan gas. Hanya masakan-masakan yang mudah sahaja yang akan dipilih dan selalunya adalah masak lemak. ^^. (sebab itu yang paling senang) Jujur. Terhibur untuk berada di dapur hanya pada waktu cuti yang lapang.

Medan Tarbiyah.

Namun Alhamdulillah, susunan Allah itu sangat cantik. Dia sedang menyediakan medan untuk berlangsungnya proses pentarbiyah diri tersebut.

Dan Alhamdulillah semakin meningkat sedikit demi sedikit. ^^.

Teringat semalam meeting AJK PINTAR ke 3, kelas tamat 3.30 petang. Bergegas mencari barang dan selesai jam 4.30. Dan memulakan proses memasak agak lewat. Apatah lagi, semalam kurang normal dan berhajat untuk mencuba perkara baru. Masakan mee kari yang tidak pernah saya terfikir selama ini. Percubaan pertama (masakan kari) dan yang akan menjadi pencuba rasa menu itu adalah ajk-ajk saya. Lucu.

Dan Alhamdulillah, berjaya menamatkan masakan beberapa detik selepas azan maghrib iaitu sekitar jam 6 petang. ^^.

Menyediakan masakan untuk untuk +25 orang secara perseorangan dalam keadaan letih pulang dari kelas ditambah kesihatan yang tidak baik merupakan satu kejayaan buat saya. Alhamdulillah. (plus, lebih-lebih lagi memang dikenali sebagai orang yang suka mengelat dari jadi chef.
he he)

Dan SubhanaAllah, perasaan yang selalu disebut oleh mereka yang rajin masak, "rasa bahagia bila tengok orang makan masakan kita" itu telah Allah izin untuk saya merasainya sama. Bahagia melihat sahabat-sahabat ajk menikmatinya dan menghabiskan hidangan sambil bercanda mesra.

SubhanAllah. Tarbiyah Allah itu sangat unik.

*Asma' dan Syida, sekarang hasna' tahu kenapa awak berdua suka masak.^^.

Tarbiyah Memerlukan Momentum Untuk Menolak.

Alhamdulillah, melalui pentarbiyahan ini, saya belajar, faham dan sedar bahawa proses tarbiyah itu hanya akan berjaya saat kita memiliki daya tolak yang kuat untuk kita bergerak.

Mustahil kita mahu ditarbiyah tetapi tidak mahu merasai sakit, perit dan pedih. Kerana tarbiyah hanya akan mampu berhasil dari proses pembentukan yang panjang dan mendidik.

Teringat catatan dalam salah satu buku tulisan Ibnu Qayyim alJawzi berkenaan pentarbiyahan nafsu yang pernah diceritakan pleh bonda dalam halaqah rumah. Antara yang disebut, (ayat saya):

"...menyekat nafsu jahat ini umpama proses pemberhentian anak kecil yang mencapai umur 2 tahun dari penyusuan badan ibu.

Anak kecil tersebut pasti akan menangis dan memberontak saat kita cuba menyekat tabi3at penyusuan tersebut. Bagi ibu-ibu yang malas untuk berhadapan dengan situasi tersebut, maka mereka hanya akan membiarkan tabi3at anak tersebut sehingga membesar. Dan semakin bertambah usia, semakin susah untuk menanggalkan tabi3at si anak kecil tersebut.

Namun bagi ibu-ibu yang berpandangan jauh, akan tetap bertegas. Biarkan anak kecilnya merengek dan memberontak kerana dia tahu, dia tidak boleh menuruti kehendak si kecil itu demi kebaikan anak itu sendiri. Pada fikiran ibu-ibu itu, tangisan anak itu hanya sebentar untuk disabari.."

Dan itulah ketegasan daya tolak yang perlu dimiliki untuk menjadi muslim mukmin yang lebih baik. Memang susah dan payah, tetapi apakah ada natijah yang lebih baik dari syurga Allah?

Berbalik kepada kisah PINTAR, teringat ketika masak-masak semalam, saya terfikir, ini adalah pentarbiyahan yang sangat cantik. Saya membayangkan jika saatnya nanti telah bekerjaya dan berumahtangga, memiliki anak-anak dan punya komitmen lain, bukankah situasinya akan berulang sama? Terbayang situasi saya pulang kerja dan perlu menyediakan hidangan untuk menjamu ahli-ahli halaqah di waktu malam.

Jika saya tidak mula bersusah payah mempelajari skill memasak dalam waktu-waktu yang genting, masakan saya mampu berhadapan dengannya secara baik saat saya telah dewasa nanti.

Penutup: PINTAR memang satu Tarbiyah.

Selain melatih kepimpinan, skill komunikasi, kemasyarakatan dan lain-lain, saya kira PINTAR juga telah mentarbiyah saya untuk merajinkan diri dalam aktiviti memasak. ^^#.

Semoga Allah redha dengan segala usaha untuk mempertingkat diri ke arah yang lebih baik, iAllah.

nota kaki:
-saya sayang PINTAR..
-Alhamdlillah 3x untuk kemenangan anNahda yang memenangi pilihan raya Tunisia. Semoga Allah tsabatkan kalian dan redha dengan kalian iAllah..
-video yang membuatkan saya sebak. Masyaallah 3alaikum ya Libya. Semoga Allah istiqamahkan kalian di atas jalan yang panjang ini.

Saturday, October 22, 2011

Datanglah kamu wahai semangat..


Entri peribadi lagi. Maaf sangat-sangat.

Doakan saya.

Sejak akhir-akhir ini hidup kurang tenang.

Asyik mengira kalendar, tidak sabar menunggu 5hb November tiba. Terlalu teruja mungkin. Buah hati pengarang jantung akan datang menapak insyaAllah.

Masalahnya periksa bermula 29 Oktober ini. Seterusnya pada 2 November.(next 14,15 dan 21 Nov).

Dan fokus itu tidak muncul-muncul. haih.

Jenuh mencari.


Lagu yang menemani saya menyelongkar rasa rajin itu.
Semoga Allah pertemukan. ameen.

Doakan saya ya sahabat. Sungguh-sungguh. T_T.


nota kaki:
-banyak lagi yang tak hafal. hergh.. ada sesiapa boleh tolong rebuskan buku?


Tuesday, October 18, 2011

Luka di tubuh Umat.

Saat kita mengkufuri Allah dalam kenikmatan,
masih ada yang mensyukuri dan beriman kepada Allah.
Allah tidak hairan pun dengan kemaksiatan kita, tetapi kita yang berhajat sungguh-sungguh
pada rahmat Allah saat penghisaban di padang Mahsyar.

Prolog.

Teringat kisah yang ditulis oleh Abbas As-sisiy. Pernah beliau menangis dan tangisannya itu disedari oleh assyahid IHAB. Lantas IHAB bertanya, "untuk apa kamu menangis wahai Abbas?".
Jawab Sheikh Abbas As-sisiy, "aku menangis kerana melihat betapa dahsyatnya kerosakan umat". Langsung IHAB menyebut, "Baru ketika ini kamu memahami apakah itu erti dakwah".

Dan saat saya melihat reality masyarakat hari ini, terasa jiwa bagai dicarik-carik lantas hanya kepada Allah diadukan segala kelemahan diri.

Luka-luka baru menjarah, sedang luka-luka semalam masih belum sembuh.

Hari ini sahaja 2 berita telah membuatkan saya hampir pengsan. Kisah-kisah yang lahir dari masyarakat yang rosak nilai-nilai kemanusiaannya. Yang tidak pernah terfikir dek akal.

Kisah 1: Kisah terkuburnya kepekaan masyarakat. Peristiwa ini berlaku di China. Rujuk sini.
Kisah 2: Kisah tercabutnya rasa sayang seorang perempuan terhadap anaknya (hasil hubungan zina). Rujuk sini. Gambar bayi tersebut boleh dilihat di facebook. (tak sanggup untuk diletakkan di sini).

Ini hanya 2 kisah kecil berbanding jutaan kisah yang terus menghiris tubuh umat saban hari.
Pembunuhan, penzinaan, pengkhianatan, penindasan, penyiksaan, peperangan dan segala kerosakan lain terus berlaku.

Sehingga tertunduk dan sesak mencari jalan solusinya. Kefasadan demi kefasadan yang berlaku menghimpit dada dan mencemaskan jiwa.

Bukan Pemula dan Bukan Pengakhir, Tetapi Penyambung Untaian Rantai Itu.

Saat melihat masyarakat yang terbakar dengan api kejahatan ini, kadang kala melahirkan rasa putus asa dan pedih.

Lemah untuk melangkah kerana terasa bagai jalan keluar di hadapan tertutup. Dan ketika inilah Iman kepada kekuasaan dan kehebatan Allah berbicara.

Allah yang menciptakan dan menyusun seluruh kehidpan ini dari semenjak terciptanya dunia tidak akan pernah sesekali mencipta dan menyusun sesuatu dengan sia-sia.
Bukankah Dia lebih Maha Mengetahui?

Sesuatu yang melapangkan apabila kita meyakini bahawa kita hanyalah sebahagian dari rantai-rantai perjuangan. Jika kita telah diambil kelak, maka akan lahir generasi-generasi baru yang akan meneruskan apa yang sedang kita usahakan. Jika Islam tidak tertegak di zaman kita hari ini, janji Allah bahawa Islam pasti akan tertegak di suatu zaman yang akan datang.

"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahawa Dia akanmenjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia pasti akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada di dalam ketakutan, menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mem­per­sekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) ini maka mereka itulah orang-orang yang fasik."
(An-Nuur, 24:55)

Pujukan Dari Allah.

Saat ini, menyelak kisah-kisah dalam lipatan sejarah bagai melihat perjalanan sebuah cerita di hadapan mata.

Saat mereka yang berusaha melaksanakan amal Islami berasa sesak dan terhimpit, aat jahiliyyah mengalir dalam denyut nadi masyarakat, saat itu lembaran susuk-susuk tubuh dunia Islam menjadi kekuatan inspirasi.

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum lagi datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya dengan orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. "
(Al-Baqarah, 2:214)

Sungguh. Tidak ada daya dan upaya melainkan datang dari Allah.

Epilog: Menjadi Pemuda Peka Zaman.

Baru-baru ini sempat menghadam buku tulisan Dr. Raghib as-Sirjani bertajuk, "Pemuda Peka Zaman".

Antara faktor kerosakan dahsyat yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah natijah dari kruntuhan institusi pembentukan jiwa-jiwa muda. Jiwa-jiwa muda yang sepatutnya dewasa dalam fitrah hamasah dan himmah bersama nilai-nilai Islami dirosakkan oleh sistem jahiliyyah yang menconteng dan melahirkan jiwa-jiwa pemuda yang kosong, sempit, malas dan tidur.

Sedangkan dalam hadis riwayat Tarmizi ada disebut,
"Tidak akan bergeser kedua kaki anak Aam pada hari kiamat dari Rabbnya hingga dia ditanya tentang 5 perkara: tenatng usianya, untuk apa ia dihabiskan; tentang masa mudanya, untuk apa ia gunakan; tentang hartanya, dari mana ia peroleh dan untuk apa ia dibelanjakan; serta tentang ilmunya, apa yang ia perbuat dengannya".

Semoga Allah sentiasa melindungi waktu muda yang sedang dimiliki hari ini, insyaAllah.

Nota Kaki:
-Berhenti berfikir sehingga tiba waktu yang dijanjikan.

Sunday, October 16, 2011

Dalam hati ada..

Prolog.



Teringat dulu bonda selalu sebut:

"rasa sayang itu tidak boleh dipaksa. Dia akan lahir sendiri.."

Saat itu saya tidak mengerti mengapa rasa itu tidak boleh dipaksa datang dan pergi. Terlupa bahawa rasa itu adalah fitrah yang telah dicipta Allah sesuai pada tempat dan waktunya.

Jika sekalipun kita memaksa dengan kerahan tenaga, tetapi rasa itu tetap tidak akan hadir. Tetapi, jika saatnya dia datang, dia akan datang seperti satu hembusan yang mententeramkan.

Dan saya berdoa, semoga angin itu bertiup tepat pada saat yang diizinkan agar menjadi angin yang diredhai.
...

cerita 1.

Hari ini saya kira saya telah kurang normal kerana berada di dapur dari azan asar sehingga azan isyak.

Tidak pasti mengapa, tiba-tiba angin untuk masak datang dengan begitu seronok. Rasa terhibur menyiapkan set nasi lemak ayam beserta papadom dan bubur ca ca (siap buat ball sendiri: rebus ulian tepung gandum dan gula).

Mungkin kerana kecewa kelas Fiqh U3qubat siang tadi saya mengantuk dan hanya faham bab syarat 4 saksi dalam kes Qazaf. Balik-balik langsung semangat untuk menggeledah dapur. ^^
(sedangkan sebelum-sebelum ini tidak pula)

Kak Adnin siap memberi kata-kata motivasi (?), "nak anak 9, kena belajar dari sekarang..". heh.

Tetapi jujur. Mungkin fitrah wanita itu sifatnya suka untuk berbakti dan memberi. Dan saya mula merasainya.

Belajar untuk menyiapkan juadah sang mujahid dan mujahidah nanti. (insyaAllah)

...
Cerita 2.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Selesai satu program yang menjadi salah satu program terbesar dalam gerak kerja pembentukan Nuqaba' PINTAR iaitu Training Of Trainer (TOT) yang berjalan selama 2 malam 1 hari iaitu pada 12hb malam dan pada 15hb yang bermula tengah hari sehingga malam.





Himpunan poster TOT yang menarik. Tahniah unit publisiti PINTAR dan TOT.
Jazakumullahukhairan katsira iAllah..

Untuk menulis semuanya, pasti tidak berkesempatan, lantaran bagai mahu semuanya saya ceritakan secara details kerana terlalu teruja.

Namun cukuplah sekadar saya menyimpulkan bahawa saya peroleh banyak malah mungkin sangat banyak sepanjang TOT ini Alhamdulillah.

Semoga Allah redha dan kuatkan untuk terus sabar, ikhlas dan istiqamah di atas jalan ini.
Semua ini hanya permulaan untuk sebuah perjalanan yang jauh, terik, curam dan berbukit. Semoga permulaan yang baik mampu membawa kepada pengakhiran yang juga baik, iaitu tidak lain dan tidak bukan, redha Allah sekaligus syurgaNya insyaAllah.

Apakah ada nikmat yang lebih baik dari kedua nikmat tersebut?

Epilog.

Saat rasa lelah, saya senang untuk memutar kembali video-video Furkan Dogan, sang pria yang telah dahulu meninggalkan dunia dalam usia muda. Bertemu dengan Rabbnya bersama bukti yang mulia. Tiket langsung ke jannatul Firdaus.

Saat itu rasa takut bagai mencucuk. Takut dengan nilaian Allah. Apakah amal saya seteliti amalnya? Sedangkan amal saya penuh dengan compang campingnya. Langsung tidak sempurna untuk dijadikan mahar.

Bagaimana mungkin saya peroleh syurga yang sama dengannya? T_T.




nota kaki:
-saya sudah faham ayat kamu. Itupun selepas tergerak untuk tanya orang lain.
insyaAllah, doakan yang terbaik.

-setelah beberapa kali menolak dengan alasan tidak memenuhi syarat, kini tidak ada alasan pula bagi mereka yang memenuhi syarat. Saya kira, saya perlu mula melangkah lebih jauh. Baru sedar diri telah memasuki alam dewasa.
" istikharah, itu jalan yang terbaik", pesan seorang sahibah.
Allahua3lam.




Friday, October 14, 2011

Kehilangan.

kredit to iramawarna.

Terduduk.
Pantas menguis.
Puas.

Mencari ke mana hilangnya ikhlas.
Menangis.


Saat hadis 1 "innama a3malu binniyah" menyapa lembut ke ganggang telinga, namun saat itu kurasa bagai rempuhan taufan yang meroboh dunia.

Thursday, October 13, 2011

Komunikasi Itu Penting.

kredit to: iramawarna

-kamu-
adakah susah untuk kamu menjadi lebih berani?
Berani untuk percaya kemampuan diri.
kerana saya berani meletakkan kepercayaan kepada kamu.


Sepanjang saya bekerja dan bergaul dengan masyarakat, saya belajar banyak perkara dari mereka. Terutama dari aspek komunikasi.

Apa yang tidak menyelesakan saya, saya akan perhati dan nilai untuk saya tolak ke tepi. Apa-apa yang membuatkan saya terhibur dan senang, akan saya aplikasikan agar komunikasi saya dengan manusia juga akan menyenangkan mereka.

Saya Tidak Suka Arahan.

Jujur. Saya tidak suka kepada sebuah arahan.
"Hasna' buat ini".
"Hasna', buat itu".
"Hasna', ambil itu".

Mengapa begitu susah untuk kita meletakkan diawalnya, 'BOLEH TOLONG'?.
"Hasna', boleh tolong buat ini?"
"Hasna', boleh tolong buatkan itu?".
atau "Hasna', ambilkan itu boleh?".

Bukankah dengan meletakkan 'boleh tolong', maka sesuatu ayat itu akan menjadi lebih cantik? Manusia juga tidak akan melihatnya sebagai satu suruhan seorang tuan yang perlu dipatuhi tetapi sebagai permintaan tolong dari seorang sahabat.

Dan apakah juga sesuatu yang menyukarkan untuk kita menghabiskan permintaan tersebut dengan ucapan 'TERIMA KASIH' atau lebih baik dengan doa-doa kebaikan?

Susahkah menamatkannya dengan tambahan,
"jazakillahukhairan katsira".
"Allah yujziki kheir".
"Allah yu3tiki 3afiah". dan sebagainya.

Sesuatu yang saya suka terikut-ikut dengan budaya arab di sini, ialah mereka suka mendoakan. Saling. Sehingga saya merasakan betapa budaya ini melimpahkan rahmat kebaikan.

Mengapa tidak kita mulakan dan amalkan juga?

Saya Percaya Awak.

Antara lain yang membuatkan saya bahagia ialah perkataan, "SAYA PERCAYA AWAK". Ringkas. Pendek. Mudah. Tapi natijahnya mententeramkan jiwa.

Setiap kali berurusan dengan sahabat-sahabat ajk, (bahagian akhawat), selepas berbincang berkongsi idea, saya senang menghiburkan mereka dengan ayat ini. Kerana saya juga akan terhibur jika ada manusia lain meletakkan kepercayaan da keyakinan pada diri saya.

Jika kita perasan, masyarakat kita (especially Melayu) sangat susah untuk melihat mereka yang suka memberi penghargaan, tetapi sangat malah terlalu mudah untuk menghukum.

Bukankah lebih baik kita menghargai setiap apa yang telah dilakukan hatta bagi seorang anak kecil? Jika dia melakukan kesalahan, tidak salah untuk membetulkan tetapi pasti berbeza perasaan mereka jika di awalnya kita telah memberi komentar yang baik dengan menghargai usaha dan idea mereka.

Dan saya perasan, ketua saya pun sejak akhir-akhir ini sudah pandai menggunakan ayat ini. Suatu peningkatan. ^^.

Penutup: Skill Komunikasi Itu Penting.

Pada saya dan hakikat itu sendiri, skill komunikasi itu sangat penting dalam mu3amalah kita sesama manusia. Kerana manusia itu bukan robot atau kayu. Mereka punya perasaan dan jiwa yang mudah tersentuh dengan kekasaran mahupun kasih sayang.

Justeru, mengapa kita tidak mencuit hati mereka dengan rasa sayang itu?. Apatah lagi bagi mereka 3amiliin Islam yang akan atau sedang turun ke dalam masyarakat.

Dakwah dan Cinta itu mustahil dapat dipisahkan..



Nota Kaki:
-Saya juga aneh mengapa kamu tidak silap. Dalam ramai-ramai itu, mengapa kamu?
-Semoga Allah hadiahkan keberanian jika itu memang yang terbaik.

Monday, October 10, 2011

Jawapan.

tentera yahudi laknatullah menembak jasad si ibu, langsung menembus ke jasad janin yang
belum sempat melihat dunia.

"sahabat tidak lengkap, sahibah pun tidak lengkap...tetapi gabungan kedua-duanya akan saling melengkapi...antara siang dan malam,tidak ada yang lebih baik..malah kedua-duanya perlu untuk kehidupan..tidak ada salah satu, rosak kehidupan di alam ini..

setiap orang itu ada packagenya...kuat di satu sisi,lemah di sisi yang lain..terima seseorang mesti dengan packagenya skali..takkan nak terima sisinya yg kuat sahaja, yang lemah-lemah tu nak campak kat mana..bahagian itulah nak tarbiyah kita sebenarnya..nak tingkatkan kita..sebab itulah Allah swt yang akan menyusun untuk kita kerana Dia sahaja yang paling tahu siapa yang terbaik untuk kita..insyaAllah"

Jawapan bonda yang begitu berhikmah.

Jujur. Untuk membina masyarakat muslim dari pembentukan Baitul Muslim yang jelas itu bukan mudah. Keyakinan pada Allah perlu sentiasa maksima. Yakin bahawa Allah telah susunkan yang terbaik. Terbaik pada pandangan Allah mustahil sama dengan terbaik pada pandangan mata kita.

Dan saya perlu belajar untuk menjadi pelengkap itu.

nota kaki:

-sekali lagi, post ini ditulis bukan kerana saya telah memikirkan ke arah itu, tetapi baru belajar untuk melangkah.

-orang pelik kenapa saya begitu takut, mungkin kerana pengalaman yang telah saya lihat tidak indah. Justeru, membuatkan saya berfikir banyak.

-Semoga Allah redha dengan kita.

Saturday, October 1, 2011

PINTAR di hati.

Post sempena bermulanya perjalanan PINTAR.

bab posing, memang seronok..

belakang dari kiri: Ain, Fasya, kak Adnin, Syifa', Eida, Wawa, Afiqah, along dan Aisyah.
depan dari kiri: kak Izzah, saya, Ainin dan Mida.
tiada dalam gambar: Norsyamimi.

belakang dari kiri: Faiz, senior Sahel, senior Idzuddin, senior Tuan, Fathullah
depan dari kiri: Azwan, Zulkhairi, Hakim, Zaki, Uzair dan senior Zulnazmi

Gambar Korporat.

Uhibbukum fillah.^^.



Logo rasmi PINTAR yang dilancarkan sesi 2011/12.

logo PINTAR yang dibuat sticker.

Langkah Bermula: 1001 Rasa.

Memasuki bulan October, bermakna segala perancangan gerak kerja PINTAR bakal bermula.


Jujur, memikul amanah besar ini bukan suatu yang mudah. Apatah lagi saat disingkap segala kelemahan dan kekurangan yang ada. Terasa terlalu jauh untuk menyusun dan merangka sedang diri masih jatuh dan bangun.

"Mustahil kita mampu membawa masyarakat kembali kepada Allah, sedang kita sendiri jauh dengan Allah". Kata-kata yang selalu membuatkan diri ini takut dan berhati-hati.

Namun, mahu atau tidak, mustahil ada jalan lain.

Semoga dimulakan dengan noktah bidayah yang jelas dan sohih.

Teringat antara 2 perkara penting dalam amal Islami iaitu:
1) Noktah Bidayah sohehah (titik permulaan yang benar).
2) Ra'yatul Wadhihah (pandangan yang jelas).

Lantas, mari sama-sama kita sentiasa memastikan permulaan langkah ini dibina atas kefahaman yang benar. Langkah yang disusun MESTI bersih dari sebarang anasir-anasir selain dari SEMATA kerana Allah.

Berhajatkan hanya nilaian Allah. Mengharapkan semata kekuatan dan inayah dari Allah. Bersih. Jelas. Dan kosong dari sebarang pengharapan dunia.

Hanya Allah menjadi matlamat utama. Hanya Allah menjadi kekuatan penolak. Kerana jika kita tersilap setitik, semua amal itu menjadi KOSONG dan sia-sia.

Dalam masa yang sama, kita memerlukan perancangan dan plan tindakan yang sistematik dan tersusun. Melihat dari sudut yang pelbagai agar terhasil gerak kerja amal Islami yang terancang dan muntijah.

Kerana kita mahu membina perkara besar. Bukan perkara kecil dan main-main. Kita mahu membina Iman dari runtuhan Jahiliyyah. Lantas, apakah bisa kita sambil lewa dan cuai?


PINTAR: Hanya Wasilah, Bukan sesekali Ghayah.

Perlaksaan gerak kerja PINTAR atau hakikatnya amal Islami itu bukan matlamat akhir kita. Terjun dalam medan DnT tidak pantas sama sekali membuatkan kita rasa terjamin selesa. Kerana semua ini hanyalah jalan atau tumpangan untuk kita bergerak kepada matlamat sebenar iaitu syurga Allah.

Lantas, kesedaran ini yang akan membuatkan kita tidak akan pernah yakin dan selesa bahawa kita akan sentiasa selamat dari tergelincir dan jatuh. Kerana lumrah berjalan, adakalanya akan tersendul atau terlecek hingga mungkin terluka sakit.

Kerana itu menjadi urgensi untuk kita sedar dan faham akan noktah bidayah sebelum memulakan langkah.

"Alif Lam Miim. Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman", dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta". (1-3:al-Ankabut)

Berjalan bersama tawakkal jagaan Allah. Tingkatkan HDA dan pengaduan maksima kepada Allah agar tidak pernah sekali membiarkan dan meninggalkan kita. Doa sungguh-sungguh semoga Allah tingkatkan kepekaan jiwa dan sensitif hati kita untuk selalu berhati-hati dari kemaksiatan kepada Allah dalam melaksanakan amal Islami.

Penutup: Jazakumullahukhairan Katsira Buat Semua dan Mari Memulakan Langkah Bersama!

Jutaan terima kasih dan doa semoga Allah mengganjari kalian dengan kebaikan yang berlipat kali ganda buat 19 orang mentor akhawat dan 124 orang nuqaba' akhawat yang memilih dan dipilih Allah untuk sama-sama berada di atas jalan DnT ini.

Suatu jalan yang panjang dan tidak akan pernah sekali menjanjikan hamparan karpet merah.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin itu diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka" (atTaubah: 11) -->Gambaran bahawa untuk memperolehi syurga Allah itu mahal maharnya.

insyaAllah. Semoga Allah kuatkan kita untuk terus sabar, ikhlas dan istiqamah di atas jalan ini.

Sayang kalian kerana Allah dan selamat berPINTAR..!^^.

Friday, September 30, 2011

.Bertatih Itu Susah.


pernah berangan untuk mengikut jejak ayah dalam engineering atau jejak abang dalam architecture.

Coretan Kisah Hati. Maaf jika tidak berkenaan.

Semakin dewasa, semakin saya belajar banyak perkara. Semakin beranjak usia, semakin saya faham dan sedar, bahawa diri saya bukan milik saya.

Belajar Bertatih.

Saya bukan pelajar cemerlang semenjak menginjak dalam bidang deeniyah ini. Kenangan top scorer di sekolah hanya tinggal kenangan. Markah 100 dan 90 lebih, sudah tidak wujud di kertas keputusan. Terkial-kial belajar. Bertatih-tatih jatuh dan bangun.

Teringat kenangan saat mengungkap pada sahabat-sahabat tentang pemilihan untuk mengambil bidang Fiqh. "hasna' tak ada rupa orang nak ambil agama". "biar betul anti ni". "serius?" dan segala respon lain (semuanya negative).

Teringat ketika itu, keputusan bahasa arab masih setia mencacatkan slip. Periksa pertama tingkatan 5, semua A kecuali Bahasa Arab: E. Seterusnya periksa pertengahan, semua A, Bahasa Arab: C. Dan akhirnya SPM semua A , Bahasa Arab: B3. (itu pun setelah berhempas puas). Seumur hidup, hanya pernah sekali memperoleh A dalam Bahasa Arab, PMR: 9A.

Jujur, bukan dalam bidang saya untuk menghafal dan segala. Saya hanya mampu mengira. Dan saya sangat mencintainya. Teringat pernah menangis mendapat keputusan kurang 4 markah dari 100 di periksa akhir tingkatan 4 kerana selalunya mendapat markah penuh. Begitu juga matematik tambahan. (subjek yang merupakan jantung hati saya), Teringat ketika saya pertama kali mengambil tuition luar untuk subjek itu. Pergi ke kelas untuk belajar tetapi akhirnya cikgu minta saya mengajar.

Sungguh. Air mata akan mengalir deras setiap kali menjelang musim peperiksaan bersama beribu-ribu bait untuk dihafal. Seakan-akan mahu berlari keluar dan terjun ke dalam nombor-nombor.

Sigh.

Tetapi mustahil saya mampu berpatah balik.

Teringat bonda tidak pernah putus memujuk,"tak apa, mak tak kisah pada keputusan..yang penting, hasna' belajar dan terus belajar..jangan pernah berputus asa untuk mendalami ilmu Allah".

Dan setiap kali itu rasa bersalah akan semakin menebal. Betapa bonda telah berkorban banyak semata-mata untuk melihat anaknya faqih dalam bidang ini.

Teringat kata-kata bonda sewaktu melahirkan cita-cita melihat ada anaknya bergelar agamawan, "nanti senang nak tanya hukum..". (memandangkan hanya saya satu-satunya wakil tunggal mengambil bidang agama semenjak salah silah datuk nenek moyang)

Allah.

Dan harapan itu belum mampu saya capai untuk dihadiahkan atas ribuan mata wang yang telah bonda keluarkan.

Terus Bertatih Bersama Amanah Yang Semakin Berat.

Tarbiyah Allah tidak berhenti di situ. Dalam keadaan separuh lelah memikul amanah bonda, dihadiahkan lagi dan lagi untuk dipikul. Saya perasan, walaupun cuba mengelak dan menolak, namun Allah tetap hulur sehingga terpaksa diterima.

Bukan untuk menyusahkan. Tetapi untuk saya belajar menerima semuanya dan mencorak kesemua itu dengan sebaik-baiknya. Jujur. Bukan suatu yang mudah.

Sehingga kadang-kadang rasa bagai mahu lari ke dunia lain. Namun kembali sedar, bahawa apa yang sedang saya lalui hari ini, hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang bakal saya hadapi pada hari esok. Dan dari mana akan saya belajar untuk tabah dan matang menempuh badai esok?

Bukankah bermula sekarang?

Bukan Pilihan Saya Tetapi Pilihan Allah.

Jika dilihat, susunan Allah itu benar-benar hebat. Memang pedih. Tetapi nampak jelas bahawa kita hanya hamba yang segala-galanya telah disusun cantik.

Dan insya-Allah, Allah Maha Tahu segala yang terbaik untuk kita. Dan saya tahu, bahawa pemilihan untuk ke sini suatu ketika dahulu, bukan pilihan saya atau pilihan bonda tetapi pilihan Allah.

Allah mahu mengajar saya untuk bijak menyusun kehidupan. Kerana kehidupan itu bukan perkara remeh dan mudah.

Allah mahu mengajar saya untuk sedar bahawa saya milik Allah. Dan saya hanya mengikut apa yang telah diatur olehnya.

Allah mahu mengajar saya untuk faham bahawa hakikat dan erti sebuah kehidupan yang bermakna adalah dengan memberi sebanyak-banyaknya . Bukan menerima dengan sebanyak-banyaknya.

Penutup: Belajar Untuk Melengkapkan dan Bahagia.

Saat terkial-kial dengan segala kelemahan yang ada, tampak jelas betapa Allah mahu saya untuk sungguh-sungguh memperbaiki kelemahan yang ada pada diri. Paling penting, belajar untuk tidak memberi dan mencipta alasan.

Sungguh. Semua itu mengajar untuk saya bahagia dengan apa yang sedang saya lalui hari ini. Bahagia dengan segala kekurangan kerana yakin bahawa Allah telah susunkan yang terbaik untuk saya.


Nota kaki:

-masih terus belajar untuk menjadi seorang muslim yang memenuhi 10 muwasifat tarbiyah.

-ditulis saat lelah hampir mencekik.

-mencintai ahkam tarikat (harta warisan) kerana hanya itu subjek yang ada nombor.

-walaupun telah memasuki tahun 3, tetapi rasa cinta itu masih main lip-lap lip-lap. Sekejap muncul, sekejap hilang.

-pergi ke mana-mana, orang akan panggil mama PINTAR. Walaupun janggal, tetapi mendidik untuk lebih matang dan berhati-hati.

Monday, September 26, 2011

.Fitrah Itu Jernih.

Tadi petang, saya dan kak Adnin menziarahi kak Annis Athirah yang baru melahirkan cahaya matanya yang sulung, Abrar al-Itqan. Kak Annis merupakan senior saya yang telah graduate takhasuus Bahasa Arab bulan Jun yang lalu dan kini menjadi suri rumah tangga sepenuh masa memandangkan senior Firdaus, suami kak Annis di tahun akhir pergigian JUST.

Lucu dan gembira bercampur aduk. Antara percaya dan tidak, kak Annis telah bergelar seorang ibu. Teringat dulu bersukan bersama, sembang-sembang bersama dan segala dengan kak Annis.
^^.

Sebelum itu, sekitar 2 minggu lepas, sempat menziarahi Nur Ain, kelahiran pertama kak Aisyah Tolhah. Kakak lepasan Darul Quran yang datang bersama suaminya tahun lepas.

Ain sangat comel ketika kami menziarahinya. Teringat sepanjang kami ada di rumah kak Aisyah, Ain hanya tidur. Tetapi dalam tidur itu, pelbagai reaksi muka dan gerak tangan yang telah kami lihat. Seperti menyaksikan sebuah perjalanan mimpi yang mempunyai 1001 kisah. ^^.

geram. macam nak buat sup baby ni.

Tidak lama lagi, kak Nadiah pula yang akan melahirkan anak. Teringat lagi setahun lepas, saya menaiki bas keseorangan dari Perlis ke Johor semata untuk meraikan jemputan bersungguh-sungguh kak Nadiah dan abang Fauzi. Betapa cepat masa berlalu.^^.



Selesai solat Maghrib tadi, tiba-tiba tergerak untuk google gambar-gambar baby. SubhanAllah..
Sangat comel dan terhibur melihat keletah mereka walaupun hanya melalui kepingan gambar.

Dan muhasabah itu datang.

Betapa Fitrah Itu Menenangkan.

Betapa fitrah kita sebenarnya mencintai dan senang dengan sesuatu yang turut sama fitrah. Buktinya, kita akan rasa senang dan tersenyum melihat bayi-bayi yang jernih dari dosa dan kemaksiatan. Perasaan itu hadir tanpa dipaksa atau dipanggil.

Rasa nyaman itu hadir lantaran jiwa kita secara fitrahnya mencintai sesuatu yang bersih dan menyamankan. Jiwa kita akan gelisah dan resah pada sesuatu yang berlawanan dengan fitrahnya.


Justeru, bukankah kita menzalimi diri sendiri jika terus membiarkan jiwa kita sedih, pedih dan tersiksa dalam kondisi yang jauh dari fitrah yang jernih?

Hebatnya Jiwa Ibu.

Teringat bonda cerita betapa sakitnya menanggung beban yang berat selama 9 bulan, kemudian kesakitan ditambah dengan derita mengeluarkan anak ke dunia. Pertarungan antara hidup dan mati. Seluruh kudrat dikerahkan semata untuk menyelamatkan nyawa si kecil dan juga nyawa ibu itu sendiri.

Tidak termasuk pakej berjaga malam akibat tangisan si kecil, menyusu selama 2 tahun, melayan karenah sakit demamnya, berganda pula dengan penjagaan kebajikan suami. Jika ada anak-anak lain, perlu juga diteruskan peranan ibunya.

...Diam. (sebab terfikir, nanti saya juga akan mengalami perkara yang sama *_* iAllah)

Tapi teringat kata kakak:

"best tau tengok muka anak sendiri..walaupun hanya dalam scan"

SubhanaAllah.

Pakej muntah-muntah, pening-pening, kejang di malam hari, lenguh-lenguh seluruh badan boleh dilupakan hanya dengan melihat wajah si kecil.



A. Mukhlisah..lekas-lekas keluar ya..boleh khaulah (er..ke nak auntie?) Hasna' hello-hello Mukhlisah..^^.

Selayaknya ibu dimuliakan. Dan itu adalah apa yang Allah dan Rasul ajarkan.

"Dan Kmai perintahkan kepada manusai (agar berbuat baik) kepada kedua orag tuanya. Ibu yang telah menagndungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapikannya dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu" (14: Luqman)



Tiba-tiba rasa teruja nak jumpa A.Mukhlisah..^^. *wink2*

Tahun depan, balik raya, excited nak beli hadiah untuk baby A.Mukhlisah solehah iAllah ^^.

Tidak termasuk kerahan untuk memikirkan cara terbaik dalam perlaksanaan tarbiyatul awlad. Apatah lagi bagi ibu-ibu madrasah tarbiyah yang mempunyai anak-anak dalam kondisi jahiliyyah yang pekat dan sangat dahsyat hari ini.

Hanya Allah sebagai tempat bergantung dan berharap.


Penutup: Anak yang Sebenar Anak Itu yang Susah Untuk Dilahirkan.

Jujur. Bagi saya, antara perkara yang menakutkan jika berbicara berkenaan Baitul Muslim dan yang sewaktu dengannya ialah perihal didikan anak.

Apatah lagi didikan anak yang sebenarnya bermula dari didikan ibu bapanya terhadap diri mereka sendiri semenjak akil baligh.

...Diam. (sebab terfikir, bagaimana generasi saya nanti jika dilihat saya hari ini..*_*)

Semoga Allah tidak menolak kita jauh. Dan paling penting, semoga Allah tingkatkan kesabaran, untuk terus kuat dan istiqamah dalam usaha memperbaiki diri kepada apa yang Allah hajatkan agar generasi yang bakal lahir juga memenuhi generasi yang Allah hajatkan insyaAllah.

nota kaki:
-post ini ditulis bukan bermakna saya berfikir untuk kahwin. Tak terfikir pun lagi insyaAllah.
-sungguh-sungguh teruja untuk melihat A. Mukhlisah keluar. Semoga A.Mukhlisah membesar sebagai bayi yang sihat (baca: plump dan chubby seperti bondanya) agar mudah untuk saya jadikan A.Mukhlisah sebagai bantai peluk..! ^^.

Sunday, September 25, 2011

Masih Belum Kuat.

Ini abang saya. Dia memang 'bolok' dalam bergambar.^^.
mode: rindu abang. Sayap dah macam Superman, terbang la ke sini..
(Muhammad Zubair Bin Hazni).

Rasa penat. Tergerak untuk menyelak semula buku Thuruq Dakwah tulisan Mustafa Masyhur, bahagian 'Beberapa Rintangan-Rintangan Di Atas Jalan Yang Kita Lalui'.

Menyelak muka kedua, ayat Cinta Sang Pencipta pertama ditemui:

"Alif Laam Mim. Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: "Kami telah beriman", sedangka mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta". (alAnkabut:1-3)

Hati jadi pedih. Sebak.

Apakah nilaian Allah terhadap hari-hari yang dilalui? Apakah Allah melihat diri ini sebagai orang yang benar atau orang yang hanya berdusta dan berpura-pura?

Muhasabah Dari Amal.

Bermu3amalah dengan manusia yang bermacam-macam membuatkan kita jadi penat kadang-kadang. Atau mungkin selalunya.

Apatah lagi saat kita terjun dalam amal Islami ini. Jujur, dari amal ini kita mampu muhasabah banyak.

Dalam buku Thuruq Dakwah juga ada dikongsi tentang kisah Nabi Nuh a.s.

"Nuh berkata:"Ya Tuhanku sesunnguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) da menyombongkan diri dengan sangat. Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka kepada iman dengan terang-terangan kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-teranga dan dengan cara rahsia". (Nuh:5-9)

Kesabaran Nabi Nuh a.s. mencecah sehingga 950 tahun seperti mana yang tercatat di dalam alQur'an. Betapa tidak terjangkau dek akal saya jika saya mampu bertahan selama itu..!

Namun saat muhasabah kembali amal, akur bahawa kekuatan itu sentiasa ada hanyasanya jika kekuatan hubungan kita dengan Allah itu maksima.

Kekuatan Sebenar.

Jujur, terjun dalam amal Islami ini sebenar menjadi kayu ukur HDA. Benar kata-kata UDMZ:

"Tarbiyah tanpa Dakwah Tidak ke mana, Dakwah tanpa Tarbiyah Sia-Sia".

Lantaran untuk mengetahui setakat mana keberkesanaan proses Tarbiyah yang telah dilalui adalah dengan turun mengaplikasikan proses tersebut dalam masyarakat sekeliling. Dari situ, kita akan melihat setakat mana keberhasilannya.

Sungguh. Saat air mata senang mengalir dalam solat, saat teruja untuk bertemu dengan Allah di 1/3 malam dan saat sentiasa peka dengan keselamatan deria dari maksiat, saat itu, kekuatan itu sentiasa ada untuk menolak. Menjadi pendorong yang kuat. Malah semuanya dirasakan lapang, tenang dan mudah.

Namun, ketika diri tergelincir, semua menjadi lemah lantaran pendorong itu mati.

Penutup: Gali Kembali Kekuatan Itu..!

Menangis dengan Allah. Pohon sesungguh-sungguhnya agar pendorong itu kembali. Kerana perjalanan masih jauh. Masih banyak rintangan yang menunggu. Yang lebih dahsyat dan menakutkan.

'Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya" (alA'raf:201)

Semoga kita tergolong dalam kelompok itu insyaAllah..

nota kaki:
-tak sabar nak peluk bonda.
-Betul orang tua-tua kata, hati tidak mampu menipu. Saya masih menunggu.
-program semalam, rasa lucu bila bertemu semula dengan batch sendiri. Jujur, saya memang 'tak ngam' dengan batch sendiri (sahabat). Tiba-tiba terimbau semula kenangan bekerja di MATRI dan segala cerita lama (esp cerita tak puas hati dalam meeting dll).^^#.

Wednesday, September 21, 2011

Entri Istimewa: Ayah ii

daddy, you're now having a son-in-low and you'll be a grandpa sooner..^^.

sambungan.

Pagi itu, pagi Jumaat. Saya, bonda dan kakak pulang untuk bersiap. Teringat ayat bonda ketika itu, "bersiap untuk satu hari yang panjang. Kita tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku".

Jujur, meskipun ayat bonda itu seperti peringatan untuk penyediaan mental dan emosi yang cukup, tetapi saya sebenarnya saat itu masih merasakan ayah akan bangun lagi. Mungkin lantaran tidak pernah melihat kematian di hadapan mata.

Jam 7 lebih, semasa tiba di jalan berdekatan pejabat lama ayah, Wisma Taiko, mendapat panggilan dari abang yang meminta kami segera sampai.

"badan ayah dah keluar darah".

Setibanya kami di hospital, kelihatan sudah ramai kenalan ayah tiba. Dan saluran alat bantuan pernafasan ayah telah bertukar dari alat biasa kepada saluran seperti paip yang masuk ke dalam badan. Kata abang, doktor maklumkan, saluran-saluran darah ayah telah pecah. Justeru, alat itu bagi menyambung terus ke jantung ayah.

Sepanjang hari tersebut, kami meneruskan bacaan alQur'an yang bermula semenjak ayah koma. Dan kenalan-kenalan kerja ayah serta sahabat sahibah seluruh Malaysia semakin ramai dan memenuhi ruang koridor tingkat 5. Sehingga pakcik guard naik kerana aneh terlalu ramai yang datang menziarahi ayah.

Darah mula mengalir keluar dari ruang-ruang roma ayah. Tilam basah dengan darah. Kaki ayah mula sejuk. Bonda tidak berganjak dari sudut sebelah ayah.

Teringat pekerja ayah bahagian accounting (kalau tidak silap) Miss Liau(tidak ingat apa namanya tapi muka ingat) meminta izin untuk berdoa di gereja. "Tuan Hazni seperti bapa saya. saya mahu minta pada Jesus supaya dia sihat kembali. " Lucu pun ada juga bila makcik yang duduk di sebelah berbisik perlahan, "tak apa, biarkan ja dia doa, macam jesus tu ada". Kalau tidak silap, nama makcik tersebut Makcik Raja Maryam.

Tatapan Terakhir: Bukan kami di sisi.

Sedikit terkilan, ketika ayah pergi, kami sekeluarga tidak ada di sebelah.

Teringat selepas solat Jumaat, orang semakin ramai datang dan mereka tidak pulang-pulang. Justeru, memang penuh koridor panjang di tingkat 5. Dan pak su (abang mak), menyuruh kami sungguh-sungguh makan dan sememangnya kami tidak menjamah apa-apa dari semalam. Awalnya agak berat, tetapi bonda membenarkan maka kami 4 beranak turun ke kantin hospital. Dan pakcik Rosdi Baharom menggantikan tempat kami membisikkan kalimah tauhid di telinga ayah.

Selepas makan, ketika sedang menaiki lif, bertemu dengan bonda di tingkat 3 (ingat-ingat lupa) dan bonda nampak cemas. "Tadi masa mak solat, nenek call".

Ketika sampai di tingkat 5, orang ramai memanggil dan meminta kami bergegas. Saya yang membawa bungkusan air yang banyak (paksu beli untuk diberi kepada orang yang menunggu ayah di koridor), masih sempat mengagih-agihkan bungkusan air tersebut sehingga abang Syafiq panggil, "Nurul, cepat..!". Dan langit mula basah dengan renyai-renyai hujan.

Dan ketika saya masuk, saya sempat melihat tubuh ayah di balik tutupan langsir (langsir tidak menutupi habis bahagian kepala sebab ada banyak mesin) terangkat tinggi akibat kejutan elektrik. Beberapa kali. Sehingga saya nampak garisan hijau di tepi berbunyi panjang berserta garis lurus.

Dan ketika itu doktor membuka langsir dan mengatakan sesuatu pada bonda. Ringkas. Tetapi membuatkan bonda menangis sambil memeluk kakak. Abang juga menangis. Tinggal adik terpinga-pinga di tepi. Adik tanya, "kenapa ni cik niza?".

Teringat adik menjerit, "ayah..! ayah…! ayah…!" selepas makcik Niza maklumkan bahawa ayah telah tiada sebelum mak cik Niza memeluk adik. Manakala saya pula, entah makcik mana yang datang mengangkat saya dari terjatuh. Hanya mampu menangis sambil mengulangi, "makcik, ayah dah tak ada..ayah dah tak ada..".

Tatapan Terakhir: Kucupan Terakhir Itu.

Teringat selepas habis nurse-nurse mencabut alat-alat yang melingkari tubuh ayah, kami anak-beranak menghampiri ayah. menatap wajah itu buat kali terakhir. Sejuk dahi ayah ketika saya kucup. Dan darah bertakung di mulut ayah.

Teringat ketika mengangkat tangan ayat, tilam merah. Begitu juga ketika nurse-nurse mengalihkan tubuh ayah untuk diuruskan, tilam basah dengan warna darah. Seperti air.

Baru ketika itu saya tahu, apa itu denggi berdarah.

Dan ayah dikebumikan malam itu juga diiringi rembesan air yang menitik dari langit.

Sungguh. Kematian itu Ibrah Terbesar.

Selepas kematian ayah, saya mula belajar untuk memahami sebuah kematian. Dan paling penting, saya mula belajar apa itu husnul khatimah.

Seminggu selepas ayah meninggal, Allah izin, mak tam terbaca buku berkenaan kematian tulisan Imam alGhazali (sedangkan buku tersebut telah lama di perpustakaan rumah). Dan beberapa perkara telah kami temui dalam kematian ayah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

-Diambil nyawa pada hari Jumaat.

-Diiringi dengan ramainya orang. (hanya Allah yang Berkuasa menggerakkan hati-hati mereka). Teringat, ada yang datang dari Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Perlis, dan lain-lain sehingga salah seorang kenalan kerja ayah berkata, "kalau orang lain meninggal, tak seramai ni".

-Kematian bersama orang soleh. Ketika ayah meninggal, bukan kami di sisi (mungkin kami belum cukup soleh) tetapi sahabat hebat, pakcik Rosdi yang sentiasa membisikkan kalimah tauhid di telinga ayah sehingga kata pakcik Rosdi, "sehingga ana nampak denyut hazni berhenti sebelum panggil doktor".

-hujan renyai-renyai mengiringi saat kematian dan saat dikebumikan.

-peluh terpercik di dahi ketika sedang menghadapi sakaratul maut. Kata bonda, awalnya bonda aneh, kenapa dahi ayah seperti terpercik peluh sedangkan bilik wad sejuk ber 'air cond'.

-ramai yang bersedih dan merasai kehilangannya.


Yang lain, saya tidak ingat. Harap maaf.

Saat melihat sesuatu yang membahagiakan ini insya-Allah, saya secara peribadinya mula belajar mengorek apa yang tersimpan dalam kehidupan ayah yang selama ini hanya saya kenali sebagai seorang ayah yang sibuk dan kurang bersama kami anak-anak.

Penutup: 3 September 2004-3 September 2011, 7 Tahun Yang Telah Berlalu.

Jujur. Tidak dinafikan sebenarnya saya terlalu bersyukur dengan pengambilan ayah di awal usia. Ketika masih mentah. Lantaran dari situ, saya belajar bertatih mencari kematangan.

Paling penting, saya mengenal sebuah kematian di awal usia sehingga dengan kematian itu titik kehidupan saya berubah 180 darjah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Dan saya belajar untuk bersungguh mencorak seni kematian untuk dihadiahkan saat bertemu Allah nanti.

Teringat kata-kata Dr. Abdul Aziz Rantisi, mas'ul HAMAS selepas Sheikh Ahmad Yassin,

"Jika ditanya kepadaku kematian yang bagaimana aku inginkan, kematian biasa atau apache (helikopter Israel) maka aku memilih apache."

Teringat juga ketika asSyahid Syed Qutb dijatuhkan hukuman gantung sehingga mati, sahabat IM yang lain memberi cadangan untuk membawa lari Syed Qutb keluar dari penjara, tetapi jawab asSyahid,

"usah, biarkan aku bertemu dengan Rabbku. Ini kerehatan bagiku".

*ayat yang lebih kurang.

Sungguh. Selama 7 tahun ini, saya belajar dari tarbiyah sebuah kematian.


Nota kaki:

-setelah 7 tahun berlalu, saya hampir-hampir terlupa bahawa saya pernah mempunyai seorang ayah lantaran telah terlalu lama tidak memanggil gelaran itu.

-semoga Allah rahmati dan ampuni ayah. amen.




Tuesday, September 20, 2011

Entri istimewa: Ayah.i


semua muka tak comel dalam gambar ni..^^.

Semalam, program iftor jama'ie diisi dengan perkongsian berkenaan seni kematian. Olahan ringkas dari buku 'Design kematian anda' (kalau tak silap) tulisan akh Solihin Abu 'Izzudin dari seberang Indonesia.

Diam. Satu muhasabah terbesar.

Saat bila saya belajar tentang kematian.

Teringat selama kehidupan saya, kematian pertama yang saya belajar adalah kematian ayah. Lantaran, kami membesar tanpa tok atau tok wan atau datuk atau saudara-saudara berusia yang sakit. Bak kata bonda, kami ini miskin saudara.


Justeru, tidak pernah tahu apa itu kematian dan melihat kematian kecuali saat menziarahi kenalan-kenalan ayah atau bonda yang telah pergi dulu. Itu pun sekadar melihat sekujur tubuh yang telah dikafankan. Tanpa ada rasa apa-apa.

Tatapan Terakhir: Tidak pernah Terjangka bahawa itu yang Terakhir.

Teringat sekitar hujung Ogos dan awal September 2004. Ayah dimasukkan ke dalam hospital Pantai Puteri, Ipoh pada 31 Ogos 2004 malam dan denyutan jantungnya berhenti tepat jam 3.15 petang 3 September 2004 hari Jumaat.


Teringat ketika ayah awal-awal demam. Panas dan tidak kebah-kebah. Bonda pula perlu mengikuti rombongan ke Indonesia selama 4 hari (kalau tidak silap kerana ketika awalnya kami menjangka ayah hanya demam biasa dan ayah yang meminta bonda untuk pergi. Lalu, hanya kami 4 beradik yang menjaga ayah. 4 beradik yang tidak pernah belajar untuk menjaga orang sakit sebelum ini. Terkilan, kerana tidak mampu laksanakan tanggungjawab terakhir dengan baik.

Teringat ayah hanya duduk di dalam bilik di tingkat atas. Dipasangkan air cond bagi menghilangkan panas yang terlampau. Jika ada apa-apa hajat, ayah akan menelefon kami di bawah.

Teringat saya dan adik memujuk ayah untuk makan dengan kami berkelah di sebelah ayah. Namun, ayah tetap tidak berselera dan hanya mahukan oat.

Teringat kami semua aneh dengan sikap ayah yang mahu abang mandikan ayah sedangkan selama ini ayah yang kami kenal sentiasa bersikap berwibawa dan tidak pernah menunjukkan rasa lemah walaupun ketika sakit.

Teringat peristiwa aneh lain, ialah ketika ayah membenarkan abang memandu ayah ke klinik yang berdekatan buat kali kedua sedangkan ketika itu abang masih belum memiliki lesen. (apatah lagi ayah sangat susah membenarkan orang lain yang memandu dan ayah duduk di sebelah sekalipun bonda). Dan abang begitu teruja atas kepercayaan tersebut kerana selama ini, abang hanya curi-curi memandu tanpa pengetahuan ayah.

Teringat kami semua merungut kerana ayah masih cerewet seperti biasa walaupun ketika sedang terbaring. 3 peristiwa yang masih saya ingat jelas tentang cerewetnya ayah ketika itu ialah peristiwa ayah tidak mahu tuala yang ada sedikit kesan kotor (kesan yang tidak hilang walaupun telah dicuci beberapa kali), peristiwa ayah tidak mahu oat baru yang abang beli bagi menggantikan oat yang telah habis sedangkan oat tersebut sama sahaja (sebijik) dan juga peristiwa sebelum bergerak ke hospital pada malam 31 Ogos, dalam keadaan lemah dan lesu, suhu badan yang tinggi sehingga terpaksa dipapah oleh abang, ayah tetap tidak mahu mengenakan t-shirt yang sedikit berkedut dan meminta kami meng'iron' nya.

Saat semua itu menjelma kembali, tiba-tiba rasa sebak. Muncul penyesalan. Kenapa ketika itu saya tidak menjaga ayah baik-baik. Jika kami tahu bahawa penjagaan kami yang pertama itu adalah yang terakhir, pasti kami akan lakukan sehabis terbaik.

Tetapi, bukankah kematian itu rahsia?

Tatapan Terakhir: Tidak Pernah sedar 'dia' Sedang Menunggu.

Teringat beberapa hari sebelum ayah demam, ayah sempat membawa kami beriadah di bukit(tak ingat nama . Tempat orang suka jogging. Sekitar Batu Gajah kalau tidak silap). Sempat ayah berjenaka seperti setiap kali kami berjoging di situ iaitu ayah akan 'main tipu' dengan tidak menghabiskan track sehingga ke checkpoint atas. Ayah hanya akan joging sehingga kami hilang ke atas dan kemudian turun ke bawah dan akhirnya ayah yang akan sampai dulu di garisan akhir sebagai pemenang. ^^#.

Dan itu adalah yang terakhir.

Teringat ketika hari 31 Ogos, kami 4 beradik (yang sepatutnya abang, kakak dan saya perlu bersiap untuk pulang ke MATRI, tetapi tidak jadi kerana perlu menjaga ayah sementara menunggu kepulangan bonda), sedang menonton perarakan Merdeka di ruang television, kelihatan ayah turun perlahan-lahan dari tingkat atas dalam keadaan yang tidak stabil. Mungkin akibat suhu yang tinggi. Dan lekas-lekas abang memimpin ayah turun. Nampak ayah senyap dan duduk di ruang tamu sambil melihat halaman luar.

Dan malam itu adalah malam terakhir ayah di rumah dalam keadaan masih bernyawa.

Tatapan Terakhir: Pengalaman Pertama di Hospital.

Malam 31 Ogos. Saya dan adik tergerak untuk melihat ayah di atas. (kerana sebelum-sebelum ini kami diajar semenjak kecil untuk tidak sesekali mengganggu ayah yang sedang beristirahat). Teringat ayah sedang meracau. Lantas memanggil abang dan kakak.

Dan abang bergegas keluar memanggil jiran. Jiran sebelah, Pakcik Mukhlis membawa abang dan ayah ke Hospital Pantai Puteri kerana ayah tidak mahu ke government hospital. Tinggal saya , kakak dan adik di rumah.

Setelah menunggu lama, abang telefon, "ayah kena denggi berdarah".

"apa tu denggi berdarah?".Teringat soalan saya dan adik selepas kakak memaklumkan pada kami.

Lantaran ketika itu, tiada pendedahan berkenaan denggi akibat kerajaan tidak melancarkan kempen penularan wabak denggi tersebut . Kesannya, doktor-doktor tidak intabeh (tidak peka) meskipun ayah telah pergi ke klinik 2 kali dalam keadaan suhu yang panas. Selepas beberapa ketika kematian ayah dan berlaku pertambahan kematian, baru kerajaan melancarkan kempen dan kesannya sangat jelas. Jika ada sahaja pesakit yang demam tanpa selesema dan batuk, langsung doktor-doktor akan mengambil ujian darah.

*Perkara ini saya tahu dari doktor di Hospital Besar Ipoh yang merawat ayah.

Malam itu juga, nenek (mak ayah di KL) datang dihantar oleh paklong Zain (abang ayah). Dan pagi tersebut sempat menonton rancangan MHI kerana makcik Niza (kakak ayah) keluar di television. Lucu saat teringat semula betapa tidak tahunya kami akan bahayanya denggi berdarah. Terlalu positif yang ayah akan sembuh semula.

Kemudian baru nenek membawa kami 3 beradik ke Pantai Puteri dengan memandu kereta bonda. Teringat ketika melalui jalan besar di hadapan STAR (sekolah Tengku Abdul Rahman), bunyi seperti sesuatu yang dilanggar secara berderet. Dan orang-orang di sekeliling melihat kami sambil tersenyum. Rupa-rupanya nenek melanggar susunan panjang kon di sepanjang jalan besar tersebut. ^^#. Teringat jawapan nenek ketika kami ketawa, "mana nenek tahu..".

Sesampai kami di sana, kelihatan ayah terbaring di atas katil. Dan sahabat-sahabat mula datang menziarahi sambil menderma darah bagi darah jenis 'O' kerana kata doktor, simpanan darah jenis 'O' sangat kurang. Justeru memerlukan penderma bagi menggantikan stok yang diguna pakai.

Teringat lagi antara peristiwa lucu. Virus denggi memakan platelet yang menyebabkan darah menjadi cair. Justeru, ayah perlu dimasukkan (tidak tahu istilah medicalnya) platelet yang berwarna kuning, yang tergantung di atas tiang besi. Dalam masa yang sama, pesakit yang tidak mampu berjalan akan disediakan kemudahan membuang air kecil secara saluran. Saya yang begitu teruja pengalaman pertama di hospital bertanya kepada abang, sambil melihat satu lagi bungkusan di bawah tepi katil.

"itu pun platelet juga ke abang?".

"ish, bukanlah.. itu tempat kumbahan ayah". ^^#.

Dan Allah izin, ayah perlu ditukar ke Hospital Besar Ipoh akibat kekurangan kepakaran. (sedangkan bayaran semalaman begitu mahal. Sekitar rm 5000 kalau tidak silap). Alhamdulillah bonda sampai pada hari tersebut. Nampak bonda terkejut kerana tidak sangka demam yang tidak kebah-kebah rupanya demam yang bahaya.

Tatapan Terakhir: Pengalaman Pertama hidup bersama Kot Putih.

Ayah ditempatkan di CCU di tingkat 5 (ingat-ingat lupa) Hospital Besar Ipoh. Unit Jantung kata doktor. Dan bermulalah saya melihat dekat manusia-manusia berkot putih di sana sini.

Allah izin 1 dan 2 September, platelet ayah stabil. Malah ayah sempat berbincang urusan syarikat ketika kenalan-kenalan kerjanya datang menziarahi. Dan ayah minta abang pulang ke MATRI kerana 3 September, abang mempunyai peperiksaan kertas bahasa Arab Tinggi trial SPM.

Teringat ayah begitu ceria pada hari itu. Semua sahabat-sahabat yang datang ziarah dilayan sehingga bonda menasihati ayah untuk berehat. Dan ayah jawab, "eh, dah sihat dah ni..".

Nenek telah pulang ke KL manakala saya, kakak dan adik duduk di rumah. Sehingga kami menerima panggilan dari bonda seusai Maghrib. Nampak kakak cemas. Teringat kakak hanya mencapai jubah dan tudung di belakang pintu. Kata kakak, "cepat siap, nanti pakcik Mukhlis bawa kita ke hospital".

Dalam kereta, masing-masing senyap. Tidak tahu apa yang bakal dihadapi nanti.

Ketika sampai, terus berlari dalam keadaan ruang hospital telah gelap. Masuk berjumpa guard dan mengulangi pesanan bonda, "cakap dekat pakcik guard kata nak jumpa ayah, Hazni Binti Hashim".

Teringat ketika awal menapak di bilik CCU, langsung nampak ayah yang sedang diberi bantuan pernafasan. Dada ayah turun dan naik. Bonda sedang menangis. Baru ketika itu saya menangis. Akhirnya ayah senyap dan koma.

Ketika itu hanya ada saya, bonda, kakak, adik, mak tam (kakak mak) dan pakcik Mukhlis. Abang dalam perjalanan pulang ke Ipoh semula setelah mendapat panggilan dari bonda.

Tatapan Terakhir: Esok yang Terakhir.

Malam itu kami tidur di hospital. Dan abang sampai bersama Ustaz Khairul dan Ustaz Mahathir. Ayah masih koma.

Teringat bonda cerita, ketika lewat petang, selesai semua pulang dari menziarahi ayah, tinggal ayah dan bonda. Tiba-tiba ayah meracau dan mahu menanggalkan alat-alat bantuan yang ada di tubuhnya. Ayah nampak agresif. Bonda lekas-lekas memanggil doktor. Dan saat doktor datang, ayah telah senyap. Doktor 'check' kedua-dua mata ayah dan kelihatannya mata ayah telah kuning dan ada bintik-bintik marah. "ada pendarahan di kepala", kata doktor.

Saya yang ketika itu tidak faham hanya mendengar teliti.

Teringat ketika nenek sampai kembali, nenek terus ke tepi ayah dan mengulangi kata-kata redhanya. Teringat antara ayat nenek, "hazni, mak telah lama redha dengan hazni. Mak redha dengan susu yang telah hazni minum…". Dan ketika itu, ayah memberi respons dengan menggenggam tangan nenek. Seterusnya kami seorang demi seorang anak-anak pula meminta maaf dan memaafkan ayah. Teringat antara ayat saya ketika itu, "ayah, nurul minta maaf sebab tak mampu jadi anak yang solehah. Ayah maafkan nurul ya. Dan nurul juga maafkan semua kesalahan dan kesilapan ayah sebagai ayah".

…..

bersambung.

Monday, September 12, 2011

Father and Son.


Among those things I love are pictures of fathers and sons.
It seems something perfectly and made my heart tears each time I gaze them neither just a capture of a dad runs over his little boy at the green park nor a dad chatting intimately with his teeny son in tea-time.

Deeply, I wish mine would be the same as I had none experience of it. I wish my sons would have a father who could be their best listener and friends ever. (ameen).

note:
-remember the book 'tanggungjawab ayah terhadap anak-anak lelaki" that had once gifted by mum to daddy but till his last breath, it had never been touched.
-why i'm so serious of making the point - the urgency for men to know their responsibility on children home education, as I my self have experienced it. None of daddy's hand over the part, made it harder specially for the sons.
-It seems years have already passed for my last writing in english. O my.. sorry if it sounds awkward..^^#.

Friday, September 9, 2011

Rewang

Tiba-tiba nak promosi logo baru PINTAR. Comelkan..?^^.

Post ini hanyalah luahan kisah.


Antara salah satu aktiviti yang sangat baik dan effisien dalam mengeratkan ukhuwah sesama ahli PERMAI dan antara aktiviti yang amat saya gemari ialah 'merewang'.

Setelah beberapa kali berkampung dan berpagi-pagian di Bayt PERMAI tersayang bersama senior-senior, sahabat-sahabat dan junior-junior, dapatlah disimpulkan bahawa merewang membuatkan kami semakin dekat dan mesra.

Teringat dari semenjak tahun 1, terlibat merewang dengan kakak-kakak IKIP batch kak Natasya, kak Syahida dll. Pernah sehingga tidak tidur malam bagi memastikan pesegaran dalam program keesokan paginya berjalan lancar.

Sehingga sekarang, dengan pertambahan jumlah rakyat PERMAI yang semakin ramai, maka aktiviti merewang juga semakin lama. 2 hari berpagi petang siang malam di bayt PERMAI telah menjadi perkara biasa. Malah untuk kali ini, mencecah sehingga 3 hari.

Jujur sebenarnya merewang tidak memenatkan tetapi hanya akan menjadi penat apabila jumlah tenaga pekerja tidak menyamai jumlah produk yang perlu diisi ke dalam tenaga penerima yang semakin bertambah. Rakyat semakin ramai, tetapi sukarelawan tidak pula semakin ramai. Muka yang sama setiap kali.

...

Semalam, semasa sedang merewang tanpa ada 'pemantauan keselematan' dari syabab, muncul 3 orang pengemis kanak-kanak yang memang terkenal dengan keagresifan mereka. Menakutkan.

Cuba merempuh pintu apabila kami menghalang mereka dari masuk. Terpaksa meninggalkan sebelanga kuah kacang di luar akibat semua berlindung di dalam.

Akhirnya mereka lari apabila Afifah nak baling botol air (qorurrah). Tetapi masih berlegar-legar di bawah. Sehingga terpaksa kami menelefon syabab untuk datang.

Ada akhawat mengomel,"ai turun jaga ja? Turun merewang tak nak pula?". Lucu.

Terfikir, bagaimana kalau tiba-tiba syabab arab yang datang mengganas? Dengan jumlah kami yang sedikit, dalam keadaan penat dari pagi, dua hari berturut-turut..., hanya Allah sebagai Pelindung.

...

Semasa pulang dari merewang di Bayt PERMAI sekitar jam 3.50 pagi, muroqib menemani saya dan Mimi (junior 2nd year sekaligus ajk PINTAR saya). Awal menghantar mimi kemudian baru bergerak ke rumah.

Allah izin, ketika cuba membuka pintu bawah, pintu tersekat. Muroqib telah pulang sebaik sahaja saya mengucapkan terima kasih.

Bermakna tinggal saya terkebil-kebil dalam keadaan suram dan sunyi. Cuba beberapa kali menolak dengan kuat namun tetap sama.

Beberapa minit telah berlalu. Mula terbayang segala cerita yang berlaku di Syimali. Rompakan dan gangguan-gangguan lain. Lekas-lekas telefon mimi. Alhamdulillah mimi masih belum terlelap.

Maka, berlari la saya ke sana ^^. Lucu apabila Mimi terkejut melihat saya tiba di pintu rumahnya dalam waktu yang singkat.

"Kenangan pelari pecut sekolah rendah dulu diaplikasikan semula..". Dan kami ketawa.

*Bahaya tak bahayanya Syimali, baru beberapa waktu berlaku rompakan betul-betul di hadapan rumah Mimi.

...

Kesimpulannya, semoga apa yang berlaku tidak berulang lagi insyaAllah. Dengan pertambahan warga PERMAI, diharapkan mereka yang sudi menyumbangkan tenaga turut bertambah.

Di sinilah wadah kita membina keperibadian kita untuk esok hari. Jika hari ini, untuk turun melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti rewang (contoh paling simple), maka sangat susahlah untuk kita melatih terlibat dalam aktiviti-aktiviti masyarakat lain saat pulang ke Malaysia.

Bukankah muslim yang lain adalah saudara kepada muslim yang lain? Lantas, bagaimana mampu kita merasai dan menanam roh persaudaraan tersebut?

Dengan sama-sama turun berewang la..^^.

Firman Allah: "orang mukmin itu lelaki dan wanita sebahagiannya menolong sebahagian yang lain".

Hadiah buat mereka yang sudi bersengkang mata, pemujuk terindah dari Sang Pencipta dan Pemilik syurga..^^. Apakah ada yang lebih baik?

"Tiada seorang muslim yang (sabar) ditimpa oleh keletihan, kesakitan, benda yang dibenci, kedukacitaan hati, kesedihan hatta duri yang menyucuk kecuali melalui Allah menghilangkan dosa2nya."(hadith riwayat al-Bukhari)

nota kaki:
*Jom sama-sama belajar untuk menjadi mahasiswa yang cakna.

Sunday, September 4, 2011

Menangis.

biar hatimu gelap ketika ini, tetapi berikanlah peluang untuk cahaya mentari itu masuk.
Kerana lambat laun, saat siang terik datang, kegelapan itu akan sirna.


warkah itu kutulis dari jauh,
hanya buatmu.
semata untukmu.
Moga bait-baitnya,
hadir ke dalam hatimu
seakan-akan aku ada di sisi
mengusapmu bersama linangan air mata.

Betapa kumengasihimu
dan akan selalu menyayangimu.
Ketahuilah,
tidak pernah putus kuukir namamu dalam doa pengharapanku.
Bersama hiba.
air mata langsung akan merembes.
laju dan semakin laju.

Sayangku,
Moga Allah kuatkan mujahadahmu dik.

dari kakak yang akan sentiasa berusaha memastikan dirimu sejahtera dari gelinciran itu,
Hasna'.

nota kaki:
-Tadi halaqah, saat disebut tentang 'adik', langsung dada jadi sebak. Apatah lagi disusuli bicara mujahadah.
-Teringat nak tanya mana-mana syabab, bagaimana ya mujahadah mereka dari segi praktikalnya.

Friday, September 2, 2011

Buat saudara lelakiku.


sungguh. Hanya kalian lelaki dalam hidup ini.


Jam menghampiri 3 pagi. Mendapat message dari bonda. Langsung berderai air mata. Hati yang sekian lama tersimpan rindu dan sayang, jadi hancur berkecai.

Langsung teringat pada bonda jauh. Bagaimana pula hatimu wahai bonda?

Sungguh. Sebak kembali memenuhi dada. Dan tercabut rasa aman yang telah lama melemakkan.

Mungkin tarbiyah dari Allah. Agar tidak pernah berasa selesa. Agar tidak pernah berasa aman.

Jahiliyyah itu terlalu halus dan pekat. Tidak pernah lupa untuk merosakkan. Tidak pernah berhenti untuk menghancurkan. Kuatkan kami Wahai Sang Pencipta..!

Buat yang kukasihi dirimu, ruhimu, imanmu dan akhiratmu..

Titipan ini ku lakar jauh,
bersamanya air mata yang basah mengalir deras.
Kuatkan hatimu,
Kuatkan benteng imanmu.

Kuatkanlah dirimu..!
Kuatkanlah dirimu dengan tahajjud dan tangis yang bersungguh,
Kuatkanlah dirimu dengan doa dan pengaduan yang bersungguh,
Kuatkanlah dirimu dengan rasa takut kepada Allah.

Takut kepada Allah yang lahir dari fitrah Iman.
Dan fitrah itu tidak akan terbit
melainkan kita bersungguh menjaganya.

Wahai Sang Pencipta,
hanya kepadaMu kami adukan betapa lemahnya kami
untuk melawan jahiliyyah yang terlalu halus dan memperdaya.

hanya kepadaMu kami adukan betapa lemahnya kami
untuk melindungi diri kami dan keluarga kami
dari ancamana syaitan dan nafsu yang merosakkan.

hanya kepadaMu kami adukan betapa lemahnya kami
untuk menjaga iman di hati kami
dalam kondisi hari ini
yang Engkau Lebih Maha Tahu..

hanya kepadaMu kami adukan betapa lemahnya kami
untuk melindungi diri kami dan keluarga kami
dari menjadi bahan bakar api neraka
melainkan apa-apa yang telah Engkau kurniakan kekuatan kepada kami..

Kami adukan kepadaMu betapa lemahnya kami
betapa ketidak mampuan kami,
betapa jauhnya kami,
tanopa ihsan dan rahmatMu yang melindungi kami..

Wahai Yang Memiliki jiwa-jiwa kami,
hanya kepadaMu kami serahkan jiwa dan kehidupan kami
maka, bantulah kami dan kuatkanlah kami..

Allah, aku tidak mampu melindungi hati dan keimanan mereka
sedangkan aku sendiri berada di bawah jagaanMu,
maka kuserahkan mereka untuk Engkau lindungi dan pelihara..

Ancaman kecelakaan itu terlalu kecil untuk dibimbangi,
tetapi ancaman jahiliyyah terhadap iman-iman mereka
yang paling mengkhuatirkan aku..
Maka lindungilah mereka..
Kuatkanlah mereka..
Engkau Maha Tahu betapa kasihnya aku pada mereka,
maka jadikanlah kami usrah di akhirat
sepertimana kami menjadi usrah di dunia..

T_T.

Ujian ini bukan melemahkan tetapi membangkitkan: Jangan pernah berasa selesa dan aman..!

Saya punya 2 saudara lelaki. Yang terlalu saya kasihi. Dan yang selalu saya bimbangi.

Lantaran kasih itu membuatkan saya terlalu membenci sistem jahiliyyah yang telah merosakkan wanita-wanita sehingga membuatkan saudara-saudara lelaki saya sentiasa terancam.

Lantaran kasih itu membuatkan saya selalu menangis mendoakan kesejahteraan iman mereka.

Lantaran kasih itu membuatkan saya selalu berasa kasihan pada semua lelaki yang hidup dalam jahiliyyah hari ini. Kerana kalian terdedah kepada dosa setiap saat.

Dan kerana rasa kasih itu membuatkan saya sentiasa dikejutkan dengan pelbagai kejutan. Kejutan yang mencabut rasa tenang dan aman. Kejutan yang membuatkan saya selalu sedar bahawa jahiliyyah tidak pernah berdiam diri, maka apakah pantas untuk saya berdiam diri?

Penutup: Andai mampu kubungkus hati-hati kalian..T_T.

Andai mampu kubungkus hati-hati kalian, akan kubungkus kalian sungguh-sungguh agar Jahiliyyah itu tidak menyerang dan rakus menghancurkan benteng iman kalian. Akan kubungkus agar kalian tidak dirosakkan oleh pekatnya hitam jahiliyyah itu..

Namun, mustahil. Sama sekali mustahil.

Hanya doa yang tidak putus-putus bersamanya tawakkal bahawa Allahlah sebaik-baik penjaga yang mampu dilakukan..

Kita sama-sama berusaha menjadi hamba yang Allah redha ya. Jangan pernah berputus asa..Terus kuat.

Sama-sama letakkan satu guideline dalam hidup ini iaitu,

TAKUT KEPADA ALLAH.

insyaAllah, Allah tidak pernah mensia-siakan hamba-hamba yang bersungguh untuk keluar dari kekotoran kemaksiatan..

T_T.

yang menyayangi kalian dan akan terus menyayangi sampai bila-bila,
Hasna'..

*menulis dengan lelehan air mata.